Jumaat, 31 Oktober 2014

Fragmen pertama MTD selesai

Fragment pertama dalam Menguak Tirai Derita telah pun selesai.
Rasanya macam saya ingin tamatkan sahaja cerita ini di sini.
Bagaimana dengan kawan-kawan yang mengikuti cerita Roha ini?
Mahu saya sambung ke Fragmen kedua atau...?
Berhenti setakat ini sahaja?



huhuhu...


Dalam Fragmen kedua nanti, saya nak bercerita tentang Mas Khairani pula iaitu wanita yang diamanahkan untuk menjaga Wan Jamilah sehingga selamat melahirkan anaknya.

Wan Jamilah mengandung?
Ya, Wan Jamilah mengandung hasil daripada perbuatan Wan Syamril yang dirasuk iblis.
Saya tidak menceritakan peristiwa itu secara terperinci di dalam novel saya.
Cukuplah perlambangan yang saya berikan dan saya harap para pembaca saya dapat memahaminya.


Terima kasih kepada kawan-kawan yang sentiasa memberikan sokongan dan mengikuti perkembangan Roha.

Cerita Roha panjang lagi.
Dapatkah Roha bertemu dengan abang kandungnya, Fahmi?
Bagaimanakah keadaan Fahmi?

Bagaimana pula dengan Abang Mahadi?
Takkanlah kisah Abang Mahadi tenggelam begitu sahaja?

Jangan risau, semuanya akan kembali lagi.
Semuanya akan ada sambungan dan kesinambungan.

Tunggu yer...

MTD Bab 56




BAB 56
Kami telah kembali ke rumah lama ibu. Warung makan ibu juga telah kujual kepada Kak Julie. Wang daripada hasil jualan warung itu kusimpan buat kegunaan kami pada masa akan datang. Mungkin kami perlukan banyak duit untuk menguruskan hidup kami selepas ini. Aku sendiri sudah mula bekerja dengan Ustazah Sarifah. Makin dekat aku dengannya, makin tenang rasa hati ini.
            Semasa tinggal bersama Hajah Wan Maimun dan Haji Nik Dasuki dahulu, aku juga ada menabung duit pemberian  bekas ibu dan bapa mentuaku. Kalau sesekali ke bandar untuk berbelanja, bapa mentuaku akan bekalkan duit buatku dan duit itu tidak pernah kuhabiskan. Duit sewa warung daripada Kak Julie, aku simpan sebahagiannya.
Amalan berjimat-cermat yang diajarkan ibu dugunakan sebaiknya saat ini. Lagipun selepas ibu meninggal dunia, wang simpanannya menjadi milikku. Aku tidak pernah mengeluarkan wang tersebut, kubiarkan ianya terus berada di dalam akaun simpanan bank.
Selain daripada memikirkan tentang Wan Jamilah, aku juga memikirkan tentang usaha untuk mencari Fahmi. Satu nama tapi ramai orang yang punya nama begitu. Fahmi Zulkifli. Puluhan manusia bernama Fahmi Zulkifli dan tiada satu pun yang kurasakan mempunyai pertalian darah denganku.
Dalam setiap solat dan doaku, aku sentiasa bermohon agar ALLAH kabulkan permintaanku. Permudahkan urusanku dalam menguruskan hal Wan Jamilah dan pertemukan aku dengan abangku, Abang Fahmi.
Sejak akhir-akhir ini, wartawan semakin kerap mencari kami. Wan Jamilah menjadi tidak selesa. Mula-mula dia masih mahu menjawab soalan yang dikemukakan tetapi lama-kelamaan dia juga jadi rimas dan takut. Aku faham perasaan Wan Jamilah, anak yang kukandung selama sembilan bulan sepuluh hari itu.
Kami semakin kerap dikunjungi pelbagai pihak yang menawarkan bantuan. Ada yang ingin mengambil Wan Jamilah sebagai anak angkat. Ada juga yang menyarankan agar Wan Jamilah dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita. Aku jadi keliru dan sesekali terbit rasa amarahku. Wan Jamilah ini bukannya budak jahat. Segala yang berlaku ke atasnya buat atas kehendaknya sendiri.
Wan Jamilah perlu kuhindari daripada semua tekanan ini. Tekanan yang datang dari segenap sudut sehinggakan Wan Jamilah mengambil keputusan untuk meninggalkan bangku sekolahnya. Wan Jamilah, anak yang bijak. Anak yang pernah menjadi kebanggaan kami sekeluarga ini bagaikan ingin menamatkan zaman remajanya.
Aku tidak menyalahkan Wan Jamilah malahan aku sangat bersimpati terhadap nasib yang menimpa dirinya. Bukan setakat simpati malah lebih daripada itu, akulah yang paling terluka dan melara. Wan Syamril yang membantu aku keluar dari lubang kegelapan dan sengsara, tiba-tiba dia pula yang menggelapkan masa depan anakku. Anak wanita yang pernah diberikannya nyawa untuk kembali tersenyum menongkah arus kehidupan.
Baru-baru ini, aku didatangi seorang guru yang bernama Mas Khairani dan temannya, Nurin. Mereka berhasrat untuk mengambil Wan Jamilah sebagai anak angkat. Aku masih belum begitu yakin untuk melepaskan Wan Jamilah ke tangan orang lain. Lagipun, aku takut dituduh sebagai ibu yang tidak bertanggungjawab.
Setelah beberapa kali bertemu, aku dapat melihat keikhlasan yang terbit daripada hati insan yang bernama Mas Khairani ini. Ada sesuatu yang mengikatkan hatiku dengan hatinya. Tidak tahu apakah ikatan itu tetapi nampaknya Wan Jamilah juga turut menyukai Mas Khairani. Mas Khairani yang banyak bertanya tetapi setiap patah soalannya tidak pernah menjeratku dalam keadaan serba-salah.
Aku yakin, Mas Khairani bersungguh-sungguh dengan kata-katanya. Tiada nada pura-pura dalam setiap ungkapannya. Pandangan matanya yang penuh simpati dan melimpah dengan selautan kasih sayang itu membuatkan aku menyenanginya. Sesuai dengan namanya Khairani yang sebaik empunyanya. Mungkin masa depan Wan Jamilah akan lebih terjamin di bawah jagaan Mas Khairani.
Buat sementara waktu ini, biarlah kutitipkan Wan Jamilah di dalam jagaan Mas Khairani. Jauh daripada gangguan orang ramai yang mengenalinya dan jauh daripada tekanan yang datang bertubi-tubi menghimpit dan mendera perasaannya.
Tiba masanya pasti kami akan berkumpul semula. Berkumpul dalam sebuah keluarga yang besar. Semoga Allah segera pertemukan aku dengan Abang Fahmi. Oh Tuhan, tolonglah.




MTD Bab 55




BAB 55
Wan Jamilah, perkara yang kutakuti itu terjadi jua. Anak yang periang ini tiba-tiba sahaja berubah laku. Aku tidak tahu bagaimana nasibnya Wan Jamilah. Terkadang, aku menyalahkan diriku. Kalau aku melayani Wan Syamril sudah pasti Wan Jamilah tidak akan menjadi mangsa kerakusan nafsunya. Kenapa Wan Jamilah yang harus menjadi galang gantinya?
Masyitah juga bersalah. Asyik berdandan sepanjang masa tetapi masa untuk melayani suaminya terlalu singkat. Kiri kanan depan belakang, semua orang kuanggap bersalah termasuk diriku sendiri. Hajah Wan Maimun dan Haji Nik Dasuki yang tidak pandai menjaga anak sendiri. Aku hampir gila jadinya. Mahu sahaja aku menikam Wan Syamril dan melumatinya halus-halus.
Anakku, Wan Jamilah . Anak yang belum mengenal erti kepayahan hidup ini. Anakku yang kini terbeban dengan dugaan hidup yang tidak terduga.  Wan Syamril lari sembunyi entah di mana saat kejahatannya terbongkar. Aku tidak akan berdiam diri, yang bersalah wajib menerima hukuman.
Aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan sekarang. Segalanya kelam dan pudar. Duniaku gelap gelita. Wan Jamilah kesayanganku menjadi mangsa kerakusan bekas suamiku sendiri. Serasakan aku ingin berhibernasi dan tidur nyenyak buat selama-lamanya.
Mungkin selepas aku bangun nanti, segala-galanya sudah berubah, musim bunga telah tiba. Aku akan dapat kembali tenaga dan ketenanganku yang telah hilang. Aku akan dapat kembali Wan Jamilahku yang polos. Aku hanya ingin menikmati musim keindahan sahaja. Aku tidak lagi mampu bertahan untuk hidup dalam keadaan yang sesukar ini.
Aku yang bersalah kerana masih tinggal di rumah ini sedangkan antara kami sudah tiada apa-apa ikatan yang menghalalkan pergaulan. Tangisan sedalam dan setinggi Tasik Titicaca pun tidak akan mampu untuk merubah ketetapan ini.
Ya ALLAH, kami berlindung di bawah naunganMu.
Wan Jamilah, di manakah ibu mahu sorokkan kamu? Sembunyikan kamu dari dunia yang kejam ini. Kalaulah  kamu seekor kura-kura, tentu sahaja ibu akan tempatkan kamu di dalam kotak yang dipenuhi jerami dan diletakkan di atas loteng yang selesa untuk berhibernasi sehingga menjelang musim bunga kita yang panas.
Wan Jamilah, di luar sana banyak betul serigala liar yang sepanjang masa mengintai-intai kamu dari dalam terowong persembunyiannya. Ibu ini tidak mampu untuk melindungi kamu. Ibu ini terlalu kejam terhadap kamu, nak. Ibu adalah seorang ibu yang gagal. Ibu gagal menyelamatkan kamu. Maafkan ibu, Wan Jamilah.
Aku tidak tahu sampai bila aku harus merana begini. Aku tidak sanggup memandangi Wan Jamilah. Aku tidak terdaya untuk menyaksikan pandangan matanya yang redup dan terkadang seolah-olah memancarkan api dendam untukku. Aku yang sendiri terasa.
Aku mengambil keputusan nekad, ketiga-tiga anakku kubawa bersama kembali ke rumah lamaku, rumah peninggalan arwah ibu. Hajah Wan Maimun dan Haji Nik Dasuki diam tidak berketik saat kami berempat melangkah kaki keluar dari rumah besar itu. Mungkin mereka sendiri tidak menyangka akan berlaku musibah besar di dalam rumah mewah ini.
Aku, Wan Jamilah, Nik Jamali dan Wan Jamnah. Kami berempat tidak akan berpisah lagi. Rumah peninggalan ibu menjadi tempat kami bernaung. Kami tinggalkan segala kemewahan yang bukan lagi menjadi milik kami. Semoga suatu masa nanti akan timbul suria terang yang bakal menyinari hidup kami berempat.
Aku juga sudah mulai bekerja di rumah Ustazah Sarifah. Ustazah Sarifah dan keluarganya yang berhati mulia. Bukan semua manusia itu bersifat kejam. Masih ramai insan yang berbudi luhur.
Aku hampir terlupa, sejak ketiadaan ibu dan sejak kami kembali ke sini, Mak Long Aziah iaitu kakak emak ada juga berkunjung ke rumah kami sekali –sekala. Walaupun tidak begitu rapat dengannya tetapi dia tetap darah daging kami. Sesekali, dia bercerita juga tentang zaman kanak-kanaknya bersama ibu.
Aku jadi ingin bertanya, riwayat panjang hidup ibu yang tidak pernah kuketahui. Tapi seolahnya Mak Long Aziah tidak berhasrat untuk bercerita perihal kisah silam tersebut. Aku tidak tahu sampai bilakah aku akan terus berada di dalam dunia teka-teki yang gelap ini.
Akhirnya, Mak Long Aziah memberitahu juga bahawa sebenarnya dia sendiri pun tidak tahu sangat perihal sejarah hidup ibu kerana dia hanyalah kakak angkat arwah ibu. Mereka dibesarkan bersama-sama di rumah anak yatim.
Penjelasan yang diutarakan oleh Mak Long Aziah sudah cukup untuk menyedarkan aku bahawa aku tidak perlu bersusah payah untuk membongkar kisah silam kehidupan ibu yang tinggal misteri buat selama-lamanya.
Cuma apabila kutanyakan tentang seseorang yang bernama Fahmi, Mak Long Aziah terdiam dan memandangiku penuh hairan.
“Kenapa mak long?” tanyaku agak cuak.
“Ibu tak pernah bagitahu Roha?” tanya Mak Long Aziah kembali. Aku menggeleng-gelengkan kepala.
“Fahmi itu abang kamu. Abang kandung kamu yang terpisah sejak kecil. Sewaktu ibu kamu datang ke rumah mak long, dia cuma bawa kamu. Abang kamu, Fahmi ditinggalkan bersama-sama datuk dan nenek kamu,” Mak Long Aziah bercerita panjang lebar.
“Saya ada abang, mak long?” Aku bagaikan baru tersedar daripada sebuah mimpi yang panjang.
“Ya. Fahmi itu abang kamu.”
“Tapi kenapa ibu tidak pernah bercerita tentang Abang Fahmi?” Aku tidak tahu kenapa ibu mahu merahsiakan perihal abang kandungku daripada pengetahuanku sendiri. Patutlah dalam gambar-gambar lama ibu, ada gambar seorang budak lelaki. Mungkin itulah Abang Fahmi, abang kandungku. Aku bertekad untuk mencari Abang Fahmi.
“Mungkin ibu tak mahu Roha mencari Fahmi.” Penjelasan Mak Long Aziah membuatkan aku berfikir lama. Apa muslihat ibu menyembunyikan perihal abang daripada pengetahuanku? Ingin bertanya tapi ibu sudah tiada. Cuma di saat-saat akhirnya ibu menyebut nama Abang Fahmi. Mungkin ibu ingin memberitahuku tetapi hajat ibu tidak kesampaian.
Mujur ada Mak Long Aziah yang sudi merungkaikan persoalan. Kalau betullah seperti apa yang diperkatakan oleh Mak Long Aziah, bermakna aku bukanlah sebatang kara di dunia ini. Aku masih punya abang kandung dan aku juga masih punya datuk dan nenek. Tetapi kenapa ibu tidak pernah memperkenalkan aku dengan mereka?
Kenapa ibu tidak mencari mereka? Bukan setakat mencari, menyebut nama mereka pun tidak pernah. Mungkin klu yang boleh aku gunakan ialah nama abang kandungku Fahmi dan nama ayah kami Zulkifli. Mungkin aku boleh dapatkan bantuan internet untuk menjejaki abang kandungku itu.
Biar apapun yang terjadi, aku perlu merungkai persoalan ini. Aku perlu mencari abangku, waris kepada anak-anakku. Jangan sampai aku telah tiada nanti, anak-anakku pula tinggal sebatang kara. Semangatku berkobar-kobar untuk menjejaki Abang Fahmi.

MTD Bab 54




BAB 54
“Mak, kenapa ayah tidur dengan mak cik baru tu ?” tanya Nik Jamali pada suatu malam. Nik Jamali, sudah sembilan tahun usianya. Saat kata-katanya amat petah dituturkan. Aku meneguk liur. Mencari kata-kata yang sesuai untuk menjawab pertanyaan Nik Jamali. Nik Jamali, satu-satunya cucu lelaki zuriat Wan Syamril yang masih dikehendaki oleh Tok Mummy dan Tok Daddynya.
“Kenapa ayah tak tidur dalam bilik emak? Bukankah mak kata, itu ayah saya? Ayah sepatutnya tidur dalam bilik emak, kan? Kenapa ayah tak macam ayah-ayah yang saya lihat dalam tv dan ayah kawan-kawan saya?” Nik Jamali masih saja menyerangku dengan kata tanya dan persoalan hatinya.
“Jamali, Mak Cik Masyitah tu emak Jamali juga. Dia isteri baru ayah. Jamali kena hormati Mak Cik Masyitah macam Jamali menghormati mak sebab dia juga emak Jamali,” terangku kepada anak ini agar dia bisa mengerti duduk perkara yang sebenarnya dan yang pastinya, aku ingin dia membiasakan dirinya dengan ibu barunya itu.
Nik Jamali bakal kutinggalkan di rumah ini. Kehidupan dan masa depannya lebih terjamin di sini. Aku tiada apa-apa untuk diberikan kepada anakku ini. Suatu hari nanti, aku harap Nik Jamali akan mengerti makna pengorbananku ini. Sedangkan aku sekarang masih sahaja berkeluh-kesah tentang nasib dan masa dengan anak-anak perempuanku, Wan Jamilah dan Wan Jamnah.
Menyedekahkan harta untuk ALLAH cukup sepertiga sahaja, selebihnya buat ahli warismu yang lain. Ingatlah wahai sahabatku, meninggalkan hartamu untuk seorang ahli waris dalam keadaan cukup jauh lebih baik daripada meninggalkannya dalam keadaan miskin. Jangan sampai dia menadah tangan dan meminta sedekah daripada orang lain. –Nabi Muhammad S.A.W kepada Ibnu Mas’ud.
Aku kini sedang berkemas-kemas untuk berpindah. Tiada barang yang boleh kubawa, hanya pakaian dan sedikit barang-barang peribadi. Wan Jamilah agak keberatan untuk meninggalkan rumah besar ini. Rumah tempat dia dilahirkan dan dibesarkan. Rumah tempat dia mendapatkan sepenuh kemanjaan dan kasih sayang yang penuh daripada Tok Mummy  dan Tok Daddynya namun kini semua itu telah lenyap begitu sahaja.
Aku tidak berhasrat untuk tinggal menetap bersama keluarga Ustazah Sarifah. Aku merancang untuk kembali tinggal di rumah lamaku yang ditinggalkan arwah ibu dan berulang-alik ke rumah Ustazah Sarifah untuk mengasuh anaknya. Wan Jamilah dan Wan Jamnah sesekali datang tidur bersamaku di bilik ini.
Selalunya, mereka telah kubiarkan tidur berkongsi kamar di bilik bersebelahan ibu dan bapa mentuaku  tetapi selepas Wan Syamril kembali ke rumah ini, mereka lebih banyak menghabiskan masa di bilikku. Kata Wan Jamilah, ayahnya selalu memandangnya seperti ‘nak makan orang’. Aku hanya tertawa untuk melindungi resah di jiwaku dan memujuk Wan Jamilah agar tidak memandang asing terhadap ‘ayah’nya. Aku tidak mahu anak-anakku terhidu segala keresahanku.
Mungkin Wan Syamril sedang memikirkan tentang status Wan Jamilah. Kalau Wan Jamilah bukan anaknya, anak siapakah dia? Mungkin Wan Syamril telah mengesyaki Wan Jamilah ialah zuriat Abang Mahadi kerana aku pernah mendengar dia menuturkan begitu di hadapan  ayahnya dulu.
Suatu malam, Wan Jamilah dan Wan Jamnah tidur di dalam bilik mereka. Aku tidur bersendirian selepas kedua anak gadisku itu kembali ke bilik mereka. Tidak lama kemudian, aku rasakan katilku bergegar. Fikirku, mungkin Wan Jamilah atau Wan Jamnah yang datang semula untuk tidur bersama-samaku. Saat mataku mulai meruyup, kurasakan ada satu lengan besar yang melingkari perutku.
Aku yang masih di bawah paras sedar, tidak menghiraukan semua perlakuan itu sehinggalah aku terdengar desahan nafas yang cukup keras di cuping telingaku. Aku tersentak dan masih mengharapkan agar semua ini hanyalah mainan mimpi semata-mata.
Lama kelamaan, desahan itu semakin ketara dan aku tahu bahawa aku tidak lagi bermimpi. Malam itu, aku sempat menyelamatkan diriku daripada menjadi mangsa kerakusan Wan Syamril. Aku berlari ke bilik Wan Jamilah dan Wan Jamnah dan tidur bersama-sama mereka tanpa memberikan sebarang alasan.
Aku rasakan bahawa aku sudah tidak selamat lagi untuk terus berada di rumah ini. Aku bimbang jika aku akan tertewas di dalam rangkulan Wan Syamril kerana sesekali terbit juga nafsu kejahatanku untuk melayani kehendaknya. Oh, Tuhan. Jangan lagi aku diuji dengan nafsu kejahatan ini. Kenapa Wan Syamril masih ingin memesraiku sedangkan aku bukan lagi isterinya?
Seboleh mungkin, aku akan cuba mengelak daripada bertembung dengannya. Masyitah pun memang tidak pernah mahu bertegur sapa denganku. Kalau aku menyediakan makanan di dapur, dia akan terus menguncikan dirinya di dalam bilik. Kadang-kadang, aku melihat dia berbual-bual dengan Hajah Wan Maimun di taman sambil mendukung anaknya.
Bahagiakan Masyitah dengan cara itu? Selepas menamatkan pengajiannya, Masyitah tidak bekerja. Dia juga sudah sama seperti aku. Walaupun punya kelulusan yang baik, dia sanggup lepaskannya demi untuk bersama Wan Syamril. Aku aku di tempatnya, pasti aku berfikir dua kali sebelum berhenti kerja dan menjadi isteri kedua.
Oh, aku terlupa. Dia bukan lagi isteri kedua. Dialah satu-satunya isteri Wan Syamril. Aku inilah isteri yang terbuang. Aku hanya menumpang sementara di sini.
“Roha, aku nak bercakap dengan kau,” sergah Masyitah semasa aku sedang asyik menyiang ikan sambil berangan-angan. Tersentak aku dari lamunan yang melekakan itu.
“Ya?” tanyaku. Tanganku terhenti di bawah pancuran air paip.
“Tutup paip tu,” arah Masyitah sambil berpeluk tubuh dan menyandar pada dinding kabinet. Aku ikut arahan Masyitah selepas membersihkan tanganku. Setelah sekian lama tinggal sebumbung, baru kali ini Masyitah mahu menyapaku. Tentu ada perkara penting yang ingin disampaikannya.
“Ya, ada apa Masyi?” tanyaku kemudiannya. Masyitah menarik nafas panjang sebelum melepaskannya dan merenungku dengan tajam.
“Jangan panggil aku Masyi. Aku tak suka dengar. Kau bukan kawan aku,” satu lagi arahannya dikeluarkan. Aku diamkan sahaja. Terasa hinanya diri ini pada pandangan mata Masyitah.
“Aku nak tanya engkau, kenapa sampai sekarang engkau masih nak tinggal di dalam rumah ini?” Aku terkedu. Memang salah aku kerana masih tinggal di sini sedangkan aku sudah tidak punya apa-apa hak di sini.
“Sudah lama aku perhatikan dan sudah puas aku bersabar. Aku mahu engkau kemaskan barang-barang kau dan berambus secepat mungkin dari rumah ini. Sakit hati aku tengok muka kau masih menempel di sini. Muka tak tahu malu.” Masyitah bercekak pinggang memandangku sambil telunjuknya ditunjalkan ke dahiku.
Aku sedikit berolak ke belakang. Nasib baik ada mangkuk singki yang menahan dari terjatuh.
“Ingat ya. Jangan sampai aku hilang sabar. Aku tak suka suami aku asyik menyebut-nyebut nama orang lain walaupun sedang tidur,” tambah Masyitah sebelum berlalu pergi.
Betul kata Masyitah. Sudah sampai masanya untuk aku pergi. Aku takut Wan Syamril akan bertindak di luar dugaanku. Aduan Wan Jamilah juga tidak boleh kupandang remeh. Aku pernah nampak Wan Syamril memandang pelik ke arah Wan Jamilah. Aku tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku ke atas kami.

MTD Bab 53




BAB 53
Saat ini, aku tidak mahu memikirkan tentang keperluan diriku semata-mata. Aku mesti fikirkan tentang masa depan aku dan kedua anak perempuanku. Anak-anak yang tidak tahu apa-apa tentang pergolakan hidup yang sedang melanda ibu dan ayah mereka.
Wan Syamril pula bukan lagi Wan Syamril yang kukenali empat belas tahun yang lalu. Wan Syamril, suamiku dulu yang terlalu dalam kasihnya padaku. Yang pernah membelaiku dengan sepenuh kasih dan sayang dan memberikan pelindungan padaku.
Wan Syamril, bekas suamiku ini amat berlainan sekali tingkahnya. Sudah lama tidak bersua, memang ketara sekali perbezaannya pada pandangan mataku. Pulangnya selalu sahaja sehingga lewat tengah malam waktu semua orang sudah nyenyak tidur. Mendengar dia mengetuk pintu utama dan menjerit-jerit memanggil Masyitah dan pernah beberapa kali aku terdengar dia menyeru namaku.
Wan Syamril yang pemabuk. Bukan aku tidak sedar akan kepulangannya tetapi aku tidak mahu menempah bahaya. Antara kami berdua sudah tiada ikatan suci yang menghalalkan. Pernah sekali, saat aku tidak tergamak untuk terus mendengar dia terjerit-jerit di luar pintu  sana sedangkan Masyitah tidur mati.
Tidak mahu membiarkan keadaan berlanjutan, aku bergegas turun untuk membukakan pintu. Sebaik sahaja pintu besar itu terkuak, dia terus menerpa dan memelukku, mencumbuiku dengan hanyir mulutnya berbau arak. Aku menolak tubuhnya sekuat tenagaku dan menepis tangannya yang sudah mulai bertindak keterlaluan.
“Roha, Roha…tolonglah abang. Abang nak Roha.” Aku tidak tahu sama ada dia sedar atau tidak dengan pengucapannya itu tetapi aku sendiri, memang cukup-cukup sedar. Kutolak tubuhnya sekuat tenaga sehingga terhumban di atas sofa dan aku berlari ke bilik lalu kukuncikan pintu kamar itu.
Wan Syamril rupa-rupanya tidak mahu berhenti setakat itu sahaja. Dia mengekoriku hingga ke bilik dan merayu memanggil-manggilku. Saat ini, aku hanya mampu berdoa agar Wan Syamril kembali ke biliknya dan tiada sesiapa pun penghuni rumah ini akan terjaga dek kerana terdengar suara jerit-pekiknya.
Wan Syamril yang terus merayu di muka pintu dan aku yang telah basah lencun dengan air mata. Oh, seandainya Wan Syamril masih lagi suamiku, sudah tentu tidak akan kubiarkan dia terus memujuk rayu sedemikian rupa. Aku juga yang masih dambakan sentuhan seorang lelaki. Tuhan, tabahkanlah hati hamba Mu ini.
Sejak kejadian malam itu, aku hanya akan memekakkan telingaku saat dia terjerit-jerit memanggil nama Masyitah dan diselang-seli dengan namaku di ambang pintu besar sana. Biarkanlah dia terus menjerit. Dan aku sendiri tak pasti sama ada Hajah Wan Maimun dan Haji Nik Dasuki pernah terdengar laungan dan jeritan itu.
“Kenapa dengan kamu ni, Syam? Apa salahnya didikan kami selama ini? Mana perginya pegangan agama kamu? Sejak bila kamu jadi begini?”  Suara Haji Nik Dasuki kedengaran jelas melantun hingga ke dalam bilikku. Malam nan sunyi, aku tidak pasti siapa lagi yang mendengar suara Haji Nik Dasuki. Jiran kami yang terdekat hanya Pak Wan Daud sekeluarga.
“Apa lagi yang cukup? Kalau begini perangai kamu, sia-sia sahaja kamu balik ke mari.”
“Ayah yang paksa saya balik ke mari,” suara Wan Syamril juga meninggi.
“Memang ayah yang memaksa kamu balik. Memang ayah mahu kamu balik dan bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anak kamu.”
“Tapi saya dah ceraikan Roha,” Wan Syamril tidak mahu mengalah.
“Kalau dah tahu kamu dah ceraikan dia, kenapa masih terpekik terlolong  panggil nama dia?” Hanya kesepian yang mengisi di ruang tamu sana. Aku bukan ingin mendengar kata-kata itu semua tetapi aku juga tidak mampu untuk menutup telingaku. Mendengar namaku dilibatkan sama dalam pertengkaran itu, aku jadi ingin tahu. Kurenggangkan sedikit pintu bilik agar aku bisa mendengar perbualan itu.
“Mana ayah tahu kamu sudah ceraikan dia. Dia tak pernah bagitahu apa-apa,” suara ayah Wan Syamril agak mengendur.
“Dia curang, dia isteri yang tidak bermaruah,” tegas Wan Syamril. Air mataku mengalir membasahi pipi. Memang aku isteri yang tidak bermaruah, aku kotor dan aku sememangnya tidak layak untuk menjadi isteri Wan Syamril.
“Sudah tiga orang anak kamu bersamanya, itu pun kamu tak sedar juga?”
“Bukan tiga tapi satu. Hanya satu. Hanya Nik Jamali satu-satunya anak saya. Yang lain-lain itu anak Mahadi.” Tuduhan itu hanya dusta. Selepas berkahwin dengannya, aku tidak pernah berhubung dengan Abang Mahadi. Aku telah bertaubat. Aku telah berjanji dengan kalimah Lillahita’ala bahawa aku akan menjadi isterinya yang taat.
Air mataku semakin deras membanjiri pipiku. Aku tidak sanggup untuk terus mendengar perbualan mereka. Dendam Wan Syamril ke atasku tidak pernah padam. Walaupun aku telah berjanji untuk menjadi isterinya yang solehah namun aku tidak sempat untuk mengotakan segala janji-janji itu. Wan Syamril lepaskan aku sebelum sempat kubuktikan semuanya.
Perlahan-lahan, daun pintu itu kurapatkan kembali. Aku menghampiri katil, menatap wajah Wan Jamnah yang tenang di dalam lenanya. Anakku, kau anak yang malang. Ayahmu tidak mahu mengakui bahawa engkau adalah darah dagingnya. Maafkan mak, nak.
Wajah polos itu kucium perlahan. Maafkan mak, sayang. Wan Jamnah bergerak sedikit. Aku segera merapat ke sisinya, memeluknya dan menepuk-nepuk perlahan belakang bahunya. Wan Jamnah kembali terlena.
Apalah nasib kita ni, nak. Dalam mindaku sudah mula berkira-kira, sudah sampai masanya untuk aku kembali ke rumah tinggalan ibu. Tidak perlu dihalau, aku perlu keluar sendiri. Melihat sikap dingin Hajah Wan Maimun pun sudah cukup untuk memenjarakan hatiku dalam derita.