Isnin, 1 Disember 2014

MTD Bab 16


BAB 16
Alat penggera di telefon bimbitku berbunyi menandakan telah masuk waktu solat fardhu Asar.
            “Ada orang telefon tu,” mak ngah memberitahuku.
“Bukan orang telefon, tanda masuk waktu solat,” aku menjelaskan.
“Ooo…tapi kenapa telefon mak ngah tak berbunyi pun.” Mak ngah mencapai telefon bimbitnya di atas meja dan membelek-beleknya.
“Mak ngah set waktu solat kat Kolumpur kot,” aku cuba meneka.
“Ha’ah la tapi Kolumpur kan lebih awal waktu solatnya berbanding dengan tempat kita sini,” sahut mak ngah sambil terus membaca sesuatu di skrin telefon bimbitnya.
“Masya Allah, mak ngah lupa nak on balik suaranya. Patutlah tak berbunyi,” rungut mak ngah sambil menekan-nekan kekunci telefonnya.
“Kamu bancuh air apa, Mas?” tanya mak ngah bagaikan baru tersedar.
“Air kopi. Kenapa? Mak ngah nak minum apa?”
“Tak apa. Mak ngah minum kopi. Pandai pula kamu mencarinya,” mak ngah tersenyum memandangku.
“Semua dalam peti ais. Gula pun Mas jumpa dalam peti,” sahutku.
“Hmm…mak ngah simpan dalam tu sebab nak tinggal gi Kolumpur hari tu la. Kalau tinggal di luar, habis dihurung dek semut.”
“Semut pun makan kopi, mak ngah?” tanyaku kehairanan.
“Tak. Tapi kopi tu kalau tak diletakkan dalam peti, nanti masuk angin. Keras tak boleh digunakan lagi. Mak Menti pun banyak dalam rumah ni.”  Mak ngah tertawa kecil menjawab pertanyaanku. Aku pula boleh bertanyakan soalan yang bodoh itu dan tersengih-sengih malu. Adatnya orang-orang tua kampungku memanggil tikus itu dengan panggilan Mak Menti. Pantang katanya disebut tikus, nanti tikus-tikus itu datang menyerang apabila namanya diseur.
“Dah. Pergi panggil Milah tu. Minum kopi dan solat dulu. Nanti dah lepas solat, baru mak ngah mandikan dia.”
Aku mengikut arahan mak ngah. Wan Jamilah terbaring mengereng di atas sofa. Tudung bawal hijau mudanya melitupi muka. Kuselak tudungnya dan kupanggil dia perlahan.
“Milah, bangun. Dah Asar, ni,” aku berbisik di sisi Wan Jamilah. Mata Wan Jamilah terbuka perlahan-lahan.
“Dah petang, kak? Maaf, Milah terlelap tadi.” Wan Jamilah bangun terpisat-pisat sambil menggosok-gosok pelupuk matanya.
“Belum petang sangat tapi dah Asar. Jom kita minum kopi dan solat dulu.” Wan Jamilah sudah bangun dan duduk di atas sofa. Tudung kepalanya yang senget, dibetul-betulkan. Kami beriringan ke dapur.
Asyik benar aku lihat Wan Jamilah memamah buah jambu air yang dicicah sambal kicap air tangan mak ngah. Aku biarkan Wan Jamilah menikmati jambu air itu dengan sepuas-puasnya. Sebenarnya, aku juga telah berpesan dengan ayah, kalau ada orang menjual jambu air di pasar, tolong belikan untuk Wan Jamilah. Rupa-rupanya, rezeki Wan Jamilah di sini.
Aku hanya duduk di anjung sambil membelek-belek akhbar lama sementara menantikan mak ngah selesai menjalankan upacaranya memandikan Wan Jamilah. Kata ibu, hanya wanita yang mengandungkan anak sulung sahaja yang melakukan upacara mandi berlimau dan berguring ini. Aku pun tidak tahu. Selagi ianya tidak melanggar akidah dan mensyirikkan Allah, aku tidak akan membantah.
Dalam diam-diam, aku bercadang untuk menemui Ustazah Sarifah bagi bertanyakan hukum melakukan amalan tersebut. Suatu ketika dulu, aku pernah bertanyakan kepada seorang teman guruku, seorang wanita berketurunan Jawa, Kak Paridah tentang adat-adat yang terdapat dalam kalangan masyarakat Jawa bagi perempuan mengandung sulung.
Kata Kak Paridah, sudah tidak ramai wanita Jawa yang masih melakukan adat melenggang perut ini. Kalau mengikut sejarah yang diceritakan oleh ibunya, upacara melenggang perut ini diadakan dalam satu upacara yang gilang-gemilang. Genap sahaja usia kandungan tujuh bulan, bakal ibu yang sedang hamil itu akan dimandikan dengan air pelbagai jenis bunga oleh bidan yang akan menyambut kelahiran bayi itu nanti.
Suami pula akan membelah buah kelapa muda. Sekiranya buah itu betul-betul terbelah di bahagian tengahnya, bermakna pasangan itu akan dikurniakan anak lelaki. Dan begitulah sebaliknya iaitu sekiranya belahan buah kelapa itu senget, pasangan itu akan memperoleh anak perempuan.
Suami juga dikehendaki memasukkan  sebutir telur ayam kampong di dalam kain isterinya. Telur itu dibiarkan jatuh dan pecah. Simboliknya, semoga kelahiran bayi mereka nanti akan lancar tanpa sebarang masalah. Suami? Wan Jamilah mana ada suami. Oh Tuhan, kasihani anak ini. Kolam mataku kembali bertakung.
Sebenarnya, apabila ibu meminta aku membawa pulang Wan Jamilah setelah kandungannya genap tujuh bulan, aku jadi panasaran. Ibu mahu Wan Jamilah dibawa berjumpa Mak Ngah Cik Wok. Sepertinya ibu mahu mengadakan adat melenggang perut. Kata ibu, bukan melenggang perut. Cuma ingin memohon kepada Allah agar dimudahkan segala urusan Wan Jamilah sewaktu melahirkan anak sulungnya nanti.
Kak Roha juga telah kuhubungi untuk meminta kebenarannya dan Kak Roha tidak menghalang. Kata Kak Roha, dia juga ada terfikirkan tentang itu tetapi setelah aku menyatakan permintaan ibuku untuk menguruskan perihal Wan Jamilah, Kak Roha mengikut sahaja.
Sebenarnya, aku sudah biasa melihat mak ngah memandikan wanita hamil yang datang ke rumahnya sewaktu aku kecil-kecil dahulu. Memang waktu itu, aku agak rapat dengan keluarga mak ngah. Kak Ani, anak mak ngah yang merupakan sepupuku, walaupun kami tidak sebaya tetapi kami serasi dalam berkawan.
Setiap kali tiba musim cuti sekolah, Kak Aini akan datang ke rumahku. Dua tiga hari di rumahku, kami akan beralih ke rumahnya pula. Lama aku duduk di rumahnya. Kadang-kadang sehingga cuti sekolah berakhir. Ikut mak ngah ambil upah cabut kacang tanah Cina, tolong mak ngah tanam jagung, sama-sama meredah kebun getah untuk pungut kulat sisir dan bermacam-macam lagi aktiviti mak ngah yang aku sertai.
Agak lama mereka berdua di dapur, aku bangun menjenguk. Terdengar suara-suara halus saling bertingkah di dalam sana. Aku berdiri di ambang pintu dapur, memandang ke arah pintu bilik air yang tertutup rapat.

Aku berlalu ke sinki, mengambil wuduk dan menunaikan solat Asar di dalam bilik mak ngah. Masih ada katil besi berwarna hitam di dalam bilik mak ngah itu. Di atas katil besi itulah dulu, aku dan Kak Aini tidur kalau aku menghabiskan cuti sekolahku di rumah mereka. bilik tidur mak ngah tetap bersih dan kemas seperti dulu.

Tiada ulasan: