
BAB 6
Aku cuma memberitahu Nazran bahawa aku hendak menjaga Wan Jamilah
sehingga dia selamat melahirkan bayinya dan sehingga dia selesai
menduduki peperiksaan PMRnya. Aku tidak pernah memberitahu Nazran bahawa aku
berniat untuk menjaga bayi Wan Jamilah, mengambilnya menjadi anak angkatku.
Aku juga bercadang untuk menjaga Wan Jamilah jika Wan
Jamilah bersetuju kerana aku tidak mahu memisahkan Wan Jamilah daripada
bayinya. Biarlah anak itu membesar bersama-sama ibu yang mengandung dan
melahirkannya dengan penuh getir. Aku mengeluh perlahan. Entah apalah penerimaan Nazran seandainya dia tahu
perancanganku sedemikian rupa.
“Kenapa mengeluh, Mas?” Aku tidak sedar bilakah
masanya aku melepaskan keluhan.
“Apa,
Rin?” tanyaku inginkan kepastian.
“Kenapa
Mas mengeluh?” tanya Nurin lagi.
“Err…
Mas memikirkan masa depan Wan Jamilah. Kasihan dia. Anak yang sekecil itu telah
dibebankan dengan penderitaan yang sedemikian hebat. ALLAH memilihnya untuk
menanggung dugaan yang maha besar ini,” kataku tanpa mahu menyebut perihal Nazran.
Aku tidak mahu memikirkan kemungkinan yang akan datang. Aku ingin menyelesaikan masalah Wan Jamilah
sekarang. Untuk masa-masa yang akan datang, aku akan memikirkannya kemudian.
“Ya,
dia anak yang hebat. Nurin
juga berdoa agar dia akan terus tabah mendepani hidupnya.”
Kami sama-sama terdiam kemudiannya kerana melayani
lamunan masing-masing. Nurin telah mula membuka lembaran novel yang dibawanya.
Aku menjeling sekilas, dia membaca novel terjemahan Inggeris. Begitulah Nurin.
Dia membaca novel apa sahaja tanpa banyak soal asal sahaja dia punya buku untuk
dipegang dan dibaca. Aku cukup mengagumi ketaasubannya ini kerana aku ini agak
jarang membaca novel. Selalunya aku membaca majalah dan akhbar sahaja.
Kalau membaca novel pun, aku lebih suka memberikan komen
yang bukan-bukan. Jalan cerita ini tak logiklah. Plot cerita itu longgarlah.
Tekniknya membosankanlah. Dan entah apa-apa lagi. Ada sahaja yang tidak
memuaskan hatiku sehinggakan Nurin pernah melabelkan aku sebagai seorang yang
tidak pandai menghayati cerita.
Aku hanya tertawa mendengar komennya. Nurin mencabar
aku untuk menulis. Katanya, kalau betul-betul aku pandai menulis, tulislah
sesuatu yang berbeza daripada novel-novel yang pernah kubaca. Buktikan yang
hasil karyaku lebih baik. Aku masih juga tertawa kerana aku sekadar menyuarakan
pendapatku bukan untuk bertanding dengan sesiapa pun dan bukan untuk
membuktikan apa-apa.
Sebenarnya,
aku memang minat menulis. Kisah muridku yang meniru di dalam kelas pun, aku
boleh jadikan cerpen. Ada sahaja ideaku untuk melakarkan cerita. Pernah seorang
teman guruku memberi komen, dia suka masuk mengajar di kelasku kerana selepas
memberikan kerja kepada murid-murid, dia akan menyelongkar laci meja guru,
mencari coretanku untuk dibaca.
Aku
tertawa besar mendengar ceritanya yang selama ini belum pernah kuketahui. Dan
selepas dia membocorkan rahsianya, barulah beberapa orang guru lain turut
mengaku perihal yang sama. Kepada mereka kukatakan, kenapa perlu
sembunyi-sembunyi membaca karyaku. Kalau nak baca, ada tiga buah manuskrip
novel yang telah kusiapkan dan terperam di dalam laci kabinetku di rumah.
Mereka
mencadangkan agar aku menghantar manuskrip-manuskrip itu ke meja editor novel
untuk diterbitkan tetapi aku sebenarnya telah patah hati. Apabila manuskrip
novel pertama yang kuhantar tidak mendapat sebarang respons sama ada mahu diterbitkan atau tidak, aku
jadi patah hati. Setelah sekian lama menantikan
jawapan yang tidak kunjung tiba, aku akhirnya membuat satu rumusan,
mungkin karyaku tidak punya nilai untuk diterbitkan.
Lagipun
aku hanya penulis kecil yang belum punya nama. Mungkin mereka bimbang, buku
hasil tulisanku tidak dapat memberikan pulangan yang lumayan. Aku tidak punya
peminat. Aku sekadar patah hati untuk
menghantar manuskrip tetapi aku tidak pernah berpatah hati dalam berkarya.
Buktinya kini, aku sedang menyiapkan manuskrip novelku yang keempat berlatarkan
kisah hidup Kak Roha.
Aku
akan terus menulis dan menulis selagi aku terdaya meskipun karyaku tidak pernah
diterbitkan. Biarlah karyaku tidak dihargai waktu ini. Mungkin suatu hari
nanti, setelah aku tiada, manuskrip-manuskripku ini akan jadi lebih berharga.
Mungkin anak-anakku nanti boleh mengirimkannya ke Perpustakaan Negara kalau
tidak pun ke Arkib Negara sebagai sumbanganku
dalam bidang penulisan.
Kak
Roha hanya bersetuju menyerahkan dairi catatan hidupnya kepadaku untuk
kujadikan sebuah novel kreatif setelah kupujuknya berhari-hari. Akhirnya, Kak
Roha menyerah kalah. Bukan aku berniat mahu membuka aibnya tetapi aku ingin
kisahnya dijadikan teladan kepada anak-anak gadis dewasa ini yang kian terleka
dilambung ombak kehidupan duniawi sehingga terlupa bahawa kehidupan di dunia
ini hanyalah sebagai landasan untuk menuju ke akhirat sana.
Aku
tidak mahu mengganggu Nurin yang semakin
tenggelam dalam bacaannya. Aku terus memandu dengan berhati-hati. Kami semakin
menghampiri kawasan perumahan berselerak yang dihuni oleh Kak Roha dan
anak-anaknya. Aku menghidupkan lampu isyarat ke kiri dan kemudiannya
membelokkan keretaku.
Kami
menuruni bukit kecil dan di kirinya tertegak sebuah surau bercat biru muda yang
sudah agak pudar. Seperti biasa, kami akan meninggalkan kereta di sini dan
berjalan kaki di atas jalan tar sempit untuk ke rumah Kak Roha.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan