Rabu, 10 Disember 2014

MTD Bab 29


BAB 29
Pulang dari rumah ibu Nazran, aku dapat melihat sedikit perubahan sikap Wan Jamilah. Dia sudah boleh duduk berbual dengan Razaman dan terkadang mereka tertawa berdua. Wajah Wan Jamilah juga nampak sedikit ceria walaupun kadang-kadang aku tertangkap dia sedang termenung di dalam bilik. Mungkin Wan Jamilah sedang merenung nasibnya yang malang dan masa depannya yang belum pasti.
“Kak Mas, boleh kita ke kolam ikan Abang Man lagi?” tanya Wan Jamilah di satu petang, tiga hari sebelum kami berangkat pulang.
“Kenapa Milah?” Aku jadi agak pelik dengan permintaan Wan Jamilah ini.
“Milah teringin nak naik sampan. Nanti Abang Man boleh bawa,” terang Wan Jamilah. Aku tersenyum sendiri. Ada perjanjian rupa-rupanya antara kedua anak muda ini.
“Kalau tak hujan, petang ni kita pergi,” ujarku berjanji.
“Harap-harap tak hujanlah ya, kak,” kata Wan Jamilah seolah-olah berdoa untuk cuaca yang baik hari ini.
Nasib Wan Jamilah baik. Petang yang terang tanpa setompok pun awan mendung dan aku menunaikan perjanjianku dengannya. Tidak berani pula hendak memberitahu ibu tentang keinginan Wan Jamilah. Takut ibu tidak mengizinkannya. Kasihan Wan Jamilah.
“Haaa…Milah. Naik sampan tu hati-hati. Jangan berdiri atas sampan. Duduk elok-elok. Pegang kuat-kuat. Baca doa naik kenderaan,” kata ibu sewaktu kami menuruni anak tangga. Aduhai, ibu! Aku jadi termalu sendiri. Rupa-rupanya Razaman sudah terlebih dahulu meminta kebenaran ibu untuk membawa Wan Jamilah keliling Tasik Raban dengan sampan kecilnya.
Kali ini, aku membawa bersama komputer riba kesayanganku. Aku tidak mahu melepaskan peluang untuk merakamkan detik-detik indah dengan idea-idea yang turun mencurah-curah semasa berada di tepi Tasik Raban yang permai itu.
Wan Jamilah juga seperti tidak sabar-sabar untuk ke sana. Razaman pula pagi-pagi lagi telah ke sangkar ikannya cuma kebelakangan ini, dia tidak lagi bermalam di sana. Dia akan pulang awal dan kami makan malam bersama-sama. Selepas itu, aku akan menemani Wan Jamilah belajar sambil mulai menelusuri kisah Kak Roha.
Aku dan Kak Roha bagaikan telah disatukan. Memandang  Wan Jamilah seperti aku sedang memandangi anakku sendiri. Perasaan kasihku terhadapnya hadir tanpa dipinta. Timbul keinginan yang kuat untuk menjaga dan melindungi Wan Jamilah.
Petang yang damai. Angin yang menghembus permukaan tasik menerbitkan riak-riak beralun lembut. Kubiarkan angin petang itu terus menjamah wajahku sambil jemari rancak menari di atas papan kekunci komputer ribaku.
Wan Jamilah di tengah tasik bersama Razaman. Tampak jauh namun masih jelas warna pakaian mereka. Razaman berdiri sambil mengawal pergerakan sampan dengan sebatang galah yang panjang manakala Wan Jamilah pula berada di hujung sebelah sana sampan sambil bermain air. Mungkin juga ada ikan-ikan jinak yang sedang berlegar di sisi sampan itu.
Aku telah berpesan kepada Razaman agar tidak memandu sampan yang telah dilengkapi enjin itu dengan laju kerana bimbang akan keselamatan Wan Jamilah dan Razaman mematuhi pesananku. Malahan, tiba di tengah tasik, dia mematikan enjin sampannya. Hanya mengawal sampannya menggunakan buluh.
Pokok keladi bunting di gigi air menari-nari tatkala ikan-ikan kecil muncul bermain di kelilingnya. Sesekali, aku memerhati panorama alam di sekelilingku dan sesekali aku tunduk menekuni kerjaku. Terdetik rasa sepi dan sayu di hatiku. Aku yang sepi dan sendirian sendirian sedangkan Wan Jamilah bersama-sama Razaman di tengah tasik. Entah apakah bicara mereka berdua itu.
Razaman tidak pergi jauh. Hanya berlegar-legar di sekitar situ juga. Tidak hilang daripada pandangan mataku. Biarlah Wan Jamilah bermain dengan air, bermain dengan alam. Aku ingin lihat kebahagiaan Wan Jamilah. Kalau Razaman mampu membahagiakan Wan Jamilah, aku merelakannya.
Ah, sehingga sejauh itu fikiranku melayang. Pandai pula mereka-reka masa depan orang lain. Entahkan mereka itu hanya ingin berkawan baik dan Razaman menganggap Wan Jamilah hanyalah seorang adik yang bernasib malang. Nasihat dan kata-katanya mungkin dapat merangsang kembali semangat Wan Jamilah.
Dan di saat ini, aku tiba-tiba jadi teringatkan Nazran. Kami sudah bertunang tetapi kata Nazran, kami tidak seperti pasangan bertunang yang lain. Mula-mula, aku tidak faham akan maksudnya. Kata Nazran, kami tidak pernah menghabiskan masa berdua sejak kehadiran Wan Jamilah dalam hidupku.
Aku tidak tahu sama ada Nazran merungut ataupun Nazran sekadar meluahkan rasa hatinya. Mungkin benar kata Nazran, aku juga tidak punya banyak masa untuk berjumpanya selalu walaupun kadang kala Nazran agak tersinggung dengan  sikapku. Aku harap Nazran faham. Aku berjanji untuk menjadi isterinya yang paling baik setelah kami diijabkabulkan. buat masa ini, masih ada batasan di antara kami untuk kupamerkan kasih sayang.

Mudah-mudahan Nazran sabar menantikan detik terindah itu. Razaman sudah menghidupkan enjin sampannya. Olak-olak air tasik kembali membesar dan menghempas ke gigi air. Mungkin Wan Jamilah sudah puas bermain air dan bergurau-senda dengan ikan-ikan di tengah tasik.

Tiada ulasan: