Sabtu, 21 Mei 2016

Maafkan mama

Penulisan2u
Oleh : Noor Azihan Sulaiman
“Kahwinlah, bang,” suamiku hanya terdiam mendengar sarananku. Memang sejak mula lagi, dia hanya mendiamkan diri saat kuajukan cadangan itu. Diam dan diam sahaja. Bantah tidak, setuju pun tidak. Geleng tidak , angguk pun tidak.
Sudah acapkali kusuarakan. Namun suamiku masih membisu. Si kecil kami, Danisha tiga tahun, berlari-lari memeluk kakinya. Suamiku membongkok, mengangkat Danisha dan memeluknya erat.
“Kalau abang sayangkan Nina dan anak-anak kita, kahwinlah bang. Nina redha,” sekali lagi aku bersuara. Kini dengan deraian air mata yang kian lebat menyeberangi pipiku. Suamiku melepaskan kucupan bertalu-talu ke pipi anakanda kami, silih berganti, kiri dan kanan, seolah-olah tidak mendengar ungkapanku.
“Abang…”
“Sudahlah, Nina. Abang penat. Abang nak mandi dan berehat sekejap. Kalau Nina perlukan apa-apa, panggilkan abang, ya.” Itulah penyudah jawapan suamiku. Aku hanya menatap derap langkahnya meninggalkanku, kosong.
Walau macam mana penatpun dia, tidak pernah sekalipun dia meninggikan suaranya kepadaku. Tetap melayani karenahku seperti biasa meskipun terkadang tampak jua keruh di wajahnya. Mungkin kerana dia juga rasa bersalah atau mungkin juga kerana simpati dengan keadaanku.
Namun, selama mana dia mampu bertahan? Melayani isteri yang tidak lagi mampu memenuhi tuntutannya sebagai suami? Aku tahu. Aku kini serba kekurangan. Aku bukan lagi seorang isteri yang sempurna. Allah telah menarik kembali kekuatan dan kesempurnaan yang pernah dianugerahiNya kepadaku suatu ketika dahulu.
Menyesal? Apa lagi yang hendak dikesalkan. Semuanya sudah berlaku. Nasi sudah menjadi bubur. Sekurang-kurangnya, aku patut bersyukur. Aku masih diberi kesempatan untuk bertaubat dan memohon ampun daripada suamiku. Masih punya waktu untuk menatap wajah-wajah kesayanganku, anak-anak dan ibu bapaku.
Tapi, Syahed? Syahed pergi sebelum sempat bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah, isteri dan anak-anaknya. Ya Allah, alangkah besarnya dosaku. Aku mohon keampunan daripadaMu, ya Tuhan.
Aku mengengsot perlahan-lahan di birai katilku, cuba mencapai kerusi roda di sudut dinding. Tadi, kerusiku di tepi katil ini tapi entah siapa pula yang menolaknya ke situ hingga jauh ke sudut dinding. Mungkin Danisha yang berlari memeluk ayahnya tadi.
Terdengar derapan di luar kamar. Tersembul wajah suamiku di muka pintu.
“Nina nak ke mana? Kenapa tak panggil abang?” suamiku menerpa ke arahku, memelukku yang hampir terjerumus ke lantai.
“Nina nak ke bilik air, bang. Kalau kerusi roda Nina di sini, Nina boleh pergi sendiri,” terangku agar suamiku tidak memarahiku.
“Abang ada di rumah, Nina. Apa gunanya abang ini? Abang boleh bantu Nina ke bilik air.”
“Maafkan Nina, bang. Bukan abang yang tidak berguna tapi Nina ni yang selalu menyusahkan abang. Nina yang tak berguna, bang,” aku semakin sayu.
“Nina jangan asyik nak menyalahkan diri sendiri pula. Bersyukurlah dengan apa yang telah Allah berikan selama ini. Nina selamat. Itu yang paling utama. Abang perlukan Nina. Anak-anak perlukan Nina.”
“Nina tahu, abang tak perlukan Nina. Siapalah Nina ini. Nina hanya menjadi beban buat abang. Kalau abang nak kahwin, kan Nina dah izinkan. Tinggalkan Nina. Nina boleh jaga diri Nina sendiri.”
“Jaga diri sendiri? Tadi tu apa yang Nina buat? Kalau abang tiada tadi, dah tentu tersembam Nina di lantai, kan?”
“Iyalah. Nina lemah. Nina tak berdaya. Nina memang tak guna. Tinggalkan Nina. Nina nak bersendirian.”
“Haa…dah mulalah tu. Nina kena faham. Abang dan anak-anak sayangkan Nina. Kami nak Nina bahagia. Kami nak Nina pulih seperti sediakala.”
” Abang tu yang sengaja tak nak faham. Nina cakap Nina nak bersendirian. Nina bosan, tahu tak? Asyik-asyik tengok abang. Asyik-asyik tengok anak-anak. Bising lagi,” aku sengaja nak naikkan darah suamiku. Agar dia tinggalkan aku dan cari perempuan lain tapi selepas kata-kata itu kuluahkan, aku menghamburkan air mataku.
Sebenarnya, aku amat takut kehilangannya. Kalau dia tiada, siapa yang nak bawa aku ke bilik air? Siapa yang nak mandikan aku? Aku masih belum biasa menggunakan kerusi roda ini. Kudratku dengan kekuatan satu kaki ini masih terlalu lemah.
Biasanya, selepas mendengar omelanku, suamiku akan mendiamkan diri. Diam seperti tunggul. Mungkin dia tidak mahu memanjangkan cerita itu. Atau mungkin dia sudah bosan mendengarkan cerita sama yang berulang-ulang itu.
Selepas ke bilik air, suamiku menghantar aku ke bilik. Membaringkan aku di katil dan menarik selimut menutupi kakiku. Kakiku yang cuma tinggal sebelah sahaja lagi.
“Nina nak apa-apa lagi?”
Aku hanya menggeleng, lesu.
Suamiku melangkah ke luar tanpa memberitahu aku ke manakah tujuannya. Aku gelisah lagi. kalau sebentar tadi, aku yang beria-ia menyuruh dia mencari pengganti diriku tetapi kini, sebelum peristiwa buruk itu berlaku, aku telah mulai terasa kehilangannya.
Air mataku merembes lagi. Baru aku perasan. Sewaktu menyambut aku yang hampir jatuh dari katil tadi, aku sempat tercium bau haruman parfume di lehernya. Haruman yang pernah menggetarkan jiwa gadisku suatu ketika dahulu.
Suamiku berwangi-wangian. Hendak ke manakah dia? Dengan siapakah temu janjinya? Jiwaku meruntun. Tapi aku tahu, suamiku tidak akan berpergian lama. Dia mesti pulang awal. Dia perlu membantu aku mengambil wuduk untuk solat Maghrib. Tapi siapa tahu? Mungkin dia terlupa. Atau mungkin dia pun sudah bosan untuk melayani karenahku yang pelbagai.
Aku mencapai kitab terjemahan al-Quran di sisi. Di kesempatan ini, aku masih diberi peluang untuk membaca dan menambah ilmu pengetahuan serta amal ibadatku. Ya Allah, masih terimakah Engkau akan segala amal ibadatku setelah kulakukan dosa besar sebelum ini?
Aku meraup kedua telapak tanganku ke muka. Terasa dingin sekali. Rumahku juga sepi. Sesepi hatiku yang keseorangan. Kenapa aku rasa sepi sedangkan kesepian ini yang kudambakan dulu? Aku benci dengan riuh rendah suara anak-anakku, berlari, bermain dan bergurau senda.
Aku inginkan ketenangan. Tenang daripada segala hiruk-pikuk itu. Kini apa yang aku temui? Hanya kesepian dan keseorangan. Di mana anak-anakku? Aku merindui suara mereka. Aku merindui jerit tangis mereka.
Ya, Allah! Jangan dirampas anak-anakku dari sisiku. Rampas? Adakah Allah sekejam itu? Sedangkan semua yang kumiliki selama ini adalah pemberian Allah. Pinjaman daripada Yang Maha Agung. Ya, Allah! Aku berprasangka buruk terhadapMu. Ampunkan aku ya, Allah.
Terdengar deruan enjin kereta memasuki perkarangan rumah. Kutahu, itu bunyi enjin kereta suamiku. Aku tersenyum. Telah kujangkakan. Suamiku pergi tak kan lama.
Sebentar kemudian, terdengar suara-suara kecil dan besar saling bertingkah. Kukenali, itu suara suami dan anak-anakku. Anak-anakku telah pulang? Aku tidak sabar menunggu mereka datang menerpa ke arahku. Aku telah bersedia mendepangkan tanganku untuk memeluk mereka.
Aku sudah tidak sabar-sabar lagi. Lima orang putera puteriku pasti sudah merinduiku sepertimana aku merindui mereka. Cepatlah, anak-anakku. Mama sudah tidak sabar ni. Kalaulah aku sempurna. Kalaulah aku masih memiliki kedua-dua belah kakiku ini, pasti aku sudah lama menerpa ke arah mereka. Menyambut mereka di muka pintu lagi. Tapi, apakan daya.
Kuhitung detik demi detik. Tiada siapa yang menjengah ke bilik tidurku. Tanganku yang sedia terdepang semakin lemah, jatuh perlahan-lahan di sisiku. Saat kudengar lagi sayup-sayup suara mereka, kuangkat semula tanganku sambil menantikan kehadiran mereka. Detik itu berlalu lagi dengan penuh kehampaan.
Aku betul-betul kecewa. Jiwaku dipanah kepiluan. Tidak sudikah mereka menatap wajahku lagi? Mama yang telah mengandung dan melahirkan kalian? Membesarkan kalian dengan penuh kasih sayang dan belai manja? Hanya sedetik mama terleka dalam mengejar kemilau gemilang dunia. Berdendamkah kalian?
Sepanjang aku menghuni hospital dan kini dibawa pulang kerumah, anak-anakku dititipkan di rumah ibu mertuaku. Hanya Danisha yang sesekali dibawa pulang suamiku dan memelukku itupun dengan keizinan suamiku. Katanya, dia tidak mahu Danisha menggangguku. Aku sebagai mamanya, kenapa perlukan syarat yang begitu dan begini?
Akhirnya, aku merebahkan tubuhku. Berbaring dan kemudiannya mengiring ke tepi, membelakangi pintu. Merajuk? Selama aku sakit, tidak pernah sekalipun mereka menziarahiku di hospital. Sehingga aku pulang, mereka masih tidak mahu bertemuku. Hina sangatkah aku ini?
“Syhh…diam, jangan bising. Mama tidur.” Itu suara Danish, anak sulungku. Suara yang kurindui tapi mereka tidak singgah di bilikku. Pasti mereka sedang terjingkit-jingkit menuju ke bilik sebelah sebab sebentar kemudian, kudengar derik pintu bilik sebelah sana dibuka. Hatiku tersayat pilu.
“Nina, Nina. Bangun. Jangan tidur. Dah Maghrib ni, tak baik,” kudengar suara suamiku, berbisik perlahan di cuping telingaku. Pantas kuseka air mata yang membanjiri mukaku.
***********************************************************************************
“Abang pergi! Jangan balik-balik lagi!” aku menghamburkan amarahku sambil membalingkan botol sos cili yang masih berbaki ke arah suamiku. Mujur dia sempat mengelak. Kalau tidak….
Botol sos yang pecah berderai, memuntahkan sos merah pekat memenuhi ruang tamu. Punah segala gaya keinggerisan yang cuba kuterapkan di sudut itu.
Pagi keluar. Petang keluar. Malampun keluar lagi. Memanglah aku naik hantu. Entah apalah projek yang diusahanya sekarang? Setahu aku, dia sudah lama tidak mendapat projek besar. Sudah ramai kontraktor bertauliah. Sudah banyak saingannya. Alih-alih, suamiku hanya duduk goyang kaki.
Apa dia nak hairan? Tidak bekerjapun masih boleh berpeleseran. Cukup bulan, aku terima gaji. Bermakna, dia pun akan merasa habuannya sama. Gajiku yang digunakan untuk semua urusan. Daripada bab makan minum dan pakaian anak-anak sehinggalah ke bil-bil dan bayaran hutang pinjaman rumah dan kereta.
Selama mana aku mahu bersabar? Kalau dia dapat membantu aku di rumahpun, adalah juga faedahnya. Ini tidak. Aku keluar bekerja, dia pun keluar. Anak-anak dihantar ke Taska. Pulang petang, dia masih belum pulang. Pulang sekejap itu pun kerana nak mandi dan makan.
Buat rumah ni macam hotel. Duduk di hotel pun kena bayar sewanya juga. Ini tidak. Dari A sampailah ke Z, akulah yang menanggung semuanya. Manalah hatiku ini tak sakit. Jangankan kata nak berjalan makan angin, nak menziarahi emak dan ayah di kampungpun, dia tiada kesempatan.
“Nina, kamu jangan nak berlebih-lebih,” Tanpa disangka-sangka, dia kembali ke arahku. Belum pernah suamiku memarahiku sebelum ini. Apapun perbuatanku, dia hanya memekakkan telinga. Mungkin menyedari hakikat dirinya yang banyak bergantung hidup padaku. Tapi untuk kali ini, tidak lagi.
Anak-anak kami yang berlima itu saling berpelukan di tepi tangga. Aku sudah tidak pedulikan perasaan mereka. Apa yang aku tahu, hatiku sakit sekarang. Kalau dulu, aku punya prinsip untuk tidak bertengkar dengan suamiku di hadapan anak-anak. Kini, prinsip itu telah kubenamkan dalam-dalam.
“Abang jangan berani nak pukul saya,” kuugut suamiku sebelum sempat tangannya mencecah ke mukaku. Langkah suamiku terhenti.
“Awak ingat saya takut ke?” ugutnya pula.
Aku berawas juga. Kebelakangan ini, sukar hendak kutelah perangai suamiku. Terkadang barannya terserlah juga walau pun belum pernah sekalipun dia menyakitiku.
**********************************************************************************
“Bang, saya kena menghadiri kursus selama lima hari di Pulau Langkawi,” kusuarakan kepada suamiku saat dia pulang lewat malam itu.Tiada lagi kata ganti diri ‘Nina’ yang kugunakan untuk membahasakan diri dengannya. Terhenti gerak tangan suamiku yang sedang menggapai tuala di ampaian.
“Berapa hari?”Tanyanya pohon kepastian.
“Lima.”
Suasana kembali sepi. Sebenarnya, berat hati ini untuk menghadiri kursus berkenaan lebih-lebih lagi untuk meninggalkankan si kecilku, Danisha yang baru berusia setahun, masih menyusu di badan. Namun demi tuntutan kerja, terpaksa kupenuhi jua.
“Sepanjang saya tiada, jangan diabaikan anak-anak. Danisha telah saya ajarkan menyusu botol sepenuhnya. Hantar dia dan Damia ke Taska dan ambil sebelum pukul lima setengah petang. Danish pula ada kelas tambahan pukul tiga hingga lima petang. Selepas ambil Danish, terus pergi ambil Danisha dan Damia. Danish boleh pegang Danisha.” Panjang lebar pula arahanku. Bimbang jika suamiku terlupa. Suamiku hanya memasang telinga. Pasti tugasnya menjadi lebih berat selepas ini.
“Danial dan Dalila, macam biasa. Pagi ke sekolah, pukul satu balik. Pukul tiga petang hantar ke Sekolah Agama Rakyat. Pukul enam baru pulang. Jangan lewat ambil, takut mereka merayau-rayau di bandar.” Tambahan kepada pesananku yang berjela-jela.
“Emm…Danish tak balik tengah hari?” Oh, ya. Aku hampir terlupa.
“Danish tak balik. Dia solat di surau sekolahnya. Boleh buat kerja sekolah sementara tunggu kelas tambahan petang. Jangan lupa beri dia duit belanja lebih. Ini saya tinggalkan duit belanja untuk lima hari ini.” Kuserahkan not RM50 sebanyak sepuluh keping kepada suamiku.
“Duit tu, banyak. Berikan kepada Danish buat bayar yuran tuisyennya bulan ini, lima puluh ringgit,” kujelaskan lagi agar suamiku lebih memahaminya.
Sebelum melangkah ke tangga bas, masih ada lagi rentetan pesanan yang kutinggalkan buat suamiku.
“Jangan lupa, bang. Jangan biarkan Dalila memasak. Nanti dia lupa nak tutup dapur gas. Pisau dan gunting sudah saya letakkan dari kabinet, rak paling atas. Jangan disepah-sepahkan benda-benda tajam di bawah. Jangan bagi Damia main guli abangnya, takut tertelan.”
“Ya, sudah…sudah. Abang faham. Abang faham semuanya. Nina tu, jaga diri baik-baik. Selamat berkursus,” katanya cuba menoktahkan pesanan-pesananku. Beberapa orang teman sekursus sudah mulai menjeling-jeling sambil tersenyum ke arahku.
“Lagi satu, bang,” aku menjenguk ke luar tingkap. ” Jangan dibiarkan budak-budak tu mandi sendirian. Lantai bilik air tu licin. Jangan benarkan ….,”
“Ya, ya…abang faham…selamat jalan…,” Bas yang kutumpangi bergerak perlahan-lahan. Aku menarik nafas panjang dan duduk di bangkuku.
Hanya jasadku yang bergerak bersama kelajuan bas ini tetapi jiwaku, nun jauh kutinggalkan di rumah, bersama anak-anakku.
**************************************************************************
“Cikgu Nina. Menung aje ni. Kenapa? Teringatkan anak-anakkah atau teringatkan bapa anak?”
Aku tersenyum mendengar gurauan Tuan Syahed, fasilitatorku sepanjang kursus ini. Selama tiga hari di sini, aku semakin dapat mengawal perasaan kerinduan dan kebimbanganku terhadap anak-anak. Namun, apa yang pasti, aku tetap menghantar mesej kepada suamiku untuk mengingatkan dia tentang perjalanan tugasannya sepanjang hari.
Seawal jam enam pagi, aku telah menelefon. Mengejutkan dia agar bangun tidur. Aku tidak menghantar mesej kerana aku tidak akan berpuas hati selagi tidak mendengar suaranya menyambut panggilanku, sekaligus menandakan bahawa dia telah terjaga.
Pukul dua belas empat pukul lima, “Bang, ambil Danial dan Dalila”. Pukul dua empat puluh lima, “Bang, hantar Danial dan Dalila ke SAR”. Pukul empat empat puluh lima, “Bang, ambil Danish”. Pukul lima tiga puluh, “Bang, ambil Damia dan Danisha di Taska”. Pukul lima empat puluh lima, “Bang, ambil Danial dan Dalila di SAR”.
Dan setiap mesej daripadaku dibalas oleh suamiku dengan, “ok”. Selagi aku tidak menerima balasan “ok” daripadanya, selagi itulah aku akan terus menghantar semula mesej yang sama.
Lima hari di Pulau Langkawi, jiwaku meronta-ronta untuk kembali. Tidak sabar untuk menatap wajah suami dan anak-anakku. Lima hari meninggalkan mereka, menerbitkan rasa rindu yang teramat sangat.
“Jangan lupa, ya. Tuan-tuan dan puan-puan. Selepas ini, kita akan ada lagi kursus lanjutan. Tempat dan masanya akan diberitahu kemudian.” Jelas kedengaran suara Tuan Syahed memberikan penerangan. Aku sendiri sebenarnya, sudah mula menyukai kursus ini. Dapat menenangkan fikiranku yang selama ini bergelumang dengan anak-anak murid dan buku-buku sekolah.
Sesekali dapat berkursus, dapatlah juga aku merehatkan minda. Selepas ini, dapatlah pula aku mengajar dengan lebih bersemangat kerana telah bertambah ilmu di dada.
“Cikgu Nina. Jangan lupa, ya. Sediakan kertas kerja dan kita akan buat program lanjutan untuk memberi penerangan kepada guru-guru lain di daerah kita nanti tentang dapatan kita dalam kursus ini.” Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala. Tuan Syahed meletakkan kepercayaannya kepadaku walhal ada lagi beberapa orang guru lain dari daerah kami yang menghadiri kursus ini. Aku rasa dihargai.
Tiba di pintu rumah, aku menarik nafas panjang. Cuba menenangkan fikiran. Tidak tahu apakah yang bakal kutemui di dalam sana. Apa yang pasti, aku sudah dapat membayangkan, ruang tamu gaya keinggerisanku pasti sudah bertukar menjadi medan pertempuran tentera British dengan Jepun di zaman penjajahan dulu. Singki di dapur pasti dipenuhi pinggan mangkuk dan bagaikan kapal Titanic karam, pecah dihempas ke bongkah ais.
Aku harus bersedia dengan semua situasi ini. Aku masih tercegat di ambang pintu. Biar apapun keadaannya, aku harus menghadapinya. Kukuakkan daun pintu perlahan-lahan, tak berkunci. Aku menjengah. Hmm…di luar jangkaan. Ruang tamuku kemas dan teratur. Tiada tanda-tanda diselerakkan. Malah lebih kemas daripada sewaktu aku pergi dahulu.
Aku terjingkit-jingkit ke dapur, ingin melihat keadaan dapurku dan singkiku. Sangkaanku sekali lagi meleset. Singkiku bersih. Dapurku juga teratur dan kemas. Semua pinggan mangkuk tersusun rapi di raknya. Ibu mertuaku pula sedang menyuap Danisha dan Damia makan.
“Assalammualaikum, mak. Bila sampai?” kusantuni ibu mertuaku selayaknya.
“Waalaikummussalam. Nina, kau dah balik? Marilah makan,” Ibu mertuaku masih tidak menjawab pertanyaanku.
Danisha dan Damia menerpa ke arahku. Kupeluk mereka erat-erat. Melepaskan kerinduanku selama lima hari meninggalkan mereka.
“Mak sampai bila?” Tanyaku lagi, mohon kepastian.
“Dah lima hari mak di sini. Hisyam yang ambil mak. Takkan Syam tak bagitahu Nina?” Hmmm… pandai suamiku, ya? Diam-diam dia ambil ibunya untuk menjaga rumah kami sepanjang ketiadaanku.
“Abang ke mana, mak?”
“Ke sekolah ambil anak-anak katanya,”
“Kan masih awal lagi ni?” Aku menatap jam di tangan, baru pukul empat petang.
“Mak suruh dia singgah beli barang di kedai,”
“Danisha dan Damia duduk dengan Mak Tok ke? Tak pergi Taska ke?” Tanyaku kepada Damia yang berusia empat tahun. Dia menggeleng-gelengkan kepala.
“Mama, nanti kami nak duduk dengan Mak Tok lagi, ya?” bagitahu Damia.
“Seronok ke duduk dengan Mak Tok?”
“Seronok. Mak Tok ajar ngaji. Mak Tok ajar ABC…,” petah Damia bercerita. Ibu mertuaku tersenyum melihat gelagat anak-anakku.
***********************************************************************
“Bang, minggu depan Nina kena pergi kursus lagi,” beritahuku kepada suamiku.
“Lama?”
“Lima hari.”
“Di mana?”
“Pulau Pangkor.”
“Asyik ke pulau sahaja. Kenapa?”
“Manalah Nina tahu. Nina ni menerima arahan sahaja. Tapi abang tak risau, kan. Nanti emak abang boleh datang temankan anak-anak,” suamiku tersenyum mendengar usikanku.
Pemergian kali ini tidak lagi kutinggalkan dengan pesanan yang berbakul-bakul. Aku tahu, suamiku pasti akan membawa ibunya ke rumah kami. Ibu mertuaku pula tidak banyak cerewetnya. Mungkin kerana dia pun keseorangan selepas kematian ayah mertuaku lapan tahun yang lalu.
“Cikgu Nina, saya tengok awak ceria sahaja dalam kursus ini. Tidak seperti kursus yang lalu. Awak asyik sugul dan muram sahaja,” Tuan Syahed memberikan komen. Aku tersenyum. Memang kali ini, jiwaku lebih lapang. Kalaulah dulu suamiku memberitahu tentang kesediaan ibunya menemani anak-anak dan menguruskan rumah kami, pasti aku tidak akan sesugul itu.
“Biasalah Tuan Syahed. Mula-mula dulu, memang peninglah sikit. Sekarang ni dah semakin ok,” kataku memberi alasan.
“Jangan panggil saya tuan. Panggil nama saya, Syahed,”pinta Tuan Syahed.
“Tuan pun sama. Jangan panggil saya Cikgu Nina. Panggil Nina.”
Kuakui, aku semakin rapat dengan Syahed. Dia juga rajin bercerita tentang keluarganya. Syahed seorang suami yang bertanggungjawab dan seorang ayah yang penyayang. Ke manapun perginya, dia tidak pernah lupa untuk membelikan cenderahati kenangan buat isteri dan anak-anaknya.
Cuba kubandingkan keperibadiannya dengan suamiku. Suamiku dulupun begitu. Seorang suami yang bertanggungjawab dan penyayang. Selalu membelikan aku hadiah yang mahal-mahal. Sewaktu menguruskan projeknya di Surabaya, dia membawa pulang kepadaku ole-ole dari Indonesia.
Begitu juga sewaktu projeknya sedang giat dilaksanakan di China. Bukan sedikit diangkutnya kain sutera China. Sehinggakan aku boleh menghadiahkannya kepada ibu dan sanak saudaraku di kampong. Suamiku pemurah orangnya.
Tapi kini, projeknya semua tidak menjadi. Mungkin sebab itu dia sedikit tertekan dan terkadang dapat kulihat tekanan itu berdasarkan tingkah lakunya. Walaupun belum pernah naik tangannya ke badanku tetapi sesekali suaranya meninggi, menengkingku.
“Kenapa Nina? Dah termenung pula,” sedikit demi sedikit, masalahku, kuluahkan kepada Syahed. Seorang yang sudi mendengar luahan hatiku dan bersimpati dengan nasibku.
Hubungan kami makin akrab dan aku tidak sedar, sejak bilakah aku mulai bergantung harap kepadanya. Apa yang pasti, kami semakin mesra. Aku terlupa tentang hubungan kami yang terlarang kerana aku bahagia bersamanya. Kini, aku semakin merindui kehadirannya. Gelak tawanya. Usik-usikannya. Menjadikan aku terasa kembali muda.
Aku terlupa dengan usiaku yang bakal menginjak ke angka empat puluh pada tahun ini. Aku lupa bahawa aku masih punya lima pasang mata yang menagih simpati dan kasih sayang daripadaku. Aku lupa bahawa aku masih lagi isteri orang dan suamiku adalah seorang lelaki yang pernah merajai hatiku selama ini.
Cinta menjadikan aku alpa. Cinta? Mustahil aku jatuh cinta sekali lagi. Tetapi sesungguhnya, jiwaku sedang dilamun asmara. Aku ingin bersendirian. Bersendirian melayani angan-anganku bersama Syahed. Suamiku mungkin tidak menyedarinya kerana dia masih tetap dengan rutin hariannya. Pagi, petang, siang, malam sama sahaja.
Aku sudah jelak dengan perangainya. Namun, aku juga bertuah. Dengan aktivitinya itu, bermakna aku bisa terbang bebas tanpa sebarang gangguan dan tanpa sebarang sekatan. Damia dan Danisha langsung kutitipkan kepada ibu mertuaku di rumahnya dengan alasan, aku kini semakin sibuk. Sibuk berkursus dan sibuk menambahkan pendapatan kerana suamiku tidak bekerja.
Dengan ketiadaan ibu mertua di rumahku, aku semakin bebas melayang. Tiada lagi mata-mata yang mengintai setiap tingkah-lakuku. Danish, Danial dan Dalila, telah kudapatkan seorang pemandu van sewa khas untuk menghantar dan mengambil mereka di sekolah. Kenapa selama ini tidak pernah kufikirkan tentang kesenangan ini?
Akhirnya, hubunganku dengan anak-anak menjadi semakin renggang. Aku tidak tahu sejak bilakah jarak yang memisahkan antara kami terbina. Dalila, anak manja yang suka mengadu dan banyak kaletahnya itupun sudah semakin jauh dariku. Aku sendiripun sudah tidak punya banyak kesempatan untuk melayaninya.
Bagaimana dia mahu bermanja denganku? Baru sahaja membuka mulut untuk bercerita, aku segera memintasnya, “Dalila, mama sibuk. Tolong jangan ganggu mama”. Walhal pada masa itu, aku asyik berchatting dengan Syahed di facebook. Banyak sangat tanyanya, aku pasti akan menengking.
Danial pula, sudah beberapa kali menerima habuan tanganku. Berbirat belakangnya dengan lima bekas jari tanganku. Nakalnya menjadi-jadi. Sewaktu aku sedang asyik melayani teman facebookku, dia datang membawa segelas air. Entah macam mana, kakinya terlanggar kaki meja dan air yang dibawanya tertumpah ke atas ribaku. Nasib baik atas riba, kalau atas laptop? Memang sengaja nak cari penyakit budak ni.
Puas hatiku dapat membelasah Danial. Semoga lepas ini dia lebih berhati-hati. Tidak sedikit pun tercuit hatiku tatkala mendengar lolongan Danial. Malah, aku jadi semakin membara. Bingit telingaku mendengarnya.
“Diam Danial, diam!” Jerkahku. Danial yang ketakutan, menangis teresak-esak sambil berkata, “Danial bawakan air itu untuk mama. Tentu mama dahaga, kan.” Aku tidak peduli. Sebelum sempat aku menambah bilangan biratan jari di tubuh kecil Danial, Danish telah datang menyelamatkan adiknya.
“Pergi kamu semua dari sini. Jangan nak ganggu aku,” jeritku menyinga. Anak-anakku menikus. Selepas mereka pergi, aku menutup pintu bilik dan menguncinya dari dalam. Barulah aman sikit duniaku. Barulah selesa aku hendak menatap gambar-gambar kursus di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Cameron Highland dan terkini, Batu Feringgi dalam facebookku yang baru diuploadkan oleh Syahed.
**********************************************************************************
“Kita nak ke mana ni, Sayang?”
“Kita ke syurga. Ya, Darling.”
“Memanglah ke syurga. Tapi, syurganya di mana?” Syahed hanya tersenyum dan menjeling nakal ke arahku.
“Darling nak ke mana?” tanyanya pula.
“Nak ikut Sayang ke mana saja,” sahutku, melunakkan suara.
“Hmmm…kalau begitu, diam saja. Kita akan ke syurga bersama-sama.”
Setelah lama berkasih dan memendam perasaan, kini kami dapat terbang bebas bersama-sama tanpa gangguan sesiapa. Aku kini bersama-sama Syahed, mencari keindahan dunia. Dalam mindaku, aku inginkan keseronokan. Aku ingin lupakan segala masalahku. Kuingin tinggalkan segala penderitaanku jauh-jauh. Aku tidak ingin mengingati semua itu.
Kepada suamiku, kukhabarkan yang aku bakal berkursus lagi. Suamiku tidak tahu, kursusku kali ini hanya dihadiri oleh dua orang peserta iaitu aku dan Syahed. Aku lupa tentang malaikat yang sentiasa mengiringiku di bahu kiri dan kananku, yang ditugaskan untuk menulis segala amal baik dan jahatku.
Bersama Syahed, aku dilayan bagaikan bidadari. Aku mendapat semula masa remajaku. Wajahku kembali merona merah saat tersipu-sipu malu diusik Syahed. Sudah terlalu lama aku tidak merasai suasana itu.
“Darling, kenapa diam?” sapa Syahed saat aku termenung. Jam di dash board menunjukkan ke angka sepuluh malam. Malam masih muda. Ke manakah tujuan Syahed? Kami sedang melewati lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. Mungkin Syahed mahu menuju ke Kuantan. Itu pernah disuarakannya dulu. Dia teringin hendak membawaku berbulan madu di Cherating.
Berbulan madu? Itu semua tidak mungkin. Aku masih isteri Hisyam manakala Syahed pula masih suami orang. Tiba-tiba, aku bagaikan baru tersedar. Hisyam? Bagaimana kalau Hisyam juga curang denganku sebagaimana aku curang dengannya kini?
Mana Hisyam? Mana Danish? Mana Danial? Mana Dalila? Mana Damia? Mana Danisha? Ya, Allah. Apa yang telah aku lakukan? Selama ini aku hanya meluahkan rasa hatiku terhadap Syahed melalui bicara-bicara kami di facebook sahaja. Namun kini, kami telah melangkaui batasan.
“Syahed, kita pulang,” suaraku tiba-tiba.
“Pulang?” Syahed terkejut. Nasib baik dia tidak menekan brek secara mengejut.
“Ya. Kita pulang. Cukuplah dosa yang telah kita buat selama ini. Dosa di facebook, dosa bicara dan dosa pandangan ghairah kita. Cukuplah Syahed. Nina tak sanggup lagi.” Tubuhku menggeletar.
“Kenapa ni, Darling? Apa yang tak kena?” Syahed cuba mengawal tekanan suaranya.
“Syahed tahu tak? Apa yang kita lakukan ini adalah maksiat. Berdosa besar kita, Syahed. Kita pulang, Syahed. Hantarkan Nina pulang. ” Luahku semakin merayu.
“Bertenanglah, Darling. Kita pergi tak lama. Esok lusa kita baliklah,” Syahed tetap bersahaja. Mungkin dia sudah membayangkan kemesraan yang bakal berlaku di bilik hotel di Pantai Cherating sebentar lagi.
“Syahed, kita balik,” aku tidak merayu lagi. Kini suaraku kedengaran tegas.
“Hey, come onlah Nina. Susah payah aku minta izin isteriku untuk keluar. Dah berhabis duit aku tempah chalet di Cherating. Senang-senang engkau nak batalkan, ya?” Suara menggoda Syahed selama ini bertukar menjadi garau. Aku terkedu. Jangan-jangan Syahed telah menjadi syaitan.
Dalam diam-diam, aku berdoa. Ya Allah, selamatkanlah aku daripada perbuatan terkutuk dan keji ini. Hindarilah aku dari syaitan yang direjam. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja lancar mulutku membacakan ayat kursi yang telah tersedia kuhafal.
Syahed menekan pedal minyak keretanya. Kereta meluncur laju. Mungkin cuba menggambarkan kemarahan hatinya. Aku memegang kuat beg tanganku. Ya Allah, apa yang cuba Syahed zahirkan?
Kereta terus memecut laju. Memintas beberapa buah lori panjang yang merangkak perlahan di lebuh raya, sekaligus. Aku semakin cuak. Lampu di kiri kanan jalan semakin jarang-jarang. Sekilas pandang, satu kilau cahaya terang menuju tepat ke arah kami. Aku tidak sempat berbuat apa-apa. Bunyi satu dentuman kuat memecah keheningan malam.
***************************************************************************
“Mama, mama,” kubukakan kelopak mataku perlahan-lahan. Dalila tunduk mencium dahiku. Kuusap lembut rambut anak gadisku, mesra.
“Mana Danish? Mana Danial? Mana Damia? Mana Danisha?”
“Kami di sini, mama.” Anak-anak menyerbu ke arahku. Kupeluk mereka erat-erat. Lenyap segala prasangka burukku yang menuduh mereka tidak mengasihiku lagi.
“Maafkan mama, anak-anakku,” kuciumi pipi mereka seorang demi seorang. Buah hatiku, kekasihku, nyawaku, anak-anakku.
“Hati-hati, kaki mama masih sakit,” peringatan daripada suamiku buat anak-anak kami. Atau mungkin peringatan buatku yang seakan terlupa akan kehadirannya.
Anak-anak menyisih ke tepi. Memberi ruang kepada papanya mengambil giliran. Aku membuka luas depaan tanganku. Suamiku menghampiriku dan memelukku, erat. Aku menangis semahu-mahunya.
“Ampunkan Nina, bang,” aku tidak peduli akan mata anak-anakku yang memandang. Suamiku membuka pelukannya luas-luas. Memberi peluang kepada anak-anak untuk sama-sama berpelukan. Lama kami bertangis-tangisan sebelum melepaskan pelukan. Aku tidak peduli akan kesakitan dan perit di kakiku kerana rasa kebahagiaan dan kecintaan ini melebihi segalanya.
“Kenapa tak lawat mama di hospital?”
“Papa bawa kami melawat mama tiap-tiap hari tapi masa tu mama belum sedar lagi,” jelas Danish meredakan kegusaranku.
“Bila mama dipindahkan ke wad biasa, kami pergi melawat lagi tetapi selalunya mama sedang tidur. Papa cakap, jangan kacau mama. Mama perlukan rehat,” adu pula Dalila.
“Papa cakap, sebaik sahaja mama pulang, papa nak buat kenduri,” jolok Danial.
“Bukan kendurilah, Danial. Majlis doa selamat dan kesyukuran sebab mama dah kembali,” Danish membetulkan adiknya.
“Samalah tu, kenduri mama dah balik, kan?” aku dan suamiku tertawa melihat telatah anak-anak. Kebahagiaan kembali menyelinap dalam keluarga kami. Semoga Allah mengizinkan kami untuk terus bersama. Jangan diuji lagi kami dengan ujian yang maha berat itu. Tidak tertanggung rasanya bahu ini memikulnya.
Selepas anak-anakku berlalu pergi, terngiang-ngiang kata-kata mereka di telingaku… “Majlis doa selamat dan kesyukuran sebab mama dah kembali”…..”Kenduri mama dah balik”…Apa maknanya itu? Mama dah kembali? Mama dah balik? Bukan mama dah kembali dan balik dari hospital agaknya tetapi mama dah kembali dan balik ke pangkuan mereka.
Ya Allah. Kami bernaung di bawah kebesaranMu. Amin………….
Tamat…………
11.30 pm……21 Februari 2011

Tiada ulasan: