
BAB 26
“Kak Mas, petang
ni nak ke mana?” tanya Razaman.
Kami
baru selesai menunaikan solat Zohor dan sedang berehat-rehat di serambi. Wan
Jamilah di dalam bilik menjawab soalan Matematik yang aku berikan.
Soalan-soalan itu aku dapatkan dari sekolah tempat Wan Jamilah belajar dengan
ihsan Cikgu Suhana iaitu guru kelas tingkatan tiga.
Pulang
nanti, Wan Jamilah perlu menduduki peperiksaan percubaan. Aku tidak tahu
bagaimana mahu membawa Wan Jamilah ke sana kerana dia memang tidak mahu
menjejaki sekolahnya selagi perutnya masih berisi. Dia malu diperhatikan
teman-temannya. Mungkin aku perlu mendapatkan bantuan Cikgu Suhana lagi. Aku
boleh memantau Wan Jamilah menjawab soalan di rumah.
Sebenarnya,
untuk menguruskan persekolahan Wan Jamilah, sudah banyak likuan yang terpaksa
aku harungi. Mula-mula, pihak sekolah tidak mahu mendaftarkan Wan Jamilah untuk
menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendahnya kerana menurut Guru Penolong
Kanan Hal Ehwal Muridnya, Wan Jamilah mungkin hanya akan merosakkan pencapaian
prestasi Penilaian Menengah Rendah (PMR) sekolah mereka yang saban tahun
mendapat keputusan cemerlang.
Sebelum
itu, aku telah bertemu dengan Tuan Pengetua dan Tuan Pengetua sendiri tidak
tahu mahu membuat keputusan lalu meminta aku berbincang dengan Guru Penolong
Kanan Hal Ehwal Muridnya. Aku lihat ada suasana sorong tarik di sini. Membuku
juga rasa di hatiku melihat sikap sambalewa mereka.
Aku
sudah mulai rasa berputus asa tetapi demi Wan Jamilah, aku perlu kuat. Kututupi
segala rasa kecewa dan putus asa itu. Aku masih tetap menyorongkan muka untuk
mendapatkan belas ihsan mereka agar Wan Jamilah dibenarkan untuk menduduki
peperiksaan PMRnya. Aku sanggup bertanggungjawab untuk mengajar Wan Jamilah di
rumah.
Kemudiannya,
Wan Jamilah sendiri yang mengesyorkan padaku agar bertemu dengan guru kelas
tingkatan tiga yang pernah mengajarnya semasa dia di tingkatan dua. Selepas
bertemu dengan Cikgu Suhana, barulah kata putus dicapai. Cikgu Suhana memberi
jaminan bahawa Wan Jamilah boleh memberikan keputusan yang baik walaupun
mungkin tidak secemerlang pelajar-pelajar lain.
Berbekalkan
semangat yang ditunjukkan oleh Cikgu Suhana, aku jadi berani untuk menyahut
cabaran ini. Aku mahu Wan Jamilah membuktikan keupayaannya. Wan Jamilah mesti
mendapatkan sijil PMRnya dengan keputusan yang baik.
“Man
ada nak ke mana-manakah?” tanyaku kembali. Sejak aku pulang bercuti, inilah
kali pertama aku dapat duduk berbual-bual dengan adikku ini secara
bersantai-santai.
“Tak
adalah nak ke mana-mana. Saja tanya kakak. Kalau nak ke mana-mana, boleh Man
bawakan,” ujar Razaman menawarkan khidmat.
“Kak
Mas ingat nak bawa Wan Jamilah mandi di Lata Kekabu bersama-sama Qistina dan
Danisha tapi tentu ibu tak benarkan,” kataku.
Razaman
tertawa kecil.
“Banyak
benar pantang-larang ibu, ya kak,” kata Razaman.
“Ya
lah. Kalau tak diikut, mahu bersiaran langsung dua puluh empat jam radio dia
tu,” aku membenarkan kata-kata Razaman.
Kami
berjeda seketika. Matahari petang kian menunduk. Cahayanya membias masuk ke
serambi. Aku berengsot sedikit bagi mengelakkan cahaya matahari yang membias
masuk melalui jendela yang terbuka sehingga terkena mukaku. Mataku terasa
meruyup. Kalau dilayan rasa kantuk ini, mahu pula aku melelapkan mata buat
seketika.
“Haaa…sembang
apa kamu berdua?” sapa ibu yang datang bersama bakul rotan terbimbit di tangan
kanannya. Aku menjenguk ke dalam bakul yang diletakkan ibu di hadapan kami.
“Apa
ni, bu?” tanyaku pula tanpa mahu menjawab soalan ibu.
“Rendang.
Ibu nak suruh Razaman hantar ke rumah Rasyidah,” ujar ibu sambil menjuihkan
mulutnya ke arah Razaman. “Lemangnya ada ibu sandarkan dekat pangkin bawah
rumah nun,” ibu melanjutkan penerangannya.
“Isy,
ibu. Tak naklah, Man,” pantas Razaman menjawab. Aku tertawa agak kuat. Teringat
cerita ibu hendak menjodohkan Razaman dengan Rasyidah. Razaman mencerlangkan
matanya memandangku. Aku segera menekup mulut.
“Haa…kamu
Mas. Tak nak hantar lemang ni ke rumah Nazran?” giliran aku pula dipanah ibu.
“Isy,
ibu ni. Rumah Nazran bukannya dekat. Tak naklah, Mas,” aku menyanggah pantas.
Razaman tertawa.
“Apa
salahnya, ambil hati bakal mentua,” Razaman mengusikku.
“Pandailah,
kamu,” sahutku sambil menampar lembut bahu Razaman. Razaman mengelak sedikit.
“Kamu
berdua ni, ibu cakap betul-betul buat main-main pulak,” ibu menunjukkan rasa
kesalnya. Aku pandang Razaman, Razaman pandang aku. Tawa kami sudah lama
terhenti. Serius pula ibu kali ini.
“Kita
pergi hantar ke rumah Abang Nazranlah, kak. Nanti Man pandu kereta,” kata
Razaman menyuarakan kesanggupannya.
“Haaa…elok
sangatlah tu. Sambil lalu tu boleh terus singgah di rumah Rasyidah. Bagi sekali
lemangnya ini,” ibu memetakan perjalanan kami. Masih tidak berputus asa untuk
berbudi kepada keluarga Rasyidah.
“Ibu
ni…kemaruk sangatkah nak bermenantukan Rasyidah tu?” Razaman bagaikan
menyuarakan rasa tidak puas hati.
“Isy,
kamu ni Man. Ke situ pula perginya. Kalau kamu dah tak suka, tak kanlah ibu nak
paksa-paksa pula. Kamu yang nak berkahwin. Bukannya ibu. Tak kan ibu nak
susahkan hidup kamu pula. Mak Rasyidah tu kan kawan baik ibu. Makan apapun
mesti ada sampai juga kat ibu. Itulah sebabnya ibu teringatkan dia bila makan
lemang ni,” panjang lebar penerangan ibu membuatkan kami terdiam.
“Kalau
kamu tak nak turun, biar sahaja Kak Mas kamu yang turun bagi,” ibu
menyelesaikan persoalan itu. Mahu tidak mahu, terpaksalah kami mengikut arahan
ibu itu. Oh, projek ibu lagi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan