BAB 4
Waktu
makan tengah hari itu, Abang Mahadi datang lagi. Datang bersendirian juga. Mungkin
kerana dia ingin berbicara denganku. Dan dia masih mengulangi pelawaan yang sama dan aku
masih juga belum punya jawapannya. Aku masih tercari-cari masa yang sesuai
untuk meminta kebenaran ibu.
Berat benar mulutku untuk mendapatkan
keizinan ibu apatah lagi aku sememangnya takut untuk menyatakan hasratku.
Perasaanku kuat menyatakan bahawa ibu tidak akan membenarkan aku keluar malam.
Bukan caranya membenarkan aku untuk menikmati suasana malam dan entah dengan
siapa-siapa pula.
Aku rasa ingin memberontak. Aku ini sudah
terlalu dewasa untuk menjaga diriku tapi ibu masih juga tidak mahu
mempercayaiku atau membenarkan aku melakukan sesuatu yang menjadi kesukaanku.
Bukanlah kesukaanku berpeleseran di tengah malam tetapi sekurang-kurangnya ibu
perlu memberi aku peluang untuk bergaul dengan remaja sebayaku.
Selepas Abang Mahadi kembali ke kilangnya,
aku membantu Kak Julie mengemas meja yang ditinggalkan para pelanggan apabila
secara tiba-tiba aku disergah dari belakang.
“Hai, Roha.” Aku terkejut. Sepantas kilat,
aku menoleh.
“Masyi,” aku turut sama terjerit memanggil
namanya. Masyitah teman sekolahku yang sudah lama tidak kutemui selepas kami
menamatkan tingkatan lima dua tahun lepas.
“Bila kau balik?” tanyaku sedikit teruja.
Masyitah, sebaik sahaja mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM
terus menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi
di UKM manakala aku yang juga mendapat keputusan cemerlang tetapi tidak
dibenarkan ibu untuk meneruskan pengajianku.
Aku juga memohon untuk melanjutkan
pelajaran dan menerima tawaran yang sama seperti Masyitah tetapi kata ibu, dia
tidak punya wang untuk menyara yuran pengajianku walau pun telah kusuarakan
hasrat untuk memohon bantuan baitulmal dan biasiswa. Ibu tetap menghalang dan
meminta aku membantunya di gerai makan ini.
Kata ibu, aku tidak perlu belajar
tinggi-tinggi. Aku kena belajar berniaga sepertinya. Hasil harian ibu juga agak
lumayan dan sudah mampu untuk menampung hidup kami berdua. Ibu tidak mahu aku
terlepas daripada pandangan matanya walaupun sedetik. Jiwa remajaku memberontak tapi aku tidak mampu untuk berbuat
apa-apa.
Disebabkan pelanggan tidak begitu ramai di gerai kami, ibu tidak
menghalang aku untuk terus berbual-bual dengan Masyitah. Kak Julie yang
mengambil pesanan daripada pelanggan yang datang.
“Masyi, malam ni engkau ada program apa?”
tanyaku tiba-tiba.
“Aku nak keluar makan di bandar. Aku dah
janji dengan Wan Syamril,” sahut Masyitah dalam nada yang cukup untuk
membuatkan aku rasa teramat cemburu. Wan Syamril adalah rakan sekolah kami
dahulu. Kami sama-sama bersaing untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan SPM dan kami berjaya memperolehnya.
Wan Syamril juga pernah menaruh hati
padaku. Aku tahu lewat pertemuan dan surat-suratnya kepadaku dahulu malahan
surat-surat itu masih ada dalam simpananku hingga kini. Kami pernah bercinta.
Cinta zaman remaja. Cinta di alam persekolahan dan paling manis untuk dikenang
walaupun luka yang Wan Syamril tinggalkan masih belum sembuh.
Masyitah juga tahu tentang perhubungan kami
tetapi itu semua adalah cerita lama. Wan Syamril tidak lagi sudi untuk berteman
denganku apabila aku hanya memerap sahaja di kampong sebaik sahaja keputusan
SPM diumumkan. Aku sedar siapa diriku, tiada segandingan dengan mereka berdua.
Perasaannya kini beralih arah kepada
Masyitah. Mungkin kerana mereka sama sepadan. Masyitah di UKM manakala Wan Syamril
di UM, tiga tahun lagi mereka bakal bergelar siswazah. Hubungan dua sejoli yang
mendapat restu daripada kedua belah pihak. Malahan, Masyitah bebas untuk keluar bersama Wan Syamril tanpa sebarang
halangan daripada ibu bapanya sedangkan aku masih sahaja takut-takut untuk
mendapatkan kebenaran ibu. Aku semakin
cemburu.
“Roha, kau tak keluar ke mana-manakah malam ini?” Masyi seakan cuba
mempermainkan perasaanku. Aku rasa dia tahu akan kekecewaan hatiku yang sengaja
kulindungi.
“Aku nak keluar juga. Nak tengok wayang,” ujarku tidak mahu mengalah lebih-lebih lagi apabila aku
teringatkan pelawaan Abang Mahadi. Terbeliak mata Masyi memandangku, mungkin
kurang percaya agaknya.
“Dengan siapa?” Luahan pertanyaan tidak percayanya dilontarkan.
“Adalah…” aku masih sahaja ingin
berteka-teki. Sebenarnya, sengaja ingin buat dia cemburu padaku walaupun aku
tidak punyai apa-apa kelebihan berbanding Masyitah.
“Kalau begitu, kita keluarlah sama-sama.
Aku nak berkenalan dengan teman lelaki engkau,” cadang Masyitah. Tiba-tiba
sahaja aku terasa berat untuk memperkenalkan Masyitah kepada Abang Mahadi. Aku
tidak mahu peristiwa lama berulang kembali.
Dulu, sewaktu aku masih bersama Wan Syamril,
Masyitahlah teman kami yang paling akrab. Dia menyimpan segala rahsia kami
berdua. Dia keluar bersama-sama kami sewaktu aku dan Wan Syamril ada temu
janji. Dia menjadi penjaga sewaktu kami bermesra di balik rimbunan pokok bunga
raya di Taman Rakyat.
Dia rela menunggu sehingga kami selesai
berbicara sambil menampar nyamuk dan agas yang hinggap di kaki dan lengannya. Aku percayakan dia. Terlalu percaya. Dan lihatlah apa yang telah dia lakukan di
atas kepercayaanku itu. Dia merampas Wan
Syamril daripadaku. Dia menabur garam di
atas luka pedih yang ditinggalkan Wan Syamril. Malahan aku pernah berjanji
untuk tidak bertemunya lagi.
Tetapi tiba-tiba sahaja hari ini iaitu
setelah dua tahun tidak bertemu, dia berani datang untuk bertemuku. Dan yang anehnya,
aku pula tidak langsung punya perasaan marah terhadapnya. Aku gembira dapat
bertemu dengannya kini dan yang lebih menggembirakanku, aku akan punya alasan
untuk menerima pelawaan Abang Mahadi.
Setelah Masyi berlalu pergi, aku
menghampiri meja kaunter ibu.
“Ibu, malam nanti Roha nak ke rumah Masyi.
Boleh kan, bu,” pintaku melunakkan suara. Ibu merenungku lama. Ibu memang tahu,
Masyitah teman rapatku sejak di bangku sekolah lagi. Cuma yang ibu tidak tahu
ialah aku pernah bersengketa dengan Masyitah kerana berebutkan kasih seorang
lelaki.
Ibu mengangguk-anggukkan kepalanya
perlahan-lahan, “Tapi, balik cepat, ya.” Ah, alangkah bahagianya kerana ibu mengizinkan
aku keluar malam.
“Terima kasih, bu.” Ingin sahaja aku
melonjak setinggi bumbung gerai makan ibu tapi perasaan teruja itu tetap cuba
kuredakan sebaik mungkin. Aku tidak mahu terlalu menonjolkan kerianganku yang
berlebihan di hadapan ibu.
Sewaktu Abang Mahadi tiba untuk minum
petang bertemankan Abang Mustafa, dia merenungku, lama. Aku yang berada di
tempat membancuh minuman mengangguk-anggukkan kepalaku, perlahan. Abang Mahadi
menerima isyaratku sambil tersenyum dan mengenyitkan matanya.
“Apasal senyum-senyum ni?” tegur Kak Julie
sambil menyinggung bahuku dengan bahunya.
“Haa…tak ada apa-apa, kak.” Aku terkejut
disergah begitu. Kak Julie ni memang sengaja hendak beri serangan jantung
padaku.
“Ada rahsia apa ni?” serkap Kak Julie,
masih sahaja ingin mengorek rahsia. Aku tetap sahaja tersenyum-senyum. Memang
aku ada rahsia yang besar tapi aku tidak bermaksud untuk berkongsi rahsia ini
dengan Kak Julie. Biarlah rahsia ini terus menjadi rahsiaku. Kalau sudah ada
orang ketiga yang mengetahuinya, sudah pasti rahsia itu sudah tidak menjadi
rahsia lagi.
“Tak nak kongsi dengan akak, heee?” rajuk
Kak Julie sambil tangannya terus lincah membasuh cawan yang sudah digunakan
pelanggan. Aku tertawa kecil.
“Tak ada rahsia apanya, kak,” sahutku,
tidak mahu Kak Julie terus bertanya.
“Bercinta itu indah. Langit dan bumi kita
yang punya. Orang lain di depan mata pun kita tak nampak. Yang nampak hanya si
dia sahaja,” usik Kak Julie lagi. Orang yang pernah punya pengalaman dalam
bercinta.
Aku dilamun cinta? Betulkah? Oh, alangkah
indahnya rasa ini. Rasa disayangi dan rasa dihargai. Rasa yang sukar untuk
dizahirkan dengan kata-kata.
“Haaa…dah mula senyum sorang-sorang
lagi tu.” Kak Julie masih sahaja mahu menyakatku.
“Pandai-pandai ajelah akak ni,” aku menurunkan nada suaraku, tidak mahu
mempamerkan riak kegembiraan yang berlebihan.
“Tak nak kongsi tak apa. Nanti akak tahu juga,”
kata Kak Julie sambil berlalu pergi
kerana ada sekumpulan pelanggan yang sedang mengambil tempat di meja
bersebelahan meja Abang Mahadi. Aku tersenyum lagi sambil mencuri-curi pandang
ke arah Abang Mahadi.
Entahlah, mungkin aku tidak akan berkongsi
rahsia ini dengan Kak Julie sampai bila-bila. Hehehe…boleh percayakah? Dulu
pun, sewaktu Abang Mahadi menyuarakan hasratnya untuk menjadikan aku sebagai teman
istimewanya, aku berjanji untuk merahsiakannya daripada pengetahuan Kak Julie.
Tapi, lihatlah. Aku tidak betah untuk
menyimpan kegembiraan itu bersendirian. Tidak sampai dua minggu Abang Mahadi
meluahkan rasa hatinya, Kak Julie telah kukhabarkan berita itu. Aku yang memang
tidak pandai menyimpan rahsia. Tengoklah, selama mana pula aku boleh menyimpan
rahsia ini.