
BAB 23
Aku kembali
tunduk merenungi nasib malang keluarga Kak Roha. Terima kasih juga kepada Kak
Roha kerana sudi berkongsi kisah lampaunya denganku dan memberi kepercayaan
kepadaku untuk mengolah kisah hidupnya menjadi sebuah novel kreatif. Kalau
tidak kerana semangat yang datang daripadanya, tidak mungkin aku memberikan
kesanggupan untuk menyiapkan novel ini.
Sudah
berapa banyak air mataku tumpah selama ini dan entah berapa banyak masa pula
yang akan kuperuntukkan buat menyudahkan cerita Kak Roha.
Terasa
amat-amat berterima kasih kepada insan-insan yang berada di sampingku saat aku
benar-benar sedang kebuntuan, meniupkan semangat dan merangsang aku untuk terus
menulis. Terima kasih Nurin dan terima kasih juga Nazran. Terima kasih kerana
sudi hadir di dalam hidupku di saat aku benar-benar memerlukan kalian. Semoga
Wan Jamilah akan terus tabah menongkah arus kehidupan di dunia yang sementara
ini.
Firman ALLAH, “ Dunia adalah ladang untuk menanam
pahala bagi bekalan kesejahteraan kita dalam perjalanan menuju
ke akhirat. Zaman yang kita permainkan telah berlalu dan kini datanglah zaman
yang mempermainkan kita.”
Di
tengah-tengah malam begini, tiba-tiba sahaja aku jadi teringatkan mereka. Aku
teringatkan Nazran dan entah mengapa, aku tiba-tiba pula jadi merinduinya.
Aneh. Memang aneh perasaan ini. Mungkin suasana yang sepi ini mendorong aku
untuk berfikir tentang dirinnya. Moga diri Nazran baik-baik sahaja.
Wan
Jamilah telah lama tenggelam di dalam buaian mimpi malamnya. Tidak terganggu
dengan ngiauan kucing-kucing yang datang mengganggu. Mungkin dia benar-benar
keletihan dengan aktiviti siang tadi. Sesekali, dia bergesar membetulkan letak
tidurnya.
Malam
ini agak dingin. Angin yang menerobos masuk melalui celahan dinding papan
menyapa tubuhku. Mataku juga sudah mulai memberat. Aku baring di atas katil
bersebelahan Wan Jamilah. Suara ngiauan kucing hanya sayup-sayup kedengaran.
Aku cuba memejamkan mataku. Melupakan sejenak apa yang sedang berlaku.
Selimut
nipis kutarik perlahan sehingga menutupi sekujur tubuhku. Malam menuju ke
dinihari akan semakin dingin. Aku tidak tahan dengan kedinginan itu yang seakan
mencengkam sehingga ke sekujur tubuhku. Sebelum melafazkan doa tidur, aku
membacakan surah tiga Qul dan ayatul kursi. Setelah itu barulah aku membacakan
doa tidur sambil merapatkan mataku.
Berdoa
agar dikurniakan umur yang panjang dan tubuh badan yang sihat buat diri sendiri
dan juga mereka yang berada di sekelilingku. Berdoa agar diberikan kekuatan
untuk meneruskan kelangsungan hidup ini dan membela nasib Wan Jamilah.
Puas
sudah kupejamkan mata tetapi masih tidak mahu lelap. Cerita Kak Roha kembali
berlegar-legar di dalam mindaku. Aku ini bagaikan sebahagian daripada hidup Kak
Roha. Aku ingin tahu apakah kesudahan kisah Kak Roha. Bagaimana perhubungannya
dengan Doktor Mahadi dan bagaimana pula nasib bekas suaminya, Wan Syamril.
Cerita
Kak Roha tergantung di sini. Setakat ini, Wan Syamril masih belum berjaya
ditemui dan belum dapat disabitkan dengan kesalahannya walaupun waran tangkap
telah dikeluarkan untuk menahannya. Aku percaya, lambat-laun Wan Syamril pasti
akan tertangkap jua.
Kalau
berjumpa dengan Wan Syamril, rasanya ingin aku bertanya dia, kenapa tegar
merosakkan masa depan anak gadis ini? Wan Jamilah di sebelahku berdengus
perlahan. Entah apakah mimpi yang menyapa lenanya. Aku sahaja yang masih belum
mahu lena. Masih banyak kisah yang mengimbau di benakku.
Aku
ingin mencari Fahmi tetapi di mana dan bagaimana? Aku ingin mencari Leftenan
Zulkifli tetapi masih bernafaskah dia di atas muka bumi ini? Semakin kalut
rencam hidupku. Banyak pula perkara yang berlegar dan menghantui hidupku. Aku
sendiri yang memilih jalan ini, menempah cerita yang penuh konfliks.
Aku
tidak mahu cerita di dalam novelku tergantung tanpa sebarang klimaks. Aku perlu
menyelesaikan teka-teki ini. Tuhan tolonglah. Kalau ibu bapa Kak Roha telah
meninggal dunia, dia masih punya seorang abang iaitu Fahmi. Dan lagi satu, dia
masih punya datuk dan nenek yang menjaga Fahmi. Tapi, bagaimanakah aku mahu
menjejaki mereka? Wah, aku ini mahu menulis cerita hidup Kak Roha ataupun mahu
menulis kisah penyiasatan?
Walau
apapun yang berlaku, aku mesti menjawab persoalan ini. Kalau persoalan ini
terbiar begitu sahaja, bermakna manuskripku nanti juga akan tergantung. Aku
perlu menanti berita tentang Wan Syamril. Sekurang-kurangnya, manuskripku nanti
berakhir dengan berita penangkapan Wan
Syamril. Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat.
Mana
boleh ceritaku tiada klimaks. Yang jahat pasti akan menerima balasannya.
Fikiranku makin kusut. Bagaimana kalau Wan Syamril tidak ditemui? Perlukah aku
mereka-reka penyudah cerita Kak Roha? Mungkin aku boleh matikan watak Wan
Syamril. Mungkin juga aku boleh buat dia mati dalam keadaan tragis, dibunuh dan
dibakar oleh musuhnya setelah kalah judi dan gagal membayar hutang.
Tapi,
melalui cerita Kak Roha, Wan Syamril bukanlah seorang kaki judi. Wan Syamril
cuma kaki botol itupun setelah dia berkahwin dengan Masyitah. Masyitah? Ya,
Masyitah. Apa khabar Masyitah agaknya? Aku juga perlu mendapatkan cerita
tentang Masyitah. Sedikit-sebanyak boleh aku masukkan di dalam manuskrip
novelku nanti.
Besar
juga peranan Masyitah ini kerana dia yang merampas Wan Syamril daripada Kak
Roha. Bukan sekali tetapi dua kali. Melalui catatan Kak Roha, aku dapati Kak
Roha tidak memusuhi Masyitah malahan dia juga tidak marah sewaktu mengetahui
Wan Syamril mengahwini Masyitah.
Doktor
Mahadi pula bagaimana? Adakah dia mahu mengahwini Kak Roha setelah mengetahui
status diri Kak Roha? Tapi Doktor Mahadi itu sudah berkahwinkah atau belum?
Perempuan muda yang dilihat Kak Roha di rumahnya itu siapa? Adakah dia
berkahwin dengan perempuan itu? Banyak lagi perkara yang perlu kuselidiki untuk
kulengkapi kajian ini sebelum memulakan kerja-kerja penulisanku.
Aduhai,
semakin sulit mahu kuolah manuskripku nanti. Oh
Tuhan, berilah aku ilham. Permudahkanlah urusanku ini. Ya Allah
jadikanlah aku di antara hamba-hambaMu yang bertawakkal kepadaMu dan jadikanlah
aku di antara hamba-hambaMu yang menang di sisiMu. Jadikanlah aku di antara
hamba-hambaMu yang dekat kepadaMu dengan IhsanMu. Amin ya rab’ba alamin.
Aku
ingin menulis tetapi mataku ini seakan tidak mengizinkannya. Entah pukul berapa
aku terlena kemudiannya. Sedar-sedar, ayam jantan sudah mulai berkokok.
Rasa-rasanya baru sahaja aku melelapkan mata, sudah mahu bangun semula. Masih
malas mahu membuka kelopak mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan