Bersyukur…
Ya Allah,tidak
bersyukurkah aku ini ? Ya Allah, sesungguhnya aku amat bersyukur atas
anugerahMu selama ini. Aku mendapat
segala apa yang aku idami tanpa
melalui banyak halangan. Terlalu mudah. Kata orang,kita sukar menghargai
sesuatu yang terlalu mudah kita dapat.
No, no, no…Tidak bagi aku. Walaupun mudah aku mendapatkannya
tetapi aku terlalu menghargainya. Rupa-rupanya,ungkapan itu tidak sesuai digunakan untukku. Terkadang, aku jadi takut
. Takut untuk meminta lagi kepada Mu ya
Allah. Aku takut dikatakan aku terlalu tamak.
Ya Allah. Terkadang doaku terlalu ringkas “Ya Allah Ya
Tuhanku ampunilah segala dosa-dosaku, dosa suamiku,dosa kedua ibu bapaku,dosa
ibu bapa mertuaku, dosa anak-anakku,dosa saudara-maraku,dosa jiran tetanggaku dan dosa kaum muslimin dan muslimat
keseluruhannya. Lindungilah kami, berkatilah hidup kami, jauhilah kami daripada
perbuatan keji manusia dan seksaan azab
api neraka.
Ya Tuhanku, Kau lindungilah umat Islam di seluruh dunia,naikkanlah darjat
kami, lindungilah anak-anak kami. Ya Allah Ya Tuhanku, makbulkanlah doaku ini
kerana hanya engkau yang maha Mengetahui segala isi hati hamba Mu ini. Amin amin amin
ya Rabbal allamin…..”
Dan doa ini seakan sudah sebati dengan diriku dan jiwaku. Sudah jarang aku
berdoa untuk diriku sendiri kecuali saat puteriku yang ke2 akan menduduki peperiksaan UPSRnya. Saban
saat aku berdoa agar dia bakal memperoleh keputusan yang cemerlang iaitu 5A.
Itulah doaku siang dan malam agar kejadian tahun lepas yang menimpa abangnya tidak akan berulang
lagi. Abang adalah anakku yang sulung. Bukanlah murid cemerlang tetapi aku
tahu, dia seorang anak yang bijak. Seawal usianya satu tahun dia sudah petah
berkata-kata. Sewaktu adiknya
dilahirkan, dia berumur satu tahun tiga
bulan.
Masih terlalu kecil tetapi dia sudah boleh bertutur dengan
sempurna. Masih kuingat benar, jika ada yang bertanyakan nama adiknya, dia akan
jawab “cicak”. Hmmm…nama dia nak sedap, nama adik “cicak” aje. Waktu itu dia
cukup suka cicak kerana mungkin setiap kali terlentang memandang syiling rumah, dia akan nampak cicak.
Sebagai anak yang sulung, setiap perkembangannya kami
catatkan. Perbendaharaan katanya yang semakin bertambah saban hari.
Kelincahannya dan kenakalannya. Sewaktu di usia empat tahun, dia sudah mula
mengeja dan membatang sukukata. Suatu
hari, sedang aku membaca sebuah akhbar, dia datang dan duduk bersamaku. Sengaja
aku bertanya kepadanya sambil menunjukkan satu perkataan. Tanpa ragu-ragu,
abang terus menyebut,..pe mu da…
Ya Allah. Anakku boleh membaca. Seronok amat aku masa tu
Tuhan sajalah yang tahu. Abang cepat dalam segala-galanya. Aku diijabkabulkan
bersama suamiku pada 10 Mei 1996 dan
pada 25 Januari 1997, abang dilahirkan, lebih awal daripada tarikh jangkaannya
iaitu awal bulan 3.
Pernah sekali sewaktu
mendapatkan pemeriksaan jururawat di
klinik , waktu aku hamil 3 bulan, jururawat berkenaan menegur, besar perutku
seperti orang yang mengandung lima bulan. So, aku bagitahu, “ saya kawin
pun baru tiga bulan…”
Ibuku yang melihat perkembangan abang, menyuarakan rasa
kebimbangannya. Anakku cerdik melepasi tahap umurnya. Dia takut berlaku sesuatu
yang buruk ke atas anakku ini. Dan dia juga meminta supaya kami tidak terlalu “mengajar” abang. Dia mahu
cucunya membesar secara normal seperti anak-anak yang lain.
Aku juga risau sebenarnya. Dan selepas itu, aku tidak lagi
terlalu bersemangat untuk mengajar anak
ini. Kubiarkan dia di TADIKA pada umur lima dan enam tahunnya. Sewaktu dia di Tahun Satu, aku hantarkan dia
ke sekolah yang berasingan denganku sehinggalah aku ditukarkan ke sekolah yang
lain.
Kerana timbul masalah pengangkutan, aku terpaksa membawa dia
ke sekolah yang sama denganku. Dan barulah aku tahu, anakku tidak boleh
membaca. Ya Allah, aku telah abaikan anakku ini selama dua tahun tumbesarannya.
Betapa berdosanya aku. Adiknya yang berumur enam tahun telahpun lancar.
Kesedihan dan rasa bersalah
yang teramat mendorong aku untuk kembali mengajar abang. Abang, maafkan
mama. Aku menyediakan kad-kad perkataan dengan bantuan suamiku. Kami melakukan
aktiviti pengajaran membaca untuk abang secara
intensif selama dua minggu. Pelbagai cara, strategi , pendekatan dan
teknik kulakukan.
Alhamdulillah, genap
dua minggu, abang telah lancar membaca. Bertukar ke beberapa buah
sekolah, akhirnya abang temui
keserasiannya di SK Lenggong. Alhamdulillah, guru-guru yang baik dan memberikan
perhatian yang sama rata tanpa memilih ke atas anak-anak murid mereka. Di sini,
anakku belajar menyayangi guru-guru dan rakan-rakannya.
Besar rasa hatiku pabila setiap petang ada kawannya yang
datang ke rumah, “nak ajak abang bermain bersama.” Rupa-rupanya anakku ini, ada
juga orang yang sudi berkawan dengannya. Hampir mengalir air mataku kerana
gembira abang ada kawan.
Awal tahun 2009, abang minta kebenaran untuk tinggal di
asrama sekolah. Bukan mahu menyisihkannya tetapi atas kemahuan dan permintaannya sendiri. Kami izinkan.
Ujian Pengesanan 1,tiada apa yang hendak dibanggakan,Bahasa Melayu kedua-duanya
A, Bahasa Inggeris B, Matematik C dan
Sains D. Pengesanan 2, Bahasa Melayu tetap A begitu juga Bahasa Inggeris tetap
B manakala Matematik dan Sains bertukar tempat.
Puan Ghasimah, Guru Penolong
Kanan Pentadbiran sekolahnya mula membebel,kebetulan Puan Ghasimah
pernah menjadi guruku sewaktu aku disekolah menengah dulu. “Emaknya pakar
Matematik tetapi kenapa anaknya tak boleh buat.” Pakar? Tidaklah. Mungkin
kerana aku memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik dengan
kepujian,itu yang dimaksudkan pakar oleh Puan Ghasimah.
PKSR 1 menyaksikan abang mendapat 2A 3B. Hmm…ada
peningkatan. Semua B yang abang peroleh, markahnya menghampiri 80%, Bahasa
Inggeris 79%, Sains 71% dan Matematik 75%. Abang perlu usaha lagi untuk dapat
5A dalam peperiksaan yang sebenar. Aku membawa abang keluar dari asrama untuk
tinggal di rumah dengan keizinan Puan
Ghasimah. Sekurang-kurangnya, aku boleh memantau perkembangnnya. Percubaan UPSR,
abang tetap mendapat 2A 3B dengan markah Bahasa Inggerisnya 79.2%.
Dan abang melakukan suatu peningkatan yang luar biasa semasa
peperiksaan PRA UPSRnya iaitu dia telah memperoleh 5A. semangatnya kembali
pulih dan berkobar-kobar. Kupinta dia agar tidak terlalu yakin kerana aras
kesukaran dan peratusan dalam peperiksaan yang sebenar adalah berbeza.
November 2009, keputusan UPSR diumumkan. Kehampaan jelas
terpancar di raut wajah abang. Dia tidak berjaya menggenggam impiannya. Aku
pinta agar dia bersabar. Bagiku, aku redha dengan keputusan ini. Ada hikmah
yang besar di sebaliknya. Abang tidak boleh terlalu yakin. Abang perlu usaha
lagi. Perjalanan hidup abang masih jauh.
Kulontarkan kata-kata semangat untuknya sedangkan hatiku
sendiri terluka. Aku terluka dengan satu ungkapan yang seakan belati menghiris
tangkai hatiku, “Tahniah kepada cikgu-cikgu yang anaknya mendapat 5A. Itu tandanya
balasan Allah kepada kita kerana telah mengajar dengan ikhlas selama ini.
Setiap apa yang kita buat, Allah akan berikan balasan yang setimpalnya.”
Ya Allah, tidak ikhlaskah aku mengajar selama ini? Seramai
manakah anak didikku telah berjaya (sedikit sebanyak) berkat hasil tunjuk
ajarku? Terkilan hati ini kupendamkan sahaja. Sesungguhnya hanya Allah yang
Maha Mengetahui betapa ikhlasnya aku mencurahkan ilmuku selama ini. Please, jangan
dipertikaikan keikhlasanku.
Memang aku tidak pernah bercita-cita untuk menjadi guru.
Tiada senarai dalam cita-citaku. Pekerjaan ini terlalu mudah aku dapat. Ya
terlalu mudah. Terlalu mudah pula tidak bermakna aku tidak menghargainya.
Setelah tamat peperiksaan SPM, aku meneruskan Tingkatan Enam
di sekolah yang sama. Saban hari, pedih telingaku disindir oleh seorang guru,
“Haa..ada sapa-sapa nak minta tukar aliran?” itu ringkasannya saja. Rasanya tak
perlu kuulas panjang-panjang sekadar boleh kukatakan, aku pelajar aliran Sains
SPM tetapi masuk ke tingkatan enam dalam aliran Sastera.
Hanya beberapa orang sahaja pelajar dari kelas kami (5 Sains
1) yang meneruskan persekolahan di tingkatan 6, yang lain-lain melanjutkan
pelajaran ke universiti. Hmmm…hina sangatkah? Aku cuba memohon ke universiti
dan menerima tawaran ke UTM Sekudai, Johor tetapi kerana masalah kewangan dan
kebetulan pada waktu itu, ramai benar siswazah yang menganggur, ibu tidak mengizinkan
pemergianku.
Tidak lama kemudian, keluar borang untuk memasuki maktab
perguruan. Sekadar mengikut kawan-kawan,aku juga turut memohon dan akhirnya
melepasi semua syarat. Aku diterima ke MPMK Johor Bahru dengan hati yang berat
(berat kerana aku memang tidak berminat). Dan salah satu sebabnya juga ialah tidak
mampu lagi untuk menadah telinga mendengar kata-kata sindiran. Mudah, bukan?
Aku rasa teramat mudah setelah kubandingkan perjalanan
hidupku dengan suamiku. Betapa sukarnya dia untuk bergelar seorang guru lepasan
maktab perguruan walaupun telah menjadi guru sandaran selama 10 tahun.
Saban tahun dia memohon dan hanya sempat dipanggil ke
temuduga lisan. Sebab itulah apabila telah sah menjadi guru,dia begitu komited
dengan pekerjaannya. Menyayangi anak-anak didiknya kerana katanya, “Tanpa budak-budak
ni, kita tak akan jadi guru…”
Memang, dia terlalu menyayangi kerja dan muridnya. Sehingga
ke hari ini, setiap kali berjalan atau bercuti, dia tidak pernah lupa
membelikan buah tangan untuk anak muridnya. “Ni nak bagi hadiah kat
budak-budak.” Ayat favorite dia.
Walaupun tiada dalam senarai cita-citaku, namun setelah aku
menjadi guru, aku terus jatuh cinta dengan profesion ini dan aku bertekad untuk
menabur ilmuku sedaya mungkin dalam mendidik anak-anak bangsaku tanpa
keluh-kesah.
Kepada puteriku yang kedua, kukhabarkan,”Kalau Baby sayang
mama dan ayah, hadiahkanlah kami 5A. mama tak kisah apapun keputusan kamu tetapi
mama sedih kalau mama bakal dihina lagi jika anak mama tidak mendapat 5A. Mama
mohon sangat-sangat agar kamu penuhi permintaan mama ini.”
Sewaktu kuantari dia di pagi peperiksaannya, sekali lagi
kusuarakan hasrat hati ini yang turut mewakili hasrat hati ayahnya. Sewaktu anakandaku
melangkah masuk ke dewan peperiksaan, aku membaca surah yasin,mengharapkan
ketenangan kepada anakanda yang sedang menduduki peperiksaan. Selesai sekali
bacaan, kuhidupkan enjin kereta untuk ke sekolahku pula.
Begitulah yang aku lakukan di setiap matapelajaran yang
anakanda kuambil, sambil dengan penuh
ketulusan kumohon agar Allah memenuhi hajatku….setelah lama tidak berdoa untuk
diri sendiri inilah doaku yang paling panjang kukira.
Di pagi keputusannya diumumkan, aku hanya membekukan diri di
sekolah. Menyiapkan hiasan pentas untuk Majlis Hari Anugerah Cemerlang sedangkan teman-teman guru yang lain sedang
berdebar-debar menantikan keputusan anak-anak didik. Debar? Siapa yang tidak
berdebar. Sengaja tidak kupamerkan sedangkan tanganku menggenggam erat telefon
bimbit.
Dalam penantian itu dan kesibukan menyusun murid-murid untuk
full dress rehersal sempena majlis petang nanti, aku terlepas beberapa
panggilan. Siapa yang menefonku? Kalau panggilan dari sekolahnya, tentu ada
berita baik buatku.
Cuba kutahan kesabaran ini namun gagal. Kuhubungi suamiku
melalui sms bertanyakan khabar anakanda kami sedangkan suamiku sedang
bermesyuarat. Sms balasannya berbunyi, “Cikgunya ada telefon, pergilah ke sekolah
tengok,” Cikgunya telefon? Betul ke, Yang? Dadaku berdebar-debar seakan telah
kutahu keputusannya.
Kuhubungi salah satu panggilan yang tidak kujawab dan
rupa-rupanya itu panggilan daripada guru kelasnya. “Anak saya dapat berapa?”
dan jawapannya,”Datanglah….” Datanglah…Ya Allah. Walaupun tidak dinyatakan, aku
telah dapat menghidunya. Anakku dapat 5A. kutahan air mataku agar tidak menitis
lalu aku menuju ke sekolahnya. Sepanjang jalan, jiwaku bergetaran.
Rupa-rupanya anakku masih tidak tahu keputusannya. Wajahnya mendung
dan keruh,memandang aku yang datang walau pun pagi tadi dia minta sangat-sangat
agar aku tidak datang ke sekolahnya. Kubiarkan dia dengan debarannya kerana aku
telah dimaklumkan oleh Puan Ghasimah akan keputusannya dan ujian aptitudnya juga
empat.
Alhamdulillah, penantian kami selama ini ternoktah di sini.
Terima Kasih Ya Allah. Terima Kasih Baby. Terima Kasih Cikgu-cikgu. Pulang dari
sekolah, kubisikkan ke telinganya,”Jangan umumkan dalam facebook,” “Kenapa,
mama?” “Kerana di saat kita bergembira, mungkin ada orang yang kecewa.” Aku
sebenarnya tidak mahu peristiwa perasaanku terguris pada tahun sebelumnya
dirasai oleh orang lain pula.
“Nanti dah reda, tak apalah,” lanjutku memberi sedikit
kelonggaran kepada sang anak untuk mempamerkan kegembiraannya. Dia tersenyum
girang dengan keizinanku.
Baby menduduki peperiksaan PMRnya sewaktu mama, ayah dan
abang berada Mekah untuk menunaikan haji. Baby juga mendapat keputusan yang
cemerlang dalam PMRnya dengan membawa pulang 7A. Mama bangga dengan Baby dan
mama doakan Baby terus mengukir kejayaan dalam sejarah pengajiannya.
Abang, walaupun abang tidak mendapat keputusan secemerlang
Baby tetapi mama tidak pernah kecewa dengan abang. Apa yang mama mahu, abang
belajar daripada kegagalan ini. Bangkit
semula dan jadilah insan yang bijak menyusun atur hidup abang. Tahun ini
abang bakal menduduki peperiksaan SPM. Mama doakan kejayaan buat abang.
Insya Allah, abang. Tidak pernah terputus doa mama buat
anak-anak mama. Bukan mama seorang tetapi ayah
juga kerana aku tahu, suamiku bangun setiap malam untuk berbicara dengan
Tuhannya. Meskipun tidak pernah diberitahu namun kutahu saat ketiadaannya di
sisiku di kamar tidur.
Terima kasih suamiku kerana menjaga dan melindungi kami. Ya
Allah, haramkanlah api neraka daripada menyentuhi tubuh suamiku walaupun
seinci. Sesungguhnya dia adalah seorang suami yang bertanggungjawab dan teramat
menjaga amanahMu.
Impian kedua putera
puteriku ini ialah untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir. Ya, jika itu impian
kalian, teruskanlah. Mama sentiasa mendoakan yang terbaik buat anak-anak mama.
Tentang kewangan janganlah dikhuatiri kerana mama dan ayah telah mula menabung
seawal usia kalian dua minggu.
Sememangnya, sebaik sahaja mendapat surat beranak (sijil kelahiran)
kami akan segera membuka akaun Tabung Haji anak-anak dan membuat potongan gaji
buat mereka. Apa yang penting, belajarlah bersungguh-sungguh. Dan jadilah
contoh teladan yang baik kepada adik-adik.
Mama dan ayah tidak meminta kalian bawa balik duit yang
banyak tetapi kami mahu kalian menjadi insan yang sentiasa tahu diri. Patuh taat kepada perintah Allah
dan mengasihi ibu bapa, adik beradik dan saudara-mara. Janganlah sombong dengan
sedikit kurniaan yang Allah berikan.
Walaupun memang ada hajat di hati mama untuk meneruskan
pengajian hingga ke peringkat yang tertinggi namun demi anak-anakku, biarlah
mama tangguhkan dulu. Mama ingin lihat kejayaan anak-anak mama pula. Doa mama
agar anak-anak mama berjaya dan hafaz al-Quran. Setiap impian itu haruslah
dimulai dengan usaha yang bersungguh-sungguh.
Gantungkanlah
cita-citamu setinggi bintang di langit dan sujudlah berserah pada Allah
agar cita-citamu terlaksana. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang. Mama sendiri pernah bercita-cita…ingin hantar emak dan abah ke
Mekah. Kata-kata itu mama coretkan dalam
buku autograf mama di zaman persekolahan menengah dan komen daripada seorang
kawan mama,”semua orang nak hantar mak abah ke Mekah.”
Sesungguhnya anak-anakku, kata bukan sekadar kata. Berapa
ramaikah anak-anak yang telah berjaya menghantar mak abahnya ke Mekah walaupun
mereka anak-anak yang berjaya? Memang mama belum ke Mekah tetapi Alhamdulillah,
mama telah berjaya memenuhi cita-cita mama yang dianggap remeh itu
sehingga opah dan atuk bergelar hajjah
dan haji.
Puteriku, Siti Farha Anisa, jagalah akhlakmu, auratmu dan maruahmu. Jadilah anak
yang sentiasa menceriakan hati mama dan ayah dan setiap mata yang memandangmu.
Rendahkan mukamu dan tundukkan pandanganmu kepada yang bukan muhrim.
Putera-puteraku,
Muhammad Syaiful Izhan, Muhammad Haiqal Aqashah dan Muhammad Danish Waldan,
jadilah pemimpin kepada kaum hawa.
Jangan disakiti mereka sebagaimana engkau tidak mahu mama dan kakak/adikmu
disakiti. Suamiku, Shahruddin bin Arshad terima kasih kerana telah mengangkat
darjatku menjadi seorang isteri dan ibu kepada anak-anakmu. Terima kasih juga
kerana telah mendidik dan memberi bimbingan kepadaku tanpa jemu. Terima kasih
kerana menyayangi ibuku seperti engkau menyayangi ibumu sendiri. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan