
BAB 21
Selesai mengemas
pinggan mangkuk, ibu membawa keluar tong biru berisi ikan tilapia yang masih
hidup. Walaupun hidup tetapi sudah tidak begitu bermaya. Kemudian, ibu menarik
pula sebuah besen kecil dan talam juga dua ketul kayu landas untuk memotong
ikan. Kesemua peralatan itu diletakkan di hadapan kami.
Kami
duduk bersila mengelilingi besen kecil itu. Tanpa disuruh, aku bangun mengambil
plastik bekas beras yang selalu ibu selitkan di celah antara singki dengan dinding
dapur. Plastik beras itu aku belah dua dan bentangkan di atas lantai. Besen
kecilnya ibu penuhkan dengan ikan tilapia yang sudah tinggal nyawa-nyawa ikan.
Menggeletak ikan-ikan itu di dalam besen.
Papan
landas ibu letakkan di atas plastik beras yang telah kubelah itu. Seekor ikan
dikeluarkan dan ibu mulai membelah perutnya. Wan Jamilah leka melihat ibu
menyiang ikan. Dia duduk bersimpuh di sebelahku.
Aku
mengambil seekor ikan tilapia merah dan mulai membelah peruttnya.
“Wan
Jamilah biasa siang ikan?” tanya ibu.
“Err...pernah
juga tapi tak biasa sangat. Emak ajar Milah siang ikan kembung je. Ikan terisi
Milah tak pandai siang sebab durinya keras. Ikan ni macam ikan terisi juga ya,
ibu,” kata Wan Jamilah sambil tangan kecilnya menyentuh ikan tilapia merah di
dalam besen.
Ibu
mengangguk-anggukkan kepala.
“Ini
terisi sungai,” kata ibu. Wan Jamilah hanya tersenyum-senyum. Mungkin dia tahu,
ibu cuma bergurau.
“Kak
Mas kata nak bawa Milah pergi memancing, bu,” Wan Jamilah memberitahu tentang
perancangan kami kepada ibu sebelum sempat aku menutup mulutnya.
“Haaa…jangan
nak mengarut. Kamu tengah bawa budak tu. Tak baik memancing ikan. Nanti mulut
anak rabit macam mulut ikan yang kamu pancing tu.” Hisy, ibu ni. Ada-ada sahaja
pantang larangnya. Wan Jamilah terdiam mendengar leteran ibu. Aku juga tidak
mahu membuka mulut. Terlupa mahu berpesan kepada Wan Jamilah agar jangan
memberitahu ibu.
Ibu
pantas bekerja menyiang ikan itu seekor demi seekor sambil mulutnya bercerita
dan bertanya itu ini kepada Wan Jamilah. Aku hanya memasang telinga sambil
terus membantu ibu. Kerja berdua, sekejap sahaja dapat disiapkankan.
Selepas
itu, aku mengangkat besen ikan ke singki. Agak ringan juga kerana isi perutnya
telah dikorek keluar dan tidak lagi bersama2 air seperti di dalam tong biru.
“Adik-adik
mana?” tanya ayah yang menjenguk sebentar ke dapur.
“Apa
lagi, dua orang tu. Hantu novel. Mengadap novellah tu. Nak harapkan novel
kakaknya keluar, lambatlah lagi nampaknya,” sahut ibu sambil sempat lagi
mengerling ke arahku. Aku hanya diam tak berkutik. Malas hendak memanjangkan
cerita.
Wan
Jamilah membantu ibu mengemas dan membersihkan tempat kami menyiang ikan tadi.
Isi perut ikan di atas plastik bekas beras ibu lipat sekali dan dimasukkan ke
dalam plastik hitam. Tiada lori majlis daerah yang akan datang mengambil
sampah2 itu tetapi ibu tetap menggunakan plastik sampah sebelum dibuang ke
dalam lubang sampah yang digali ayah di tengah petak sawah yang sudah tidak
digunakan sebelum dikambus.
Aku
mulai membasuh ikan tilapia di bawah air paip yang mengalir. Ibu datang
menghampriku dan aku mengengsut sedikit, memberi laluan kepadanya untuk berdiri
di sebelahku.
“Kalau
lenguh berdiri, kita basuh sambil duduk saja, Mas,” cadang ibu.
“Sikit
je, bu. Sekejap saja siap ni,” ujarku pula sebelum menyambung, “Kalau ibu
penat, rehat je dulu. Nanti dah siap,
Mas panggil. Ibu layan Milah berbual kejap.” Aku memuncungkan mulut ke arah Wan
Jamilah yang sedang duduk di bangku meja makan sambil melihat kami berdua.
“Milah
nak minum kopi?” tanya ibu sambil menoleh ke arah Wan Jamilah. Wan Jamilah
menggeleng-gelengkan kepalanya. Ibu mencuci tangan dan mengambil dua biji cawan
lalu menghampiri Wan Jamilah.
“Milah
jangan segan-segan. Kalau lapar atau dahaga ke, Milah carilah makanannya. Gula
dan kopi ada di dalam kabinet tu.” Ibu duduk di hadapan Wan Jamilah sambil
menyuakan cawan dan menuangkan air kopi ke dalamnya.
“Kopi
ni ibu memang dah bancuhkan untuk ayah kamu. Lepas makan nasi, dia biasa minum
kopi,” terang ibu tanpa dipinta. Selepas itu, mereka minum berdua.
“Milah
duduk sini teruslah dengan ibu. Ada juga kawan ibu bersembang,” cadang ibu.
Eh,
ibu ni, Milah nak ambil PMR tahun ni,” aku yang membalas bagi pihak Wan
Jamilah.
“Oh,
iya ke? Milah nak belajar lagi ke?” Ibu sepertinya kehairanan.
“Lagipun,
kalau Milah tinggal di sini...hmmm...tak balik langsunglah anak teruna ibu yang
sorang tu,” aku melanjutkan alasan.
“Siapa?
Man?” Ibu terhenti menghirup air kopinya.
“Hmm...siapanya
lagi. Anak ibu yang pemalu itulah.”
“Man.
Memang dia agak penyegan sikit. Ibu dah bertanyakan Mak Rasyidah kalau-kalau
mahu bermenantukan anak mak tu. Rasyidah pun baik juga budaknya. Sama-sama
belajar di Maahad dulu dengan Man tapi...” kata-kata ibu tersangkut seketika.
Mata Wan Jamilah hanya memandang lesu air kopi hitam pekat di dalam cawannya.
“Tapi
apa, mak?” aku semakin ingin tahu.
“Man
tunggu Mas nikah dulu. Tak mahu melangkah bendul, katanya.”
“Alah,
kalau setakat bertunang, apa pula melangkah bendulnya? Lagipun majlis Mas pun
tak lama lagi, kan?” aku pula yang cuba merungkaikan kekusutan.
“Man
nak sambung belajar lagi. Nak kerja tetap dan baru nak menggalas tanggungjawab
membina keluarga. Itu kata Man lah, mana ibu tahu.”
“Hmm...Man
Man, ada-ada sajalah alasannya. Kalau dia kahwin, adalah juga penemannya. Tapi
betul juga katanya. Man tu kan muda lagi. Tak sabar-sabar pula ibu nak
bermenantu, ya,” aku mengusik ibu. Ibu tertawa kecil mendengar gurauanku.
“Bukannya
ibu nak suruh dia terus kawin. Nak tanda-tanda sahaja dulu,” kata ibu
kemudiannya. “Ibu ni tak memilih, Mas. Mana2 gadis yang Man berkenan, Man bawa
balik, itulah menantu ibu.”
Lama
juga kami berjeda manakala aku meneruskan tugasanku membersihkan ikan-ikan
tilapia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan