
BAB 25
Sebelum tiba
waktu makan tengah hari, lemang yang disediakan telah pun siap diletakkan di
tepi bara api. Razaman ditugaskan untuk menjaga unggun api supaya tidak marak
dan merentungkan buluh-buluh lemang. Tertonggok dia di atas tunggul kelapa
sambil berlindung daripada panas matahari di balik pokok manga epal. Sesekali,
dia bangun meninjau lemangnya.
Aku
pula menyediakan makan tengah hari manakala ibu menyiapkan rendang ayam dan
daging masak hitam. Wan Jamilah mengemas pangkin di bawah rumah. Sebidang tikar
mengkuang berwarna-warni dihamparkan di atas pangkin itu. Ibu kata hendak
berkelah di bawah rumah sahaja.
Agak
lama kemudian, Razaman datang membawa sepuntung lemang yang batang buluhnya
sudah layu dimakan api.
“Ibu,”
panggilnya. Ayah sedang menuruni anak tangga sambil menyipai kain tuala dia ats
bahunya. Mungkin ayah baru lepas mandi selepas mengambil buluh bersama-sama
Razaman pagi tadi.
“Haa…ada
apa? Dah masak lemang kamu, Man?” ayah bertanya sambil menyarung selipar di
kaki tangga.
“Entahlah,
ayah. Rasa-rasanya sudah. Man nak minta ibu tengokkan,” kata Man.
Ayah
turun menyambut lemang di tangan Man beralaskan sehelai kain buruk. Ayah
menjenguk ke dalam buluh dan mencium baunya. Jari telunjuknya mencolek ke dalam
buluh sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Hmmm…dah
masak ni. Kamu dah suraikan apinya?” tanya ayah sambil memanjangkan lehernya ke
arah rumpun api tempat Razaman membakar lemang.
“Dah
ayah. Man takut hangus,” sahut Razaman sambil menoleh ke arah Wan Jamilah yang
seakan-akan sudah tidak sabar untuk menikmati lemang panas itu tetapi masih
berselindung di sebalik sifat malu-malu alahnya.
“Haa…apa
lagi, Man. Belahlah lemang tu. Dah tak sabar akak tengok Milah nak merasanya,”
aku sekadar mengusik Wan Jamilah. Beberapa ekor burung kecil terbang hinggap di
dahan kecil berhampiran tempat kami berbual-bual.
Mata
Wan Jamilah bulat bercahaya. Timbul rasa simpati di hatiku. Razaman cepat-cepat
mencapai golok di atas pangkin kecil. Sarung golok dicabut dan dia mulai
membelah lemang dengan membelah bahagian bawahnya terlebih dahulu iaitu di
bahagian yang berbuku. Terserlah isi lemang yang masih berbalut daun pisang.
Bau
yang harum menyerbu masuk ke rongga hidungku. Razaman memotong lemang itu dan
aku membantunya menyusun di dalam pinggan. Ibu keluar membawa sepiring rendang
ayam dan sepiring daging masak hitam di dalam talam kecil. Pinggan berisi
lemang itu ibu letak di dalam talam dan dihulurkan di hadapan Wan Jamilah.
“Dah
boleh makan, ibu?” tanya Wan Jamilah tanpa menunggu ibu mempelawa. Ibu, ayah
Razaman dan aku sendiri tersenyum melihat perlakuan Wan Jamilah.
“Makanlah
Milah,” sahut ayah bagi pihak ibu. Kami sama-sama berkeliling menghadap talam
lemang. Wan Jamilah menadah tangannya membaca doa makan dan membasuh tangannya
sebelum menjamah isi lemang.
“Pekasam
tak ada, mak?” tanya Razaman. Mungkin dia hendak mencicah lemang dengan ikan
pekasam.
“Ada
tapi ibu takut Milah tak tahan,”balas ibu.
“Milah
tak tahan?” Razaman berkata perlahan sambil memandang Wan Jamilah yang sedang
enak menikmati lemang panasnya tanpa menghiraukan kata-kata Razaman.
“Nanti
lama-lama biasalah tu,” sahut ayah pula. Entah Razaman faham atau tidak maksud
ayah itu, aku tidak tahu tetapi Razaman hanya menguncikan mulutnya seolah-olah
dia sudah memahaminya.
Kemudiannya,
kami sekeluarga bersama-sama Wan Jamilah menikmati lemang panas berlemak yang
enak itu. Sudah macam hari raya pula. Konon-kononnya melayan keinginan Wan
Jamilah tapi sebenarnya, kami juga tidak sabar untuk menikmati lemang itu.
Aku
masuk sebentar ke dalam rumah dan mengambil semangkuk nasi putih. Mungkin ada
antara kami yang mahu makan rendang ayam atau daging masak hitam bersama-sama
nasi putih. Ibu orang yang pertama menyambut huluran nasi putih dan pinggan
yang kubawa.
Suara
burung-burung kecil berkicau di atas pokok jambu air semakin jelas dan meriah
kedengaran sambil mengintai-ngintai kami makan. Pokok jambu air ibu sedang
berbuah lebat tetapi belum masak sepenuhnya. Ada yang berputik, ada yang mulai
bertukar ke warna merah muda da nada juga kudup-kudup bunga kecil. Baunya harum
tersebar ke serata halaman.
Burung-burung
kelicap kecil itu berkicauan sambil mematuk buah-buah jambu muda dan menghisap
madu pada bunga yang masih ada terselit jarang-jarang. Nasib baik Wan Jamilah
sempat mencicip jambu air di rumah Mak Ngah Cik Wok. Kalau mahu diharapkan buah
jambu ibu, tentu lambat lagi masaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan