Selasa, 4 November 2014

MTD Bab 10




BAB 10
 “Hujung minggu ni ikut Kak Mas balik Perak ya, Milah,” ujarku saat kami sedang menikmati makan malam. Nurin hanya tunduk memandang nasi di dalam pinggannya sambil mengunyah perlahan-lahan. Dia sudah tahu tentang perancanganku ini tetapi dia tidak dapat bersama-sama kami untuk pulang ke kampungku. Kami cuti sekolah selama  seminggu manakala Nurin tidak mengambil cuti.
Kerja pejabat sepertinya mana mungkin dia akan selalu dapat mengambil cuti. Malahan katanya, dia hendak menyimpan cutinya untuk meraikan majlis perkahwinanku dengan Nazran hujung tahun nanti.
Wan Jamilah terhenti suapannya. Dia merenung ke arahku. Aku hanya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepalaku. Dia juga, kemudiannya, tertunduk kembali dan menyudahkan suapannya.
Sebenarnya, aku sudah berjanji dengan ibu untuk membawanya pulang. Ibu hendak membawa Wan Jamilah untuk ‘merasa perut’ dengan Bidan Mak Ngah Che Wok, bidan kampung yang juga merupakan ibu saudaraku, kakak kedua ibuku. Kata ibu, tujuannya untuk memudahkan proses Wan Jamilah melahirkan anaknya kelak.
Aku hanya menurut kata ibu. Kadangkala, petua orang tua-tua ini perlu juga digunapakai. Banyak juga yang aku kena pelajari dalam urusan mengendalikan ‘wanita kecil’ berbadan dua ini. Aku bimbang seandainya Wan Jamilah mengalami kesukaran semasa melahirkan anaknya kelak.
Doktor Maimin Suhaya, doktor pakar wanita di hospital swasta tempat aku mendapatkan pemeriksaan kesihatan sepanjang Wan Jamilah mengandung, memang meminta aku supaya sentiasa memperhatikan keadaan Wan Jamilah. Kemungkinan besar, Wan Jamilah tidak dapat bersalin secara normal.
Aku tahu itu, namun aku sekadar ingin berusaha. Tiada salahnya mencuba. Mungkin Mak Ngah Che Wok dapat menggunakan segala kepakarannya sebagai bidan kampung sejak sekian lama dan sehingga kini telah mendapat pengiktirafan sebagai bidan bertauliah yang banyak membantu Jururawat Masyarakat di kampungku untuk membantu Wan Jamilah.
Pagi Sabtu itu, kami bersiap-siap dengan barang-barang untuk pulang bercuti di kampungku. Aku pun memang sudah lama tidak menjengah ibu dan ayah di kampong itu sejak aku semakin sibuk menguruskan kes Wan Jamilah juga melaksanakan program-program yang diadakan di sekolah.
Nurin membantu Wan Jamilah mengheret beg pakaiannya. Wan Jamilah yang sudah semakin ceria meskipun perutnya kian memboyot. Aku membuka boot kereta dan membawa masuk barang-barang kami.
Hari ini aku membawa Wan Jamilah pulang ke kampungku. Telah kumaklumkan kepada ibu dan keluarga tentang Wan Jamilah tetapi belum kumaklumkan bahawa keadaan Wan Jamilah sedemikian rupa akibat perbuatan seorang insan yang sepatutnya menjadi pelindung buatnya. Susah  mahu aku terangkan melalui telefon. Lebih baik aku pulang dan berterus-terang dengan ibu dan ayah secara bersemuka.
Sengaja aku memulakan perjalanan awal pada pagi itu agar kami tidak bersesak-sesak di jalan raya dengan pengguna jalan raya yang lain. Perjalanan yang agak jauh dan memenatkan.  Kami tiba di simpang masuk ke rumahku sewaktu matahari telah condong ke barat.
Ibu yang sedang menarik pelepah kelapa di sebelah rusuk kanan rumah segera berlari-lari menyambut ketibaan kami. Mulutnya berceridauan memanggil-manggil ayah.
Aku tersenyum sendiri. Begitulah ibu yang sentiasa aktif dan ceria menyambut ketibaanku dan ibu memang sentiasa ceria sepanjang masa. Alhamdulillah kerana Allah masih mengurniakan ibu dengan kesihatan yang baik. Ayah turun ke muka serambi dengan senyuman memanjang. Ibu dan ayah yang sentiasa bahagia dan ceria.
Aku membelokkan keretaku ke bawah pokok kelapa berbuah muda yang pelepahnya baru ditarik ibu sebentar tadi. Ibu di luar sudah mula menggamit-gamitkan tangannya semula. Aku tersenyum, sengaja ingin mengusik ibu. Dua orang adik perempuanku, Danisha dan Qistina  yang hampir sebaya Wan Jamilah turut berlari turun, menyambut kepulangan kami.
Memang aku tahu, ibu tidak membenarkan aku memarkirkan kereta di bawah pokok kelapa walaupun tiada buah masak atau pelepah kering kerana mumbang kelapa muda juga selalu luruh.
Akhirnya, kuundur semula kereta dan bergerak ke depan tangga. Meletakkan keretaku di sebelah kereta ayah. Mulut ibu terkumat-kamit macam bertih jagung sambil memandang-mandang ayah di serambi yang tersenyum sejak tadi. Entah apalah yang sedang diperkatakan ibu itu. Tapi nampaknya dia berpuas hati kerana aku tidak jadi meletakkan keretaku di bawah pokok kelapa sana.

Tiada ulasan: