Rabu, 4 Jun 2014

MENGUAK TIRAI DERITA - Prolog



PROLOG
“Maisarah, jaga anak-anak kita ni baik-baik. Walau apapun yang berlaku antara kita, anak-anak  ini perlu diutamakan. Jangan biarkan mereka merana hanya kerana salah kita berdua. Jangan ditinggalkan mereka bersendirian, lemah dan tidak berdaya. Jangan dipisahkan keduanya daripada kasih dan sayangmu.”
Maisarah hanya tunduk mendengar ungkapan suaminya. Air mata gugur lagi berderaian. Dia relakan pemergian suaminya demi menunaikan tanggungjawab menjaga keamanan negara. Negeri di timur sana memerlukan pahlawan negara untuk menentang pencerobohan musuh-musuh dari negara asing.
Darah merah pekat yang membuak telah tumpah di mana-mana sahaja. Seluruh rakyat turut berdukacita dan memanjatkan doa sejahtera. Pasukan keselamatan negara mengetuai barisan pertahanan di perbatasan. Pelbagai strategi digunakan untuk menentang musuh negara. Maisarah hanya mampu berdoa agar suaminya dapat kembali dengan selamat.
Pipi gebu si kecil  dikucup ayahnya bertalu-talu. Mengeliat-geliut si kecil itu kerana lenanya terganggu. Ibunya dengan pipi merah dan mata membengkak masih tetap merelakan pemergian suami tercinta. Kemudiannya, perhatian sang ayah beralih ke arah anak sulung mereka yang sedang berpaut di kaki baju kurung ibunya.
“Fahmi, jaga ibu dan adik baik-baik, ya,” pesan sang ayah sambil mencium ubun-ubun anak lelakinya. Fahmi, sudah lima tahun umurnya sekarang. Serba-sedikit telah mulai belajar untuk mengerti akan makna perpisahan ini. Air matanya juga berlinangan membasahi pipi.
“Kalau ada apa-apa yang kurang, Sarah pergi minta tolong sama ibu dan ayah.” Sekali lagi Maisarah tersedu. Perlukan dia pergi meminta pertolongan daripada ibu dan ayah mentuanya sedangkan kehadirannya dalam keluarga mereka selama ini juga tidak pernah diterima dengan senang hati?
Leftenan Zulkifli mengundur perlahan-lahan. Berat hatinya untuk meninggalkan isteri tercinta dan anak kecil merah yang masih merengkot di dalam bedungan. Air mata Maisarah terus berjuraian. Doa keselamatan terus dipanjatkan buat suami tercinta. Fahmi berlari memeluk kaki ayahnya sehingga memaksa sang ayah tunduk memeluknya sekali lagi.
Itulah kali terakhir mereka berpegangan tangan. Itulah juga kali terakhir dia menatap wajah kasih suaminya. Selepas itu, mereka tidak bertemu lagi sehingga ke hari ini. Suaminya hilang dalam operasi. Entah hidup entahkan tidak, tiadalah dapat dikenal pasti. Maisarah tidak mampu untuk membayangkan keperitan dan kesengsaraan yang dialami suaminya.
Maisarah merana ditinggalkan sebatang kara. Suaminya bergadai nyawa demi membebaskan negara daripada cengkaman musuh. Hanya anak-anak kecil inilah harta yang ditinggalkan padanya. Dia tidak tahu apakah sumbangan pihak kerajaan kepada keluarganya setelah suaminya hilang ghaib. Semua perkara diuruskan ibu dan bapa mentuanya.
Kali terakhir dia bertemu dengan ibu dan bapa mentuanya ialah kira-kira dua bulan selepas suaminya gagal dijejaki. Mungkin suaminya telah gugur di medan pertempuran atau mungkin suaminya ditawan oleh pengganas. Maisarah tidak sanggup untuk memikirkan segala kemungkinan itu.
“Kamu tidak boleh tinggal di kuaters ini lagi kerana suamimu bukan lagi anggota tentera kerajaan. Kamu kena kosongkan rumah ini dan bawa anak kamu pergi dari sini sekarang juga,” ibu mentuanya mengeluarkan arahan.
Maisarah bungkam. Baru semalam dia didatangi pegawai tentera dari Biro Kebajikan. Dia dimaklumkan bahawa, dia dibenarkan untuk terus tinggal di kuaters tentera ini sehingga semua urusan kebajikannya selesai. Malahan dia juga akan diberikan pampasan dan sumbangan daripada pihak kerajaan atas jasa-jasa suaminya dalam bidang ketenteraan. Jasanya akan terus diabadikan di dalam lipatan sejarah negara.
Sekarang ini, dia diminta pula untuk meninggalkan rumah ini. Mana satu arahan yang mahu dipatuhinya? Hatinya berat untuk melangkah pergi dari situ. Masih penuh kasih sayang dan kenangan bersama suaminya di kediaman ini.
“Ibu, benarkan Sarah tinggal beberapa hari lagi di sini sehingga urusan berkaitan Abang Zul selesai,” ujar Maisarah meminta pengertian ibu mentuanya.
“Tak boleh. Engkau tidak boleh tinggal di sini lagi. Tiada bertangguh lagi. Cepat kemaskan barang-barang engkau sekarang.” Maisarah sudah cuak melihat ibu mentuanya yang makin berang sambil bercekak pinggang merenungnya. Ayah mertuanya hanya berdiri kaku seperti tunggul di muka pintu.
Dalam titis air mata, Maisarah mencapai beberapa helai bajunya dan album kenangan perkahwinannya dengan Leftenan Zulkifli. Dia jadi serba tak kena. Bekerja dalam keadaan kelam-kabut juga dengan hati yang kacau.
“Cepat cepat cepat,” gesa ibu mentuanya sambil meligas matanya memerhati setiap pergerakan Maisarah. Maisarah bekerja dengan pantas. Beberapa helai kemeja suaminya sempat disambar dan disumbat ke dalam beg pakaian. Fahmi mengekorinya ke mana sahaja dia pergi.
“Dah dah dah, sudah. Jangan ambil semua barang tu. Nanti aku panggilkan orang kemas rumah ni,” jerit ibu mentuanya sambil menutup zip beg pakaiannya dan mengheret laju beg itu ke muka pintu dan disambut oleh bapa mentuanya lalu disorong ke tangga.
Maisarah mengekori ibu mentuanya. Tergesa-gesa dia mengangkat anak kecilnya yang sedang merengkot di dalam buaian. Dia kembali menghampiri ibu dan bapa mentuanya.
“Maafkan Sarah, mak, ayah.” Maisarah menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan ibu mentuanya tetapi tidak diendahkan oleh perempuan itu. Maisarah menarik tangan ibu mentuanya yang masih tercekak di pinggang dan menciumnya pantas walaupun sepantas itu juga ditarik kembali oleh Puan Kamariah.
Seterusnya, dia menghulurkan tangan ke arah bapa mentuanya, Encik Murad. Orang tua itu lebih lembut hati ketika menyambut huluran tangan menantunya dan sempat menjenguk cucunya yang sedang terlena di dalam pangkuan sang ibu.
“Angkat beg ni,” Puan Kamariah mengarahkan seseorang di bawah sana. Rupa-rupanya sudah tersedia sebuah teksi berwarna merah putih yang menanti di luar. Maisarah mengheret kakinya, lemah.
Dia menuruni anak tangga batu itu dengan penuh hati-hati. Sempat dia menjeling ke rumah sebelah, pintu dan tingkapnya tertutup rapat. Kalau tidak, bolehlah dia tinggalkan pesanan pada Kak Zaharah kalau-kalau suaminya pulang nanti. Fahmi bergegas mahu mengekori ibu dan adiknya tapi pantas tangannya dicengkam oleh Puan Kamariah. Langkah Maisarah terhenti.
“Sudah sudah sudah. Jangan terhegeh-hegeh lagi. Cepat masuk dalam teksi tu,” lantang suara ibu mentuanya memberi arahan membuatkan Maisarah tambah kecut.
“Mak, Fahmi. Fahmi anak saya, mak,” Maisarah terpinga-pinga.
“Ya, anak kamu tapi cucu aku. Fahmi di sini sahaja dengan aku. Nanti entah-entah engkau suruh pula budak ini mengemis kalau dah susah sangat.” Pergelangan tangan Fahmi dicengkam kuat. Bapa mentuanya hanya berdiri bercekak pinggang.
Maisarah kembali mendaki anak tangga. Tidak disangka, dia terpaksa meninggalkan anaknya.
“Sudah sudah sudah.” Puan Kamariah menepis-nepis tangannya.
“Mak izinkan saya peluk dan cium Fahmi, mak,” Maisarah menangis sambil merayu-rayu. Fahmi juga menangis dan meronta-ronta dalam genggaman Puan Kamariah.
Maisarah dapat mencium pipi kanan Fahmi sebelum neneknya menariknya ke belakang.
“Fahmi, duduk baik-baik dengan atuk dan nenek. Belajar rajin-rajin, ya,” Maisarah sempat meninggalkan pesanan dalam sedu-sedannya.
“Ibu ! Ibu ! Kenapa ibu nak tinggalkan Fahmi? Apa salah Fahmi? Fahmi nak ikut ibu.” Fahmi meronta-ronta. Maisarah tidak tertanggung deritanya.
“Mak, Sarah tak ada tempat nak dituju.” Maisarah cuba meraih simpati ibu mentuanya.
“Itu aku tidak tahu. Yang aku tahu, aku tak nak tengok muka kamu lagi di sini.” Air mata Maisarah semakin deras meluncuri pipi sehingga menitis ke atas pipi anaknya. Dia menyeka dengan lengan baju kurungnya.
“Lagi satu,” sambung sang ibu mentua yang sudah hilang kewarasan akal fikirnya. “Jangan bagitahu sesiapa tentang pemergian kamu ni. Jangan bercakap dengan sesiapapun.” Sejurus kemudian, dia berpaling ke arah pemandu teksi, “Kamu juga, jangan singgah di mana-mana dalam kem ini. Terus bawa perempuan ini keluar dan tinggalkan dia di mana-mana sahaja tetapi jauh dari sini.”
Maisarah memang tidak tahu ke mana-mana. Dia tiada sesiapa di dunia ini melainkan suaminya yang telah hilang, anak kecil yang ditinggalkan sebagai tanda buah kasih mereka berdua dan Fahmi yang terpaksa ditinggalkan tanpa kerelaannya. Maisarah hanya teringatkan kakak angkatnya, Kak Aziah. Mungkin ke situlah hala tujunya sekarang.
Kereta sewa bergerak perlahan meninggalkan perkarangan kuaters mereka. Dia nampak tangan Fahmi melambai-lambai dalam rontaan yang menggila. Fahmi, ibu tahu hidupmu akan lebih terjamin dalam jagaan nenek dan datukmu. Ibu doakan kau menjadi anak yang berjaya. Air mata Maisarah berguguran lagi.
Pemandu teksi menjeling sekilas melalui cermin pandang belakang di hadapannya. Ada sedikit kesayuan tergambar di wajahnya. Dia menyaksikan drama sebabak keluarga itu sebentar tadi. Dia yang tidak tahu hujung pangkal dan duduk perkara yang sebenarnya, lebih baik berdiam diri sahaja. Membiarkan penumpangnya melayani perasaan nan rawan bersama juraian air matanya.

Tiada ulasan: