Selasa, 4 November 2014

MTD Bab 13




BAB 13       
“Milah, nanti kita pergi tengok Abang Man di sangkar ikannya, ya?” Akan membahasakan ‘abang’ merujuk kepada Razaman apabila berbahasa dengan Wan Jamilah agar dia tahu, dia perlu menghormati lelaki itu juga.
Aku menghampiri Wan Jamilah yang sedang bermenung-menung di beranda sambil memandang jauh entah ke selat mana. Qistina dan Danisha masih belum pulang. Kalau tidak, adalah juga dia berkawan. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya ke arahku.
“Jauhkah tempatnya, Kak Mas?” tanya Wan Jamilah bagai inginkan kepastian.
“Dekat saja,” balasku sambil duduk di sisinya. “Sebelum itu, kita singgah di rumah Mak Ngah Cik Wok,” sambungku lagi.
“Siapa Mak Ngah Cik Wok tu, kak?”
“Bidan kampong yang pernah akak ceritakan dulu. Dia juga mak ngah Kak Mas.” Wan Jamilah terbata-bata. Raut wajahnya dan pandangan matanya yang bening menyinarkan keraguan.
“Walaupun zaman dah maju tapi segala petua nenek moyang kita janganlah dilupakan terus. Banyak perkara yang kita boleh belajar daripada pengalaman orang-orang terdahulu. Petang ni, kita pergi jumpa Mak Ngah Cik Wok. Dia boleh merasa perut Milah,” aku cuba menjelaskan agar Wan Jamilah lebih memahami maksudku.
Kadang-kadang, berbual dengan Wan Jamilah ini, aku rasakan sepertinya dia ini seorang wanita dewasa. Mungkin kerana dia didewasakan oleh berat bebanan derita yang ditanggungnya.
Petang itu, sebelum kami mula bergerak, ibu menyediakan guring, tiga biji limau nipis dan sebotol air. “Nanti berikan pada Mak ngah,” arah ibu kepadaku.
“Nak buat apa ni, ibu?” Aku kehairanan.
“Bagi sajalah kepada Mak Ngah Cik Wok. Tahulah dia apa nak buat.” Aku mengangguk-anggukkan kepala walaupun aku masih kurang faham sebenarnya, apa yang ibu maksudkan. Mahu bertanya lebih-lebih pada ibu, aku risau pula. Takut nanti ibu kata, belajar tinggi-tinggi tapi arahan itu pun tak boleh nak ikut.
“Dan ini juga.” Ibu menghulurkan satu lagi bungkusan berisikan bekas plastik. Aku membelek-beleknya seketika.
“Apa ni, ibu?” tanyaku sambil cuba membuka tutup bekas plastik itu.
“Bubur jagung. Tak payah dibuka-buka.” Ibu menguis tanganku dan mengambil semula bekas plastik yang berisikan bubur jagung itu lalu meletakkannya kembali ke dalam beg plastik.
“Untuk siapa ibu, Man atau mak ngah?” tanyaku inginkan kepastian.
“Yang ini untuk mak ngah. Untuk Man, mak dah letakkan dalam bakul bersama-sama dengan nasi. Sampaikan salam assalammualaikum ibu kepada mak ngah, juga kepada pak long dan Man,” pinta ibu sambil berlalu pergi mendapatkan bakul buat mengisi makanan untuk Razaman.
“Milah dah siap?” tanyaku selepas menyangkut kain telekungku di tanduk rusa yang terpaku pada dinding seusai solat Zohor. Wan Jamilah mengangguk-anggukkan kepalanya. Aku berhajat untuk membawa Wan Jamilah berjalan-jalan. Sekurang-kurangnya, dapatlah juga menghiburkan hatinya itu.
Kami menuruni anak tangga batu dan menyarungkan sandal di hadapan tangga. Aku turun mendahului Wan Jamilah sambil memantau dia turun kemudiannya. Kemudian, kami beriringan menuju ke kereta. Bakul plastik yang berisi nasi dan sedikit lauk juga air kosong yang ibu bekalkan untuk Razaman, kuletakkan di tempat duduk penumpang bahagian belakang kereta. Begitu juga dengan barang-barang yang ibu sediakan untuk Mak Ngah Cik Wok.
Aku mengambil tempat duduk di bahagian pemandu manakala Wan Jamilah masuk dan duduk di sebelahku. Keretaku berundur perlahan-lahan keluar dari bawah perut rumah ibu yang agak tinggi. Tersengguk-sengguk kepala Wan Jamilah saat tayar kereta terperosok ke dalam lubang-lubang kecil yang ada di bawah rumah itu.
Seketika kemudian, kami telah meluncur laju di atas jalan raya. Wan Jamilah membuang pandangnya keluar cermin tingkap. Mungkin dia sedang menikmati indahnya pemandangan alam yang masih sahaja agak panas meskipun  hari kian menginjak ke petang. Panas petang yang tampak membahang tapi tidaklah sampai membakar hangit kulit makhluk Allah yang berada di bawahnya.
Sebuah lori pasir tersengguk-sengguk di hadapan kami. Aku jadi tidak selesa. Segera kunaikkan cermin tingkap dan kuhidupkan pendingin hawa. Habuk dan debu kering dari lori pasir itu memang agak mengganggu pemanduanku. Dari sisi kanan lori itu meleleh keluar air dan meleret-leret di atas jalan raya. Bunyi deruman enjinnya juga membingitkan petang yang kering ini.
Wan Jamilah bagaikan tidak mempedulikan semua itu. Dia terus memandang keluar, membaca setiap papan tanda yang terdapat di sepanjang jalan kerana sekilas aku meleret pandang ke arahnya, mulutnya sedang terkumat-kamit membaca papan tanda dan kain rentang yang semakin banyak di kiri kanan jalan. Aku tersenyum dalam hati melihat kelakuan Wan Jamilah. Dia tenggelam di dalam dunianya.
Aku memberikan isyarat lampu ke kiri dan masuk ke lorong tepi untuk ke pekan. Kubiarkan lori pasir dengan ngauman yang membingitkan itu terus melalui jalan besar. Wan Jamilah menoleh ke arahku.
“Kita ke pekan sekejap ya, Milah,” ujarku memberitahu Wan Jamilah. Wan Jamilah mengangguk perlahan sambil kembali merenung keluar, membaca papan tanda yang terbentang.
“Galeri Arkeologi ni di mana, kak?” tanya Wan Jamilah tiba-tiba.
“Dekat sahaja. Nanti ada masa, Kak Mas bawa Milah ke sana.” Aku sekadar bersuara untuk menyedapkan hatinya. Sebenarnya, ibu telah berpesan agar aku tidak membawa Wan Jamilah ke sana. Kata ibu, di situ tempat simpanan barang-barang purba. Wan Jamilah ini sedang mengandung. Nanti tersampuk dek hantu orang zaman purba yang sudah jadi tengkorak itu.
Aku tersenyum sendiri. Alahai ibu, mana ada rangka Perak Man di situ. Yang ada cuma replikanya sahaja. Aku ingin mengutarakan begitu kepada ibu tetapi aku tidak mahu mengguris hati ibu. Apa yang ibu katakan, aku iyakan sahaja. Sekali sekala berjumpa ibu, aku mahu patuh sahaja segala arahannya.
Sebenarnya, selepas memiliki ijazah dan menjadi guru, aku memang amat berhati-hati apabila menyuarakan pendapat dan rasa hati kerana aku tidak mahu ibu menyatakan yang aku ini sudah tidak menghormatinya lagi sejak berpelajaran tinggi. Atas sebab itulah, aku hanya menurut sahaja kata ibu walaupun ada sesetengahnya yang aku kurang senangi. Nanti perlahan-lahan, aku akan cuba takluki hati ibu.
Aku tahu, tidak susah untuk memujuk ibu tetapi buat sementara waktu ini, biarlah aku turutkan sahaja kata ibu. Ibu suruh aku bawa Wan Jamilah berjumpa Bidan Mak Ngah Cik Wok, aku ikut. Ibu kata, jangan bawa Wan Jamilah ke Galeri Arkeologi Lenggong, pun aku ikut.
Aku berhenti di hadapan kedai gambar, ada ruang kosong di situ.
“Milah tunggu sebentar, ya. Kakak nak ke seberang,” ujarku sambil menanggalkan kancing tali pinggang keledar. Wan Jamilah mengangguk-anggukkan kepalanya. Aku keluar dari kereta dan berdiri di pinggir jalan sehala itu, menoleh ke kiri dan setelah pasti tiada kenderaan, aku melangkah melintasi jalan itu.
“Lama tak nampak, cikgu. Cuti ka?” tegur Alan. “Top up, cikgu? Suratkhabar, cikgu?” ramah Alah menyapaku sambil mempromosikan jualannya.
“Top up tiga puluh ringgit,” kataku sambil tangan membelek-belek akhbar. Alan menyeluk beg kecil di pinggangnya dan mengeluarkan  kad prabayar Celcom.
“Lagi, cikgu?” Aku menggeleng-gelengkan kepala sambil menyuakan Sinar Harian kepadanya. Alan menggulung akhbar itu dan mengembalikannya kepadaku.
“Tiga puluh satu lima puluh sen,” kata Alan. Aku menyelongkar beg tanganku dan mengeluarkan duit sebanyak yang diperlukan.
“Beli ya, Alan,” ujarku mahu segera bergegas ke tempat Razaman.
“Ya, saya jual. Datang lagi ya, cikgu.” Aku tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepala dan mengucapkan terima kasih. Berakad jual beli juga aku walaupun berurusan dengan peniaga bukan Islam. Mungkin sudah menjadi kebiasaanku begitu dan begitu juga dengan peniaga-peniaga di daerahku ini. mereka juga telah terbiasa berakad jual beli semasa berurusan dengan orang-orang Islam. Semangat perpaduan yang tampak ketara di sini.

Tiada ulasan: