Rabu, 4 Jun 2014

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 3



BAB 3
Abang Mahadi memang baik dan murah hati. Sewaktu menerima wang gajinya bulan lepas, Abang Mahadi membelikan aku sepasang kain sutera. Sutera asli lukisan tangan dari Terengganu berwarna biru firus berganding ungu pada kelopak rebungnya. Bukan calang-calang harganya. Paling kurang pun rasa-rasanya dalam lingkungan dua ratus ringgit. Abang Mahadi tidak kedekut. Itu yang menjadikan aku semakin lemah dengannya ditambah redup pandangan matanya.
            “Nanti, Roha buat baju kurung moden,ya,” pesan Abang Mahadi sewaktu menyerahkan bungkusan kain sutera itu. Aku cepat-cepat memasukkannya ke dalam bakul nasi lemak yang sudah kosong dan menutupinya dengan kertas suratkhabar alas bakul sebelum sempat ibu memandangnya dan sebelum sempat aku sendiri melihat corak kain itu dengan lebih teliti.
            “Terima kasih, bang,” ujarku ceria. Serasakan seluruh isi alam ini aku yang empunya. Spektrum hidupku kembali berwarna pelangi membiaskan kebahagiaan di kaca prisma. Kabus yang putih pun berarak pergi dan tampaklah hijau puncak gunung yang memekar dengan bunga-bunga hutan dan unggas rimba yang bercanda.
Pemberian  Abang Mahadi memang tidak kukhabarkan kepada ibu. Hanya Kak Julie sahaja yang tahu akan rahsia itu. Aku tahu, ibu pasti akan menyindirku lagi. Aku tidak sanggup mendengar ibu memperkecil Abang Mahadi. Aku tidak mahu ibu merendah-rendahkan Abang Mahadi.
Biar bagaimana pun keadaan Abang Mahadi, aku telah bulatkan tekad untuk bersama-samanya biar pun ibu menghalang. Aku tahu titik kelemahan ibu. Pasti aku akan dapat memujuknya agar menerima kehadiran Abang Mahadi dalam kehidupan kami. Lagipun daripada pemerhatianku, ibu bukanlah membenci Abang Mahadi. Mungkin dia cuma takut aku yang terlebih ditimpa perasaan.
Memang Abang Mahadi telah kuanggap sebagai sebahagian daripada hidupku walaupun baru dua bulan ini kami berkasih sayang dalam rahsia. Kami sudah saling menyelami hati masing-masing. Tanpa Abang Mahadi, hidupku suram tidak berseri. Kehadiran Abang Mahadilah yang menceriakan hari-hariku, mengembalikan keyakinan pada diriku bahawa aku tidaklah seburuk mana sehingga tidak mampu menarik perhatian lelaki.
Kain sutera pemberian Abang Mahadi aku hantar ke rumah Kak Esah, tukang jahit pakaian di kampungku. Pada Kak Esah kuminta dia buatkanku sepasang baju kurung moden fesyen terkini bermanik di lengan dan sulaman kerawang di tepi baju. Tentu cantik saat aku menggayakannya nanti.
“Roha, abang baru dapat gaji kelmarin,” bisik Abang Mahadi sewaktu aku meletakkan cawan kopi  dan sebungkus nasi lemak di hadapannya. Abang Mahadi bersendirian pagi ini tanpa ditemani Abang Mustafa. Abang Mustafa telah bergegas terlebih dahulu ke tempat kerja mereka.
“Habis tu, abang nak buat apa?” tanyaku sambil meletakkan bungkus nasi lemak itu di atas piring dan meletakkan sudu di sisi bungkusan itu.
“Abang nak bawa Roha jalan-jalan tengok wayang,” sahut Abang Mahadi, perlahan. Dadaku berdegup kencang. Aku menjeling ke arah ibu yang sedang asyik melayan pelanggan di kaunter bayaran.
“Bila?” tanyaku agak kurang sabar. Malu pula aku kalau-kalau Abang Mahadi menuduh aku perempuan murahan. Senang diajak keluar berpeleseran ke sana ke mari tetapi aku benar-benar teruja dengan pelawaannya itu.
“Malam nanti. Ada cerita menarik di panggung. Cerita baru,” Abang Mahadi terus memancingku. Termenung panjang aku mendengar pelawaannya. Terloncat-loncat hatiku di dalam sana untuk keluar bersamanya.
“Macam mana Roha nak keluar, tentu ibu tak benarkan,” aku berkata tentang perkara yang sebenarnya walaupun keinginan jiwa remajaku sedang membuak-buak. Mana pernah aku keluar menonton wayang. Kempunan aku hendak merasai suasana di dalam panggung wayang kalau tidak dipelawa oleh Abang Mahadi.
Kata Masyitah, skrin layarnya besar. Besar sangat. Bukan macam skrin televisyen di rumahku. Televisyen yang agak jarang-jarang untuk aku berkesempatan menontonnya. Kata Masyitah lagi, kalau tengok cerita hantu, hantu tu macam betul-betul berada di hadapan kita. Tengok cerita Pontianak Harum Sundal Malam, macam Pontianak tu melayang di atas kepala kita. Tengok cerita Jangan Pandang Belakang pun, macam hantu-hantu itu betul-betul bergentayangan di sekeliling kita.
“Roha bagilah alasan apa-apa pun, abang tunggu Roha di tepi kedai Akim pukul lapan nanti,” Abang Mahadi menetapkan keputusan. Kepalaku masih ligat memikirkan alasan untuk kuberikan kepada ibu. Memang tahap keterujaanku sedang berada di aras yang tertinggi sekarang ini.
“Tengoklah nanti. Roha tak berani nak janji.” Sebenarnya aku akan sedikit terkilan kalau tidak dapat memenuhi permintaan Abang Mahadi. Aku yang sangat-sangat ingin menonton wayang gambar. Paling aku bimbang sekiranya Abang Mahadi membawa perempuan lain jika aku menolak pelawaannya.
“Abang tunggu, sayang,” kata Abang Mahadi, masih tidak berputus asa. Sayang ? Abang Mahadi memanggil aku ‘Sayang’?”. Kakiku bagaikan tidak lagi berpijak di bumi nyata. Rasa kelainan dan kegembiraan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Terawang-awang tinggi di angkasaraya pabila jejaka tampan ini memanggil aku ‘sayang’.
“Roha…!” Aku terdengar laungan ibu.
“Ya, bu,” sahutku spontan lantaran agak terkejut dengan lontaran suara ibu yang kuat itu. “Roha pergi dulu, bang. Ibu panggil,” aku memberitahu Abang Mahadi dan sejurus kemudian, berlalu meninggalkan mejanya. Nasib baik ibu memanggilku. Kalau tidak, tentu aku masih sahaja di awang-awangan dan entah ke angkasa mana aku dibawa pergi untuk berangan-angan.

Tiada ulasan: