Selasa, 4 November 2014

MTD Bab 11




BAB 11
Pagi dengan panas yang semakin membahang. Awan yang bergayutan di dada langit juga semakin menipis, menampakkan puncak gunung yang tertegak angkuh menghimpunkan pelbagai flora dan fauna yang kian memupus.
Sudah lama aku tidak bersiar-siar di dalam kampong ini. Sejak aku mulai mengajar, aku sudah jarang-jarang pulang ke kampong kerana walaupun pada musim cuti sekolah, aku masih punya tugasan yang perlu diberesi. Biasanya pada minggu pertama cuti persekolahan, aku akan memastikan semua kerja berkaitan markah dan maklumat murid-muridku selesai dikemaskini.
Minggu kedua pula aku akan mengadakan kelas tambahan kepada murid-muridku yang akan menduduki peperiksaan UPSR dan kadang-kadang aku juga perlu menghadiri kursus jangka pendek yang diadakan di dalam musim cuti persekolahan. Minggu terakhir cutilah yang akan aku gunakan untuk kembali ke kampong menjenguk kedua orang tuaku.
Cuti yang sudah tiba di penghujung itulah yang aku gunakan sepenuhnya untuk bersama ibu dan ayah juga Danisha dan Qistina serta adik lelakiku, Razaman yang sekarang sedang mengajar di Kelas Asas Fardhu Ain di kampong kami.
 Sementara menantikan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dulu, Razaman ditawarkan untuk mengajar di kelas itu dan dia meneruskan kelasnya setelah mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan STAMnya. Adikku ini cita-citanya mahu menjadi seorang ustaz. Dia berhasrat untuk melanjutkan pengajian agamanya sama ada di Acheh ataupun Jordan.
Kami lima beradik sebenarnya. Aku anak yang kedua. Seorang abangku sudah berumahtangga dan tinggal di Seremban kerana bekerja di sana. Sehingga kini, tinggal aku dan adik lelaki ini sahaja yang masih solo manakala Danisha dan Qistina masih bersekolah. Aku pun kalau mengikut perancangannya, cuti hujung tahun ini bakal diijabkabulkan dengan Nazran, tunanganku sejak enam bulan yang lalu.
Semalam, aku telah berbual panjang dengan ibu dan ayah tentang keadaan Wan Jamilah. Mengucap panjang ayah mendengar ceritaku. Seorang manusia itu mampu menjadi syaitan dalam sekelip mata kalau tidak dipimpin dengan iman dan takwa. Allah menguji mereka dengan ujian yang seberat itu. Lega rasa hatiku dapat melepaskan beban sarat yang tertanggung di jiwa.
Embun masih memutih dan basah di hujung rumput. Bunga-bunga lalang berserakan di atas padang rumput dalam petak bendang yang kosong. Mungkin dibawa angin kencang yang bertiup petang semalam. Langkah kaki kuaturkan satu-persatu dengan penuh tertib, meniti di atas batas bendang yang agak licin.
Danisha dan Qistina yang kuajak menemaniku sedang berlari-lari ke hujung padang sana. Anak gadis sunti yang riang dan sangat bertuah nasib mereka kalau hendak dibandingkan dengan nasib malang yang menimpa Wan Jamilah.
Dari hujung padang buatan itu, aku nampak bumbung bangunan lama sekolah tempat aku mula-mula mengenali A,B,C dan 1,2,3 yang menempatkan bilik Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Bilik itu lebih dikenali dengan nama bilik BOSS (Bilik Operasi SPBT Sekolah). Kelihatan bangunan tua yang pernah berdiri megah itu kaku dan usang diapit oleh bangunan-bangunan baru yang lebih cantik dan mengancam. Sememangnya bangunan itu sudah sangat tua. Lebih tua daripada umurku sendiri.
Di situlah aku pernah menuntut ilmu selama enam tahun di bangku sekolah rendah. Di situlah aku mengenal A, B, C dan 1, 2, 3. Di situ jugalah aku mengenal alif, ba, ta. Tiba-tiba sahaja kisah lampau itu bagai menggamit kembali kenanganku yang lalu. Berlari-lari di atas batas bendang menuju ke sekolah bersama teman-teman sepermainan.
Selesai sesi persekolahan pagi, kami akan datang semula untuk menghadiri kelas agama rakyat. Usai kelas agama rakyat, kami tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya, kami merayau-rayau dahulu di pinggir-pinggir sungai mengutip pucuk paku atau mencari buah kasai yang hanyut dibawa air.
Kadang-kadang, kami mengambil batu atau kayu untuk membaling buah pauh yang lebat meranum berwarna ungu di belakang rumah Haji Zainuddin. Ambillah dan makanlah apa sahaja hasil kampong tanpa ada sekatan atau batasan daripada tuan yang empunya. Malahan kadang-kadang Hajah Naimah iaitu isteri Haji Zainuddin akan memanggil kami ke rumahnya.
Dia memberikan kami sebaldi pauh masak yang telah siap dipungutnya untuk kami agih-agihkan sesama sendiri. Pauh berkulit ungu dengan isi kuning keemasan itu memang enak dimakan begitu sahaja tapi untuk mengupasnya perlulah berhati-hati kerana getah pauh amat kuat kesan melekatnya.
Pernah sekali aku menggigit sahaja kulit buah pauh untuk memakan isinya. Tidak lama kemudian, seluruh bibir dan bucu bibirku melepuh. Sakitnya berhari-hari sehingga ibu terpaksa membawaku ke Klinik Desa kampong kami untuk mendapatkan krim sapu.
Sejak itu, aku amat berhati-hati untuk makan buah pauh walaupun ianya buah kegemaranku. Aku akan bawa balik ke rumah dan meminta ibu mengupas kulitnya untukku. Ibu akan mengupas kulit buah pauh dan membasuhnya di bawah air paip yang mengalir deras untuk membuang getah buah. Selepas itu, ibu akan menghiris isinya nipis-nipis dan menabur garam kecil beriodin sebelum menghidangkannya kepada kami.
Danisha dan Qistina mungkin tidak pernah mengalami pengalaman yang indah itu. Mereka tidak pernah mandi di sungai atau memanjat pokok jambu batu di tebing sungai itu kerana sejak mereka lahir, sungai itu pun sudah semakin cetek. Kerja-kerja pembalakan di hulu sungai membawa lumpur dan memusnahkan kejernihan air sungai yang kini mengalir lesu.
Tiada lagi suara riuh-rendah anak-anak mandi dan berenang di dalam sungai. Tiada lagi anak-anak yang melompat terjun ke dalam sungai dari julai pokok jambu batu yang melampai ke dalam lubuk sungai. Suatu keindahan yang sudah lama lenyap. Tebing sungai dipenuhi lalang dan duri kemang. Tiada siapa pun yang berani menjengah ke gigi air. Kelodak dan lumpur menghakis segala keindahan dan kedamaian itu.

Tiada ulasan: