
BAB 8
Catatan Kak Roha
kututup seketika sambil kepalaku ligat mencari kesimpulan. Kak Roha semakin disayangi ibu mentuanya dan diterima
di dalam keluarga mereka. Bagaimana pula sekarang hidup Kak Roha sengsara
dengan menyara tiga orang anaknya? Apakah yang telah berlaku? Bagaimana dia
boleh terusir dari rumah mewah Haji Nik Dasuki dan Hajah Wan Maimun itu? Aku
semakin ghairah untuk mencari jawapannya.
Kalau boleh, aku tidak mahu berhenti membaca
catatannya tetapi aku juga perlukan masa untuk menyelesaikan tugasanku yang
lain. Aku bangun meninggalkan meja kerjaku. Pinggang yang terasa lenguh
kulentik-lentikkan ke depan dan ke belakang sehingga mengeluarkan bunyi krukk
krakk. Coretan Kak Roha semakin menarik minatku untuk terus membacanya. Satu
catatan lengkap berdasarkan pengalaman hidup yang dilaluinya. Aku semakin tidak
sabar untuk mengetahui kesudahan cerita Kak Roha.
Aku
mencapai mug berisi air horlicksku, kosong. Kugapai pula tabung air mineralku, juga kosong. Aku
mengambil mug dan tabung air yang kosong untuk kubawa ke dapur dan kupenuhkan
dengan air yang baharu.
Sewaktu
melintasi bilik Wan Jamilah, aku menjenguk sebentar ke dalam. Wan Jamilah
sedang berteleku di mejanya. Tidak tahu
apakah lagi yang merunsingkan fikirannya. Sejak membawa balik Wan
Jamilah ke rumah sewaan ini, dia kutempatkan di bilik tetamu yang selalu
digunakan oleh keluargaku dan juga keluarga Nurin jika sekali sekala mereka bertandang ke rumah sewaan kami.
Kebetulan bilik tidur di rumah ini ada tiga buah.
Sebuah bilik untukku, sebuah bilik untuk Nurin dan sebuah lagi kami peruntukan
buat Wan Jamilah. Jika keluargaku atau keluarga Nurin
datang, Wan Jamilah akan kubawa tidur di bilikku.
Wan
Jamilah ini baik budaknya. Tidak banyak kerenah dan tidak suka merungut.
Mungkin kejadian hitam yang meragut keperawanannya membuatkan dia matang
sebelum masanya. Air mataku
mengalir tanpa sedar. Siapa yang harus dipersalahkan atas nasib yang menimpanya?
Atas dosa apakah dia perlu menanggung bebanan ini?
Air mata yang berlinangan segera kuseka. Aku tidak
mahu terus dihanyutkan oleh arus emosi yang bertimpa-timpa. Kejadian yang
menimpa Wan Jamilah wajar dijadikan
pengajaran sebagaimana Kak Roha
mengizinkan aku menulis kisah hidupnya untuk dijadikan bahan pengajaran.
“Milah,”
seruku. Wan Jamilah tidak menyahut. Dia masih sahaja dibuai anganannya yang entah sudah sampai di dunia
mana.
“Milah,” seruku lagi. Kali ini, Wan Jamilah menoleh
tetapi wajahnya tetap tenang tanpa emosi. Aku tidak tahu apakah yang sedang
bermain di mindanya.
“Ya, Kak Mas,” Wan Jamilah akhirnya menyahut. Memang
dia anak yang bersopan. Mungkin telah diasuh ibunya agar bersikap sedemikian.
“Milah
dah makan?” tanyaku. Wan Jamilah hanya menggelengkan kepala.
“Mari,
kita makan sama-sama.” Wan Jamilah menggelengkan kepalanya lagi.
“Marilah
Milah. Temankan Kak Mas. Kak Mas lapar tapi tak ada selera nak makan. Kalau
Milah ada temankan, tentu Kak Mas lebih berselera,” pelawaku, memujuknya. Aku
tahu, Wan Jamilah memang agak kurang makan. Entah tidak berselera kerana
kandungan yang dibawanya atau memang dia ini jenis orang yang tidak makan
banyak.
“Marilah,
Milah,” aku tidak berputus asa untuk
terus memujuknya. Wan Jamilah bangun perlahan-lahan. Aku tersenyum.
Pujukanku berjaya melunakkan hatinya.
Aku
memaut bahunya. Kami sama-sama beriringan menuju ke dapur. Nurin masih belum
pulang. Dia bekerja mengikut waktu pejabat. Hampir ke pukul enam nanti barulah dia akan tercegat di
hadapan pintu rumah.
Aku
mengenali Nurin melalui Nazran. Nurin ini saudara jauh Nazran. Meskipun begitu,
mereka tidak tinggal sekampung. Aku yang tinggal sekampung dengan Nazran.
Nazran atas sedikit umurnya daripadaku. Nazran berkawan dengan abangku yang
kedua, Abang Hisyam. Mereka sebaya.
Sewaktu
rombongan Nazran datang meminangku, Nurin ada bersama. Saat itu, kami
berkenalan tetapi kami masih sahaja belum begitu mengenali sehinggalah Nazran
memperkenalkan aku kepadanya, kemudiannya.
Kebetulan Nurin sedang mencari rumah sewa kerana dia
baru berpindah tempat kerja. Aku yang menyewa
sendirian tidak keberatan untuk
membenarkan Nurin tinggal bersamaku. Sejak itulah kami menjadi teman baik. Teman yang saling memahami antara
satu sama lain. Aku menyukai sikap Nurin itu dan aku senang bersahabat
dengannya.
Dia seorang yang amat mudah untuk dibawa kira bicara.
Tidak banyak kerenah dan lebih banyak mengiya daripada menidakkan. Dua bulan
lagi, Nurin juga bakal mengikat tali pertunangan dengan rakan sepejabatnya.
Aku dan Wan Jamilah sedang berehat-rehat di bangku
taman sewaktu kereta Myvi putih Nurin membelok masuk ke perkarangan rumah
sewaan kami. Enjin kereta dimatikan dan dia melangkah keluar seraya menutup
kembali pintu keretanya. Nurin tersenyum dan
menghampiri kami sambil membimbit beg kerjanya.
“Assalammualaikum,”
sapanya.
“Waalaikummussalam,”
aku dan Wan Jamilah menyahut hampir serentak.
“Duduklah,”
pelawaku.
“Ada
meeting apa?” tanyanya, bergurau.
“Marilah,
cukupkan korum,” ujarku membalas gurauannya. Aku tahu, Nurin penat. Meskipun
begitu, dia tetap mempamerkan senyumannya kepada kami berdua.
Nurin
minta diri untuk masuk membersihkan dirinya. Kepenatannya yang baru pulang dari
kerja memang aku sedia maklum. Aku terus duduk-duduk di bangku taman itu sambil
berbual-bual dengan Wan Jamilah.
Wan
Jamilah yang kurang bercakap. Aku kasihan melihat anak ini yang bagaikan keliru
dengan persoalan yang menimpa dirinya. Sedikit-sebanyak, aku telah diberitahu
tentang angkara yang menimpanya. Wan Jamilah yang menjadi mangsa keadaan,
tersepit dalam gelora hidup yang tidak pernah dirancangnya.
Tiada lagi tawa riang yang sepatutnya keluar dari
bibir anak gadis semanis ini. Gadis sunti yang menjadi mangsa kerakusan manusia
yang sepatutnya menjadi pelindung baginya. Kalau boleh, aku tidak mahu berada
jauh darinya walaupun sesaat. Aku ingin terus bersamanya, meniupkan kata-kata
semangat padanya dan membawa dia bangkit semula.
Wan
Jamilah. Setiap kali memandang wajahnya, hatiku jadi sayu dan pilu. Aku tidak
mahu nasib anak ini diperjudikan. Biarlah aku menjadi sebahagian daripada
dirinya. Biarlah hadirku memberi makna kepada kehidupannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan