Isnin, 3 November 2014

MTD Bab 5




BAB 5
Nurin menjengah ke bilik tidurku.
“Mas dah siap?” tanyanya. Aku segera menoleh ke arahnya sambil mengangguk-anggukkan kepala. Naskhah catatan Kak Roha kumasukkan ke dalam laci meja kerjaku dan kukuncinya baik-baik. Kunci itu kumasukkan ke dalam beg tanganku. Walaupun tiada sesiapa di dalam rumah ini melainkan hanya kami berdua, namun aku tetap ingin menjaga amanah Kak Roha ini dengan sebaik mungkin seperti janjiku padanya.
Setelah bertemu Kak Roha dan keluarganya tempoh hari, ini adalah kali kedua kami akan berkunjung lagi ke rumah mereka. Kali ini dengan satu tujuan. Kami akan membawa  Wan Jamilah pulang ke rumah sewaan kami ini. Aku telah berjanji dengan Kak  Roha untuk menjaga Wan Jamilah sehingga dia selamat melahirkan anaknya.
Selesai mengemaskan buku-buku catatan harianku dan kertas-kertas yang berselerak di atas meja kerjaku, aku menuju  ke almari solek. Aku merenung balikan wajahku di dalam sana. Kusapu bedak kompak Safi secara menipis dan kubetul-betulkan tudung kepalaku. Kemudiannya, aku  ke ruang tamu mencari Nurin.
Apabila aku menjengah keluar, Nurin sedang menyiram pokok bunga. Mungkin dia berbuat demikian sebagai mengisi masa sementara menantikan aku bersiap. Aku tidak mahu mengganggunya. Sebaliknya, aku terus menyarungkan kasutku dan menuju ke kereta. Kuhidupkan enjin kereta itu dan Nurin menoleh  ke arahku. Dia menuju ke kepala paip dan menutupnya.
Kemudian dia bergegas mengambil beg tangannya di atas meja batu marmar putih  di sisi garaj dan melangkah laju ke arahku. Pintu kereta di  sisi dikuakkannya. Dia melabuhkan punggung di sebelahku. Aku memasukkan gear undur, melepaskan brek tangan dan bergerak keluar meninggalkan halaman.
Kami telah bersepakat untuk membenarkan Wan Jamilah  tinggal bersama kami. Aku boleh membimbingnya untuk mengulang kaji mata pelajarannya yang tertinggal. Aku akan  memastikan dia akan tetap menduduki peperiksaan PMRnya tahun ini selepas dia bersalin nanti. Kak Roha telah menyatakan persetujuannya dengan cadanganku.
Sekurang-kurangnya, aku boleh membantu Wan Jamilah memulihkan semangatnya. Menghindarinya daripada umpat keji orang kampong yang tidak memahami keadaannya. Bukan semua manusia ini bersifat durjana. Masih ramai yang berhati mulia. Masih  ramai yang menaruh belas kasihan terhadapnya.
“Apa  kata Abang Nazran?” tanya Nurin tiba-tiba. Nazran tunanganku. Memang tidak pernah menyuarakan apa-apa halangan saat aku menyatakan hasratku untuk membawa  Wan Jamilah tinggal bersamaku. Mungkin dia memahami kehendakku untuk membantu insan-insan yang memerlukan bantuan.
Aku bertemu dengan Kak Roha pun secara tidak sengaja. Bukan dia ada pertalian darah denganku. Aku hanya mengenalinya melalui Danish. Danish anak Ustazah Sarifah dan juga merupakan pelajarku yang paling pendiam, yang paling baik dan yang paling pandai. Danish telah memikat hatiku sejak kali pertama aku menatap wajahnya.
Aku tidak tahu kenapa aku menyukai Danish tapi sikap hormat dan tanggungjawab yang ditunjukkannya membuatkan aku menyukainya. Bukan Danish sahaja yang kusukai. Aku juga menyukai pelajar-pelajarku yang lain. Aku terhibur dengan kerenah dan keletah mereka yang pelbagai. Melayani mereka dapat mengubati kerinduan terhadap dua  orang adik kecilku di kampong.
Danish bercerita tentang Mak Cik Roha, pengasuh yang ditugaskan ibunya untuk membersihkan rumah dan menjaga adiknya semasa mereka keluar bekerja. Saat heboh berita tentang budak sekolah menengah empat belas tahun hamil, Danish mendekatiku. Entah kenapa, ringan sahaja mulutnya membuka rahsia, gadis sunti itu merupakan anak Mak Cik Roha.
Hatiku melambai-lambai untuk menemui Kak Roha. Aku ingin merisik khabar tentang Wan Jamilah yang bersekolah di sebuah sekolah menengah berhampiran dengan sekolahku. Barulah aku tahu cerita sebenar mereka.  Kalau sebelum ini aku hanya mendengar khabar angin yang belum tentu ada kesahihannya, kini telah kutemui cerita yang sebenarnya. Kak Roha yang agak sukar untuk didekati pada awalnya, akhirnya mengalah juga pada pujuk rayuku.
Nurin hanya tersenyum saat aku telah berjaya menawan hati Kak Roha. Dia  memang meyakini keupayaanku. Aku sendiri telah menggunakan segala kepakaranku dalam bidang pujuk memujuk ini, mustahil Kak Roha akan terlepas dari jeratku dengan sebegitu mudah. Lagipun, aku ikhlas untuk membantunya, membantu Wan Jamilah anak gadis malang itu.
“Abang Nazran tak kata apa-apakah?” Nurin mengulangi  pertanyaannya. Walaupun berlainan ayatnya tetapi tetap menjurus kepada pokok persoalan yang sama. Aku tersenyum. Nurin yang jarang bercakap ini tiba-tiba sahaja mengambil alih tugasku. Bertanyakan soalan yang pelbagai.
“Kenapa senyum?” Nampaknya Nurin masih belum berpuas hati selagi belum mendengar jawapanku.
“Abang Nazran ok. Mas inikan pakar pujuk-memujuk. Abang Nazran pasti cair dengan pujukanku,” kataku, membangga diri.
“Huh…,” Nurin melahirkan  rasa jengkelnya. Aku hanya tertawa. Sukar untuk melihat Nurin mempamerkan perasaannya.
“Mas bergurau sajalah,” ujarku sambil melanjutkan  tawa. Nurin juga turut tertawa kecil kemudiannya.
“Kita hanya  hendak membantu Wan Jamilah. Perbuatan yang baik pasti akan direstui ALLAH. Mas ingin menyelamatkan Wan Jamilah dan anak yang dikandungnya. Wan Jamilah tidak berdosa. Mas kasihan melihatnya.”
Nurin mengangguk-anggukkan kepalanya. Aku beruntung mempunyai teman serumah seperti Nurin. Dia tidak membantah saat kusuarakan hasratku untuk membantu Wan Jamilah. Malahan, dia yang beria-ia menyuruh aku segera membawa Wan Jamilah ke rumah kami. Buktinya, dia juga mengikutku ke mana sahaja aku pergi untuk menguruskan hal Wan Jamilah.

Tiada ulasan: