Rabu, 10 Disember 2014

MTD Bab 27


BAB 27
Tiada alasan untuk menolak permintaan ibu. Aku masuk ke bilik untuk bersiap-siap. Sekurang-kurangnya, hatiku sedikit lega melihat sikap ibu yang tidak memaksa Razaman untuk menerima Rasyidah. Dan aku tahu, Razaman juga turut berasa lega.
Wan Jamilah masih lagi menyiapkan kerja Matematiknya sewaktu aku menghampirinya.
“Banyak lagi, Milah?” tanyaku menyapa Wan Jamilah.
“Ada lima soalan lagi untuk set lima ni, kak,” sahut Wan Jamilah sambil membelek buku latihannya. Aku mengangguk-anggukkan kepala.
“Kak Mas nak mandi dan solat Asar sekejap. Nanti nak keluar berjalan. Milah ikut, ya?” aku memberitahu Wan Jamilah. Tarian jemari Wan Jamilah di atas buku latihannya terhenti. Dia memandang aku sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Milah siapkan yang ni dulu ya, kak,” kata Wan Jamilah kemudiannya. Aku mengangguk-anggukan kepalaku.
“Buatlah. Kak Mas tunggu,” kataku sambil menarik tuala di ampaian. Aku berlalu ke bilik air untuk mandi dan mengambil wuduk.
Petang itu, kami keluar bertiga ; Wan Jamilah, aku dan Razaman. Razaman memandu keretaku manakala aku duduk selesa di sebelahnya. Ibu tidak mahu turut serta kerana dia hendak ke rumah tetangga kami dengan ayah untuk menghantar lemang. Ibu ini kalau dia buat makanan, kalau boleh, habis sekampung mahu disedekahkannya.
Tidak seperti aku, Razaman lebih selesa menutup tingkap kereta dan memasang pendingin hawa. Panas, katanya. Lagipun habuk dan debu masuk ke dalam kereta, kusyen kereta cepat kotor dan pudar. Apa-apa sajalah Razaman asalkan kita selamat tiba di destinasi.
Seperti yang direncanakan oleh ibu, Razaman memberhentikan kereta di tepi jalan sebelum lorong masuk ke rumah Rasyidah. Aku tahu, Razaman segan untuk masuk terus ke halaman rumah gadis yang mahu disunting ibu untuk dirinya.
“Kakak hantarlah, ya. Kami tunggu di dalam kereta,” kata Razaman. Kami? Oh, aku faham. Aku mencapai beg plastik berisi lemang dan rendang untuk mak Rasyidah. Aku menoleh ke arah Wan Jamilah di belakang. Sengaja untuk melihat reaksinya.
“Kak Mas, Milah nak ikut,” kata Wan Jamilah. Aku sudah tahu, Wan Jamilah pasti tak suka ditinggalkan berdua dengan Razaman di dalam kereta.
“Kak Mas singgah sekejap sahaja. Lagipun cuaca di luar tu agak panas.” Kubukakan pintu kereta dan kutinggalkan ‘kami’ di dalam kereta itu. Wan Jamilah kembali mendiamkan diri sambil di tangannya ada sebuah buku nota PMR. Dia memandang ke arahku dengan wajah meminta simpati. Aku hanya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepalaku.
Mungkin isyaratku menyatakan bahawa Wan Jamilah selamat bersama Razaman. Dia tidak perlu risau apa-apa. Razaman pun hanya membatukan dirinya. Mungkin dia baru teringat bahawa Wan Jamilah ini takut akan lelaki setelah apa yang berlaku ke atas dirinya sekarang.
Aku membimbit dua batang lemang yang telah ayah ikat dan jadikan talinya seperti tali penyangkut untuk memudahkan aku menjinjitnya. Aku memberi salam di tangga rumah Hajah Rosnah, ibu Ustazah Rasyidah. Yang menjenguk Haji Ahmad, ayah Ustazah Rasyidah. Aku melemparkan senyum kepada ayah Rasyidah.
“Haa…kamu Mas. Naiklah dulu. Mak Aji ada kat belakang tu,” Haji Ahmad mempelawa aku naik tetapi aku perlu bersegera kerana perjalanan ke rumah Nazran masih jauh.
“Tak apalah, Pak Aji. Saya nak ke pekan ni. Ini ada mak kirimkan lemang,” kataku sambil menghulurkan dua batang lemang itu dan sebekas kecil rendang daging masak hitam.
Pak Haji Ahmad tergesa-gesa menuruni tangga.
“Aik, apa mimpi mak kamu buat lemang ni? Raya pun lambat lagi,” kata Pak Haji Ahmad. Aku tersengih-sengih.
“Entahlah, Pak Aji. Mungkin ibu teringin nak makan lemang. Lagipun saya ada balik bercuti ni, mungkin ibu nak buat makanan istimewa sikit,” kataku, mencipta alasan.
“Kamu datang seorang sajakah?” tanya Pak Haji Ahmad sambil menjenguk ke kereta kami. Aku turut menoleh ke arah yang sama. Razaman dan Wan Jamilah sepertinya sedang berbual-bual.
“Razaman dan kawan saya,” kataku, tidak mahu bercerita tentang Wan Jamilah.
“Ooo…kawan kamu. Kenapa tak diajak Razaman dan kawan kamu tu datang sama?” tanya Pak Haji Ahmad tanpa curiga.
“Kami nak cepat, Pak Aji. Saya minta Razaman temankan saya sambil bawa kawan saya tu berjalan-jalan. Ini kali pertama dia datang ke kampong kita,” terangku agak panjang lebar. Kalau boleh, aku ingin berlama-lama berbual dengan Pak Haji Ahmad sebab aku nak bagi ruang Razaman berbual dengan Wan Jamilah. Mungkin ada nasihat Razaman untuk Wan Jamilah tetapi kerana tidak ada Mak Haji Rosnah, aku rasa segan pula untuk terus berbicara dengan Pak Haji Ahmad.
“Tak apalah, Pak Aji. Mas minta diri dulu. Sampaikan salam buat Mak Aji, ya,” ujarku meminta diri.
“Ha’ah, iyalah. Hati-hati bawa kereta tu. Sampaikan salam Pak Aji untuk mak ayah kamu dan Si Razaman tu. Terima kasih banyak-banyak sebab tak lupakan kami dengan bagi lemang ni. Bukan senang nak buat ni. Nak harapkan Mak Aji kamu, tunggu rayalah baru dapat merasa.”  Aku tertawa kecil mendengar hujahan Pak Haji Ahmad.
“Baiklah, Pak Aji. Mas minta diri dulu,” kataku sambil mulai berundur.

Melihat aku datang, Razaman segera menoleh ke depan, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Aku juga tidak mahu bertanya apa-apa. Masuk sahaja ke dalam kereta, Razaman terus sahaja memandu dan kami berdiam diri sahaja.

Tiada ulasan: