Selasa, 4 November 2014

MTD Bab 12




BAB 12
Sewaktu aku tiba di tangga dapur, aku terdengar ibu sedang rancak berbual dengan Wan Jamilah. Sesekali terdengar tawa kecil Wan Jamilah. Entah apalah yang diceritakan ibu itu sehinggakan Wan Jamilah yang sedang bermuram durja itupun boleh tertawa mendengar celotehnya. Mungkin ibu sedang menghiburkan hati Wan Jamilah.
“Assalammualaikum,” aku melaungkan salam dari bawah sambil menanggalkan kasut sukanku.  Sekadar untuk memaklumkan bahawa aku telah tiba di rumah dan tidak mahu menerjah perbualan mereka begitu sahaja. Tangga kayu berminyak hitam di bahagian dapur kupijak penuh waspada. 
“Waalaikummussalam,” sahut mereka serentak. Daun pintu yang terbuka lebar itu kujengah perlahan. Cadangkan untuk bertanyakan cerita yang sedang mereka celotehkan tapi ibu pula yang terlebih dahulu menyapaku.
“Haaa…ke mana kamu, Mas? Pagi-pagi buta dah keluar. Takkan pergi ke rumah Nazran, kot. Pagi-pagi buta bertandang ke rumah orang. Nazran ada balik sekali ke?” Pandailah ibu menyebut Nazran. Rumah Nazran lima belas kilometer dari sini. Gila apa aku hendak berjalan kaki ke rumahnya. Ibu ni kalau iapun hendak mengusikku, biarlah berpada-pada. Merah juga rona mukaku diusik ibu begitu.
“Isy, ibu ni. Laju benar menyoal saya. Belum hilang semput saya nak menjawab soalan ibu yang bertalu-talu ni,” ujarku sambil mengambil tempat di meja makan. Sebelum keluar rumah tadi, aku sempat menyiapkan seteko kopi dan menggoreng nasi lebihan makan malam semalam.
“Kami pergi joginglah, ibu,” sahut Qistina yang sudah termengah-mengah tiba di sisiku.
“Haa…kamu berdua tak ada kelas tambahankah hari ini?” tanya ibu kepada dua beradik kembar itu.
“Ada, ibu. Pukul sembilan nanti kami pergilah,” sahut pula Danisha.
Cikgu zaman sekarang, musim cuti sekolah pun masih perlu mengadakan kelas tambahan untuk memastikan pencapaian murid-muridnya di dalam pelajaran tidak merudum.
“Ada tuisyen apa, dik?” tanyaku memandang Danisha. “Tingkatan dua pun ada kelas tambahan? Nak ambil periksa apa?” sambungku lagi, masih kehairanan.
“Ustazah Melor ada buat kelas. Usaha nak bagi budak-budak kampong ni lulus dalam peperiksaan I’dadi,” ibu pula yang menerangkan.
“Oh, bagusnya ustazah,” pujian yang ikhlas daripadaku. Ustazah Melor merupakan ustazah Kelas Asas Fardhu Ain di kampong kami. Razaman turut mengajar di sekolah itu. Danisha dan Qistina belajar di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan tinggal di asrama.
Bagus juga usaha Ustazah Melor ini. Cuti sekolah adik-adikku jadi tidak sia-sia. Qistina dan Danisha berlalu pergi selesai menikmati juadah sarapan pagi. Mungkin mereka mahu bergegas ke kelas tuisyen pula. Lagipun sekarang sudah hampir ke pukul lapan setengah pagi.
“Milah dah makan?” tanyaku, menegur Wan Jamilah. Nasi goreng dalam piring di hadapannya masih ada separuh. Dia tersenyum sambil bangun menuju ke rak pinggan, mengambil sebiji piring dan sudu dan kemudiannya, menyeduk nasi goreng yang sudah hilang kehangatannya ke dalam piring itu lalu meletakkannya di hadapanku.
“Jemput makan, Kak Mas,” ujarnya dengan kesantunan yang tinggi. Aku tersenyum.
“Tak payah susah-susah, Milah. Akak nak makan, nanti akak tahulah ambil sendiri. Milah tu yang kena jaga diri elok-elok.”  Wan Jamilah jadi terdiam mendengar ungkapanku. Suapannya terhenti di tengah jalan. Dia merenung jauh hingga tembus ke luar dinding.
“Milah, makan,” tegurku kerana tidak mahu dia dihanyutkan oleh perasaannya.
“Ibu, Man mana?” Aku cuba mengalihkan tumpuan dengan bertanyakan tentang adik bongsuku sambil berpaling ke arah ibu. Aku pura-pura tidak nampak air jernih yang sudah mulai menggenangi takungan kolam air mata Wan Jamilah.
“Man ke tasik sekejap. Nak tengok sangkar ikannya. Semalam hujan lebat dan angin pun kuat. Dia takut ikan-ikannya terlepas dari sangkar,” ibu menerangkan. Memang semalam hujan lebat betul. Aku teringatkan perjalananku mengelilingi kampong sebentar tadi. Di atas batas bendang penuh dengan bunga lalang.
Bunga lalang? Tiba-tiba sahaja aku termenung sendiri. Bukan bunga lalang sebenarnya. Baru aku teringat yang di tepi batas bendang itu ada beberapa pohon pokok kekabu sedang berbuah lebat. Bunga-bunga putih di tengah bendang kering itu bukan bunga lalang tapi buah kekabu kering yang pecah dan jatuh ditiup angin kencang.
“Ibu, banyak ke Man bela ikan?” Sekali ini aku betul-betul ingin tahu tentang aktiviti adik lelakiku ini yang sangat ringan tulang. Dengan kolam ikannya, dengan pengajaran di Kelas Asas Fardhu Ain dan entah apa lagi aktivitinya di kampong ini.
Dulu, dia pernah berjanji denganku, kalau aku dihantar untuk mengajar di kawasan pedalaman atau kawasan yang jauh dari rumah kami, dia akan menemaniku sebaik sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Tinggi Agamanya tetapi apabila Nurin datang tinggal bersama-samaku, dia membatalkan hasrat itu. Aku sudah ada teman dan aku juga bukanlah mengajar di tempat jin bertendang.
“Adalah sikit-sikit. Mula-mula tu, dia cuma bantu Pak Long Sani menguruskan sangkar-sangkar ikan tu dan kemudiannya dia beli pula dua buah sangkar ikan. Nanti kalau dia dapat sambung pengajiannya, pak long akan tolong jagakan ikan-ikan dia pula,” terang ibu panjang lebar.
“Bagus betul Man tu, ya ibu. Ingatkan anak manja ibu tu hanya pandai goyang kaki makan minum tidur baring sahaja. Pandai pula dia mencari rezeki,”  ikhlas aku memuji adikku itu. Memang Razaman anak yang agak manja. Bukan sahaja dengan ibu malahan dengan kami iaitu kakak dan abangnya juga dia menunjukkan kemanjaan.
“Patutlah dah lama dia tak minta duit Mas. Rupa-rupanya dia dah ada perusahaan sendiri.” Ibu meletakkan piring berisi ubi kayu rebus yang masih berasap di hadapan kami. Bau harum aroma ubi rebus dan kelapa parut bergaul gula dan sedikit garam itu menyumbat rongga hidungku.
“Memanglah kena rajin. Dia nak kumpul duit. Nanti katanya, senang kalau nak sambung pelajaran ke luar negara,” kata ibu sambil berlalu pergi meninggalkan ubi kayu rebus dan kelapa parut di hadapan kami.
“Man ada hasrat nak ke mana, ibu? Ke Mesir  atau Jordan?” tanyaku sambil memandang langkah kaki ibu. Wan Jamilah hanya terdiam sambil menyuap nasi gorengnya perlahan-lahan. Lambat betul anak ini makan. Entah sesuai atau tidak nasi goreng itu dengan seleranya. Dia tidak pernah merungut walau apa pun makanan yang kuhidangkan di hadapannya.
“Katanya nak ke Jordan tapi Si Husaini anak Haji Jamil ajak dia ke Acheh. Ikut dialah, Mas. Mana yang baik untuk dia, baiklah untuk kita.” Senang betul ibu membuat rumusan perihal masa depan pengajian anak lelaki bongsunya. Mungkin kerana ibu sudah benar-benar yakin dengan keupayaan Razaman.
Ibu mendekati kami semula sambil membawa sepiring ikan pekasam goreng. Wan Jamilah menjenguk ke dalam piring yang dihulurkan ibu. Kemudiannya, dia menutup hidungnya.
“Apa ni, ibu?” tanya Wan Jamilah.  Wan Jamilah sudah mulai memanggil ibuku dengan panggilan ibu juga. Mungkin ibu yang meminta dia memanggilnya begitu.
“Ikan tilapia dari sangkar Abang Razaman kamulah. Ibu buatkan pekasam. Sedap ni. Cubalah rasa.” Ibu mencubit sedikit isi ikan itu bersama-sama sedikit beras goreng garing dan diletakkan di pinggir piring nasi goreng Wan Jamilah.
“Milah boleh buat cicah ubi rebus juga. Sedap ni,” ibu sudah mulai membuat promosi percumanya pula. Wan Jamilah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Tak naklah, ibu. Milah rasa macam nak…” Kemudiannya, Wan Jamilah bergegas lari ke bilik air. Ibu terpinga-pinga. Aku bangun menyusul Wan Jamilah ke bilik air. Kasihan Wan Jamilah. Mungkin dia tidak biasa dengan bau busuk ikan pekasam goreng itu. Busuk bagi sesetengah orang tetapi amat harum dan wangi di hidung para penggemarnya.

Tiada ulasan: