
BAB 18
Aku menghayunkan kakiku yang terjuntai dari
atas pondok perlahan-lahan. Razaman terus melayani nasi dan lauk kiriman ibu
walaupun hari sudah menjengah lewat petang dan nasi serta lauk-pauk itu sudah
teramat dingin.
Angin
petang yang berpuput lembut singgah sebentar menyapu wajahku. Kalau aku bawa
komputer ribaku ke mari, tentu banyak perkara yang dapat kuluahkan di sini.
Suasana petang yang damai ini menerbitkan sejuta ilham yang terpendam.
Aku
melompat berdiri di atas tanah. Teringatkan Wan Jamilah di dalam kereta. Wan
Jamilah memang agak malu-malu lebih-lebih lagi kalau berhadapan dengan lelaki.
Entahkan malu, entahkan trauma.
“Kenapa
Man tak balik?” aku bertanya sambil berpusing memandang Razaman. Suapan nasinya
terhenti. Razaman terdiam sejenak. Dia memandang pak long bagaikan kata-kata
yang bakal diluahkannya ada tertulis di muka lelaki itu.
“Tak
apalah, kak. Nanti senang-senang Man balik. Man nak tolong pak long dulu,” kata
Razaman.
“Kalau
kamu nak balik sekejap, pak long tak kisah. Lagipun ada budak Indonesia dua
orang tu yang rajin datang tolong pak long kalau pak long perlukan bantuan,”
ujar pak long. Razaman jadi termengkelan. Cepat-cepat dia menyanggah cawan air
minumannya ke mulut. Aku hanya memerhati tingkah Razaman yang nampak pelik.
“Kak
Mas belum puas berbual dengan Razaman. Nanti habis cuti sekolah, Kak Mas dah
kena balik.” Ada sedikit rasa terkilan dalam nada suaraku. Razaman meletakkan
cawan kosongnya di hadapan.
“Nantilah
Man balik, kak,” Razaman berjanji.
“Jangan
janji saja, tau,” kataku sebelum melangkah ke arah keretaku untuk melihat Wan
Jamilah. Kasihan dia bersendirian di dalam kereta. Mungkin kepanasan juga
walaupun petang sudah semakin menunduk.
Aku
menjengok ke dalam kereta. Tiada Wan Jamilah di situ. Sewaktu melarikan
pandangan ke tepi tasik, aku nampak Wan Jamilah sedang berdiri di situ sambil
memerhatikan permukaan tasik yang berolak perlahan dan menghijau ditutupi
keladi bunting yang sedang berbunga ungu.
Perlahan-lahan
kuhampiri Wan Jamilah.
“Kak
Mas,” Wan Jamilah berpaling ke arahku. Aku tersenyum. Mungkin Wan Jamilah
terdengar derap kakiku menghampirinya.
Wan
Jamilah kembali merenung ke dada tasik.
“Milah
suka tempat ni?” tanyaku sengaja ingin mengusik hati Wan Jamilah. Wan Jamilah mengangguk-anggukkan
kepalanya.
“Suka.
Tenang dan damai,” sahut Wan Jamilah yang seakan sudah mulai mengerti makna
ketenangan dan kedamaian.
“Di
sinilah adik Kak Mas, Razaman banyak menghabiskan masanya. Kak Mas pun sukakan
kedamaian suasana di sini. Tempat ini mengajar kak untuk menghargai keindahan alam
ciptaan Tuhan dan mengagumi kehebatan Nya.” Wan Jamilah hanya terdiam. Mungkin
menghayati luahanku atau mungkin juga menghayati keindahan alam yang terbentang
luas di hadapannya.
“Memancing
pun boleh di sini, kan Kak Mas?” tanya Wan Jamilah.
“Ya.
Boleh,” sahutku mengiyakan. “Milah suka memancing?” soalanku yang seterusnya
menyusul. Wan Jamilah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Tak
pernah,” balas Wan Jamilah.
“Nanti
ada masa, kita datang ke sini lagi, memancing,” kataku meletakkan harapan.
Mungkin kami punya sedikit waktu sebelum habis cuti nanti.
“Kak
Mas tak mahu buat rumah di sini?” Aku tertawa kecil mendengar pertanyaan Wan
Jamilah.
“Mana
boleh senang-senang nak buat rumah di sini. Ini tanah pak long. Kena minta
kebenaran pak longlah. Lagipun, pak long ada ramai anak. Anak-anak pak long
lagi berhak untuk membina kediaman di sini.”
Wan
Jamilah masih merenung dada tasik. Di hujung sebelah kanan sana, Razaman telah
turun ke sangkar ikannya, meniti di atas kayu pelantar sangkar dan bergerak
hingga ke hujung beberapa buah sangkar.
“Milah
nak pergi ke sana?” tanyaku, mempelawa Wan Jamilah kerana aku lihat, Wan
Jamilah juga menoleh ke arah yang sama seakan berminat. Wan Jamilah
menggeleng-gelengkan kepalanya, perlahan. Aku bagaikan baru tersedar yang Wan
Jamilah ini takut akan lelaki. Mungkin dia takut melihat Razaman dan pak long.
Tanpa
sedar, aku mengeluh perlahan. Sekarang ini, aku baru terfikirkan sesuatu.
Mungkin Razaman tak balik ke rumah pun ada kaitannya dengan kehadiran Wan
Jamilah. Razaman ini pun pemalu juga orangnya. Jarang aku dapat lihat dia
berbual-bual dengan perempuan.
Teringat
aku pada zaman persekolahan kami dahulu. Razaman lari menyorokkan diri di dalam
stor peralatan kebun ayah semasa kawan-kawan perempuannya datang bertandang ke
rumah ketika hari raya.
Sampai
kawan-kawannya itu berlalu pergi, barulah dia keluar dari tempat
persembunyiannya dengan debu dan habuk penuh di atas kepala dan pakaiannya.
Itupun setelah puas aku melaung-laung dari luar. Aku tersenyum sendiri
mengenangkan perangai Razaman.
“Kalau
tak nak ikut, Milah tunggu sini. Kak Mas nak pergi jumpa Man sekejap. Nanti
kita boleh balik,” aku memberitahu Wan Jamilah. Sebenarnya, selain daripada
untuk memberitahu tentang hajat hati mahu pulang ke rumah, aku juga ingin
bertanyakan tentang rasa hatiku kepada Razaman yang baru terdetik sebentar
tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan