
BAB 2
Peluh di dahi masih merenik. Beberapa kali kukesat namun aku memang
biasa berpeluh. Entah kerana sihat atau entah kerana
perjalanan yang agak jauh tadi. Atau mungkin juga kerana ruang rumah yang agak
sempit dan berkuap ini.
Panas
petang agak kurang membahang berbanding dengan waktu kami dalam perjalanan ke
mari tadi. Petang yang kering. Nurin memang telah berjanji denganku untuk
menemaniku mencari rumah Kak Roha.
Selesai menunaikan
solat Zohor, kami terus datang ke kawasan perumahan tidak tersusun ini. Tidak tersusun kerana
rumah-rumahnya tegak di merata-rata tempat. Ada sahaja tanah lapang, terus
sahaja dipacakkan tiang dan didirikan rumah. Mungkin ini juga tanah rezab
kerajaan sehinggakan tiada sesiapa pun yang membuat tuntutan ke atas tanah ini.
Aku yang mengajak Nurin menemaniku ke mari. Aku tidak
mahu menangguhkan masa. Aku takut tidak dapat mencari rumah Kak Roha sedangkan
hari akan semakin menjejak ke petang. Urusan dengan Kak Roha perlu kuselesaikan
secepat mungkin.
Walaupun Kak Roha telah memberikan alamat dan peta
lakaran ke rumahnya padaku, tetapi aku
masih sahaja bimbang jika aku gagal
mencari rumahnya. Memang itulah sikapku, lebih suka memikirkan kemungkinan yang
buruk-buruk dahulu berbanding dengan kemungkinan yang baik-baik. Nurin bagaikan
telah arif dengan tingkahku, mengikut sahaja tanpa perlu dipaksa.
Memang agak sukar juga untuk mencari rumah Kak Roha
ini walaupun ada jalan tar kecil kurang daripada enam kaki yang
menghubungkannya dengan dunia luar namun banyak sangat simpang dan cabang jalannya.
Setelah bertanya kepada beberapa orang penduduk di jalanan tadi, barulah kami
tiba dengan selamat di pintu rumah ini. Aku mengerling
Nurin di sisi. Dia tetap sahaja tenggelam dalam renungannya. Entah apalah pula
yang ada di dalam mindanya saat ini.
“Rin,”
panggilku perlahan, cuba mengalihkan tumpuannya.
“Emmm…,”
sahut Nurin tanpa berpaling ke arahku.
“Rin,”
panggilku lagi, agak geram dengan responnya yang bersahaja itu.
Nurin
mengangguk-anggukkan kepalanya. Tidak tahu apa sebenarnya yang dianggukkannya
itu.
Aku
turut sama menoleh ke arah yang menjadi
tumpuan Nurin. Rak buku. Ya, itulah tempat yang sedang
ditenungnya. Itulah rupa-rupanya perkara yang menjadi tumpuan pandangannya
sehingga tidak menghiraukan panggilanku sebentar tadi.
Selain daripada set sofa rotan, meja jepun dan meja
kopinya ini, itulah satu-satunya lagi perabot yang ada di ruang tamu yang agak sempit
ini. Dua buah rak buku daripada besi berwarna putih yang sudah kelabu.
Sebuah rak empat tingkat dipenuhi dengan kitab-kitab
lama dan novel-novel yang tersusun rapi. Manakala sebuah rak lagi, di atasnya,
tersusun himpunan suratkhabar yang telah dilipat menjadi dua untuk menjimatkan
ruang. Diikuti oleh dua tingkat di bawahnya dengan majalah-majalah. Dan di
bahagian paling bawah, terisi dengan buku tulis dan buku teks sekolah anak-anaknya.
Di sisi rak-rak itu pula, terlonggok dua buah beg
sekolah dan di depan rak itulah ada meja jepun. Mungkin di meja itulah tempat
anak-anak ini membuat kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran mereka kerana
kulihat di atas meja rendah itu juga ada beberapa tompok buku teks dan buku
tulis.
Malas hendak memikirkan tentang Nurin, aku bangun
menguakkan daun tingkap yang hampir tertutup di belakang kami membiarkan angin
petang menyerbu masuk. Aku harap Kak Roha tidak mengambil masa yang lama kerana
kami perlu berangkat pulang setelah bertemunya nanti.
Aku bimbang jika tidak dapat menemui jalan pulang
kerana aku sendiri sudah agak lupa dengan jalan masuk ke rumahnya tadi,
berpusing-pusing, berliku-liku, bercabang-cabang. Harap-harap,
Nurin masih mengingatinya. Perkara itulah yang hendak kutanyakan pada Nurin
tapi Nurin tidak mahu melayanku.
Aku
menjengah ke luar tingkap. Beberapa orang kanak-kanak, lelaki dan perempuan
sedang bermain di bawah pohon manggis tidak berbuah, di belakang dapur jiran
sebelah kanan rumah Kak Roha. Melihatkan keriangan mereka bermain, bagaikan
tidak percaya akan kesedihan yang sedang melanda di dalam rumah ini.
Aku
baru bercadang untuk berbual lagi dengan Nurin sewaktu aku berpaling ke arahnya
tetapi hajatku itu terbantut kerana kulihat Nurin sedang leka membelek sebuah
majalah Mingguan Wanita di sofanya. Mungkin untuk menghilangkan rasa bosan
menunggu, dia mengambil kesempatan untuk membaca.
Aku
tahu, Nurin memang minat membaca. Dia membaca tanpa mengambil kira masa dan tempat. Sedang aku memandu
kereta dan mencari arah ke rumah Kak Roha tadi pun, dia masih sempat lagi
membaca novel yang dibawanya.
Kalau ada anugerah Tokoh NILAM untuk golongan dewasa,
sudah tentu aku akan mencalonkan namanya. Aku tersenyum melihat gelagat temanku
ini yang telah mulai tenggelam dalam pembacaannya.
Mungkin itulah agaknya, kami serasi sebagai teman
serumah. Aku dengan hobiku, menulis manakala Nurin dengan hobinya, membaca.
Kami berbual hanya semasa makan atau menonton televisyen. Masa-masa terluang
yang lain, kami isikan dengan hobi masing-masing. Nurin di biliknya, manakala
aku di bilikku.
Kalau kami perlukan apa-apa, kami akan bermesej
sahaja. Kadang-kadang, aku menghantar miss
call. Nurin juga sudah masak dengan tindakanku. Dia akan menjengah ke
bilikku untuk mengetahui apa perluku. Memang aku suka berkawan dengan Nurin.
Dia tidak pandai bercerita perihal orang lain. Selalunya, kami berbincang tentang apa yang dia baca
dan juga tentang apa yang aku tulis.
Idea untukku menulis selalunya datang daripada Nurin.
Katanya, dia banyak idea tetapi tidak dapat diluah dan dikembang dalam bentuk
penulisan. Akhirnya, idea-idea itu dikongsinya denganku.
Aku menterjemahkannya dalam bentuk tulisan dengan
penambahan idea-ideaku pula. Selepas itu, kami akan
berbincang lagi sehingga kami betul-betul berpuas hati dengan hasil tulisanku.
Wan
Jamilah datang kemudiannya sambil menatang sedulang minuman manakala Wan Jamnah membawa sepiring kuih dan mangkuk
kecil berisi air basuh tangan, mungkin.
“Jemput
makan Kak Mas dan Kak…errr,”
“Kak
Nurin,” sahut Nurin, baru teringat hendak memperkenalkan diri.
“Ya,
Kak Nurin.” Wan Jamilah tersengih. Wajah gadis itu memerah sedikit. Kelihatan
lebih manis dibandingkan dengan sewaktu menyambut ketibaan kami tadi.
“Berapa umur Jamilah yang sebenarnya?” Hmm…tanpa
disedari, aku sudah mulai bertanya lagi. Sebetulnya, aku sekadar inginkan
kepastian.Tapi kali ini, nampaknya Wan Jamilah tidak keberatan untuk melayaniku
kerana kulihat wajahnya jernih sahaja tidak seperti masa aku mula-mula tiba
tadi.
“Bulan lima nanti, lima belas tahun,” sahutnya.
“Milah PMR tahun ni,kan?”
“Ya, tapi….,” suara Wan Jamilah semakin menurun.
“Insya ALLAH. Milah akan sempat menduduki PMR nanti,”
ujarku, memberikannya semangat.
Mungkin Wan Jamilah bimbang seandainya dia tidak sempat
menduduki peperiksaan PMRnya. Aku difahamkan,
kandungan Wan Jamilah sekarang sudah masuk keenam bulan. Bermakna, lebih kurang
tiga bulan lagi, dia akan melahirkan anaknya. Tiga bulan. Aku mencongak-congak. Sekarang baru bulan
dua, tiga bulan lagi bulan lima.
Bulan lima. Mungkinkah Wan Jamilah akan bersalin pada
hari lahirnya sendiri? Pandai-pandailah pula aku mereka fakta. Jika bulan lima
dia bersalin, bermakna dia sempat menghabiskan pantangnya dan mengulangkaji pelajaran
kerana peperiksaan PMR akan diadakan
pertengahan bulan Oktober.
“Bolehkah Milah ambil PMR?” Wan Jamilah sepertinya
bersuara kepada dirinya sendiri.
“Insya Allah, Milah boleh,” ujarku cuba menjernihkan
hatinya. Wajah mendung bagaikan menakung air itu seolah-olah diberi nafas baru
setelah mendengar kata-kataku.
“Emak kata, Milah boleh ambil PMR tapi Milah…”
Kata-kata Wan Jamilah tergantung di situ. Aku cuba mencari makna di sebalik
ungkapannya yang tergantung itu.
“Apa yang Milah gusarkan ? Kak Mas kan ada. Akak akan
bantĂș Milah.” Aku memberikan harapan. Bukan harapan sebenarnya tetapi janji.
Janjiku untuk melihat Wan Jamilah bangkit semula dari kisah kelam hidupnya.
“Milah segan, kak,” Ada sendu dalam nada suara Wan
Jamilah.
“Milah jangan risau, Kak Mas akan berjumpa dengan
pengetua sekolah. Mungkin Milah tidak perlu ke sekolah buat sementara waktu
ini. Milah akan belajar di rumah sahaja. Kak Mas akan cuba sedaya-upaya untuk
membimbing dan membantu Milah.” Aku berjanji lagi.
Selesai urusanku dengan Kak Roha, aku akan menemui
pengetua sekolah tempat Wan Jamilah belajar. Aku terus berkira-kira apabila
terdengar laungan salam di serambi. Mungkin Kak Roha sudah pulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan