Aku memang minat membaca. Minat amat. Tidak tahu bilakan
minat itu wujud tetapi seingatku, semasa berada di darjah satu tahun 1978, aku
sudah boleh membaca walaupun tidak menerima pelajaran formal di tadika.
Maklumlah, ibu bapaku bukan orang berada. Jadi, di saat teman-teman lain ke
tadika, aku hanya menghabiskan masa di rumah.
Mungkin kerana aku anak keempat daripada lima
orang adik beradik. Sewaktu kakak dan abang-abangku menyiapkan kerja sekolah
mereka, aku akan tumpang membaca buku teks mereka. Apabila sudah memasuki alam persekolahan, aku
sudah lancar membaca.
Aku membaca tanpa memilih bahan.
Kertas surat khabar bungkus ikan bilis pun jadi bahan bacaan juga. Mungkin juga
kerana ibu bapaku juga suka membaca. Setiap kali pulang dari berjaja ( mak dan
abah berkeliling kampong, menjual kuih dengan menaiki motosikal pada sebelah
petang kerana di sebelah pagi, arwah abah menoreh getah) mereka pasti akan
belikan majalah. Tak bawa balik jajan tak apa asalkan bawa balik majalah.
Majalah kesukaan kami sekeluarga
pada masa itu ialah Wak Dojer. Aku masih ingat lagi, adik bongsuku Azaruddin Hj
Sulaiman, peminat setia Wak Dojer sehinggakan kadang-kadang, kami memanggilnya
Wak Dojer juga. Hanya kerana Wak Dojer, boleh gamat satu rumah dibuatnya.
Mula-mula baca , lepas tu bercerita
semula. Lepas tu baca lagi bergilir-gilir. Cerita lagi. Memang tak habis-habis.
Karya pertamaku juga disiarkan dalam majalah Wak Dojer (alahai, mutiara kata
saja…macamlah gah sangat). Tapi aku gembira sebab lepas tu aku dapat tiga bulan
keluaran Wak Dojer percuma (Janjinya tiga keluaran tetapi yang kuterima hanya
dua keluaran sahaja, jadilah….)
Bila dah mula bersekolah dan dibenarkan meminjam buku di
perpustakaan, aku tidak melepaskan peluang keemasan itu. Buku siri pengembaraan
Lima Sekawan karya Enid Blyton menjadi kegemaranku. Sanggup sembunyikan di
belakang rak hanya kerana takut dipinjam kawan-kawan lain terlebih dahulu.
Selain itu, ada lagi siri-siri lain seperti Siri Salma dan Tujuh Sekawan.
Kemudian, aku mulai membaca
novel-novel berat yang ada di perpustakaan seperti karya-karya Dr. Hamka,
Shahnon Ahmad dan beberapa karyawan lain yang aku tidak berapa ingat namanya.
Hasil karya yang menarik, bahasa yang indah, berkesan di jiwa, menusuk di
kalbu.
Tenggelamnya Kapal Van der Wijk, Rimba
Harapan, Srengenge,…kadang-kadang tu turut hadir dalam mimpi-mimpiku. Aku dapat
rasakan bahawa aku bagaikan sebahagian daripada watak-watak di dalam
cerita-cerita itu.
Ada satu kumpulan cerita tentang
penduduk Khmer. Entahlah, aku sendiri sudah lupa tentang tajuknya. Tapi,
kisah-kisahnya memang menarik. Anak-anak kecil mendaki bukit di pergunungan
Khmer, dengan bauan bunga-bungaan hutan yang menyegarkan, deruan air sungai
yang mengalir jernih. Aku memasang angan-angan untuk ke Khmer. Tapi bila dah dewasa,
baru kutahu, Khmer sebuah negeri yang
sering bergolak.
Dan sekarang pula, baru aku sedar.
Kenapa aku sering bermimpi mengembara? Ya, sehingga ke saat ini, aku masih lagi
bermimpi yang sama, mengembara, mendaki gunung yang di kiri-kanannya ditumbuhi
bunga-bunga hutan berwarna-warni, ada air sungai yang mengalir di celah-celah
batu. Anak-anak ikan berlompatan. Dan cerita-cerita itu bersambung-sambung lagi
saban malam.
Membaca pula cerita Hikayat Seribu
Satu Malam, aku dibawa hanyut ke negara kayangan inderaloka. Menghabiskan masa
seharian semata-mata untuk menamatkan bacaan. Alangkah indahnya kalau dapat
membaca.
Aku juga merupakan pelanggan tetap majalah
Gila-gila. Rela kuketepikan sedikit duit
belanja sekolah agar dapat kubeli majalah kesukaanku ini. Mak abah
memang tak pernah menghalang walaupun bacaan itu hanya komik kartun dan mungkin
sesetengah orang menganggapnya tidak berfaedah.
Tapi, melalui Gila-gilalah aku
banyak belajar. Sewaktu memasuki pertandingan perbahasan, banyak kata-kata yang
kupinjamkan dari majalah ini. Hujah saya ini muktamad ibarat gagak yang dibawa
mandi di lautan. Walaupun dibasuh dengan air dari tujuh lautan sekalipun, tetap
tidak akan hilang hitamnya.
Itulah antara kata-kata yang masih
kuingat. Besar jasanya Majalah Gila-gila kepadaku kerana ideanya sering
kugunakan dalam karanganku walaupun kini aku sudah tidak membaca majalah itu
lagi. Tidak ingat bila tarikhnya tapi mungkin setelah Ujang tidak lagi menjadi
artis di Majalah itu. Teringat Ujang, pasti aku teringatkan karyanya yang
berjudul Jibam dan begitu berkesan di hatiku.
Sewaktu mula-mula berkhidmat
sebagai guru, aku dilantik sebagai guru pusat sumber. Hmm… memang kenalah
dengan minatku ini. Aku banyak menghabiskan masa di pusat sumber kecil
sekolahku. Apabila tiada kerja-kerja rutin pusat sumber, aku akan mengambil
kesempatan untuk membaca. Semua buku aku baca, dari buku untuk anak-anak tahun
satu hingga ke dewasa. Hmm…perpustakaan sekolah rendah, banyak manalah sangat
buku-buku untuk golongan dewasa.
Tapi, aku puas. Setelah tidak
menjadi guru pusat sumber, aku hanya membaca saat ada kelapangan dan majalah
Mingguan Wanita menjadi bacaan tetap selain daripada Anjung Seri. Sebenarnya,
aku sedang cuba memupuk kembali minat membaca novelku. Meminjam novel-novel
terkini di perpustakaan desa dan memang sudah jarang membeli.
Dulu, aku memang suka membeli dan
mengumpulkan novel tapi bila lihat longgokan buku yang menimbun, aku jadi
resah. Sudahnya, kubungkus dan kujadikan hadiah, hadiah harijadi kawan-kawan
atau anak murid. Bila difikir-fikirkan, rasa sayanglah pula. Kalau kusimpan, pasti
dah boleh buka sebuah perpustakaan mini. Hmm…memang pernah ada dalam
pemikiranku untuk membuka sebuah perpustakaan mini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan