Isnin, 3 November 2014

MTD Bab 4




BAB 4
“Assalammualaikum,” sapaku.
Wan Jamilah menoleh ke arahku. Mungkin terkejut dengan sapaan yang tiba-tiba itu. Sejurus kemudian, dia tersenyum tipis. Tetap tersenyum walaupun di dalam dadanya sarat dengan pelbagai cerita duka.
“Waalaikummussalam. Duduklah, kak,” pelawa Wan Jamilah sambil mengengsot sedikit, memberi ruang kepadaku untuk duduk di sebelahnya. Kemudian bebola matanya kembali berlari ke arah teman-teman di bawah pokok. Pokok manggis itu tampak lebih jelas dari sisi sini. Aku duduk bersimpuh di sebelah Wan Jamilah.
Lama kami terdiam. Aku kehilangan kata-kata. Akhirnya, kubiarkan Wan Jamilah terus melayani keasyikannya memandang dari celah tingkap papan itu ke arah kemeriahan di bawah sana.
“Kak Milah, marilah main sama-sama kami,” laung seorang anak kecil di bawah sana, anak yang masih belum mampu mengerti penanggungan yang ditanggung oleh seorang Wan Jamilah.
Wan Jamilah tersengih. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Matanya tetap tidak beralih.
“Marilah Milah,” laung pula seorang kawannya lagi. Mereka semakin berkerumun di bawah tingkap kami.
“Tak apalah, saya tak sihat. Nanti kalau saya dah sihat, saya akan bermain dengan kamu,” ujar Wan Jamilah. Aku terharu lagi mendengar harapan Wan Jamilah.
Kugosok bahu Wan Jamilah perlahan-lahan. Kawan-kawan kecil Wan Jamilah telah berlari kembali ke bawah pokok manggis. Mereka bermain kejar-kejar aci duduk. Yang pastinya keinginan Wan Jamilah bukanlah untuk bermain kejar-kejaran dengan anak-anak kecil itu tetapi kelompok anak gadis di atas pangkin kecil itulah yang lebih mencuri perhatiannya.
“Milah nanti duduk dengan kakak, ya?” Wan Jamilah tidak menjawab. Suasana jadi hening seketika. Aku jadi bimbang jika tiba-tiba Wan Jamilah berubah fikirannya.
“Milah nak duduk dengan kakak?” tanyaku lagi.
Wan Jamilah mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Milah nak belajar. Mak kata, kalau tinggal dengan kakak, kakak boleh ajar Milah, betul ke?” Aku gembira kerana Wan Jamilah sudah mahu membalas bicaraku.
“Ya. Nanti kakak akan bimbing Milah untuk menjawab soalan dalam peperiksaan.” Wan Jamilah tersenyum mendengar janjiku untuk membantunya.
Wan Jamilah anak yang cerdik. Aku sudah memeriksa rekod kemajuannya. Dia tidak pernah jatuh dalam setiap peperiksaan yang didudukinya. Keputusan UPSRnya tiga tahun yang lalu juga tidak mengecewakan, 4A 1B. Cuma sejak akhir-akhir ini iaitu sejak kejadian yang menimpa dirinya, pelajarannya sedikit terjejas. Kalau digilap semula, tidak mustahil Wan Jamilah akan mendapat keputusan yang cemerlang di peringkat sekolah menengah rendahnya.
Aku ingin membimbing Wan Jamilah bukan setakat di dalam bidang pelajaran tetapi aku juga ingin memulihkan kembali semangatnya. Semangat seorang gadis kecil yang hilang setelah maruahnya diragut dengan kejam. Diragut oleh seseorang yang diharapkan untuk melindunginya.
 Aku difahamkan bahawa Wan Jamilah tidak mahu ke sekolah. Dia malu dengan teman-temannya kerana ada dalam kalangan mereka yang mengejek-ejeknya. Wan Jamilah yang bijak, tiba-tiba sahaja hilang keyakinan diri saat musibah itu datang melanda. Kasihan Wan Jamilah! Aku akan berusaha membantunya untuk bangkit semula.
Aku sendiri tidak punya apa-apa kemahiran tetapi aku sangat-sangat berharap agar aku dapat memberikan sedikit sumbangan kepada Wan Jamilah dan keluarganya. Ikhlas rasa hatiku untuk membantu seorang Wan Jamilah.
“Kak…,” panggil Wan Jamilah setelah sekian lama dia menyepi.
“Hmmm…ada apa?” tanyaku sambil menoleh ke arahnya. Angin petang menerpa dari luar, menari-narikan rambut Wan Jamilah yang terjuntai di dahi. Mata bundarnya yang bagaikan menakung sekolam air jernih menunggu masa untuk melimpah keluar, merenungku penuh simpati.
“Tak apakah saya tinggal dengan kakak?” tanya Wan Jamilah seakan-akan meminta kepastianku pula.
“Akak senang kalau Milah mahu tinggal dengan akak,” ujarku membalas keraguannya. Wan Jamilah menarik nafas panjang.
“Milah takut menyusahkan akak,” suaranya kedengaran perlahan namun masih jelas pada pendengaranku.
Aku kembali menggosok-gosok bahu Wan Jamilah, mengusapnya lembut sekali bagai cuba menenangkan jiwanya yang lara.
“Milah jangan risau. Akak akan jaga Milah. Apa yang penting, Milah jangan banyak berfikir. Yang berlaku sudah pun berlaku. Tidak dapat diundur walaupun selangkah. Sekarang ini, mari kita depani pula ujian ini.”
Suasana hening seketika antara kami berdua walaupun di bawah sana masih gamat dengan jerit-pekik anak-anak kecil itu berlari-larian.
“Kenapa Milah, kak?” sayu suara Wan Jamilah seakan menyesali takdir yang menimpanya.
“Kerana Milah anak yang kuat. Kerana Tuhan nak uji Milah. Kerana Allah nak beri Milah pahala yang banyak. Tidak semua orang diuji seperti Milah. Milah insan yang dipilih Allah. Allah menguji kita dengan bermacam cara,” ujarku lagi.
Mulut Wan Jamilah seakan terkunci. Tidak semena-mena, dia berpaling ke arahku dan memeluk leherku, erat. Wan Jamilah menangis dan aku juga menangis tapi air mataku jatuh ke dalam hati. Aku tidak mahu meruntun perasaan Wan Jamilah dengan air mataku.

Tiada ulasan: