
BAB 15
Sebentar
kemudian, aku menghelakan kakiku menuju ke meja makan mak ngah. Agak berserabut
juga di atas meja itu. Ada bungkusan-bungkusan makanan yang sudah digunakan dan
ada juga bungkusan yang masih berisi lauk. Mungkin mak ngah belum sempat
memasak kerana bungkusan-bungkusan ini menandakan mak ngah membeli makanan di
luar.
“Tengah
hari tadi, mak ngah tak masak pun. Pak Cik Hamdan kamu yang pergi beli makanan
siap dimasak ni. Mak ngah belum sempat masak apa-apa lagi pun,” mak ngah
menerangkan bagai mengerti apakah yang sedang berlegar di fikiranku.
“Mak
Cik Pesah ke mana, mak ngah?” Kalau Mak Cik Pesah iaitu isteri Pak Cik Hamdan
ada, tentu dia boleh masakkan untuk mak ngah ataupun mak ngah yang pergi makan
tengah hari di rumahnya.
“Mak
Cik Pesah ke Taiping. Menantunya nak ke Mekah menunaikan umrah. Biasalah
cuti-cuti sekolah ni, ramai yang buat majlis dan ramai juga yang pergi umrah,”
jelas mak ngah.
“Pak
cik tak ikut sekali?” Banyak pula soalanku ini. Wan Jamilah sudah mulai
mengemas meja. Plastik-plastik makanan yang kosong itu dimasukkan ke dalam
sebuah beg plastik yang lebih besar.
“Milah,
engkau jangan nak kemas-kemas meja tu. Duduk sahaja berehat di situ. Biar mak
ngah yang kemaskan,” larang mak ngah sambil mengambil plastik di tangan Wan
Jamilah. Wan Jamilah agak serba-salah pula tapi dia duduk juga apabila mak ngah
menyorongkan kerusi kepadanya.
“Pak
Cik Hamdan kamu nak berjalan? Hmmm…banyak perkara yang dia nak uruskan di sini.
Dengan ayam itiknya, dengan kambing lembunya. Itupun tiga ekor arnabnya dah
diberikan pada Arman. Kalau tidak, dengan arnabnya lagi,” panjang pula ulasan
mak ngah perihal adiknya itu.
Mak
ngah ini mereka empat beradik. Pak Long Sani yang sulung, mak ngah anak kedua dan
Pak Cik Hamdan anak ketiga. Emakku pula anak keempat tetapi berlainan ibu.
Emaklah satu-satunya anak arwah datuk dengan arwah nenekku.Selepas isterinya
iaitu emak pak long, mak ngah dan pak cik meninggal dunia, arwah datuk
berkahwin pula dengan arwah nenekku.
Menurut
ibu, semasa arwah datuk dan nenekku berkahwin, Pak Cik Hamdan baru belajar
berjalan jatuh. Neneklah yang menjaga pak cik dan adik-beradiknya yang lain
seperti anak sendiri. Walaupun berlainan ibu tetapi hubungan mereka
adik-beradik sangat akrab. Pak Cik Hamdan dan Mak Ngah Cik Wok tinggal di tanah
tapak asal rumah arwah datuk manakala ibu pula mengikut ayah ke baruh setelah
mereka berumahtangga.
Pak
Long Sani pula mengusahakan penternakan ikan air tawar yang diwarisi daripada
datuk. Masing-masing sudah berkeluarga dan punya kehidupan sendiri.
Sekali-sekala kami akan berkumpul di dalam majlis keramaian keluarga dan tidak
lupa untuk saling berkunjung saat hari raya menjelang tiba.
Aku
menuju ke singki, mencapai cerek dan membasuh habuk-habuk yang melekat padanya,
luar dan dalam. Kemudian, aku mengisi air ke dalamnya dan menenggekkannya di
atas dapur. Puas kupusing tombol dapur namun tiada api yang keluar. Gas mak
ngah habiskah?
Aku
menarik pintu kabinet bawah, mengintai tong gas di bawah dapur. Kepalanya tidak
bertemu pada tong gas. Oh, patutlah tidak keluar apinya. Aku membongkok,
menarik kepala gas dan menyambungkannya pada kepala tong gas. Menekannya kuat
sehingga kedengaran bunyi kelepak!
“Haaaa….kepala
gasnya mak ngah cabut masa nak Kuala Lumpur hari tu.” Mak ngah ni, macam dapat
pula membaca pemikiranku. Tahu-tahu sahaja yang aku sedang cuba menghidupkan
api dapur itu. Kucuba menyalakan api dapur gas. Dua tiga kali mencuba, barulah
terdapat nyalaan berwarna biru.
Sementara
menantikan air masak, aku menyambung kerja Wan Jamilah mengemas meja mak ngah.
Mak ngah pula turun ke tanah dan hilang entah ke mana tanpa memberitahuku. Aku
mengambil kerusi dan duduk di sebelah Wan Jamilah. Ada riak keletihan di
wajahnya.
“Milah
dah telefon mak?” tanyaku, memulakan perbualan.
“Sudah,
pagi tadi,” sahut Wan Jamilah perlahan.
“Milah
letihkah?” sambungku apabila kulihat tanda-tanda kelelahan di wajah itu. Wan
Jamilah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kalau
Milah letih, pergi baring dulu di sofa sana. Nanti Kak Mas kejutkan.” Aku tidak
tahu bagaimanakah penanggungan wanita yang sedang hamil tetapi aku benar-benar
nampak keletihan di raut wajah Wan Jamilah. Aku merasai keletihan dan kepenatan
itu.
“Boleh
tidur, kak?” Wan Jamilah sepertinya meminta kebenaranku.
“Pergilah
tidur dan berehat. Nanti, masuk waktu Asar, Kak Mas kejutkan Milah,” ujarku
memberikan cadangan.
Wan
Jamilah mempamerkan senyum tipis. Senyuman yang hanya dia yang mengerti
maknanya kerana dalam senyuman itu bagaikan sarat tersimpan kesedihan yang membusung.
Jernih mata Wan Jamilah memang selalu melirihkan hatiku. Sabarlah, Milah.
Redhalah, dik. Allah mendugamu kerana Dia ingin memberikan nikmat buatmu.
Wan
Jamilah bangun dengan agak perlahan seperti kebiasaannya. Dia menapak longlai
ke ruang tamu. Air mataku jatuh lagi. Entah untuk kali yang keberapakah aku
masih sahaja menangisi nasib Wan Jamilah. Wan Jamilah kuat, kenapa pula aku
mesti jadi selemah ini. Aku menyeka air mata yang sudah mulai menjamah pipi.
Bunyi
air panas berdesir di dalam cerek dan kemudian mengeluarkan bunyi sirennya yang
langsing. Aku bergegas bangun memadamkan api. Mak ngah termengah-mengah naik
memanjat tangga.
“Mak
ngah ke mana?” tanyaku sebab mak ngah menghilang tadi tanpa memberi tahu
apa-apa.
“Mak
ngah pergi ambil jambu air ni. Tadi masa ke belakang, mak ngah ada nampak jambu
air yang meranum ni tapi tak sempat nak petik.” Mak ngah letakkan bungkusan
plastik di atas meja. Beberapa biji buah jambu air berwarna merah meranum itu
tergolek di atas meja.
Tentu
Wan Jamilah suka sebab beberapa hari yang lalu, dia bertanyakan buah jambu air
di rumah ibu, bilakah masaknya? Buah jambu air ibu baru berputik. Lambat lagi
mahu masaknya. Mungkin tak sempat Wan Jamilah merasa sebelum kami pulang seusai
cuti. Rezeki Wan Jamilah, desis hatiku kesyukuran.
“Milah
mana?” tanya mak ngah.
“Saya
suruh dia baring kat sofa sana, mak ngah. Nampak macam letih saja.”
“Letihlah,
memang macam itulah adatnya. Dah tujuh bulan, kan?” tanya mak ngah pula.
“Hmmm…,”
aku berdehem sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Macam
mana cerita orang yang memperkosanya? Sudah dapat ditangkapkah?” Mak ngah
menurunkan nada suaranya sewaktu bertanyakan perkara tersebut padaku.
“Belum
mak ngah. Dia lari bersembunyi entah di mana. Allah itu Maha Kaya. Moga-moga
dia dapat balasan yang setimpalnya,” dadaku sudah mulai rasa berkelun-kelun
semula. Mak ngah sudah tahu cerita tentang Wan Jamilah seperti yang diberitahu
ibu agaknya.
“Mak
kamu ada telefon mak ngah pagi tadi,” jelas mak ngah. Mungkin selepas mendengar
cerita aku semalam, ibu mengambil keputusan untuk menghubungi mak ngah pagi
ini. Memang aku berharap agar ibu dapat bagitahu mak ngah kerana aku rasa tidak
sanggup untuk menyampaikannya sendiri lebih-lebih lagi Wan Jamilah sentiasa ada
bersamaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan