Rabu, 10 Disember 2014

MTD Bab 28


BAB 28
“Kak Mas, Abang Nazran ada balikkah?” tanya Razaman tiba-tiba. Mungkin untuk memeriahkan kembali suasana suram yang terkunci itu.
“Entahlah. Rasa-rasanya dia tak ada cuti,” kataku agak kalut. Mana kumenyangka bahawa Razaman akan bertanya soalan cepumas itu. Sebenarnya, aku yang kurang mengambil berat perihal Nazran meskipun dia tunanganku. Perihal lemang ini pun, nasib baik ibu yang tolong peringatkan.
Mungkin kerana di dalam kepalaku sekarang berserabut dengan cerita Wan Jamilah dan Kak Roha sahaja sehingga aku tidak mengendahkan perkara-perkara lain.
“Jadinya, Abang Nazran tak ada di rumahlah, ya?” tanya Razaman lagi.
“Agaknyalah,” kataku beragak-agak.
“Hmmm… Kak Mas ni. Suka atau tidak dijodohkan dengan Abang Nazran ni?” tanya Razaman lagi tanpa berselindung.
“Isy, kenapa cakap macam tu pula? Dia belum jadi suami Kak Mas. Seganlah Kak Mas nak ambil berat lebih-lebih,” sahutku membela diri.
“Man buka apa, kak. Man takut Kak Mas tak suka dikahwinkan dengan Abang Nazran. Dia itukan pilihan keluarga. Manalah tahu kalau-kalau Kak Mas dah ada pilihan sendiri.” Aku jadi termenung panjang mendengar kata-kata Razaman.
“Betulkah, Kak Mas?” tunda Razaman lagi.
“Isy, tak adalah, Man. Kak Mas baik-baik sahaja. Walaupun pilihan keluarga tetapi Kak Mas kenal Abang Nazran tu dah lama cuma Kak Mas tak tahu yang dia ada hati dekat Kak Mas. Takkanlah Kak Mas nak main terima begitu sahaja kalau Kak Mas tak kenal,” jelasku agar Razaman lebih mengerti. Tiada istilah kahwin paksa di sini.
“Kalau begitu tak apalah. Man risau saja sebab Man tengok Kak Mas ni selamba saja. Tak macam pasangan lain yang bertunang. Asyik bergayut di telefon atau setidak-tidaknya berYM,” komen Razaman sambil tertawa kecil.
“Pandailah engkau, Man. Kalau sayang pun, takkanlah Kak Mas nak tunjuk lebih-lebih. Malulah. Nanti dah kahwin, lainlah cerita.” Boleh pula kami bercerita soal hati dan perasaan di dalam kereta ini lebih-lebih lagi di hadapan Wan Jamilah.
Wan Jamilah di kerusi belakang hanya mendiamkan diri sambil membelek buku notanya. Entah membaca entahkan sedang memasang telinga mendengar perbualan kami. Tapi Wan Jamilah juga bukan anak-anak kecil lagi.  
“Man pula, kenapa tak mahu Ustazah Rasyidah tu? Baik orangnya, kan?” Giliran aku pula mengorek perasaan Razaman.
“Eh, Kak Mas ni. Ke situ pula. Man mana ada. Man kan nak belajar lagi. Banyak ilmu yang Man kena tuntut sebelum nak pikul tanggungjawab jaga anak orang.” Aku tahu, memang itulah jawapan yang Razaman akan bagi.
“Atau Man dah ada orang lain yang Man suka?” tanyaku sambil menjeling sekilas Wan Jamilah di belakang yang sedang asyik membelek bukunya. Razaman terus memandu sambil memandang terus ke hadapan bagaikan tidak terkesan dengan kata-kataku.
“Dengan Man ni, siapalah yang nak, kak,” ujar Razaman merendah diri.
“Aik, adik kakak yang hensem ni, takkan tak ada orang minat?” kataku masih mahu mengusik Razaman. Razaman tersenyum-senyum sahaja.
“Itulah, ada Rasyidah dia pula yang tak nak. Nak cari puteri manalah agaknya, ya?”
“Hati ni, kak. Mana boleh dipaksa-paksa. Sabarlah. Sampai masanya nanti, adalah jodoh Man yang Allah dah tetapkan,” kata Razaman menutup perbualan kami. Perkarangan rumah Nazran semakin kami hampiri. Sudah lama juga aku tidak bertemu dengan bakal ayah dan ibu mentuaku ini. Nasib baik ada Razaman. Kalau nak diharapkan aku seorang, memang aku tak akan datanglah ke rumah tunangku ini.
Gembira sungguh ibu Nazran menyambut kedatangan kami.
“Naiklah, naiklah,” katanya. “Ajak isteri tu naik sekali,” sambungnya lagi sambil memandang Razaman. Razaman tak terkata. Lidahku juga kelu. Mungkin ibu Nazran tidak tahu cerita tentang Wan Jamilah. Balik nanti, aku mahu Nazran jelaskan kepada ibunya perkara yang sebenar. Jangan sampai timbul cerita di kemudian hari.
Kami tidak dapat berlama-lama di rumah Nazran. Razaman sudah beberapa kali mengerling ke arahku. Aku tahu, dia tidak mahu sampai di rumah pada waktu Maghrib. Tidak elok membawa perempuan mengandung keluar rumah di waktu senja.
“Mak cik, kami nak beransur dulu. Sudah petang ni,” kataku mohon undur diri. Ayah Nazran tiada di rumah. Keluar ke kedai kopi berjumpa kawan-kawannya, kata ibu Nazran.
Sewaktu kami melangkah keluar, angin petang menderu-deru. Daun-daun pokok ubi kayu di sisi kiri rumah menunduk-nunduk dirempuh angin yang lalu.
Razaman membukakan boot keretaku, memasukkan barang-barang pemberian ibu Nazran. Ibu Nazran ini pun seperti ibuku juga perangainya. Kalau memberi tidak cukup selebar  tapak tangan. Kalau boleh, habis semua mahu diberinya. Ada jantung pisang, ada pisang awak tiga sikat. Ubi kayu dan pucuk ubi pun ada.
Macamlah di rumah kami tiada semua ini. Teringat pula pesanan ibu, jangan meminta tetapi kalau orang memberi, jangan menolak. Suka tak suka, makan tak makan, terima sahaja. Takut nanti orang yang ingin berbudi, berkecil hati. Ini kalau makin lama aku di sini, mahu penuh satu boot kereta dengan barang-barang pemberiannya.

“Mas, Mas nak rebung madu tak? Nanti ibu potong.” Aduh, rebung madu pula. Razaman hanya tersenyum-senyum sambil menjelingku. Hai, masaklah aku disindir Razaman di dalam kereta nanti. Ibu Nazran ini walaupun aku memanggilnya mak cik tetapi dia tetap membahasakan dirinya ‘ibu’ denganku menjadikan aku agak serba-salah.

Tiada ulasan: