Selasa, 4 November 2014

MTD Bab 14




BAB 14
“Kita ke rumah Mak Ngah Cik Wok dulu,” ujarku memberitahu Wan Jamilah sekembaliku ke kereta. Wan Jamilah hanya mengangguk-anggukkan kepala. Dia menyambut naskhah Sinar Harian yang kuhulurkan dan membelek-beleknya.
Kami tiba di perkarangan rumah Mak Ngah Cik Wok. Rumah kampong di tepi kebun getah, berdinding papan dan beratap zink. Kawasan di sekitar rumah itu kelihatan agak tidak terurus. Mungkin ada projek tanaman semula anak getah kerana kelihatan tompokan tanah dan pokok-pokok getah terbalik dengan akar tunjang dan serabut  menunjuk ke langit. Agak lapang dan cerah kawasan itu.
Rumah Mak Ngah Cik Wok kelihatan agak sepi. Entahkan ada penghuni entahkan tidak. Aku hanya bertawakal. Selepas mematikan enjin kereta, kami bergerak keluar. Kelihatan rumput liar memenuhi halaman rumah. Namun, di beberapa sudut laman, tanaman serai wangi tampak merimbun dan menjadi tempat beberapa ekor arnab berlari-lari di bawahnya untuk berlindung daripada kami.
Di hadapan kami, tertegak berdiri sebuah rumah kayu tua yang kelihatannya seperti sebuah gudang peralatan tani dengan cangkul, tajak dan parang bersepah di atas beranda. Rumah kampong yang sudah cukup tua, dengan warna kayu coklat gelap dan di beberapa bahagiannya tampak rapuh dan lapuk dipenuhi sarang anai-anai. Di beranda itulah dulu aku pernah bermain-main dan baring-baring setelah kepenatan.
Wan Jamilah datang menghampiriku, memegang lenganku. Aku memahami hatinya. Mungkin dia berasa sedikit cemas dan curiga melihat keadaan rumah ini, sama seperti perasaanku ketika ini.
“Assalammualaikum, assalammualaikum, mak ngah ooo…mak ngah,” aku melaungkan salam, memanggil Mak Ngah Cik Wok. Pintu depan yang agak lebar itu sedikit terkuak.
Di bawah langit petang, di tengah hembusan angin yang melambaikan tudung kami ke udara, kulihat pintu besar itu kian terkuak lebar dan tersembul wajah Mak Ngah Cik Wok di celahnya.
“Ehhh…Mas, dah sampai, ya,” terkocoh-kocoh Mak Ngah Cik Wok melebarkan pintunya dan menyambut kedatangan kami. Tersenyum-senyum dia dengan wajah yang ceria.
Aku menanggalkan sandal di hujung tangga dan mulai melangkah naik ke beranda. Wan Jamilah menuruti perlakuanku. Kuberikan laluan kepada Wan Jamilah agar dia dapat mendahuluiku. Agak sukar juga kami nak melangkah di tengah-tengah peralatan tani yang pelbagai tu.
“Minta maaflah, Mas. Mak ngah tak sempat nak bersihkan beranda ni lagi. Mak Ngah baru sampai petang semalam,” terang Mak Ngah Cik Wok sambil bergegas mengalih-alihkan alatan itu ke tepi.
“Mak Ngah pergi ke mana?” tanyaku sambil menghulurkan tangan. Kami bersalaman dan berpelukan. Lama betul aku tak bertemu mak ngah. Kali terakhir masa dia datang untuk meraikan majlis pertunanganku dengan Nazran dulu.
“Mak ngah tak duduk di sini sangat. Mak ngah duduk dengan Aini di Kuala Lumpur nun. Sekali sekala saja balik ke sini,” terang mak ngah panjang lebih.
“Ooo..dah jadi orang Kolumpurlah mak ngah, ya,” aku mengusik Mak Ngah Cik Wok.
“Hmmm…gitulah nampaknya. Bukan mak ngah nak duduk sana pun. Anak-anak mak ngah itulah yang tak benarkan mak ngah duduk di rumah ini sorang-sorang. Ni cuti sekolah ni, mak ngah baliklah sekejap. Itupun Si Arman, anak Aini yang temankan.”
“Kak Aini sihat, mak ngah?” tanyaku sambil mengekori mak ngah meniti anak tangga tiga mata menuju ke ruang tamu.
“Sihat. Dia sambung belajar lagi. Jarang sangat nak duduk di rumah. Nasib baik mak ngah ada. Bolehlah tolong tengok-tengokkan anak-anaknya.” Kami duduk di atas seti rotan beralaskan kusyen biru tua itu.
“Sekarang ni memang musim cikgu sambung belajar, mak ngah,” ujarku sambil meletakkan barang-barang yang kubawa di atas meja kayu. “Ini ada bubur jagung yang ibu bekalkan untuk mak ngah,” sambungku lagi sambil menghulurkan bekas plastik berisikan bubur jagung ibu yang masih hangat-hangat suam.
“Susah susah saja mak kamu ni. Mak kamu sihat? Danisha dan Qistina tak balikkah?” Mak ngah menyambut juga huluran bekas di tanganku sambil matanya sudah memandang ke arah Wan Jamilah dan mulutnya yang ramah itu masih belum mahu berhenti bertanya.
“Ini Wan Jamilah, ya?” tanyanya lagi sebelum sempat aku menjawab soalannya yang mula-mula tadi. Wan Jamilah mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia seperti serba tidak kena duduknya. “Mari sini, mak ngah nak rasa perut tu,” panggil Mak Ngah Cik Wok. Wan Jamilah memandangku, ragu-ragu. Aku mengangguk-anggukkan kepala.
Mak Ngah Cik Wok menghamparkan sehelai kain baik dan meletakkan sebiji bantal kecil. Wan Jamilah teragak-agak.
“Mari baring di sini. Tak ada sesiapa di sini. Kita bertiga je. Arman pergi mengikut pak ciknya ke pasar malam,” terang Mak Ngah Cik Wok sambil menepuk-nepuk bantal kecilnya.
Wan Jamilah bangun perlahan-lahan. Serasakan mahu jatuh air mataku melihat perlakuan Wan Jamilah. Ya, Allah, kurniakanlah kekuatan buat anak kecil ini. Aku tidak sanggup untuk melihat keadaannya sebegini. Sempat aku melihat mata Mak Ngah Cik Wok. Dia juga seperti sedang menyembunyikan kesedihan. Kain tuala kecil di sisinya dicapai lalu dikesat ke mukanya.
Wan Jamilah menyelak bajunya perlahan-lahan. Tanpa berkata apa-apa, mak ngah mulai menjamah dan memegang perut Wan Jamilah lalu menggosok-gosokkannya perlahan.
“Insya-Allah. Tak ada apa-apa. Mudah bersalin nanti ni,” ujar mak ngah agak perlahan. Sebenarnya, ibu telah memberitahu Mak Ngah Cik Wok perihal Wan Jamilah. Sebab itulah mak ngah tak bertanya panjang lebar perihal kedatangan kami dan janji temu ini juga diaturkan oleh ibu.
Selepas Wan Jamilah kembali duduk di sebelahku, Mak Ngah Cik Wok mengambil air, buah limau nipis dan guring yang kubawa. Kelihatan dia sedang membacakan sesuatu dan menghembuskannya ke dalam air jernih yang kubawa. Selesai dengan kerjanya, dia datang menghampiri kami.
“Mak ngah ingat, elok mak ngah mandikan Wan Jamilah di sini petang ni, selepas Asar nanti. Tak payah susah-susah nak bawa balik barang-barang ni ke rumah. Selesaikan siap-siap di sini,” cadang Mak Ngah Cik Wok.
Aku memandangi Wan Jamilah. Dia sepertinya kehairanan.
“Kalau nak bawa balik pun tak apa, tapi petang esok selepas Asar, kena bagi Wan Jamilah mandi guna air ni dan campuran guring  dan limau nipis ni,” terang mak ngah panjang lebar.
Teringat pula pesanan ibu, kalau masih awal, biar mak ngah sahaja yang mandikan Wan Jamilah tapi aku terlupa untuk membawa bekal kain batik dan tuala mandi. Aku memerhati jam di pergelangan tangan. Sudah hampir ke pukul empat petang.
“Belum Asar lagi, mak ngah. Lambat lagi ni,” aku memaklumkannya pada mak ngah. Niat hati ingin meminta diri dan bergegas ke kolam ikan mencari Razaman pula.
“Tak apalah. Kita sembang-sembang dulu. Sedar tak sedar nanti, masuklah waktu Asar tu. Lagipun sudah lama kamu tak ke mari, Mas. Dah lama tak bercerita dengan kamu.” Ada sedikit kesayuan dalam nada suara Mak Ngah Cik Wok. Niatku untuk beredar jadi tertangguh. Kolam mata mak ngah tampak berkaca-kaca. Mak ngah ini mudah sangat mengalirkan air mata.
Rasanya, sudah lama mak ngah menyimpan air matanya itu iaitu sejak mula-mula dia terpandang Wan Jamilah. Mak ngah ini memang mudah tersentuh hatinya. Atas hal-hal yang sedikit pun, air matanya akan jadi terlalu murah.
“Marilah kita ke belakang. Masak air dan masak apa-apa yang boleh dimakan. Bubur jagung mak kamu ni pun banyak. Jom, kita berkelah di dapur,” ajak mak ngah.
Aku tidak jadi beredar. Macam ada suatu tarikan, aku bangun mengekori langkah mak ngah ke dapur.
“Tadi anak Cik Senah pun ada datang nak mandi berlimau. Kain basahan ada di dalam bilik air. Tualanya, nanti nak mandi, mak ngah ambilkan,” sambung mak ngah lagi.
Wan Jamilah memandangiku dan aku mengangguk-anggukkan kepala. Wan Jamilah  turut bangun mengekori langkah kami.

Tiada ulasan: