Rabu, 4 Jun 2014

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 2



BAB 2
Dari jauh, aku lihat pelanggan-pelanggan ibu sudah mulai ramai. Mereka tertoleh-toleh ke arahku sewaktu aku menjejakkan kaki di hadapan gerai ibu seakan-akan memang betul tekaanku bahawa mereka sedang ternanti-nantikan kemunculanku. Atau mungkin juga mereka tertarik dengan gaya penampilanku. Aku tersenyum sendiri.
“Haa..dah sampai pun kamu Roha. Kenapa lambat sangat ?” soal ibu tapi dalam nada yang cukup lembut. Aku hanya tersengih-sengih sambil masuk menyelit di celah-celah orang ramai dan kerusi meja untuk ke kaunter tempat ibu menunggu. Pelanggan-pelanggan ibu bagaikan tidak sabar untuk melihat isi bakulku.
Bakul nasi lemak itu kuletakkan di atas meja bersebelahan kaunter ibu. Beberapa tangan telah mulai mencekau nasi lemak panas di dalam bakul. Begitulah larisnya nasi lemak buatanku. Hmm..bukan buatanku sebenarnya. Aku hanya membungkus nasi lemak yang telah siap dimasak ibu. Nasi lemakku sentiasa menjadi rebutan para pelanggan ibu yang terdiri daripada pekerja-pekerja kilang sarung tangan dan buruh di ladang kelapa sawit.
Dalam ramai-ramai itu, mataku melilau mencari seseorang dan si dia yang kucari sedang tersenyum di kerusi hujung gerai. Aku tertunduk malu. Dia mungkin terperasan akan tindakanku mencarinya. Melihat senyumannya, aku tahu dia juga menunggu kedatanganku.
Setelah pelanggan ibu agak mereda, aku menuju ke arahnya sambil membawa sebungkus nasi lemak. Bungkusan nasi lemak itu kuletakkan di atas piring kecil bersama sebatang sudu plastik berwarna hijau. Pemuda itu melemparkan senyuman dan terus merenungku dengan begitu asyik sekali.
“Abang dah pesan minuman?” tanyaku perlahan. Abang Mahadi hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Abang Mustafa di sebelahnya hanya tunduk menghirup kopi panasnya tanpa menoleh ke arah kami. Sebungkus nasi lemak juga ada di hadapannya. Abang Mustafa mengambil sendiri nasi lemak itu di dalam bakul yang kubawa tadi. Tidak seperti Abang Mahadi yang seakan sengaja menunggu aku melayaninya. Pelangganku yang istimewa.
“Mana minumannya?” tanyaku lagi apabila kelihatan tiada sebarang cawan di hadapannya. Abang Mustafa hampir tersedak mendengar pertanyaanku. Cepat-cepat disapu air kopi yang meleleh di bibirnya. Dia tersengih-sengih memandang Abang Mahadi. Aku cuba menyimpan senyumku agar tidak mengguris hati Abang Mahadi.
“Emm…eerrr…belum. Abang belum pesan apa-apa lagi,” sahutnya tergagap-gagap.
“Apalah abang ni. Mimpi apa semalam sampai tersasul-sasul pagi ni?” aku mulai mengusik Abang Mahadi.
“Mimpikan Cik Roha, lah,” sahut Abang Mustafa, mencelah. Abang Mahadi tersengih-sengih menayang gigi.
“Syy…nanti Roha buatkan abang kopi,” kataku kemudiannya dan berlalu ke ruang dapur.
“Mahadi nak minum apa?” tanya Kak Julie, pembantu ibu.
“Macam biasa, kak,” sahutku sambil tanganku lincah menyambar cawan di rak.
“Kenapa akak tak ambil pesanan dia?” tanyaku pula.
“Akak dah tanya tapi dia kata, dia nak tunggu Roha,” balas Kak Julie sambil mencuit bahuku.
“Syy…akak, jangan cakap kuat-kuat, nanti ibu dengar,” ujarku mengingatkan Kak Julie.
Kak Julie tertawa kecil. Walaupun Kak Julie cuma pembantu ibu di gerai kami tetapi kami banyak berkongsi rahsia berdua. Mungkin kerana aku anak tunggal yang tidak punya adik-beradik, membuatkan hubunganku dengan Kak Julie menjadi agak rapat. Malahan, pada Kak Julielah tempat aku sering mencurahkan perasaan dan mengadu hal.
Kak Julie, janda anak satu merangkap jiran sekampung kami walaupun rumahnya agak jauh sedikit dari rumahku, kini tinggal bersendirian selepas suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sewaktu dia sedang mengandungkan anak sulungnya.
Dan sehingga kini, setelah anaknya berusia tiga tahun, dia masih belum berminat untuk mencari pengganti suaminya. Jadinya sekarang, dua orang ibu tunggal itu iaitu ibuku dan Kak Julie serta seorang anak tunggal iaitu aku, sedang mengusahakan warung makan ini.
Aku tersenyum sendirian saat mengingati perempuan-perempuan yang berkongsi gelaran ‘tunggal’ ini serasi duduk bersama. Aku cepat-cepat menyiapkan kopi buat Abang Mahadi manakala Kak Julie telah ke depan untuk mengambil pesanan. Memang Abang Mahadi tidak mahu orang lain menyediakan minumannya selain daripada aku. Aku dan Kak Julie telah tersedia maklum akan hal ini.
Sewaktu melintasi kaunter ibu sambil membawa secawan kopi, ibu merenungku agak tajam. Aku tahu makna renungan itu. Aku tahu ibu tidak begitu suka akan perhubungan rapatku dengan Abang Mahadi. Mungkin ibu telah dapat menghidu hubungan mesra kami.
Aku tidak peduli. Lagipun aku tidak buat apa-apa kesalahan pun. Aku cuma dambakan perhatian dan kasih sayang daripada seorang lelaki. Dan lelaki itu kini adalah Abang Mahadi. Walaupun Abang Mahadi hanya bekerja sebagai operator pengeluaran  di kilang sarung tangan itu tapi  aku tetap menyukainya.
Abang Mahadi baik, tidak seperti Encik Rosman yang suka mengusik-usikku. Wajahnya juga tampan. Setampan Amir Khan, hero Hindustan yang menjadi pujaanku. Aku tahu, ramai anak gadis lain yang kempunan apabila Abang Mahadi memilihku untuk dijadikan kekasih. Aku sendiri pun tidak menyangka bahawa aku yang akan menjadi pilihan Abang Mahadi walaupun aku tidak cantik.
Setiap hari Abang Mahadi akan datang menjamu selera di warung makan ibuku sama seperti pelanggan-pelanggan ibu yang lain. Terkadang bersama Abang Mustafa dan terkadang, dia bersendirian. Baru tiga bulan ini Abang Mahadi bekerja di kilang sarung tangan ini dan dalam masa inilah kami saling memendam rasa.
Aku melayaninya sama seperti aku melayani pelanggan-pelanggan di gerai ibu yang lain itu juga cuma aku yang selalu mengambil peluang untuk merenungnya, melihat wajah jelmaan Amir Khan, hero Bollywood pujaanku. Dia juga tidak lokek. Seringgit lapan puluh sen bayaran makan minumnya, diberi dua ringgit tanpa mahu diambil wang lebihannya.
“Alah, orang tu baru belanja seposen dua, kamu dah jatuh hati, jatuh cinta,” ibu mengulas sinis sewaktu aku bercerita tentang kebaikan Abang Mahadi. Bukan kerana seposen dua  posen Abang Mahadi yang menjerat hatiku tapi bening pandangan matanya dan herot mulutnya kala tersenyum yang membuatkan aku panasaran. Terkadang, tidur malam pun aku mengigau-igau memanggil nama Abang Mahadi.
Mungkinkah aku sudah kemaruk cinta? Apa yang pasti, cintaku hadir tanpa dipinta. Dan aku juga tidak bertepuk sebelah tangan apabila Abang Mahadi juga menyatakan rasa hatinya terhadapku. Bunga-bunga bahagia berkembangan mekar di dalam dadaku. Kalau boleh, aku mahu sentiasa berada di samping Abang Mahadi. Aku mahu disayangi dan dikasihi dengan sepenuh hati.
Abang Mahadi seorang yang terlalu istimewa di pandangan mataku. Walaupun dia orangnya biasa-biasa sahaja tetapi aku menyukainya. Aku menyenangi tingkah lakunya yang menghormati kaum sejenisku.
Walaupun ibu seperti tidak menyukai hubunganku dengan Abang Mahadi tetapi ibu tidak mempamerkannya di hadapan Abang Mahadi. Ibu tetap melayani Abang Mahadi dengan baik dan Abang Mahadi juga amat menghormati ibu. Mungkin ibu bimbang kalau-kalau Abang Mahadi cuma ingin mempermainkan perasaanku, anak gadis kesayangannya.

Tiada ulasan: