Rabu, 4 Jun 2014

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 1



FRAGMEN 1 - CERITA ROHA
BAB 1
Aku menyarungkan sandal di kaki tangga. Mengangkat bakul nasi lemak dan membimbitnya di lengan kiriku. Pagi masih suram namun rumah-rumah di sekitar rumahku sudah mulai meriah dengan cahaya lampu eletrik yang menerobos keluar dari celah-celah lubang dinding-dinding papan yang agak jarang.
Suara ibu-ibu dan anak-anak kecil saling bertingkah. Sesekali kedengaran seperti kumbang mengaum dalam lubang kayu reput dan sesekali melantun suara sang ibu melaungkan nama anaknya. Mungkin mengejutkannya bangun tidur dan mereka sedang bersiap untuk ke sekolah dan ke tempat kerja.
Sewaktu menyarung sandal, aku terpandang bungkusan plastik hitam berisi sampah di kaki tangga. Mungkin ibu tertinggal di tepi tangga kerana mahu segera ke warungnya, desis hatiku. Kawasan kediaman kami ini tiada lori Majlis Daerah yang dapat sampai. Harusnya membawa sampah keluar dan meletakkannya di pinggir jalan besar sehingga dipungut lori sampah.
Boleh saja kalau mahu membuangnya jauh sedikit di belakang kawasan petempatan ini tapi ibu tidak suka membuang sampah di situ, menambah kotor katanya. Jadinya, setiap pagi ibu akan membimbit plastik sampah itu hingga ke jalan besar. Jangan sampai dua hari, nanti berat pula mahu membimbitnya. Biar susah sedikit asalkan kawasan rumah bersih, kata ibu.
Ada juga tetangga yang membuang sampah di belakang sana dan kalau ada kelapangan atau bau busuk sudah mulai melantun ke dalam rumah, barulah ada yang sukarela membakarnya. Aku memang jarang ke kawasan itu kecuali kalau diminta ibu menemaninya untuk mengambil daun pisang bagi membungkus nasi lemak kami.
Langkah kaki segera kuatur kiri dan kanan dengan hati-hati untuk ke gerai makan ibu. Tangan kiri membimbit bakul nasi lemak manakala tangan kanan pula menjinjing beg plastik sampah yang berwarna  hitam. Aku percepatkan langkah kakiku. Aku tidak mahu terlewat lagi seperti kelmarin. Aku tidak mahu pelanggan ibu tertunggu-tunggu. Ibu telah berpesan agar aku tidak melengah-lengahkan masa, mengambil masa yang lama untuk mandi dan bersiap-siap.
            Sejak akhir-akhir ini, aku memang mengambil masa yang agak lama untuk mandi dan berdandan diri. Aku ingin agar diriku sentiasa dipandang cantik dan kemas meskipun aku hanya membantu ibu berjualan di warung makan. Aku tidak mahu menjadi anak gadis yang selekeh dan tidak pandai mengurus diri.
“Hai, Cik Roha Manis, apa khabar?” Agak terperanjat juga aku saat dikejutkan dengan teguran itu. Walaupun setiap pagi dilontarkan dengan teguran yang sama daripada orang yang sama, namun aku masih sahaja bisa terkejut. Mahu luruh juga jantungku dari tangkainya.
Tanpa mahu menjawab, aku berhenti juga di tepi tangga rumah Encik Rosman. Walaupun hatiku sebal dan mengerutu dengan sikap Encik Rosman yang sering mengusik-usikku tetapi demi mencari sesuap nasi dan tidak mahu kehilangan pelanggan, aku terpaksa memekakkan telingaku. Bakul nasi lemak kuletakkan di atas tangga batu rumahnya manakala beg plastik sampah kuletakkan di atas tanah.
Kukeluarkan dua bungkus nasi lemak yang berbau harum dan masih panas lalu kumasukkan ke dalam sebuah beg plastik kecil berwarna biru dan kuserahkan kepadanya. Encik Rosman yang hanya berkain pelikat dengan singlet pagoda putihnya, sudah duduk di atas tangga bersebelahan bakul nasi lemakku.
Dia menyambut huluran nasi lemak sambil tangannya seakan sengaja mengambil kesempatan untuk  memegang pergelangan tanganku. Aku menarik tanganku agak kasar namun tidak mampu mengatasi kekuatan genggaman Encik Rosman.
“Tolonglah Encik Rosman, Roha nak cepat ni.” Aku tidak punya pilihan melainkan meminta ihsan dan belas kasihannya. Encik Rosman pelanggan tetap nasi lemakku setiap pagi. Kalau diikutkan hati, memang aku tidak mahu berhenti di hadapan rumahnya tapi aku terpaksa.
“Cantik nasi lemak kau,” usik Encik Rosman sambil merenungku. Aku hanya keras tiada reaksi. Encik Rosman tertawa dan melepaskan tanganku.  Aku menggosok-gosok pergelangan tanganku bagaikan membuang segala sisa kotor dan dosa bersentuhan dengan lelaki yang bukan muhrimku ini.
Sewaktu dia menghulurkan wang, aku sudah tidak berani untuk menyambutnya. Encik Rosman tertawa lagi sambil membaling wang seringgit itu ke dalam bakul nasi lemakku. Biadap betul dia.
“Kau jangan jual mahal sangat Roha, nanti orang tak mampu nak beli.” Aku terdengar amaran Encik Rosman namun aku pura-pura tidak mendengarnya. Aku tahu, Encik Rosman menyindirku. Bukan harga nasi lemakku yang dipertikaikannya tapi harga diriku. Selesai berurus niaga dengannya, segera aku bingkas bangun. Kuangkat bakul nasi lemakku dan mulai membuka langkah.
Aku menunduk sedikit di bawah rumpun pohon mempelam telur Encik Rosman sebelum menginjak naik ke lorong kecil jalan menuju ke gerai ibu. Masih terdengar garau-garau suara Encik Rosman tertawa. Aku tidak mahu mempedulikannya lagi. Langkah kaki terus kuatur ke gerai ibu.
Perasaan jengkel dan meluatku terhadapnya semakin menjadi-jadi. Aku benci kerana dia suka mempersendaku. Encik Rosman tidak menghormatiku. Encik Rosman tidak melayaniku sebagaimana layaknya seorang jiran juga seorang perempuan walaupun telah sekian lama kami berjiran.
Entah kenapa, aku tidak tahu. Mungkin kerana aku tidak melayani usikannya atau mungkin juga dia berdendam denganku atas sebab itu. Tapi untuk apa? Perbezaan umur antara kami berdua amat ketara. Dia hampir sebaya atau mungkin sebaya dengan ibu.Tak mungkin dia berhajat untuk menjadikan aku isterinya.
Fikiranku masih saja merewang-rewang ke serata prasangka. Apa yang aku tahu, memang sejak dulu lagi aku tidak sukakan Encik Rosman. Encik Rosman pernah cuba menciumku sewaktu aku sedang menjolok buah mempelam telur di tepi tangga rumahnya.
Encik Rosman yang mempelawa aku. Masa itu, mempelam telur itu sedang galak berbuah. Sedang aku terkial-kial membetulkan galah kecil untuk mengait buah yang paling rendah, Encik Rosman datang dari belakang di luar pengetahuanku. Dia rapat dan memelukku dari belakang sambil cuba membantu aku mengait buah mempelam.
Aku kecil lagi waktu itu. Rasa-rasanya umurku dalam lingkungan sembilan atau sepuluh tahun begitu. Pada mulanya kusangkakan Encik Rosman hendak membantu aku tetapi apabila hidungnya kian rapat ke pipiku, aku terus mengelak dan lari balik ke rumah.
Sejak hari itu, aku tidak suka Encik Rosman. Dan sehinggalah sekarang, aku masih saja takut-takut. Aku takut Encik Rosman akan cuba mencium aku lagi. Aku tidak suka Encik Rosman. Giginya tidak begitu putih dan gurauannya kasar lagi menyakiti hati. Eh, beg plastik sampahku tertinggal di kaki tangga rumah Encik Rosman tapi mana mungkin aku mahu berpatah balik ke rumah naga itu.
Biarlah. Biar Encik Rosman yang membuang sampah itu. Padan muka dia. Suka-suka sangat mengusikku. Tolong buang sampah itu ya, Encik Rosman. Aku tertawa kecil mengenang Encik Rosman yang terpaksa membuang sampah yang dengan tidak sengaja, aku tinggalkan di tepi tangga rumahnya.

Tiada ulasan: