Rabu, 10 Disember 2014

MTD Bab 30


BAB 30
Seminggu menghabiskan cuti di kampong, kami berangkat kembali ke rumah sewaanku. Agak sedih juga untuk berpisah dengan ibu. Entah bilakah kami dapat bersua lagi. Cuma janji ibu, apabila Wan Jamilah bersalin, dia akan datang membantuku menjaga Wan Jamilah. Aku terharu dengan kesediaan ibu itu. Sangat-sangat terharu.
Sejak akhir-akhir ini, aku selalu nampak sebuah kereta Wira putih yang diparkir agak terlindung dari rumahku tapi dari tingkap bilik, aku dapat melihat jelas Wira putih itu. Mula-mula, aku diamkan sahaja. Lama kelamaan, aku merasai sesuatu yang kurang enak. Apa yang dimahukan oleh lelaki itu? Adakah dia mengintip kami? Mengintip Wan Jamilah?
Keadaan itu memaksa aku meminta Wan Jamilah agar tidak membiarkan tingkap bilik terbuka dan orang di luar sana dapat melihat dengan jelas perkara yang berlaku di dalam bilik ini. Kepada Wan Jamilah tidak kukhabarkan tentang lelaki itu dan juga perasaan kurang enakku. Aku tidak mahu Wan Jamilah takut dan berasa tidak selamat.
Sewaktu keluar untuk ke tempat kerja, aku berpesan kepada Wan Jamilah agar tidak mengunci pintu pagar dan tidak membuka pintu kepada orang-orang yang tidak dikenalinya. Setiap hari bekerja, Nurin yang keluar lewat daripadaku dan kugesa dia agar terus mengunci pintu pagar. Aku takut Wan Jamilah keluar menguncinya dan ditangkap oleh lelaki Wira putih yang sering mengintai kami.
“Jangan fikir yang bukan-bukan, Mas. Tak ada apa-apanya. Mungkin jiran baru kita di depan sana. Mana tahu, saat Mas pandang dia, saat itulah juga dia sedang pandang Mas. Mana tahu, mungkin dia nak berkawan dengan Mas,” Nurin masih sempat berseloroh tapi mungkin dia juga risau tetapi sekadar mahu menyedapkan hatinya dan hatiku.
Wartawankah atau orang jahatkah? Kalau wartawan, mungkin masih boleh kuhindari tetapi kalau orang jahat? Apalah yang mampu kami bertiga ini buat untuk melawan kudrat orang lelaki itu kalau ditakdirkan dia menyerang kami dengan bersenjata. Aku semakin cuak.
Suatu pagi hari minggu, aku nampak lagi kereta Wira putih itu berlegar-legar di hadapan rumah kami. Aku tidak puas hati. kupanggil Nurin dan kuajak dia ke bilikku. Waktu itu, Wan Jamilah sedang mandi dan aku mengambil kesempatan itu untuk membuktikan firasatku kepada Nurin.
Muka Nurin juga sudah berubah. Entah takut atau entah apa, aku tidak dapat menekanya.
“Jom Mas, kita pergi bersemuka,” ajak Nurin. Wah, berani juga si kenit ini!
“Jangan Nurin, Mas takut. Buatnya dia ada senjata api, ditembaknya kita, mati tak sempat kahwinlah jawabnya.” Masih sempat pula aku memikirkan masalah itu. Nurin terbata-bata memandangku. Mungkin tidak menyangka bahawa aku akan mengeluarkan kenyataan yang sedemikian rupa.
“Okay, kalau begitu, kita telefon Abang Nazran. Kalau ada lelaki yang datang ke rumah ini, mungkin lelaki di luar itu tidak akan berani mengganggu kita. Mungkin dia menyangka bahawa selama ini kita hanya tinggal bertiga,” Nurin menyuarakan pendapat. Aku terdiam seketika. Kalau boleh, aku tidak mahu melibatkan Nazran dalam hal ini.
Adakah lelaki itu pembunuh upahan? Mengambil upah untuk membunuh daripada siapa? Adakah Wan Syamril yang mengupahnya? Wah, makin kalut pula aku memikirkannya. Siapa lelaki itu? Apa yang dia mahu sebenarnya? Kalau aku berani, sudah lama aku berhadapan dengannya. Nampaknya ilmu Silat Cekak yang pernah kupelajari sebelum ini masih tidak mampu untuk mengembalikan keyakinanku agar bersemuka dengan lelaki jahat itu.
Lelaki jahat? Aku tidak tahu siapakah lelaki itu, jahat atau baik. Yang aku tahu, aku memang tidak selesa dengan kehadirannya berlegar-legar di hadapan rumah kami.
“Masih tak nak bagitahu Abang Nazran?” tanya Nurin.
“Tak payahlah. Mas tak mahu menyusahkan dia. Nanti Mas telefon Tuan SI Jaafar, minta dia pantau keselamatan sekitar rumah kita.” Baru aku teringat untuk meminta bantuan Tuan Sub Inspektor Jaafar yang selalu berurusan di sekolahku.
Petang itu, Tuan SI Jaafar singgah di hadapan rumah kami. Aku keluar menemuinya dan menunjukkan kereta  Wira putih yang selalu mengintip kami tetapi kereta itu berundur perlahan dan berlalu pergi melalui lorong belakang deretan rumah jiran kami. Tuan SI Jaafar tidak berhajat untuk mengejar kereta itu tetapi sebaliknya, dia menelefon pegawainya yang sudah menunggu di jalan besar sana supaya menahan kereta putih itu.
“Nanti apa-apa hal, saya akan maklumkan kepada cikgu,” kata Tuan SI Jaafar. Beliau juga berjanji untuk mengarahkan anak buahnya meronda di kawasan kediaman kami setiap pagi semasa kami keluar bekerja.

Setelah Tuan SI Jaafar berlalu pergi, Wira putih itu tidak datang lagi. 

Tiada ulasan: