Sabtu, 1 November 2014

MTD Fragmen 2 - Bab 1




CERITA MAS KHAIRANI
BAB 1
“Emak mana?” tanyaku sebaik sahaja terlihat kelibat kepala seorang kanak-kanak perempuan  tersembul di muka pintu selepas dia menjawab salam yang kulaungkan sebentar tadi.
“Emak belum balik lagi. Ini Kak Mas, ya?”  sahut kanak-kanak perempuan itu, menyapaku dengan suara yang lunak. Rambut hitamnya jatuh terjuntai di dahi saat matanya yang bundar itu merenung ke arahku.
“Ya.” Aku mengangguk-anggukkan kepala.
“Mak  pesan, kalau kakak datang, mak suruh naik dulu. Tunggu mak di rumah. Mak pergi tak lama,” terang anak itu lagi. Sejurus kemudian, daun pintu rumah itu telah lebar dikuaknya.
“Emak ke mana?” soalku inginkan kepastian kerana emaknya telah berjanji untuk menanti ketibaan kami.
“Emak keluar sebentar,” sahutnya lagi. “Tapi…, emak pesan suruh Kak Mas tunggu sehingga emak pulang.” Dia bagaikan teragak-agak untuk menuturkan kalimat itu, agak serba-salah juga.
Aku memandang Nurin di sisi. Nurin mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda bersetuju untuk menantikan kepulangan emak kanak-kanak perempuan ini. Sudah jauh kami berjalan dan sudah beberapa kali juga kami tersesat, mana mungkin kami akan pulang dengan tangan kosong dan mengalah begitu sahaja.
“Baiklah,” putusku akhirnya setelah mencongak-congak seketika. Pun kerana tidak mahu Nurin gelisah. Kami menanggalkan kasut dan kemudiannya aku mendahului Nurin, melangkah mendaki tujuh anak tangga itu dengan hati-hati.
“Adik ni Wan Jamilah, ya?” tanyaku sebaik sahaja telah tegak berada di serambi, sekadar meneka-neka namun kupasti, tekaanku benar.
“Ya,” sahutnya terbata-bata sambil menghulurkan tangan padaku. Aku menyambut hulurannya, sejuk tapak tangan itu. Dia menciumi tanganku dan selepas itu aku memeluknya, melagakan pipi kami , kiri, kanan dan kiri semula sambil mengusap-usap kepalanya.
Seorang lagi kanak-kanak perempuan muncul dari belakang, mungkin adiknya kerana wajah mereka hampir sama.
“Ini Wan Jamnah,” ujarnya memperkenalkan tanpa dipinta. Anak kecil itu turut bersalaman dengan kami. Manis dan sopan sekali tingkah-lakunya walaupun masih terlalu kecil. Dalam lingkungan lima atau enam tahun usianya mungkin. Agaknya memang telah dididik sedemikian rupa oleh ibunya.
“Mana Nik Jamali?” Aku sekadar bertanya kerana aku tidak melihat kanak-kanak lelaki di mana-mana. Sebelum ini aku difahamkan bahawa Kak Roha memiliki tiga orang anak, dua perempuan dan seorang lelaki. Kalau yang perempuan-perempuannya sudah berada di hadapanku, pastilah yang seorang lagi itu lelaki iaitu Nik Jamali.
“Jamali temani emak.”
“Emak ke mana sebenarnya?” Wajarkah aku bertanyakan soalan itu? Tapi apakan daya, aku sudah terlanjur bertanyakannya. Bukan dibuat-buat tetapi serius, aku memang ingin tahu.
“Err…emak ke farmasi, beli ubat gastrik.”
“Gastrik? Siapa yang kena gastrik?” Ah, aku ini. Masih sahaja terus bertanya. Nurin menyikuku. Aku menoleh ke arahnya dan tersenyum sumbing. Bukan berniat untuk menjaga tepi kain orang tetapi sekadar inginkan kepastian. Dengan isyarat tangannya, Wan Jamilah mempelawa kami duduk.
“Emak,” sahut Wan Jamilah kemudiannya. Kami melabuhkan punggung di atas setti rotan beralas kusyen kusam warna hijau pudar di ruang tamu yang agak sempit itu.
“Dah lamakah mak sakit? Kenapa beli ubat di farmasi? Kenapa emak tak pergi ke klinik kerajaan sahaja?” Nurin sudah mulai buat-buat tidak faham dengan pertanyaanku yang bertalu-talu itu. Mungkin juga kerana dia  telah memahami tabiatku, selagi tidak berpuas hati tentang sesuatu perkara pasti aku akan terus menyelidikinya dan tidak akan berhenti bertanya. Polis Pencen, kata Nurin menggelarku.
“Entahlah, kak. Milah pun tak tahu. Akak berdua duduklah dulu, ya. Milah ke dapur bancuh air,” sahut Wan Jamilah sambil bangun untuk meninggalkan kami. Mungkin juga dia ingin menutup peluang untukku terus mencungkil rahsia. Anak gadis itu yang telah dewasa sebelum masanya.
Aku lihat Wan Jamilah bangun dengan agak perlahan, cuba mengimbangi badannya dengan perut yang semakin membuncit. Kasihan gadis sunti ini. Sepatutnya, dalam usia yang sebegini, dia sedang bermain dengan rakan-rakan sebayanya, melompat-lompat di tengah padang atau berbasikal keliling kampung.
Tetapi, entah apakah malang nasibnya, gadis sunti  ini terpaksa menanggung bebanan kehidupan yang tidak sepatutnya menimpa dirinya yang masih terlalu muda. Beban hidup yang mungkin juga tidak tertanggung oleh orang yang lebih dewasa. Rasa simpatiku semakin merimbun.
Aku meneliti pergerakan Wan Jamilah yang agak lambat. Dia berdiri di depanku. Gadis kecil dengan kulit agak cerah. Cerah kulit anak gadis Melayu, bukannya betul-betul putih melepak. Cukup sesuai dengan raut wajahnya yang sederhana, manis dan ayu gadis Melayu. Kecantikan yang alami dengan hidung sedikit pesek, bibir kecil yang pucat dan mata bundarnya redup memandangku. Dia beralih menuju ke dapur.
Aku mengeluh perlahan. Perasaan kasihanku jatuh padanya. Kutoleh Nurin di sisi. Dia tidak memandangku tetapi sebaliknya, matanya menerawang ke segenap ruang tamu yang agak sempit itu. Entah apa yang ditenungnya seolah-olah sedang mentafsir sesuatu. Nurin yang teliti dan perasa orangnya.
“Polis Pencen,” bisiknya. Aku hanya tersengih. Aku tahu, Nurin tujukan ungkapan itu kepadaku tapi aku tidak terasa hati kerana sudah terbiasa mendengar gelaran itu disebut-sebutnya. Dia sengaja mengusikku.

Tiada ulasan: