
BAB 19
Bukit kecil
tempat kami berdiri itu aku turuni. Perlu berhati-hati juga kerana batu-batu kecil
yang memenuhinya itu menjadikan jalan itu agak licin dan aku boleh
menggelongsor ke bawah atau mungkin terus masuk ke dalam tasik kalau tidak
berwaspada.
“Man
!” aku melaungkan memanggil Razaman. Razaman segera menoleh ke arahku.
“Kenapa?”
laungnya pula.
“Kak
Mas dah nak balik ni.”
Razaman
datang menghampiriku. Aku duduk di atas jeti kecil sambil menjuntaikan kaki
sementara menunggu Razaman tiba. Pokok-pokok keladi bunting itu beriak-riak
dialun ombak air. Kakiku sengaja kuayunkan agar menyentuh daun keladi bunting.
Bunga-bunga ungunya sangat menarik perhatianku.
“Kak
Mas,” Razaman menghampiriku dan turut melabuhkan punggungnya di sebelahku.
Aku
memandang Wan Jamilah di atas bukit. Kebetulan pula, dia juga sedang merenung
ke arah kami. Razaman juga turut memandang ke arah yang sama. Wan Jamilah
melarikan pandangannya. Kemudiannya, kulihat dia perlahan-lahan menuju ke
kereta kami.
“Man
tak balik kerana Kak Mas bawa balik Wan Jamilahkah?” tanyaku tanpa
berselindung. Razaman terdiam.
“Kak
Mas minta maaf tapi Kak Mas rasa Wan Jamilah perlu dibantu untuk memulihkan
semangatnya. Kak Mas lihat dia dah semakin jinak. Kalau mula-mula dulu, dengan
ayah kita pun dia nampak macam curiga dan was-was,” kataku memulakan mukadimah.
“Jinak,
kak?” Razaman tertawa kecil sambil mengulangi istilah yang aku gunakan untuk
menggambarkan keadaan Wan Jamilah.
“Yalah,
jinak,” aku berpaling ke arah Razaman sambil tersenyum. Aku tahu Razaman mahu
mengusikku.
“Man
rasa, Wan Jamilah tak selesa kalau Man balik ke rumah, kak,” terang Razaman dan
aku mengerti maksudnya. Aku mengeluh dan menarik nafas panjang. Bukan mengeluh
dan bukan ada apa-apa sebenarnya. Cuma aku tidak tahu bagaimana mahu
merungkaikan masalah ini.
“Man
dah tahu tentang keadaan Wan Jamilah, kan?” Aku sengaja ingin tahu tentang apa
yang Razaman tahu. Razaman mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Mula-mula
Man cuma tahu tentang apa yang Kak Mas bagitahu dulu tapi pagi tadi ibu ada
telefon bagitahu cerita sepenuhnya.”
“Kak
Mas minta maaf kalau Man rasa tak selesa
dengan kehadiran Wan Jamilah,” ujarku dengan rasa bersalah yang amat.
“Eh,
Kak Mas ni. Man tak apa-apalah. Man cuma risau kalau-kalau Wan Jamilah yang tak
selesa,” Razaman membetulkan pernyataanku.
“Wan
Jamilah ada bagitahu Man?” tanyaku masih mahu mengorek rahsia. Sebenarnya, hari
pertama kami pulang, maksudku hari pertama aku tiba di rumah dengan membawa Wan
Jamilah bersama, Razaman masih ada di rumah tetapi selepas itu, dia hilang.
Mana tahu, dalam masa yang sesingkat itu, mereka telah saling berkenalan.
Razaman
diam. Diam yang agak lama juga sebelum dia kembali menuturkan kata.
“Man
terserempak Wan Jamilah semasa nak keluar dari bilik air. Masa tu Man hanya
bertuala. Man tak tahu Kak Mas ada bawa balik tetamu. Terkejut juga Man masa
tu. Muka Wan Jamilah pucat dan dia menangis. Mungkin dia ingat Man siapa. Atas
sebab itulah, Man cuba jauhkan diri supaya dia tidak tertekan. Man bersimpati,
kak.” Ada nada sendu di hujung kata-kata Razaman.
Kali
ini, giliran aku pula terdiam. Besar
pengertian yang Razaman hulurkan dan aku menghargainya. Aku bangga punya adik
yang sebaik ini.
“Kak
Mas minta maaf ya, Man. Tapi Kak Mas berharap sangat kalau Man dapat pulang
sebelum Kak Mas kembali bertugas. Kalau boleh, Kak Mas nak Man turut bantu
pulihkan semangat Wan Jamilah.” Razaman memandangku. Mata kami bertembung.
“Kak
Mas nak suruh Man buat apa?”Aku jadi gelihati melihat wajah polos dan kehairanan
yang Razaman tunjukkan.
“Kak
Mas bukan nak suruh Man buat apa-apa. Cuma nak Man wujud di rumah tu. Tunjukkan
tingkah laku Man yang sebenarnya dan mungkin sedikit sebanyak, itu akan dapat
pulihkan kepercayaan Wan Jamilah terhadap lelaki. Kak Mas tidak mahu dia terus
tenggelam dalam dunianya,” aku menerangkan hasrat hatiku terhadap Razaman.
Razaman mengangguk-anggukkan kepalanya seperti sampan kayu yang sedang
teroleng-oleng di atas permukaan tasik di hujung sana.
“Insya-Allah,
nanti ada masa Man balik tapi Man tak berani janji.” Kata-kata Razaman itu sedikit
sebanyak telah meredakan rasa resah di hatiku. Aku kenal Razaman. Kalau sudah
dikatakannya ‘Insya-Allah’, dia pasti akan sedaya-upaya melunasi janji
‘Insya-Allah’nya itu.
“Nanti
Kak Mas bagitahu Wan Jamilah supaya tidak takut dengan Man,” ujarku memberi
jaminan.
“Mas… Mas,” pak long melaungku dari atas
pondok. Aku dan Razaman bangun hampir serentak. Pak Long Sani pula semakin
menghampiri kami dengan satu tong berwarna biru yang agak sederhana besarnya.
“Kata
tadi dah nak balik. Ni ha...ada sikit ikan ni. Bawa balik bagi mak. Boleh juga
dibuat pekasam,” ujar pak long sambil meletakkan tong biru itu di hadapan kami.
Ikan
apa ni, pak long?” tanyaku sambil menjenguk ke dalam tong.
“Ikan
apa lagi. Ikan tilapia la,” ujar pak long sambil bercekak pinggang.
“Banyaknya,”
sambungku lagi.
“Tak
ada banyak mananya. Nanti boleh kamu bawa balik pekasam bagi sama kawan-kawan
kamu di sana,” pak long memberikan cadangan.
“Hmmm...molek
juga tu,” aku tersenyum. Tanpa disuruh, Razaman mengangkat tong biru itu ke
kereta.
“Lagi
satu, sampaikan salam assalammualaikum pak long kepada mak ayah kamu,” pesan
pak long.
“Insya
Allah, pak long,” sahutku sambil melangkah mengekori langkah Razaman yang
sedang mengusung tong berisi ikan.
“Kalau
macam ni, busuklah kereta Kak Mas,” rungutku sambil berjalan beriringan dengan
Razaman menuju ke kereta. Pak long telah berlalu ke jeti ikan dan melompat ke
atas pelantar tempat aku dan Razaman bersidang sebentar tadi.
“Syyy,
Kak Mas jangan merungutlah. Nanti pak long dengar, kecil hati dia. Tak ada
busuknya. Sekejap sahaja,” Razaman seakan cuba meredakan kegelisahan hatiku.
Aku diam sahaja selepas itu walaupun hatiku masih ada rasa ragu-ragu.
Tiba
di kereta, aku tidak nampak Wan Jamilah di dalamnya. Apabila aku memandang ke
sebelah barat matahari mahu jatuh, Wan Jamilah sedang berdiri terpaku di situ.
Mungkin dia sedang menikmati keindahan warna jingga matahari yang sangat terang
dan bayangnya jatuh di tengah-tengah tasik.
Razaman
juga turut memandang ke arah yang sama denganku.
“Man,”
aku panggil Razaman pabila bahagian bagasi kereta telah siap kubuka. Razaman
agak tersipu-sipu sambil membongkok dan mengangkat tong biru kecil itu ke dalam
boot kereta.
“Suka
pandang anak orang lama-lama, ya?” aku sengaja mengusik Razaman. Razaman hanya
tersengih-sengih. Wan Jamilah memandang kami tetapi hanya seketika. Mungkin
kerana melihat Razaman masih di sisiku, dia tidak mahu mendekati kami. Aku
menutup kembali boot belakang kereta.
“Man,
Kak Mas balik dulu. Jangan lupa balik tau. Kak Mas pun mungkin akan balik sana
tiga hari lagi,” ujarku mengingatkan Razaman.
“Insya
Allah, kak. Esok Man balik,” sahut Razaman sambil bersalaman dan mencium
tanganku. Aku masuk ke tempat pemandu dan menghidupkan enjin. Wan Jamilah
segera mnenoleh apabila terdengar bunyi enjin kereta. Dia melangkah ke arahku
sambil membawa perutnya yang berat.
Razaman
masih di sisi kereta sebelahku. Dia pura-pura tidak memandang Wan Jamilah. Dia
hanya merenung jauh ke tengah dada tasik hijau. Wan Jamilah menghampiri kereta.
Cermin kereta kubiarkan terbuka agar angin petang bisa menerobos masuk
mengirimkan bau tasik yang agak masam dan hanyir tetapi amat mengasyikkan.
“Milah
balik dulu, Abang Man.” Aku terdengar suara Wan Jamilah. Anak ini tetap sahaja
dengan santunnya walaupun agak ragu-ragu untuk berhadapan dengan lelaki.
Mungkin dia melihat kemesraanku dengan Razaman dan kasih sayang kami adik
beradik.
“Ya…
ya,” Razaman agak tergagap-gagap menjawabnya. Mungkin dia tidak menyangka yang
Wan Jamilah mahu menegurnya. Aku tersenyum memandang keluar, ke arah Razaman. Sengaja
ingin mengusik. Razaman tersenyum-senyum saja. Tidak tembus dek usikanku.
“Jangan
asyik tersenyum-senyum sahaja. Nanti balik, tau.” Aku masih sempat menegur
perbuatan Razaman sebelum keretaku
berpusing masuk ke jalan bersimen tar. Pantas Razaman menekup mulutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan