
BAB 22
“Mari ibu
sambung. Mas pergi sembang dengan Milah tu.” Ibu menghampiriku. Aku pun sudah
mulai rasa lenguh-lenguh dan kejang urat betis kerana berdiri agak lama di tepi
singki itu. Tanganku kubasuh bersih-bersih dengan menggunakan pencuci pinggan
mangkuk.
“Milah
masuk tidur dulu, dah lewat malam ni. Minum susu dulu,” arahku. Milah tidak
membantah. Dia bangun mencapai mug dan menarik tin susu Ammun berperisa coklat.
Memang aku yang meminta dia minum susu itu dan tadi aku bimbang jika ibu terasa
hati kalau kutegah Wan Jamilah minum air kopi. Aku tidak menggalakkan Wan
Jamilah minum air kopi sebenarnya.
“Milah
masuk tidur, ya,” kataku sekali lagi
selepas Wan Jamilah menghabiskan susunya. Dia mengangguk-anggukkan kepala dan
datang menyalamiku sebelum menghampiri ibu.
“Tak
payah, tak payah salam ibu. Tangan ibu bau hanyir ni,” tepis ibu sewaktu Wan
Jamilah cuba menyalaminya. Aku hanya tertawa kecil melihat kelakuan mereka
berdua.
“Milah
masuk bilik dulu ya, ibu, Kak Mas,” kata Wan Jamilah sebelum berlalu.
Aku
duduk di kerusi yang diduduki Wan Jamilah sebentar tadi. Cawan kopi yang baru
kuambil dari atas rak kuisikan dengan air kopi yang agak suam.
“Ayah
dah minum, ibu?” tanyaku sekadar ingin memulakan kembali perbualan kami.
“Sudah,”
sahut ibu, pendek.
Selesai
membersihkan ikan, ibu menarik tempayan kosong dari dalam kabinet. Selalunya
tempayan kecil itulah kami gunakan untuk mengisi ikan pekasam yang ibu buat
sendiri. Aku lantas bangun menghampiri ibu.
Bekas
garam kasar kuambil dan kuletakkan dekat ibu. Ibu pula mengeluarkan bungkusan
asam kepingnya. Memang ibu cuma gunakan asam keping dan garam kasar sahaja
untuk memerapkan ikan pekasamnya. Ibu tidak menggunakan asid untuk membuatkann
rasa ikan pekasam lebih masam dan enak seperti yang dilakukan oleh kebanyakan
pengusaha ikan pekasam secara komersial.
Garam
kasar itu kami gaul rata-rata di seluruh badan ikan dan dalam perutnya. Asam
keping ibu sumbat beberapa keping ke dalam perut ikan dan ikan itu diatur di
dalam tempayan. Aku menuruti perlakuan ibu. Sebenarnya memang aku sudah biasa
membuat ikan pekasam dan membantu ibu bukanlah suatu tugasan yang sukar.
“Esok
lusa, dah boleh dimakan ikan pekasam ni,” kata ibu sambil tangannya lincah
menyumbat perut ikan pekasam dengan asam keping. Sehari dua lagi, ibu akan
menggoreng beras pula. Selepas beras goreng itu dikisar halus, ibu akan sumbat
ke dalam perut ikan dan selepas itu barulah digoreng bersama-sama bawang besar
dan cili padi atau cili kering.
Selesai
membantu ibu, aku melangkah menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk sebelum
masuk ke bilik tidur. Mataku sudah mulai meruyup. Lampu bilik masih terpasang.
“Milah
belum tidur?” aku menegur Wan Jamilah yang sedang berbaring terlentang di atas
katilnya sambil tangannya memegang buku Sejarah. Perutnya yang membulat nampak
comel di pandangan mataku.
“Milah
nak ulangkaji sikit, kak,” sahut Wan Jamilah. Aku membentangkan sejadah dan
mengenakan kain telekungku. Selesai solat dan membaca doa, kulihat buku Sejarah
Wan Jamilah terlangkup di atas mukanya.
Kain
telekung kutanggalkan dan buku Sejarah di atas muka Wan Jamilah kuambil dan
kuletakkan di atas meja bacaan. Wan Jamilah memang rajin mengulangkaji
pelajarannya. Dia juga membuat semua latihan yang kuberikan kepadanya. Cuti kali
ini, dia perlu menyiapkan kerja kursus. Dapatlah juga aku membantunya kerana
aku juga turut bercuti.
Selesai
menguruskan Wan Jamilah, aku mengeluarkan buku catatan Kak Roha iaitu ibu Wan
Jamilah dari dalam beg sandangku. Aku ingin menghayati catatannya malam ini.
Lagipun hanya ada sedikit sahaja lagi catatannya yang perlu aku tekuni. Selepas
ini bolehlah aku mulai menukilkan kisah Kak Roha di dalam manuskrip baruku.
Aku
ulangi dengan kisah kepulangan suami Kak Roha, Wan Syamril ke rumah mertua Kak
Roha iaitu Haji Nik Dasuki dan Hajah Wan Maimun. Wan Syamril bukan pulang
berdua tetapi pulang bertiga iaitu bersama-sama isteri barunya, Masyitah dan
anak sulung mereka. Walaupun telah membacanya dulu tetapi aku ingin mengulangi
semula agar aku lebih menghayatinya.
Kak
Roha yang terpaksa menanggung perasaan dan Kak Roha yang terpaksa menjadi buta
dan pekak buat seketika sehinggalah terjadinya peristiwa perkosaan Wan Jamilah
dan rahsia yang Kak Roha simpan kejap selama ini terbongkar iaitu dia telah
menjadi janda sebaik sahaja Wan Jamnah dilahirkan.
Buku
catatan Kak Roha kuletakkan di dalam laci almari solek dan kututup kembali
dengan cermat. Air jernih melimpah keluar dari takungan air mataku. Aku tidak
sampai hati melihat Wan Jamilah yang terbaring lesu. Sejak mengetahui kisah dan
penderitaan Kak Roha sekeluarga, aku tidak tahu sudah banyak manakah air mata
ini tumpah.
Kepada
Allah aku bermohon, agar anak ini baik-baik sahaja dan Allah terus kurniakan
kekuatan kepadaku untuk menjaga anak ini sebaik-baiknya. Ya Allah,
permudahkanlah perjalanan hidup Wan Jamilah dan urusannya untuk melahirkan
bayinya kelak.
Bunyi
ngiauan kucing di luar rumah mengejutkan lamunanku. Entah apalah yang
digaduhkan dek kucing-kucing di luar sana. Entah berebutkan betina, entah
berebutkan tempat tidur. Suara kasar dan berdengus itu sesekali menimbulkan
rasa seram di hatiku. Hatiku yang penakut.
Sakit
pula hatiku diganggu suara ngiauan kucing-kucing itu. Takut nanti dipanjatnya
atas bumbung keretaku, bercalarlah jawabnya. Nak kujerkah, takut pula Wan
Jamilah yang sedang lena ini terkejut jaga. Duhai hati, sabarlah sambil terus
berdoa agar kucing-kucing itu tidak memanjat bumbung keretaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan