
BAB 7
Aku yakin, kami
tidak akan tersesat lagi kali ini. Bersama Nurin, aku yakin sepenuhnya, kami
dapat menemui rumah Kak Roha dengan mudah. Nurin yang mempunyai deria rasa dan
ingatan yang kuat seperti kali pertama kami ke sini dahulu.
Sewaktu
pulang, aku sangkakan bahawa kami akan tersesat lagi tetapi dengan mudah sahaja
Nurin membawaku keluar dari kawasan perumahan yang berselerakan ini. Dalam
diam-diam, aku mengagumi kebolehan dan kepekaan Nurin.
“Kak
Mas,” sewaktu sedang menutup pintu kereta, aku disapa dari belakang. Secepat
kilat, aku berpaling ke arahnya.
“Nik
Jamali,” seruku.
Nik
Jamali hanya tersengih. Dia menghampiri kami dan bersalaman denganku. Dia
membongkok, mencium tanganku. Aku menggosok-gosok kepalanya.
“Jamali nak ke mana?” tanyaku sewaktu Nik Jamali
membongkok, menyalami Nurin.
“Mak
suruh Jamali tunggu kakak di sini. Mak kata, kakak nak datang hari ini,” Nik
Jamali menerangkan. Mungkin dia bimbang kami akan tersesat lagi seperti kali
pertama ke mari. Aku merenungi Nurin tetapi Nurin tidak menunjukkan sebarang
reaksi. Aku mengunci pintu kereta dan masih tidak berani untuk memandu masuk ke
rumah Kak Roha. Kurang yakin dengan kelebaran jalan tar itu sedangkan jalan itu
telah pun disukat semuat-muat sebuah kenderaan.
Biar
takut sedikit, jangan terlebih berani pula. Kalau tidak begitu yakin, aku tidak
mahu teruskan. Takut mengundang padah. Nurin juga tidak banyak bersungut. Dia
menurut sahaja pandanganku. Kalau memang aku yang memandu, sudah tentu dia
tidak berani kata apa-apa.
Kami
mengekori langkah Nik Jamali, meniti
jalan tar kurang daripada enam kaki, melalui halaman dan dapur rumah
tetangganya. Sesekali, bau busuk air di
pelimbahan, menusuk ke hidung kami. Aku menahan nafas untuk mengelakkan
bau yang kurang enak itu. Setelah
beberapa lama berjalan, kami tiba di
hadapan rumah Kak Roha.
Kak Roha tersenyum di ambang pintu rumahnya menyambut
ketibaan kami. Sewaktu kami naik ke serambinya, kulihat beberapa buah beg
terlonggok di tepi pintu. Mungkin beg Wan
Jamilah. Dia telah bersiap lebih awal untuk mengikut kami. Aku bersalaman
dengan Kak Roha sebelum Wan Jamilah muncul di belakangnya.
Gadis
itu juga tersenyum memandang kami.
“Milah
sihat?” tanyaku semasa bersalaman dengannya.
Wan
Jamilah mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Kak
Mas?” tanyanya pula.
“Alhamdulillah,
Kak Mas sihat,” balasku sambil mencium pipinya, kiri dan kanan.
Wan
Jamilah siap berpakaian baju kurung Johor besar gedoboh. Mungkin kepunyaan
emaknya yang bertujuan untuk menutup perutnya yang kian memboyot. Aku memeluk
gadis itu lagi. Air mataku bergenangan. Sangat sukar bagiku untuk menutup
kehibaan ini. Terlalu sedih melihat ketabahan gadis ini.
Kami
tidak boleh berlama-lama di rumah Kak Roha. Selepas menikmati kopi ‘o’ panasnya
bersama pisang goreng, kami bergegas pulang.
Aku
membimbit beg pakaian Wan Jamilah manakala Nurin menyandang beg sekolahnya.
Kami bergerak perlahan-lahan kerana menuruti langkah Wan Jamilah yang agak
perlahan dan terbatas.
“Milah
nak ke mana?” Satu suara garau menegur Wan Jamilah. Serentak kami menoleh ke
arahnya. Seorang lelaki sedang mengelap motosikal di sisi tangga rumahnya.
“Milah
nak ikut kakak ni balik, Pak Cik Rosman,” sahut Wan Jamilah, jujur.
“Jaga
diri Milah baik-baik, ya,” sambung lelaki itu lagi dan kemudiannya dia
memandang ke arahku sambil tersenyum.
“Cik
Mas Khairani, ya?” tegurnya.
“Ya,”
sahutku sambil mengangguk-anggukkan kepala. Aku jadi tahu kalau inilah Encik
Rosman yang disebutkan Kak Roha dalam catatannya. Tapi aku lihat Encik Rosman
yang ini berbeza daripada Encik Rosman yang diperkatakan oleh Kak Roha. Aku
berazam untuk mengorek rahsianya daripada Wan Jamilah pula.
“Kami
pergi dulu, ya pak cik,” Wan Jamilah meminta diri. Encik Rosman mengangguk-anggukkan
kepalanya.
Kami
meneruskan perjalanan. Perasaanku membuak-buak ingin tahu perkembangan Encik
Rosman.
“Pak
cik Rosman tu baik, kak. Dia banyak membantu kami sekeluarga. Dia yang tolong
panggil orang untuk baiki rumah kami dan membuat pemasangan eletrik,” beritahu
Wan Jamilah tanpa aku pinta.
Ya,
memang aku nampak. Encik Rosman baik orangnya. Orangnya pun sudah agak berumur.
Memang sepatutnya dia sudah berubah. Takkanlah selama-lamanya dia mahu
bermusuhan dengan keluarga Kak Roha. Sedangkan anak sungai lagikan berubah,
inikan pula hati manusia.
Syukurlah
kalau sudah begitu kesudahannya. Manusia ini dipegang pada hati. Kalau hatinya
mahu bersih, pasti niatnya juga jadi bersih. Beruntunglah Kak Roha berjirankan
Encik Rosman yang mahu mengambil berat
tentang keluarga mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan