
BAB 3
“Assalammualaikum,” gemersik kedengaran satu suara dari bawah sana.
“Waalaikummussalam,” aku, Nurin dan Wan Jamilah
menyahut salam itu hampir serentak dan kami bangun juga hampir serentak kecuali Wan Jamilah. Wan Jamilah
hanya duduk di sofanya.
Saat aku
menoleh ke pintu, muka Kak Roha telah terjengul di situ. Dia tersenyum sambil
menolak daun pintu itu agar terbuka lebih luas. Angin petang menyerbu masuk.
Kelihatan peluh renik memercik di dahi Kak Roha.
“Dah lama sampai?” tegurnya.
“Agak lama juga,” ujarku membalas.
“Kereta tinggal di mana?” tanya Kak Roha.
“Tinggal di jalan besar,” jawabku.
“Ooo…boleh bawa masuk ke sini tapi kena hati-hatilah,
jalan sempit,” kata Kak Roha lagi. Aku menjeling Nurin di sisi. Memang Nurin
mencadangkan aku memandu terus masuk ke mari tetapi aku yang kurang yakin.
Rasa-rasanya jalan bertar hitam itu terlalu sempit dan kalau berselisih dengan
kenderaan lain, pasti aku gelabah.
Kami bersalam-salaman. Aku memeluk erat tubuh Kak
Roha. Aku kagum dengan ketabahan wanita ini. Aku pula yang terlebih-lebih
menunjukkan perasaan sedih sedangkan Kak Roha begitu tenang sekali.
Ketenangan yang terukir pada wajahnya namun tidak tahu
pula bagaimana perasaan hatinya yang bergelora di dalam sana. Mungkin dia sudah
puas menangis. Mungkin juga air matanya sudah lama kering kerana terlalu banyak
menangisi musibah ini.
Kak Roha cantik orangnya. Tubuh kecil sederhana tetapi
agak tinggi lampai. Matanya bundar dan bercahaya. Manis sekali dengan tudung
hijau muda dipadankan dengan blouse warna senada dan kain potongan payung
berwarna hitam. Manis wanita yang sudah punya tiga orang cahaya mata.
Dalam seraut wajah yang tenang itu, tersembunyi seribu
satu perasaan yang sukar difahami dan tidak pula mampu aku tafsirkan maknanya.
Aku cuba untuk mengempati masalah dan kesengsaraan Kak Roha.
Kak Roha seorang ibu yang kukira usianya dalam
pertengahan tiga puluhan. Masih tetap jelas keanggunan di wajah wanita ini
meskipun hidupnya dilingkungi pelbagai kesulitan dan penderitaan.
“Nik Jamali mana?” tanyaku cuba menghidupkan suasana
tatkala terlihat hanya Kak Roha seorang yang naik bertemu kami.
“Dia di bawah, berjumpa dengan kawan-kawannya,” balas
Kak Roha dalam senyuman juga.
Mungkin Nik Jamali menyertai teman-temannya yang
sedang rancak bermain di bawah pohon manggis yang tidak berbuah itu.
“Duduklah,” pelawa Kak Roha sekali lagi seraya
melabuhkan punggungnya di atas kusyen kusam itu. Wan Jamilah sudah lama hilang
ke dapur. Sebentar kemudian, dia muncul semula dengan cawan di tangan.
Selepas meletakkan cawan di hadapan ibunya, Wan
Jamilah berlalu semula ke dapur atau mungkin ke dalam bilik yang terletak di
bahagian dapur itu. Mungkin dia tidak mahu mendengar perbualan orang-orang tua
yang berada di hadapan ini. Lebih-lebih lagi, perihal dirinya yang akan kami
perkatakan.
“Minumlah, Mas, Nurin,” pelawa Kak Roha pula. Nafasnya
masih termengah-mengah, naik turun dengan tidak teratur. Sisa-sisa kepenatan
sama seperti keadaan kami sewaktu mula-mula tiba di rumah ini tadi.
Aku dan Nurin mengangguk-anggukkan kepala kami.
Suasana tenang petang ini sesekali dikejutkan dengan riuh suara anak-anak yang
bermain di bawah pokok manggis.
Kami berbual tentang hal-hal yang biasa sahaja kerana
sebelum ini kami pernah bertemu dan berbual perihal Wan Jamilah secara serius.
Setelah kata sepakat dicapai, barulah aku mengambil keputusan untuk menziarahi Wan
Jamilah di rumah ini.
“Boleh saya jumpa Wan Jamilah sendirian?” pintaku
meminta kebenaran. Aku ingin berbual-bual dengan Wan Jamilah dari hati ke hati.
Aku tidak mahu dia merasa dipaksa untuk tinggal bersama-samaku. Aku perlu
mendekatinya untuk memujuk hatinya. Aku perlu tahu apa penerimaannya dengan
keputusan ini.
“Pergilah, dia ada di belakang tu,” Kak Roha
memberikan keizinan.
Aku bangun meninggalkan Nurin dan Kak Roha di ruang
tamu itu. Kaki kulangkahkan perlahan-lahan bagi mengurangi bunyi derap lantai
akibat terkena pijakan tapak kakiku.
Wan Jamilah sedang berteleku di birai tingkap sambil
matanya meligas memandang anak-anak kecil yang berlari-lari di bawah pokok
manggis dan beberapa orang gadis sebaya Wan Jamilah sedang berjuntai kaki di
atas pangkin kecil sambil di tangan masing-masing memegang note book. Mungkin note book Satu Malaysia pemberian kerajaan. Sesekali,
anak-anak gadis itu tertawa kecil dan berbual-bual sesama mereka.
Hatiku
tersentuh pilu dan terharu. Kasihan Wan Jamilah. Tentu hatinya melonjak-lonjak
untuk turut sama berada dalam kumpulan itu tapi apakan daya, keadaan dirinya
saat ini tidak memungkinkan dia untuk turut sama bercanda di halaman kecil itu.
Sesekali, aku nampak senyuman tipis menyungging di
bibir kecil Wan Jamilah. Naluri seorang gadis sunti tetap saja terserlah
daripada tingkah lakunya. Nasib Wan Jamilah yang malang akibat perbuatan
durjana insan yang sepatutnya menjadi pelindung bagi dirinya.
Aku berdiri hampir dengannya tetapi Wan Jamilah
seolah-olah tidak menyedari kehadiranku. Pandangan mata dan perasaannya bagai
dilekakan oleh suasana meriah anak-anak kecil dan teman sepermainannya yang
terpampang di hadapan mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan