
BAB 30
Seminggu
menghabiskan cuti di kampong, kami berangkat kembali ke rumah sewaanku. Agak
sedih juga untuk berpisah dengan ibu. Entah bilakah kami dapat bersua lagi.
Cuma janji ibu, apabila Wan Jamilah bersalin, dia akan datang membantuku
menjaga Wan Jamilah. Aku terharu dengan kesediaan ibu itu. Sangat-sangat
terharu.
Sejak
akhir-akhir ini, aku selalu nampak sebuah kereta Wira putih yang diparkir agak
terlindung dari rumahku tapi dari tingkap bilik, aku dapat melihat jelas Wira
putih itu. Mula-mula, aku diamkan sahaja. Lama kelamaan, aku merasai sesuatu
yang kurang enak. Apa yang dimahukan oleh lelaki itu? Adakah dia mengintip
kami? Mengintip Wan Jamilah?
Keadaan
itu memaksa aku meminta Wan Jamilah agar tidak membiarkan tingkap bilik terbuka
dan orang di luar sana dapat melihat dengan jelas perkara yang berlaku di dalam
bilik ini. Kepada Wan Jamilah tidak kukhabarkan tentang lelaki itu dan juga
perasaan kurang enakku. Aku tidak mahu Wan Jamilah takut dan berasa tidak
selamat.
Sewaktu
keluar untuk ke tempat kerja, aku berpesan kepada Wan Jamilah agar tidak
mengunci pintu pagar dan tidak membuka pintu kepada orang-orang yang tidak
dikenalinya. Setiap hari bekerja, Nurin yang keluar lewat daripadaku dan kugesa
dia agar terus mengunci pintu pagar. Aku takut Wan Jamilah keluar menguncinya
dan ditangkap oleh lelaki Wira putih yang sering mengintai kami.
“Jangan
fikir yang bukan-bukan, Mas. Tak ada apa-apanya. Mungkin jiran baru kita di
depan sana. Mana tahu, saat Mas pandang dia, saat itulah juga dia sedang
pandang Mas. Mana tahu, mungkin dia nak berkawan dengan Mas,” Nurin masih
sempat berseloroh tapi mungkin dia juga risau tetapi sekadar mahu menyedapkan
hatinya dan hatiku.
Wartawankah
atau orang jahatkah? Kalau wartawan, mungkin masih boleh kuhindari tetapi kalau
orang jahat? Apalah yang mampu kami bertiga ini buat untuk melawan kudrat orang
lelaki itu kalau ditakdirkan dia menyerang kami dengan bersenjata. Aku semakin
cuak.
Suatu
pagi hari minggu, aku nampak lagi kereta Wira putih itu berlegar-legar di
hadapan rumah kami. Aku tidak puas hati. kupanggil Nurin dan kuajak dia ke
bilikku. Waktu itu, Wan Jamilah sedang mandi dan aku mengambil kesempatan itu
untuk membuktikan firasatku kepada Nurin.
Muka
Nurin juga sudah berubah. Entah takut atau entah apa, aku tidak dapat
menekanya.
“Jom
Mas, kita pergi bersemuka,” ajak Nurin. Wah, berani juga si kenit ini!
“Jangan
Nurin, Mas takut. Buatnya dia ada senjata api, ditembaknya kita, mati tak
sempat kahwinlah jawabnya.” Masih sempat pula aku memikirkan masalah itu. Nurin
terbata-bata memandangku. Mungkin tidak menyangka bahawa aku akan mengeluarkan
kenyataan yang sedemikian rupa.
“Okay,
kalau begitu, kita telefon Abang Nazran. Kalau ada lelaki yang datang ke rumah
ini, mungkin lelaki di luar itu tidak akan berani mengganggu kita. Mungkin dia
menyangka bahawa selama ini kita hanya tinggal bertiga,” Nurin menyuarakan
pendapat. Aku terdiam seketika. Kalau boleh, aku tidak mahu melibatkan Nazran
dalam hal ini.
Adakah
lelaki itu pembunuh upahan? Mengambil upah untuk membunuh daripada siapa?
Adakah Wan Syamril yang mengupahnya? Wah, makin kalut pula aku memikirkannya.
Siapa lelaki itu? Apa yang dia mahu sebenarnya? Kalau aku berani, sudah lama
aku berhadapan dengannya. Nampaknya ilmu Silat Cekak yang pernah kupelajari
sebelum ini masih tidak mampu untuk mengembalikan keyakinanku agar bersemuka
dengan lelaki jahat itu.
Lelaki
jahat? Aku tidak tahu siapakah lelaki itu, jahat atau baik. Yang aku tahu, aku
memang tidak selesa dengan kehadirannya berlegar-legar di hadapan rumah kami.
“Masih
tak nak bagitahu Abang Nazran?” tanya Nurin.
“Tak
payahlah. Mas tak mahu menyusahkan dia. Nanti Mas telefon Tuan SI Jaafar, minta
dia pantau keselamatan sekitar rumah kita.” Baru aku teringat untuk meminta
bantuan Tuan Sub Inspektor Jaafar yang selalu berurusan di sekolahku.
Petang
itu, Tuan SI Jaafar singgah di hadapan rumah kami. Aku keluar menemuinya dan
menunjukkan kereta Wira putih yang
selalu mengintip kami tetapi kereta itu berundur perlahan dan berlalu pergi
melalui lorong belakang deretan rumah jiran kami. Tuan SI Jaafar tidak berhajat
untuk mengejar kereta itu tetapi sebaliknya, dia menelefon pegawainya yang
sudah menunggu di jalan besar sana supaya menahan kereta putih itu.
“Nanti
apa-apa hal, saya akan maklumkan kepada cikgu,” kata Tuan SI Jaafar. Beliau
juga berjanji untuk mengarahkan anak buahnya meronda di kawasan kediaman kami
setiap pagi semasa kami keluar bekerja.
Setelah
Tuan SI Jaafar berlalu pergi, Wira putih itu tidak datang lagi.