
BAB 14
“Kita ke rumah
Mak Ngah Cik Wok dulu,” ujarku memberitahu Wan Jamilah sekembaliku ke kereta.
Wan Jamilah hanya mengangguk-anggukkan kepala. Dia menyambut naskhah Sinar
Harian yang kuhulurkan dan membelek-beleknya.
Kami
tiba di perkarangan rumah Mak Ngah Cik Wok. Rumah kampong di tepi kebun getah,
berdinding papan dan beratap zink. Kawasan di sekitar rumah itu kelihatan agak
tidak terurus. Mungkin ada projek tanaman semula anak getah kerana kelihatan
tompokan tanah dan pokok-pokok getah terbalik dengan akar tunjang dan
serabut menunjuk ke langit. Agak lapang
dan cerah kawasan itu.
Rumah
Mak Ngah Cik Wok kelihatan agak sepi. Entahkan ada penghuni entahkan tidak. Aku
hanya bertawakal. Selepas mematikan enjin kereta, kami bergerak keluar.
Kelihatan rumput liar memenuhi halaman rumah. Namun, di beberapa sudut laman,
tanaman serai wangi tampak merimbun dan menjadi tempat beberapa ekor arnab
berlari-lari di bawahnya untuk berlindung daripada kami.
Di
hadapan kami, tertegak berdiri sebuah rumah kayu tua yang kelihatannya seperti
sebuah gudang peralatan tani dengan cangkul, tajak dan parang bersepah di atas
beranda. Rumah kampong yang sudah cukup tua, dengan warna kayu coklat gelap dan
di beberapa bahagiannya tampak rapuh dan lapuk dipenuhi sarang anai-anai. Di
beranda itulah dulu aku pernah bermain-main dan baring-baring setelah
kepenatan.
Wan
Jamilah datang menghampiriku, memegang lenganku. Aku memahami hatinya. Mungkin
dia berasa sedikit cemas dan curiga melihat keadaan rumah ini, sama seperti
perasaanku ketika ini.
“Assalammualaikum,
assalammualaikum, mak ngah ooo…mak ngah,” aku melaungkan salam, memanggil Mak
Ngah Cik Wok. Pintu depan yang agak lebar itu sedikit terkuak.
Di
bawah langit petang, di tengah hembusan angin yang melambaikan tudung kami ke
udara, kulihat pintu besar itu kian terkuak lebar dan tersembul wajah Mak Ngah
Cik Wok di celahnya.
“Ehhh…Mas,
dah sampai, ya,” terkocoh-kocoh Mak Ngah Cik Wok melebarkan pintunya dan
menyambut kedatangan kami. Tersenyum-senyum dia dengan wajah yang ceria.
Aku
menanggalkan sandal di hujung tangga dan mulai melangkah naik ke beranda. Wan
Jamilah menuruti perlakuanku. Kuberikan laluan kepada Wan Jamilah agar dia
dapat mendahuluiku. Agak sukar juga kami nak melangkah di tengah-tengah
peralatan tani yang pelbagai tu.
“Minta
maaflah, Mas. Mak ngah tak sempat nak bersihkan beranda ni lagi. Mak Ngah baru
sampai petang semalam,” terang Mak Ngah Cik Wok sambil bergegas
mengalih-alihkan alatan itu ke tepi.
“Mak
Ngah pergi ke mana?” tanyaku sambil menghulurkan tangan. Kami bersalaman dan
berpelukan. Lama betul aku tak bertemu mak ngah. Kali terakhir masa dia datang
untuk meraikan majlis pertunanganku dengan Nazran dulu.
“Mak
ngah tak duduk di sini sangat. Mak ngah duduk dengan Aini di Kuala Lumpur nun.
Sekali sekala saja balik ke sini,” terang mak ngah panjang lebih.
“Ooo..dah
jadi orang Kolumpurlah mak ngah, ya,” aku mengusik Mak Ngah Cik Wok.
“Hmmm…gitulah
nampaknya. Bukan mak ngah nak duduk sana pun. Anak-anak mak ngah itulah yang
tak benarkan mak ngah duduk di rumah ini sorang-sorang. Ni cuti sekolah ni, mak
ngah baliklah sekejap. Itupun Si Arman, anak Aini yang temankan.”
“Kak
Aini sihat, mak ngah?” tanyaku sambil mengekori mak ngah meniti anak tangga tiga
mata menuju ke ruang tamu.
“Sihat.
Dia sambung belajar lagi. Jarang sangat nak duduk di rumah. Nasib baik mak ngah
ada. Bolehlah tolong tengok-tengokkan anak-anaknya.” Kami duduk di atas seti
rotan beralaskan kusyen biru tua itu.
“Sekarang
ni memang musim cikgu sambung belajar, mak ngah,” ujarku sambil meletakkan
barang-barang yang kubawa di atas meja kayu. “Ini ada bubur jagung yang ibu
bekalkan untuk mak ngah,” sambungku lagi sambil menghulurkan bekas plastik
berisikan bubur jagung ibu yang masih hangat-hangat suam.
“Susah
susah saja mak kamu ni. Mak kamu sihat? Danisha dan Qistina tak balikkah?” Mak
ngah menyambut juga huluran bekas di tanganku sambil matanya sudah memandang ke
arah Wan Jamilah dan mulutnya yang ramah itu masih belum mahu berhenti bertanya.
“Ini
Wan Jamilah, ya?” tanyanya lagi sebelum sempat aku menjawab soalannya yang
mula-mula tadi. Wan Jamilah mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia seperti serba
tidak kena duduknya. “Mari sini, mak ngah nak rasa perut tu,” panggil Mak Ngah
Cik Wok. Wan Jamilah memandangku, ragu-ragu. Aku mengangguk-anggukkan kepala.
Mak
Ngah Cik Wok menghamparkan sehelai kain baik dan meletakkan sebiji bantal
kecil. Wan Jamilah teragak-agak.
“Mari
baring di sini. Tak ada sesiapa di sini. Kita bertiga je. Arman pergi mengikut
pak ciknya ke pasar malam,” terang Mak Ngah Cik Wok sambil menepuk-nepuk bantal
kecilnya.
Wan
Jamilah bangun perlahan-lahan. Serasakan mahu jatuh air mataku melihat
perlakuan Wan Jamilah. Ya, Allah, kurniakanlah kekuatan buat anak kecil ini.
Aku tidak sanggup untuk melihat keadaannya sebegini. Sempat aku melihat mata
Mak Ngah Cik Wok. Dia juga seperti sedang menyembunyikan kesedihan. Kain tuala
kecil di sisinya dicapai lalu dikesat ke mukanya.
Wan
Jamilah menyelak bajunya perlahan-lahan. Tanpa berkata apa-apa, mak ngah mulai
menjamah dan memegang perut Wan Jamilah lalu menggosok-gosokkannya perlahan.
“Insya-Allah.
Tak ada apa-apa. Mudah bersalin nanti ni,” ujar mak ngah agak perlahan.
Sebenarnya, ibu telah memberitahu Mak Ngah Cik Wok perihal Wan Jamilah. Sebab
itulah mak ngah tak bertanya panjang lebar perihal kedatangan kami dan janji
temu ini juga diaturkan oleh ibu.
Selepas
Wan Jamilah kembali duduk di sebelahku, Mak Ngah Cik Wok mengambil air, buah
limau nipis dan guring yang kubawa. Kelihatan dia sedang membacakan sesuatu dan
menghembuskannya ke dalam air jernih yang kubawa. Selesai dengan kerjanya, dia
datang menghampiri kami.
“Mak
ngah ingat, elok mak ngah mandikan Wan Jamilah di sini petang ni, selepas Asar
nanti. Tak payah susah-susah nak bawa balik barang-barang ni ke rumah.
Selesaikan siap-siap di sini,” cadang Mak Ngah Cik Wok.
Aku
memandangi Wan Jamilah. Dia sepertinya kehairanan.
“Kalau
nak bawa balik pun tak apa, tapi petang esok selepas Asar, kena bagi Wan
Jamilah mandi guna air ni dan campuran guring
dan limau nipis ni,” terang mak ngah panjang lebar.
Teringat
pula pesanan ibu, kalau masih awal, biar mak ngah sahaja yang mandikan Wan
Jamilah tapi aku terlupa untuk membawa bekal kain batik dan tuala mandi. Aku
memerhati jam di pergelangan tangan. Sudah hampir ke pukul empat petang.
“Belum
Asar lagi, mak ngah. Lambat lagi ni,” aku memaklumkannya pada mak ngah. Niat
hati ingin meminta diri dan bergegas ke kolam ikan mencari Razaman pula.
“Tak
apalah. Kita sembang-sembang dulu. Sedar tak sedar nanti, masuklah waktu Asar
tu. Lagipun sudah lama kamu tak ke mari, Mas. Dah lama tak bercerita dengan
kamu.” Ada sedikit kesayuan dalam nada suara Mak Ngah Cik Wok. Niatku untuk
beredar jadi tertangguh. Kolam mata mak ngah tampak berkaca-kaca. Mak ngah ini
mudah sangat mengalirkan air mata.
Rasanya,
sudah lama mak ngah menyimpan air matanya itu iaitu sejak mula-mula dia
terpandang Wan Jamilah. Mak ngah ini memang mudah tersentuh hatinya. Atas
hal-hal yang sedikit pun, air matanya akan jadi terlalu murah.
“Marilah
kita ke belakang. Masak air dan masak apa-apa yang boleh dimakan. Bubur jagung
mak kamu ni pun banyak. Jom, kita berkelah di dapur,” ajak mak ngah.
Aku
tidak jadi beredar. Macam ada suatu tarikan, aku bangun mengekori langkah mak
ngah ke dapur.
“Tadi
anak Cik Senah pun ada datang nak mandi berlimau. Kain basahan ada di dalam
bilik air. Tualanya, nanti nak mandi, mak ngah ambilkan,” sambung mak ngah
lagi.
Wan
Jamilah memandangiku dan aku mengangguk-anggukkan kepala. Wan Jamilah turut bangun mengekori langkah kami.