
BAB 24
Sewaktu sedang
menjamah sarapan, terdengar deruan enjin motosikal. Razaman balik barangkali.
Kami yang di meja makan terhenti menyuap.
“Razaman
balik,” kata ibu yang sememangnya sudah arif dengan bunyi enjin motosikal anak
teruna kesayangannya itu. Enjin motosikal dimatikan.
“Assalammualaikum,”
terdengar laungan salam di luar sana, lembut sahaja bunyinya. Kami serentak
menjawab. Razaman tersembul di muka pintu dapur, datang menghampiri kami dan
menyalami ayah. Kemudiannya dia menyalami ibu dan menyalamiku. Sejenak dia
terhenti dan memandangi Wan Jamilah yang pada ketika yang sama turut
memandangnya. Aku merasai sedikit kelainan dengan situasi itu.
“Haaa…Man.
Menung apa lagi tu? Duduklah,” kata ibu. Razaman teragak-agak. Dia berjalan
perlahan dan duduk di kerusi paling hujung, bertentangan dengan ayah. Aku
bangun mengambil cawan dan piring untuk Razaman.
“Pak
long apa khabar, Man?” ayah memecahkan suasana bisu itu.
“Pak
long sihat. Pak long kirim salam pada semua,” ujar Razaman sambil menoleh ke
arahku yang sedang meletakkan piring berisikan nasi goreng di hadapannya. Ayah
mengangguk-anggukkan kepalanya sambil menyambut salam Pak Long Sani.
“Hari
ni ada projek apa?” tanya ayah lagi. Aku dan Razaman saling berpandangan. Tidak
tahu ayah tujukan soalan itu kepada siapa?”
“Siapa
ayah?” tanyaku inginkan kepastian.
“Siapa
lagi, kamu berdualah. Bukankah kalau kamu berdua berjumpa, ada-ada sahaja
projek kamu.” Aku dan Razaman sama-sama ketawa mendengar jawapan ayah. Ayah
masih ingat rupa-rupanya akan tabiat kami berdua. Memanglah aku agak rapat
dengan adik bongsuku ini. Asal sahaja bertemu, pasti ada projek yang kami akan
lakukan.
“Projek
apa, ya? Belum fikirkan lagi,” kataku seolah-olah sedang berfikirkan tentang
sesuatu.
“Tak
ada nak projek-projek, ya. Tolong ibu kat rumah ni. Pagi ni ibu nak buat lemang.
Qistina dan Danisha ada kelas tuisyen,” pantas ibu memintas sebarang projek
yang hendak kami laksanakan. Aku dan Razaman terlopong. Ayah juga terhenti
menyuap nasi gorengnya. Nampaknya, ayah juga tidak tahu tentang projek ibu ini.
Dan
nampaknya juga, percutianku kali ini hanya dipenuhi dengan projek-projek ibu.
Ibu suruh aku bawa Wan Jamilah jumpa Mak Ngah Cik Wok. Ibu tak benarkan aku
bawa Wan Jamilah ke Muzium Arkeologi. Dan semalam, ibu mengajak aku membuat
projek ikan pekasamnya pula. Aku tersenyum mengenangkan projek-projek ibu.
Selepas projek lemangnya ini, tidak tahu pula apa lagi projek yang ibu mahu aku
terlibat sama.
“Buat
lemang, ibu? Bila nak rayanya?” Razaman bertanya kehairanan.
“Bukan
nak raya. Ni ha…ibu nak buatkan untuk anak baru ibu ni, Wan Jamilah.” Kami
serentak memandangi Wan Jamilah. Wan Jamilah juga terhenti mengunyah. Dia
tampak serba-salah dan tersipu-sipu. Kami jadi mengerti kemudiannya.
“Nak
Man ambilkan buluhnya?” tanya Razaman lagi.
“Haa…habis
tu? Nak suruh Wan Jamilah ambil?” Hisy, ibu ni. Ke situ pula dia.
“Lepas
sarapan ni, Man pergi ambil,” Razaman menyatakan kesanggupan.
“Yalah.
Lepas sarapan nantilah. Tak kan kamu nak pergi berlari sekarang. Dah tak
menyempat-nyempat pula.” Ibu sepertinya sedang mengusik Razaman. Kami semua
tertawa kecuali Wan Jamilah yang hanya tersenyum-senyum manakala tiba giliran
Razaman pula untuk tersipu-sipu.
Selesai
bersarapan, Wan Jamilah membantu aku mengemas meja dan menghantar pinggan
mangkuk yang kotor ke singki walaupun aku menegahnya. Wan Jamilah ini nampaknya
tidak kekok bekerja di dapur. Rajin dia membantu walaupun kadang-kala Nampak
dia agak janggal dengan sesuatu tugasan. Yang pastinya, dia pandai mengambil
hati ibu.
Ayah
dan Razaman keluar berdua untuk pergi mengambil buluh lemang. Rumpun buluh itu
ada di dalam kebun getah berhampiran Sungai Temelong. Rumpun buluh itulah yang
dikerumuni orang-orang kampong kalau musim perasaan tiba untuk diambil
buluhnya. Tidak perlu dibeli dan tidak perlu dibayar.
Kadang-kadang,
hanya anak-anak muda yang pergi menebang buluh dan mereka akan
mengagih-agihkannya kepada jiran sekampung yang memerlukan. Kerana bukan musim
perayaan, maka banyaklah buluh lemangnya. Tinggal pilih sahaja mana yang
berkenan.
Seketika
kemudian, Razaman dan ayah pulang. Buluh lemang telah siap dipotong mengikut
ruas-ruasnya dan dimasukkan ke dalam guni. Aku membantu ibu mengait daun pisang
muda. Perlu kait dengan berhati-hati agar daun itu tidak terkoyak.
Razaman
meletakkan guni berisi buluh lemang di tepi tangga. Dia berlalu ke belakang
mengait kelapa. Bersungguh-sungguh benar dia melaksanakan kerjanya. Wan Jamilah
pun sudah boleh duduk-duduk bersama kami di atas pangkin kayu bawah rumah.
Walaupun tidak bercakap dengan Razaman tetapi aku tahu, mereka bercakap dengan
mata.
Razaman
datang ke bawah rumah dan Wan Jamilah menghulurkan besen biru. Macam tahu-tahu
sahaja apa kehendaknya Razaman. Kalau tidak bercakap dengan mata, bercakap
dengan apa lagikah namanya itu kerana aku tidak mendengar mereka berbalas
cakap. Besen biru itu Razaman bawa ke dalam rumah. Dia hendak mesin kelapa.
Ibu
pula, sambil memotong daun pisang sambil mulutnya bercerita itu ini,
mengalahkan Chef Wan menunjukajar Wan Jamilah cara-cara membuat lemang.
Macamlah Wan Jamilah itu hendak membuat lemang pula selepas ini. Aku hanya
tersenyum. Sambil-sambil itu turut memasang telinga, mendengar petua masakan
ibu.
Aku
ini tidak punya banyak masa bersama ibu. Aku juga tidak sempat belajar memasak
secara serius kerana selepas selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, aku
melanjutkan pelajaran dan tinggal di asrama. Walaupun tidak belajar memasak
tetapi aku tahu juga memasak serba sedikit masakan kampong.
Mungkin
kerana minat dan kerana selalu menolong ibu di dapur, aku jadi tahu bahan-bahan
yang digunakan dalam masakan dan aturcara membuatnya. Biasanya, bahagian
menyediakan aksesori masakan itu memang diserahkan sepenuhnnya kepadaku. Aku
yang akan ditugaskan berkitar sekeliling rumah mencari bahan yang diperlukan
ibu.
Aku
arif di mana tempat untuk mendapatkan halia, di mana letaknya rumpun serai dan
kunyit juga daun limau purut. Kalau masak lemak, ibu hanya meminta aku
mendapatkan daun kunyit, isi kunyit dan kadang-kadang daun kesum untuk
menggantikan daun kunyit. Kadang-kadang pula ibu menyuruh aku mengambil daun
kari pulai.
Dengan
itu, aku jadi tahu bahawa untuk memasak gulai kari, kita tidak perlukan daun
kunyit, isi kunyit ataupun daun kesum. Wan Jamilah ralit memerhatikan ibu
menyediakan ramuan untuk membuat lemang. Razaman membantu ibu memerah santan
kelapa. Memang tenaga yang kuat diperlukan untuk memerah kelapa supaya semua
santan dapat dikeluarkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan