"Ini bilik kau, kata Mak Cik Tom sambil menghempaskan beg plastik berisi kain tudung yang baru dibeli Pak Cik Don untukku ke atas bangku kecil di tepi tingkap. Dia berpeluk tubuh sambil berpusing merenung tajam ke arahku. Mukanya menggambarkan riak tidak puas hati.
Perlahan-lahan kuletakkan beg pakaianku di atas katil kecil bercadar hijau muda dengan bunga-bunga putih kecil yang melatarinya. Pandanganku berputar-putar ke sekitar bilik kecil ini. Tidak banyak perabot di dalam bilik ini. Hanya sebuah katil bujang kecil, sebuah almari pakaian berwarna kayu dan sebuah meja kecil dengan kerusinya di tepi tingkap yang baru Mak Cik Tom hempaskan bungkusan plastik berwarna biru tadi.
“Hmmm...kenapa? Tak
puas hati?” ujar Mak Cik Tom sambil berjalan sedikit menghampiriku sebelum menyambung,
“ Bilik ini lebih besar berbanding dengan rumah engkau di kampung tu.” Aku
hanya meneguk liur. Tiada upaya mahu membalas cakap Mak Cik Tom. Lebih baik aku
kuncikan sahaja mulutku ini kerana aku tahu tiada faedahnya untukku melawan
cakap ibu saudaraku ini.
“Haa...Syahidah.
Rehatlah dulu, ya.” Tiba-tiba tersembul Pak Cik Don di muka pintu. “Som, mari
keluar dulu. Biarkan Syahidah berehat. Letih budak tu. Mana pernah dia berjalan
sejauh ini.” Pak Cik Don menunjukkan tanda prihatinnya. Mak Cik Tom berdengus
sebelum berpusing ke arah suaminya.
Sebaik sahaja
sepasang suami isteri itu berlalu, aku melabuhkan punggungku perlahan-lahan di
atas tilam kecil tapi empuk ini. Tanganku menggosok-gosok perlahan permukaan
tilam itu. Udara panas melegari ruang bilik yang agak terhad ini. Kipas di
siling tidak berpusing. Suiznya ada di dinding sana, sederet dengan satu lagi
suiz, mungkin suiz untuk lampu bilik dan satu plug.
Aku teringatkan ibu
di kampung. Kalau aku tahu begini layanan Mak Cik Tom, tidak ingin aku terima
pelawaannya ke mari. Aku lebih bahagia tinggal di kampung. Tinggal bersama-sama
ibuku. Walaupun hidup kami tidak sesenang Mak Cik Tom tetapi kami bahagia. Mak
Cik Tom yang beria-ia mengajak aku ke mari. Siap balik kampung untuk menjemput
aku ke mari.
Memang Mak Cik Tom
acapkali mengajak aku bertandang ke rumahnya di Kuala Lumpur ini tetapi aku
tidak mahu. Aku tidak mahu tinggalkan ibu sendirian di kampung. Memang ayah ada
tetapi sejak ayah balik tinggal bersama isteri tuanya, ayah memang sudah
jarang-jarang balik menjenguk ibu. Mak Tua juga sudah punya tiga orang anak
dengan ayah iaitu Kak Farah, Kak Sakinah dan Abang Zafri.
Walaupun Mak Tua
tidak begitu baik layanannya terhadapku tetapi kakak-kakak dan abangku tetapi
menyayangiku sebagai adik bongsu mereka. Abang Zafri yang selalu memberikan
belanja sekolahku tanpa pengetahuan Mak Tua. Kak Farah masih belajar di tahun
akhir jurusan kejuruteraan manakala Kak Sakinah membuka sebuah butik pakaian
dan busana muslim di Bandaraya Ipoh. Abang Zafri pula membantu ayah di syarikat
hartanah mereka.
Syarikat itulah yang
mengikat ayah agar terus bersama dengan Mak Tua. Mak Tua yang punya peratus
saham yang tinggi dalam syarikat berkenaan. Kalau tiada Mak Tua, mungkin ayah
tiada apa-apa. Kadang-kadang, timbul juga rasa sakit hatiku dengan perlakuan
ayah tetapi ibu sering menasihatiku agar
tidak menyimpan perasaan benci terhadap ayah. Ayah, ayah juga. Jangan dimusuhi
ayah sendiri.
Kata ibu, “Ibu mahu
masuk syurga. Ibu juga mahu anak ibu masuk syurga. Walaupun ibu kecewa dengan
perbuatan ayah kamu tetapi ibu redha. Mungkin ini ujian Allah buat ibu. Allah
mahu memberi pahala yang banyak kepada ibu. Kalau ibu boleh terima perbuatan
ayah, ibu harap kamu juga boleh terima. Jangan menderhaka terhadap ayah kamu.
Hormati dia selayaknya. Dia ayah kamu. Tinggalkan persengketaan ayah dengan
ibu. Kamu sebagai anak tak perlu masuk campur.” Ibu berkata sedemikian dengan
suara yang lirih.
Aku hanya menekur
sepi. Aku memang sudah lama maafkan ayah. Tanpa sedar, air mataku turun membasahi
pipi. Aku menyeka air mata yang mengalir. Tidak mahu terus terlarut dalam
kesedihan yang tidak semena-mena datang bertandang. Mungkin juga aku amat
terasa hati dengan layanan kurang mesra Mak Cik Tom terhadapku.
Aku tidak minta
datang ke mari. Mak Cik Tom yang meminta kebenaran ibu untuk membawa aku dengan
alasan agar aku dapat membantunya sementara mendapat pengganti baru pembantu
rumahnya yang telah tamat tempoh bekerja di sini. Sementelah pula aku baru
selesai menduduki peperiksaan SPM. Jadi, sementara menunggu keputusan keluar,
dapatlah aku membantunya.
Menyesal pula aku ke
mari. Dilayan macam pengemis yang tiada berumah. Semuanya berpunca daripada Pak
Cik Don yang cepat sangat bermurah hati membelikan aku hadiah. Hadiah tudung
yang baru dicampakkan Mak Cik Tom di atas kerusi kayu itu tadi. Kata Mak Cik
Tom, Pak Cik Don tidak perlu berhabis duit untukku. Awal-awal lagi sudah
meminta yang bukan-bukan. Aku tidak meminta tapi Pak Cik Don yang mahu
membelinya.
Sudah kukatakan, aku
tidak mahu tudung itu tetapi Pak Cik Don tetap berdegil yang menyebabkan Mak
Cik Tom menarik muka masam. Bukan setakat masam malahan menyergah-nyergah pula
aku. Mahunya tidak timbul rasa bersalah di hatiku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan