Isnin, 1 Disember 2014

MTD Bab 21


BAB 21
Selesai mengemas pinggan mangkuk, ibu membawa keluar tong biru berisi ikan tilapia yang masih hidup. Walaupun hidup tetapi sudah tidak begitu bermaya. Kemudian, ibu menarik pula sebuah besen kecil dan talam juga dua ketul kayu landas untuk memotong ikan. Kesemua peralatan itu diletakkan di hadapan kami.
Kami duduk bersila mengelilingi besen kecil itu. Tanpa disuruh, aku bangun mengambil plastik bekas beras yang selalu ibu selitkan di celah antara singki dengan dinding dapur. Plastik beras itu aku belah dua dan bentangkan di atas lantai. Besen kecilnya ibu penuhkan dengan ikan tilapia yang sudah tinggal nyawa-nyawa ikan. Menggeletak ikan-ikan itu di dalam besen.
Papan landas ibu letakkan di atas plastik beras yang telah kubelah itu. Seekor ikan dikeluarkan dan ibu mulai membelah perutnya. Wan Jamilah leka melihat ibu menyiang ikan. Dia duduk bersimpuh di sebelahku.
Aku mengambil seekor ikan tilapia merah dan mulai membelah peruttnya.
“Wan Jamilah biasa siang ikan?” tanya ibu.
“Err...pernah juga tapi tak biasa sangat. Emak ajar Milah siang ikan kembung je. Ikan terisi Milah tak pandai siang sebab durinya keras. Ikan ni macam ikan terisi juga ya, ibu,” kata Wan Jamilah sambil tangan kecilnya menyentuh ikan tilapia merah di dalam besen.
Ibu mengangguk-anggukkan kepala.
“Ini terisi sungai,” kata ibu. Wan Jamilah hanya tersenyum-senyum. Mungkin dia tahu, ibu cuma bergurau.
“Kak Mas kata nak bawa Milah pergi memancing, bu,” Wan Jamilah memberitahu tentang perancangan kami kepada ibu sebelum sempat aku menutup mulutnya.
“Haaa…jangan nak mengarut. Kamu tengah bawa budak tu. Tak baik memancing ikan. Nanti mulut anak rabit macam mulut ikan yang kamu pancing tu.” Hisy, ibu ni. Ada-ada sahaja pantang larangnya. Wan Jamilah terdiam mendengar leteran ibu. Aku juga tidak mahu membuka mulut. Terlupa mahu berpesan kepada Wan Jamilah agar jangan memberitahu ibu.
Ibu pantas bekerja menyiang ikan itu seekor demi seekor sambil mulutnya bercerita dan bertanya itu ini kepada Wan Jamilah. Aku hanya memasang telinga sambil terus membantu ibu. Kerja berdua, sekejap sahaja dapat disiapkankan.
Selepas itu, aku mengangkat besen ikan ke singki. Agak ringan juga kerana isi perutnya telah dikorek keluar dan tidak lagi bersama2 air seperti di dalam tong biru.
“Adik-adik mana?” tanya ayah yang menjenguk sebentar ke dapur.
“Apa lagi, dua orang tu. Hantu novel. Mengadap novellah tu. Nak harapkan novel kakaknya keluar, lambatlah lagi nampaknya,” sahut ibu sambil sempat lagi mengerling ke arahku. Aku hanya diam tak berkutik. Malas hendak memanjangkan cerita.
Wan Jamilah membantu ibu mengemas dan membersihkan tempat kami menyiang ikan tadi. Isi perut ikan di atas plastik bekas beras ibu lipat sekali dan dimasukkan ke dalam plastik hitam. Tiada lori majlis daerah yang akan datang mengambil sampah2 itu tetapi ibu tetap menggunakan plastik sampah sebelum dibuang ke dalam lubang sampah yang digali ayah di tengah petak sawah yang sudah tidak digunakan sebelum dikambus.
Aku mulai membasuh ikan tilapia di bawah air paip yang mengalir. Ibu datang menghampriku dan aku mengengsut sedikit, memberi laluan kepadanya untuk berdiri di sebelahku.
“Kalau lenguh berdiri, kita basuh sambil duduk saja, Mas,” cadang ibu.
“Sikit je, bu. Sekejap saja siap ni,” ujarku pula sebelum menyambung, “Kalau ibu penat, rehat  je dulu. Nanti dah siap, Mas panggil. Ibu layan Milah berbual kejap.” Aku memuncungkan mulut ke arah Wan Jamilah yang sedang duduk di bangku meja makan sambil melihat kami berdua.
“Milah nak minum kopi?” tanya ibu sambil menoleh ke arah Wan Jamilah. Wan Jamilah menggeleng-gelengkan kepalanya. Ibu mencuci tangan dan mengambil dua biji cawan lalu menghampiri Wan Jamilah.
“Milah jangan segan-segan. Kalau lapar atau dahaga ke, Milah carilah makanannya. Gula dan kopi ada di dalam kabinet tu.” Ibu duduk di hadapan Wan Jamilah sambil menyuakan cawan dan menuangkan air kopi ke dalamnya.
“Kopi ni ibu memang dah bancuhkan untuk ayah kamu. Lepas makan nasi, dia biasa minum kopi,” terang ibu tanpa dipinta. Selepas itu, mereka minum berdua.
“Milah duduk sini teruslah dengan ibu. Ada juga kawan ibu bersembang,” cadang ibu.
Eh, ibu ni, Milah nak ambil PMR tahun ni,” aku yang membalas bagi pihak Wan Jamilah.
“Oh, iya ke? Milah nak belajar lagi ke?” Ibu sepertinya kehairanan.
“Lagipun, kalau Milah tinggal di sini...hmmm...tak balik langsunglah anak teruna ibu yang sorang tu,” aku melanjutkan alasan.
“Siapa? Man?” Ibu terhenti menghirup air kopinya.
“Hmm...siapanya lagi. Anak ibu yang pemalu itulah.”
“Man. Memang dia agak penyegan sikit. Ibu dah bertanyakan Mak Rasyidah kalau-kalau mahu bermenantukan anak mak tu. Rasyidah pun baik juga budaknya. Sama-sama belajar di Maahad dulu dengan Man tapi...” kata-kata ibu tersangkut seketika. Mata Wan Jamilah hanya memandang lesu air kopi hitam pekat di dalam cawannya.
“Tapi apa, mak?” aku semakin ingin tahu.
“Man tunggu Mas nikah dulu. Tak mahu melangkah bendul, katanya.”
“Alah, kalau setakat bertunang, apa pula melangkah bendulnya? Lagipun majlis Mas pun tak lama lagi, kan?” aku pula yang cuba merungkaikan kekusutan.
“Man nak sambung belajar lagi. Nak kerja tetap dan baru nak menggalas tanggungjawab membina keluarga. Itu kata Man lah, mana ibu tahu.”
“Hmm...Man Man, ada-ada sajalah alasannya. Kalau dia kahwin, adalah juga penemannya. Tapi betul juga katanya. Man tu kan muda lagi. Tak sabar-sabar pula ibu nak bermenantu, ya,” aku mengusik ibu. Ibu tertawa kecil mendengar gurauanku.
“Bukannya ibu nak suruh dia terus kawin. Nak tanda-tanda sahaja dulu,” kata ibu kemudiannya. “Ibu ni tak memilih, Mas. Mana2 gadis yang Man berkenan, Man bawa balik, itulah menantu ibu.”

Lama juga kami berjeda manakala aku meneruskan tugasanku membersihkan ikan-ikan tilapia.

MTD Bab 20


BAB 20
Gunung Daik gunung timangan
Budi baik jadi kenangan.
Pulang dari menziarahi Mak Ngah Cik Wok dan Razaman, Wan Jamilah nampak sedikit ceria. Mungkin kerana layanan mesra mak ngah atau mungkin juga kerana baru pertama kali ini dia melihat cara hidup nelayan sungai yang dilakukan oleh Razaman dan Pak Long Sani.
Kusangkakan dia tidak menghiraukan apa-apa sewaktu aku membawanya ke sana tetapi semasa dia asyik bertanyakan tentang ikan-ikan yang diternak itu, aku jadi tahu kalau-kalau Wan Jamilah gembira dibawa ke situ.
“Kak, luasnya kolam ikan Abang Man, ya,” kata Wan Jamilah. Mula-mula, aku tidak faham dengan maksud pernyataan Wan Jamilah. Lama-lama baru aku tahu, Wan Jamilah menyangka bahawa seluruh Tasik Raban itu ialah kolam ikan Razaman. Aku mahu ketawa tetapi aku tidak mahu menggurisi hati Wan Jamilah.
“Oh, itu bukan kolam ikan, Milah. Itu Tasik Raban. Semua orang boleh menangkap ikan di tasik itu dan menjadi nelayan sungai tetapi Man cuma bina sangkar ikan di tepi tasik itu sahaja. Hanya ada beberapa buah sangkar ikan yang dibina.”
“Oh, begitu. Selalunya, Milah tengok orang bela ikan dalam kolam. Kolam tu bentuknya segi empat.”
“Milah pernah tengok orang bela ikan?” Wan Jamilah menganggukkan kepalanya.
“Bela ikan dan udang juga tapi di dalam kolamlah,” Wan Jamilah masih bercerita tentang kolam ikan.
“Di sini pun ada juga orang bela ikan dalam kolam tapi ikan kelilah,” kataku pula. Aku teringat kolam ikan keli Pak Cik Hamdan. Malas pula aku hendak bercerita tentang ikan keli yang dipelihara Pak Cik Hamdan secara akuaponik. Pak Cik Hamdan bela ikan keli dalam tangki. Air tangki ikan keli disalurkan ke takung pokok pegaga.
Pokok pegaga Pak Cik Hamdan hidup subur kerana menyerap baja daripada air yang sentiasa berpusing dari tangki air ke bekas tanaman. Itulah kaedahnya pertanian secara akuaponik ini. Selain daripada memelihara ikan keli, Pak Cik Hamdan juga mendapat hasil daripada tanaman pegaga.
Kami tiba di rumah hampir Maghrib. Aku turun dan membuka boot kereta.
“Ayah!” aku melaung ayah yang sedang menutup pintu reban ayamnya. Ayah menoleh ke arahku dan aku melambai-lambaikan tangan. Berat aku hendak mengangkat tong biru berisi ika tilapia ini sendirian. Ayah datang dan kami mengusung tong biru itu ke bahagian dapur. Wan Jamilah kelihatan agak kelelahan.
“Milah naik ikut depan. Kak Mas nak angkat tong ni dengan ayah masuk ikut pintu dapur,” ujarku memberitahu Wan Jamilah. Wan Jamilah tidak membantah. Dia berlalu meninggalkan kami berdua.
“Banyak ikan Man, Mas?” tanya ayah.
“Emmm...biasalah, ayah. Pak long kata nak tinggalkan satu sangkar habuan makan dan buat pekasam. Oh ya, pak long kirim salam,” jawabku termnengah-mengah sambil mengusung tong biru itu.
“Man tak nak balik?” tanya ayah lagi.
“Esok kalau ada lapang, Man balik,” aku sahut pula.
Tong biru itu kami letak di tepi pintu bilik air.
“Apa tu?” tanya ibu yang sedang memotong jantung pisang di tepi singki.
“Apa lagi, bu. Ikan tilapia la. Pak long bagi. Boleh bakar dan buat pekasam ni, ibu,” sahutku sambil terbayangkan ikan tilapia bakar cicah air asam.
“Malam sikit nanti kita siangkan ikan tu. Nanti ibu buat pekasam, boleh kamu buat bekal bawa balik ke sana. Boleh bagi sikit kat tunang kamu, si Nazran tu.” Ingat juga ibu dengan bakal menantunya tu. Aku ini yang agak jarang mengingatinya. Mungkin kerana belum menjadi suami isteri, jadinya aku tidak begitu mengingati dia. Juga tidak mahu terlalu mengingati dia.
Aku capai tuala dan sehelai kain batik di atas rak kain lalu menuju ke bilik air. Rasa hanyir dan busuk bau seluruh badanku. Seharian keluar rumah tak mandi. Wan Jamilah lainlah. Dia dimandikan di rumah mak ngah tadi. Saat berlalu ke bilik air, aku menjenguk ke dalam bilik adik kembarku. Terlentang keduanya di atas katil membaca novel.
“Wei, dah Maghrib ni. Tak baik baca buku masa ni. Nanti mata cepat rosak,” tegurku. Qistina tersengih sambil menutup novel yang sedang dibacanya.
“Dah, bangun. Mandi. Solat,” sambungku sambil berlalu ke bilik air.
Selesai mandi aku menuju ke bilik untuk menunaikan solat Maghrib. Wan Jamilah menjuntaikan kakiknya di birai katil. Melihat aku datang, dia bangun.
“Milah nak mandi, kak,” beritahu Wan Jamilah. Aku mengangguk-anggukkan kepala dan kami berselisih di depan pintu bilik. Wan Jamilah yang sudah mandi pun masih mahu mandi lagi apatah lagi aku yang seharian tak kena sentuhan air kecuali air wuduk.
Malam itu, kami mengelilingi hidangan makan malam berlaukkan ikan tilapia goreng.
“Nanti Mas tolong ibu siang ikan, ya?” kata ibu mengingatkanku.
“Boleh Milah tolong?” Wan Jamilah yang menyampuk.

“Milah tolong tengok je,” balas ayah pula. Kami sama-sama ketawa. Wan Jamilah memang sebahagian daripada ahli keluargaku kini. Dia tersipu-sipu malu mendengar gurauan ayah. Mana mungkin dia dibenarkan untuk menyiang ikan. Qistina dan Danisha pun tidak pernah diminta menyiang ikan, inikan pula Wan Jamilah yang menjadi tetamu kami di rumah ini.

MTD Bab 19


BAB 19
Bukit kecil tempat kami berdiri itu aku turuni. Perlu berhati-hati juga kerana batu-batu kecil yang memenuhinya itu menjadikan jalan itu agak licin dan aku boleh menggelongsor ke bawah atau mungkin terus masuk ke dalam tasik kalau tidak berwaspada.
“Man !” aku melaungkan memanggil Razaman. Razaman segera menoleh ke arahku.
“Kenapa?” laungnya pula.
“Kak Mas dah nak balik ni.”
Razaman datang menghampiriku. Aku duduk di atas jeti kecil sambil menjuntaikan kaki sementara menunggu Razaman tiba. Pokok-pokok keladi bunting itu beriak-riak dialun ombak air. Kakiku sengaja kuayunkan agar menyentuh daun keladi bunting. Bunga-bunga ungunya sangat menarik perhatianku.
“Kak Mas,” Razaman menghampiriku dan turut melabuhkan punggungnya di sebelahku.
Aku memandang Wan Jamilah di atas bukit. Kebetulan pula, dia juga sedang merenung ke arah kami. Razaman juga turut memandang ke arah yang sama. Wan Jamilah melarikan pandangannya. Kemudiannya, kulihat dia perlahan-lahan menuju ke kereta kami.
“Man tak balik kerana Kak Mas bawa balik Wan Jamilahkah?” tanyaku tanpa berselindung. Razaman terdiam.
“Kak Mas minta maaf tapi Kak Mas rasa Wan Jamilah perlu dibantu untuk memulihkan semangatnya. Kak Mas lihat dia dah semakin jinak. Kalau mula-mula dulu, dengan ayah kita pun dia nampak macam curiga dan was-was,” kataku memulakan mukadimah.
“Jinak, kak?” Razaman tertawa kecil sambil mengulangi istilah yang aku gunakan untuk menggambarkan keadaan Wan Jamilah.
“Yalah, jinak,” aku berpaling ke arah Razaman sambil tersenyum. Aku tahu Razaman mahu mengusikku.
“Man rasa, Wan Jamilah tak selesa kalau Man balik ke rumah, kak,” terang Razaman dan aku mengerti maksudnya. Aku mengeluh dan menarik nafas panjang. Bukan mengeluh dan bukan ada apa-apa sebenarnya. Cuma aku tidak tahu bagaimana mahu merungkaikan masalah ini.
“Man dah tahu tentang keadaan Wan Jamilah, kan?” Aku sengaja ingin tahu tentang apa yang Razaman tahu. Razaman mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Mula-mula Man cuma tahu tentang apa yang Kak Mas bagitahu dulu tapi pagi tadi ibu ada telefon bagitahu cerita sepenuhnya.”
“Kak Mas minta maaf  kalau Man rasa tak selesa dengan kehadiran Wan Jamilah,” ujarku dengan rasa bersalah yang amat.
“Eh, Kak Mas ni. Man tak apa-apalah. Man cuma risau kalau-kalau Wan Jamilah yang tak selesa,” Razaman membetulkan pernyataanku.
“Wan Jamilah ada bagitahu Man?” tanyaku masih mahu mengorek rahsia. Sebenarnya, hari pertama kami pulang, maksudku hari pertama aku tiba di rumah dengan membawa Wan Jamilah bersama, Razaman masih ada di rumah tetapi selepas itu, dia hilang. Mana tahu, dalam masa yang sesingkat itu, mereka telah saling berkenalan.
Razaman diam. Diam yang agak lama juga sebelum dia kembali menuturkan kata.
“Man terserempak Wan Jamilah semasa nak keluar dari bilik air. Masa tu Man hanya bertuala. Man tak tahu Kak Mas ada bawa balik tetamu. Terkejut juga Man masa tu. Muka Wan Jamilah pucat dan dia menangis. Mungkin dia ingat Man siapa. Atas sebab itulah, Man cuba jauhkan diri supaya dia tidak tertekan. Man bersimpati, kak.” Ada nada sendu di hujung kata-kata Razaman.
Kali ini, giliran aku pula terdiam.  Besar pengertian yang Razaman hulurkan dan aku menghargainya. Aku bangga punya adik yang sebaik ini.
“Kak Mas minta maaf ya, Man. Tapi Kak Mas berharap sangat kalau Man dapat pulang sebelum Kak Mas kembali bertugas. Kalau boleh, Kak Mas nak Man turut bantu pulihkan semangat Wan Jamilah.” Razaman memandangku. Mata kami bertembung.
“Kak Mas nak suruh Man buat apa?”Aku jadi gelihati melihat wajah polos dan kehairanan  yang Razaman tunjukkan.
“Kak Mas bukan nak suruh Man buat apa-apa. Cuma nak Man wujud di rumah tu. Tunjukkan tingkah laku Man yang sebenarnya dan mungkin sedikit sebanyak, itu akan dapat pulihkan kepercayaan Wan Jamilah terhadap lelaki. Kak Mas tidak mahu dia terus tenggelam dalam dunianya,” aku menerangkan hasrat hatiku terhadap Razaman. Razaman mengangguk-anggukkan kepalanya seperti sampan kayu yang sedang teroleng-oleng di atas permukaan tasik di hujung sana.
“Insya-Allah, nanti ada masa Man balik tapi Man tak berani janji.” Kata-kata Razaman itu sedikit sebanyak telah meredakan rasa resah di hatiku. Aku kenal Razaman. Kalau sudah dikatakannya ‘Insya-Allah’, dia pasti akan sedaya-upaya melunasi janji ‘Insya-Allah’nya itu.
“Nanti Kak Mas bagitahu Wan Jamilah supaya tidak takut dengan Man,” ujarku memberi jaminan.
 “Mas… Mas,” pak long melaungku dari atas pondok. Aku dan Razaman bangun hampir serentak. Pak Long Sani pula semakin menghampiri kami dengan satu tong berwarna biru yang agak sederhana besarnya.
“Kata tadi dah nak balik. Ni ha...ada sikit ikan ni. Bawa balik bagi mak. Boleh juga dibuat pekasam,” ujar pak long sambil meletakkan tong biru itu di hadapan kami.
Ikan apa ni, pak long?” tanyaku sambil menjenguk ke dalam tong.
“Ikan apa lagi. Ikan tilapia la,” ujar pak long sambil bercekak pinggang.
“Banyaknya,” sambungku lagi.
“Tak ada banyak mananya. Nanti boleh kamu bawa balik pekasam bagi sama kawan-kawan kamu di sana,” pak long memberikan cadangan.
“Hmmm...molek juga tu,” aku tersenyum. Tanpa disuruh, Razaman mengangkat tong biru itu ke kereta.
“Lagi satu, sampaikan salam assalammualaikum pak long kepada mak ayah kamu,” pesan pak long.
“Insya Allah, pak long,” sahutku sambil melangkah mengekori langkah Razaman yang sedang mengusung tong berisi ikan.
“Kalau macam ni, busuklah kereta Kak Mas,” rungutku sambil berjalan beriringan dengan Razaman menuju ke kereta. Pak long telah berlalu ke jeti ikan dan melompat ke atas pelantar tempat aku dan Razaman bersidang sebentar tadi.
“Syyy, Kak Mas jangan merungutlah. Nanti pak long dengar, kecil hati dia. Tak ada busuknya. Sekejap sahaja,” Razaman seakan cuba meredakan kegelisahan hatiku. Aku diam sahaja selepas itu walaupun hatiku masih ada rasa ragu-ragu.
Tiba di kereta, aku tidak nampak Wan Jamilah di dalamnya. Apabila aku memandang ke sebelah barat matahari mahu jatuh, Wan Jamilah sedang berdiri terpaku di situ. Mungkin dia sedang menikmati keindahan warna jingga matahari yang sangat terang dan bayangnya jatuh di tengah-tengah tasik.
Razaman juga turut memandang ke arah yang sama denganku.
“Man,” aku panggil Razaman pabila bahagian bagasi kereta telah siap kubuka. Razaman agak tersipu-sipu sambil membongkok dan mengangkat tong biru kecil itu ke dalam boot kereta.
“Suka pandang anak orang lama-lama, ya?” aku sengaja mengusik Razaman. Razaman hanya tersengih-sengih. Wan Jamilah memandang kami tetapi hanya seketika. Mungkin kerana melihat Razaman masih di sisiku, dia tidak mahu mendekati kami. Aku menutup kembali boot belakang kereta.
“Man, Kak Mas balik dulu. Jangan lupa balik tau. Kak Mas pun mungkin akan balik sana tiga hari lagi,” ujarku mengingatkan Razaman.
“Insya Allah, kak. Esok Man balik,” sahut Razaman sambil bersalaman dan mencium tanganku. Aku masuk ke tempat pemandu dan menghidupkan enjin. Wan Jamilah segera mnenoleh apabila terdengar bunyi enjin kereta. Dia melangkah ke arahku sambil membawa perutnya yang berat.
Razaman masih di sisi kereta sebelahku. Dia pura-pura tidak memandang Wan Jamilah. Dia hanya merenung jauh ke tengah dada tasik hijau. Wan Jamilah menghampiri kereta. Cermin kereta kubiarkan terbuka agar angin petang bisa menerobos masuk mengirimkan bau tasik yang agak masam dan hanyir tetapi amat mengasyikkan.
“Milah balik dulu, Abang Man.” Aku terdengar suara Wan Jamilah. Anak ini tetap sahaja dengan santunnya walaupun agak ragu-ragu untuk berhadapan dengan lelaki. Mungkin dia melihat kemesraanku dengan Razaman dan kasih sayang kami adik beradik.
“Ya… ya,” Razaman agak tergagap-gagap menjawabnya. Mungkin dia tidak menyangka yang Wan Jamilah mahu menegurnya. Aku tersenyum memandang keluar, ke arah Razaman. Sengaja ingin mengusik. Razaman tersenyum-senyum saja. Tidak tembus dek usikanku.

“Jangan asyik tersenyum-senyum sahaja. Nanti balik, tau.” Aku masih sempat menegur perbuatan  Razaman sebelum keretaku berpusing masuk ke jalan bersimen tar. Pantas Razaman menekup mulutnya.

MTD Bab 18


BAB 18
 Aku menghayunkan kakiku yang terjuntai dari atas pondok perlahan-lahan. Razaman terus melayani nasi dan lauk kiriman ibu walaupun hari sudah menjengah lewat petang dan nasi serta lauk-pauk itu sudah teramat dingin.
Angin petang yang berpuput lembut singgah sebentar menyapu wajahku. Kalau aku bawa komputer ribaku ke mari, tentu banyak perkara yang dapat kuluahkan di sini. Suasana petang yang damai ini menerbitkan sejuta ilham yang terpendam.
Aku melompat berdiri di atas tanah. Teringatkan Wan Jamilah di dalam kereta. Wan Jamilah memang agak malu-malu lebih-lebih lagi kalau berhadapan dengan lelaki. Entahkan malu, entahkan trauma.
“Kenapa Man tak balik?” aku bertanya sambil berpusing memandang Razaman. Suapan nasinya terhenti. Razaman terdiam sejenak. Dia memandang pak long bagaikan kata-kata yang bakal diluahkannya ada tertulis di muka lelaki itu.
“Tak apalah, kak. Nanti senang-senang Man balik. Man nak tolong pak long dulu,” kata Razaman.
“Kalau kamu nak balik sekejap, pak long tak kisah. Lagipun ada budak Indonesia dua orang tu yang rajin datang tolong pak long kalau pak long perlukan bantuan,” ujar pak long. Razaman jadi termengkelan. Cepat-cepat dia menyanggah cawan air minumannya ke mulut. Aku hanya memerhati tingkah Razaman yang nampak pelik.
“Kak Mas belum puas berbual dengan Razaman. Nanti habis cuti sekolah, Kak Mas dah kena balik.” Ada sedikit rasa terkilan dalam nada suaraku. Razaman meletakkan cawan kosongnya di hadapan.
“Nantilah Man balik, kak,” Razaman berjanji.
“Jangan janji saja, tau,” kataku sebelum melangkah ke arah keretaku untuk melihat Wan Jamilah. Kasihan dia bersendirian di dalam kereta. Mungkin kepanasan juga walaupun petang sudah semakin menunduk.
Aku menjengok ke dalam kereta. Tiada Wan Jamilah di situ. Sewaktu melarikan pandangan ke tepi tasik, aku nampak Wan Jamilah sedang berdiri di situ sambil memerhatikan permukaan tasik yang berolak perlahan dan menghijau ditutupi keladi bunting yang sedang berbunga ungu.
Perlahan-lahan kuhampiri Wan Jamilah.
“Kak Mas,” Wan Jamilah berpaling ke arahku. Aku tersenyum. Mungkin Wan Jamilah terdengar derap kakiku menghampirinya.
Wan Jamilah kembali merenung ke dada tasik.
“Milah suka tempat ni?” tanyaku sengaja ingin mengusik hati Wan Jamilah. Wan Jamilah mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Suka. Tenang dan damai,” sahut Wan Jamilah yang seakan sudah mulai mengerti makna ketenangan dan kedamaian.
“Di sinilah adik Kak Mas, Razaman banyak menghabiskan masanya. Kak Mas pun sukakan kedamaian suasana di sini. Tempat ini mengajar kak untuk menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan dan mengagumi kehebatan Nya.” Wan Jamilah hanya terdiam. Mungkin menghayati luahanku atau mungkin juga menghayati keindahan alam yang terbentang luas di hadapannya.
“Memancing pun boleh di sini, kan Kak Mas?” tanya Wan Jamilah.
“Ya. Boleh,” sahutku mengiyakan. “Milah suka memancing?” soalanku yang seterusnya menyusul. Wan Jamilah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Tak pernah,” balas Wan Jamilah.
“Nanti ada masa, kita datang ke sini lagi, memancing,” kataku meletakkan harapan. Mungkin kami punya sedikit waktu sebelum habis cuti nanti.
“Kak Mas tak mahu buat rumah di sini?” Aku tertawa kecil mendengar pertanyaan Wan Jamilah.
“Mana boleh senang-senang nak buat rumah di sini. Ini tanah pak long. Kena minta kebenaran pak longlah. Lagipun, pak long ada ramai anak. Anak-anak pak long lagi berhak untuk membina kediaman di sini.”
Wan Jamilah masih merenung dada tasik. Di hujung sebelah kanan sana, Razaman telah turun ke sangkar ikannya, meniti di atas kayu pelantar sangkar dan bergerak hingga ke hujung beberapa buah sangkar.
“Milah nak pergi ke sana?” tanyaku, mempelawa Wan Jamilah kerana aku lihat, Wan Jamilah juga menoleh ke arah yang sama seakan berminat. Wan Jamilah menggeleng-gelengkan kepalanya, perlahan. Aku bagaikan baru tersedar yang Wan Jamilah ini takut akan lelaki. Mungkin dia takut melihat Razaman dan pak long.
Tanpa sedar, aku mengeluh perlahan. Sekarang ini, aku baru terfikirkan sesuatu. Mungkin Razaman tak balik ke rumah pun ada kaitannya dengan kehadiran Wan Jamilah. Razaman ini pun pemalu juga orangnya. Jarang aku dapat lihat dia berbual-bual dengan perempuan.
Teringat aku pada zaman persekolahan kami dahulu. Razaman lari menyorokkan diri di dalam stor peralatan kebun ayah semasa kawan-kawan perempuannya datang bertandang ke rumah ketika hari raya.
Sampai kawan-kawannya itu berlalu pergi, barulah dia keluar dari tempat persembunyiannya dengan debu dan habuk penuh di atas kepala dan pakaiannya. Itupun setelah puas aku melaung-laung dari luar. Aku tersenyum sendiri mengenangkan perangai Razaman.

“Kalau tak nak ikut, Milah tunggu sini. Kak Mas nak pergi jumpa Man sekejap. Nanti kita boleh balik,” aku memberitahu Wan Jamilah. Sebenarnya, selain daripada untuk memberitahu tentang hajat hati mahu pulang ke rumah, aku juga ingin bertanyakan tentang rasa hatiku kepada Razaman yang baru terdetik sebentar tadi.

MTD Bab 17


BAB 17
Matahari sudah condong ke barat saat kami melangkah keluar meninggalkan rumah mak ngah. Bekalan untuk Razaman masih ada di tempat duduk bahagian belakang kereta. Apa yang pasti, nasi bekalan itu memang sudah sejuk sangat.
Mak ngah melambai-lambai saat aku membelokkan kereta meniti ke atas jalan aspal hitam enam kaki lebar itu. Wan Jamilah turut melambai-lambai dari dalam kereta. Aku melihat kemesraan Wan Jamilah dengan mak ngah walaupun itu baru pertama kali mereka bersua. Wan Jamilah yang mudah menyentuh hati sesiapa sahaja.
Kereta terus kulajukan menuju ke tempat Razaman membela ikan. Awan di langit bertompok-tompok kecil menyerlahkan keindahan suasana petang di pinggir danau itu. Wan Jamilah leka mengira awan di langit. Aku biarkan dia di dalam dunia ilusinya.
Kira-kira lima belas minit kemudian, kami semakin menghampiri sangkar ikan Razaman. Dari jauh tampak berbalam-balam Jambatan Raja Muda Nazrin disepuh awan putih.
Aku memberikan isyarat lampu kereta ke kiri dan membelokkan kereta menuruni jalan lama ke Tasik Raban. Beberapa buah motosikal yang berselisih dengan kami memberikan laluan dengan berhenti di pinggir jalan. Aku tersenyum dan mengangkat sedikit tanganku tanda mengucapkan terima kasih.
Kami terus melalui lorong kecil bertar sepenuhnya sehingga ke pinggir tasik. Aku memberhentikan keretaku di tepi sepohon pokok bongor yang sedang berbunga lebat. Bunga berwarna ungu muda itu menghiasi pinggiran tasik hijau yang tenang dan mendamaikan dengan pucuknya yang kemerah-merahan.
“Dah sampai, kak?” tanya Wan Jamilah tiba-tiba bagaikan baru tersedar daripada sebuah mimpi.
“Ya, sudah. Marilah,” kataku sambil mematikan enjin kereta selepas tingkap cermin itu kuturunkan.
“Kalau Milah tak turun, tak apa, kan?” tanya Wan Jamilah lagi. Gerakanku terhenti.
“Kenapa?” Aku menoleh ke arah Wan Jamilah.
Seorang lelaki datang menghampiri kami. Wan Jamilah menundukkan kepalanya.
“Marilah turun. Sekejap sahaja. Kak Mas nak jumpa Razaman,” aku cuba memujuk Wan Jamilah. Wan Jamilah yang masih trauma dan agak takut-takut dengan lelaki. Mungkin rasa gerunnya masih ada terhadap insan yang bernama lelaki.
Pak Long Sani semakin menghampiri kami. Aku membuka pintu kereta dan menghadiahkan senyuman kepadanya.
“Haaa...Mas, datang dengan siapa tu? Danisha atau Qistina?” pak long menegurku sambil melemparkan sebuah senyuman mesra.
“Adik angkat Mas, pak long,” aku menjelaskan secara ringkas. Mungkin pak long belum tahu cerita tentang Wan Jamilah. Razaman itu orang yang agak berat mulutnya. Mana mungkin dia mahu bercerita perihal orang lain walaupun dia pernah bertemu Wan Jamilah sebelum ini.
“Man mana, pak long?” ujarku sambil melangkah keluar dan menutup pintu kereta. Pintu kereta bahagian belakang kubuka untuk kukeluarkan bakul berisi makanan buat Razaman.
Pak long memuncungkan mulutnya ke arah jeti kecil menuju ke sangkar ikan. Aku nampak Razaman terbongkok-bongkok menarik sesuatu, mungkin bebola pelampung ikan.
Pak long mencapai bakul makanan di tanganku, membantu membawanya ke sebuah pondok kecil yang dibina di tepi danau itu. Aku menjenguk Wan Jamilah di dalam kereta. “ Milah, akak jumpa Razaman sekejap,ya.”  Wan Jamilah sedang melontarkan pandangannya keluar dengan penuh keasyikan. Wan Jamilah menoleh ke arahku sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Kalau Milah nak keluar, marilah,” aku mempelawa sekali lagi meskipun Wan Jamilah bagaikan tidak berminat dengan pelawaanku.
Pondok kecil tempat pak long dan Razaman berteduh kuhampiri. Pak long mengeluarkan makanan yang dibekalkan ibu.
“Ikan pekasam pun ada, Mas,” pak long bersuara. Aku tertawa kecil.
“Ada, pak long. Menu rasmi tu,” pak long turut tertawa bersamaku.
“Mas nak ikan?” pertanyaan atau pelawaan?
“Dah besarkah ikannya?” tanyaku pula.
“Sangkar yang hujung tu ikannya dah besar tapi pak long tak jual. Untuk makan sendiri saja. Lagipun mak long kamu nak buat pekasam,” pak long menjelaskan. Aku mengangguk-anggukkan kepalaku. Kami sama-sama menyusun makanan di atas sebidang tikar kecil yang siap dibentangkan pak long.
“Sejuk sikit pak long, nasinya. Singgah merata tadi,” aku menerangkan.
“Tak apa,sejuk pun sedap ni,” pak long memuji sebelum mulai menjamah makanan yang kubawa.
“Adik angkat kamu tu tak mahu keluarkah?” tanya pak long sambil memanjangkan lehernya memandang Wan Jamilah.
“Dia tak berapa sihat, pak long,” kataku, beralasan.
“Ooo...,” panjang benar ooo... pak long.
“Mana Man, pak long?” giliran aku pula memanjangkan leher.
“Sekejap lagi dia datanglah, tu. Dia tengah tarik pukat,” pak long menjelaskan.
“Kak.” Razaman sudah menghampiri kami. Entah bila masanya dia memanjat tebing itu. Baru sebentar tadi aku pandang tapi belum nampak dia, tiba-tiba sahaja sudah tersembul di hadapan mata. Razaman menghulurkan tangannya kepadaku. Kami bersalaman dan Razaman mengucup tanganku.
“Kak sihat?” tanya Razaman.
“Sihat. Kenapa Man lama tak balik?” tanyaku pula.
“Tak apalah, kak. Man nak tolong pak long,” sahut Razaman sambil memandang sekeliling. “Kak datang seorang?”
“Ada Wan Jamilah dalam kereta.” Mungkin Razaman sedang bertanyakan tentang Wan Jamilah walaupun tidak disebutkan dalam pertanyaannya tetapi aku tahu, Razaman bertanyakan Wan Jamilah.
“Dia tak keluar, kak? Kan panas dalam kereta tu.” Aku menggeleng-gelengkan kepalaku. Sejenak kami berjeda. Wan Jamilah masih tidak punya semangat untuk berjumpa lelaki. Mungkin baginya semua lelaki itu akan menyakitinya.
Pak Long Sani mulai membasuh tangannya.
“Belum makan tengah hari?” tanyaku, sengaja ingin mengalihkan tumpuan. Kalau betul pak long belum tahu tentang keadaan Wan Jmilah, aku tidak mahu memperkatakan tentangnya saat ini. Biarlah ibu atau ayah sahaja yang bercerita.
“Dah makan tapi lauk yang kamu bawa ni sedap sangat pak long tengok. Lagipun tengah hari tadi makannya. Sekarang dah lapar semula,” terang pak long sambil mulai menyenduk nasi ke dalam pinggan Razaman. Razaman duduk berjuntai di sebelahku. Seperti ada sesuatu yang bersarang di mindanya.
“Ooo...ingatkan pak long dah jemu makan ikan pekasam,” aku sengaja mengusik pak long.
“Tak ada jemunya. Kalau sehari tak jumpa pekasam goreng, itu yang buat pak long tak lena tidur,” pak long tertawa kecil di hujung ungkapannya.
“Man...” Pak long menyuakan pinggan nasi ke arah Razaman. Razaman cepat-cepat menyambutnya dan berpusing bersila mengadap pak long. Kubiarkan orang berdua itu makan.
“Mas, makan sekali,” pelawa pak long sambil menyuakan nasi ke mulutnya.
“Tak apa, Mas dah makan di rumah mak ngah tadi,” aku menjelaskan.
“Singgah rumah mak ngahkah tadi?” tanya Razaman pula.
“Ya.”
“Mak ngah sihat?” pak long bertanya sambil mengunyah nasinya perlahan.
“Alhamdulillah, sihat.”
“Pagi esok baru pak long bercadang nak pergi jenguk dia sebelum dia ke Kuala Lumpur semula,” sambung pak long lagi.

“Oh, lupa nak bagitahu, mak dan mak ngah kirim salam kat Man dan pak long.” Aku baru teringatkan pesanan mak dan mak ngah.

MTD Bab 16


BAB 16
Alat penggera di telefon bimbitku berbunyi menandakan telah masuk waktu solat fardhu Asar.
            “Ada orang telefon tu,” mak ngah memberitahuku.
“Bukan orang telefon, tanda masuk waktu solat,” aku menjelaskan.
“Ooo…tapi kenapa telefon mak ngah tak berbunyi pun.” Mak ngah mencapai telefon bimbitnya di atas meja dan membelek-beleknya.
“Mak ngah set waktu solat kat Kolumpur kot,” aku cuba meneka.
“Ha’ah la tapi Kolumpur kan lebih awal waktu solatnya berbanding dengan tempat kita sini,” sahut mak ngah sambil terus membaca sesuatu di skrin telefon bimbitnya.
“Masya Allah, mak ngah lupa nak on balik suaranya. Patutlah tak berbunyi,” rungut mak ngah sambil menekan-nekan kekunci telefonnya.
“Kamu bancuh air apa, Mas?” tanya mak ngah bagaikan baru tersedar.
“Air kopi. Kenapa? Mak ngah nak minum apa?”
“Tak apa. Mak ngah minum kopi. Pandai pula kamu mencarinya,” mak ngah tersenyum memandangku.
“Semua dalam peti ais. Gula pun Mas jumpa dalam peti,” sahutku.
“Hmm…mak ngah simpan dalam tu sebab nak tinggal gi Kolumpur hari tu la. Kalau tinggal di luar, habis dihurung dek semut.”
“Semut pun makan kopi, mak ngah?” tanyaku kehairanan.
“Tak. Tapi kopi tu kalau tak diletakkan dalam peti, nanti masuk angin. Keras tak boleh digunakan lagi. Mak Menti pun banyak dalam rumah ni.”  Mak ngah tertawa kecil menjawab pertanyaanku. Aku pula boleh bertanyakan soalan yang bodoh itu dan tersengih-sengih malu. Adatnya orang-orang tua kampungku memanggil tikus itu dengan panggilan Mak Menti. Pantang katanya disebut tikus, nanti tikus-tikus itu datang menyerang apabila namanya diseur.
“Dah. Pergi panggil Milah tu. Minum kopi dan solat dulu. Nanti dah lepas solat, baru mak ngah mandikan dia.”
Aku mengikut arahan mak ngah. Wan Jamilah terbaring mengereng di atas sofa. Tudung bawal hijau mudanya melitupi muka. Kuselak tudungnya dan kupanggil dia perlahan.
“Milah, bangun. Dah Asar, ni,” aku berbisik di sisi Wan Jamilah. Mata Wan Jamilah terbuka perlahan-lahan.
“Dah petang, kak? Maaf, Milah terlelap tadi.” Wan Jamilah bangun terpisat-pisat sambil menggosok-gosok pelupuk matanya.
“Belum petang sangat tapi dah Asar. Jom kita minum kopi dan solat dulu.” Wan Jamilah sudah bangun dan duduk di atas sofa. Tudung kepalanya yang senget, dibetul-betulkan. Kami beriringan ke dapur.
Asyik benar aku lihat Wan Jamilah memamah buah jambu air yang dicicah sambal kicap air tangan mak ngah. Aku biarkan Wan Jamilah menikmati jambu air itu dengan sepuas-puasnya. Sebenarnya, aku juga telah berpesan dengan ayah, kalau ada orang menjual jambu air di pasar, tolong belikan untuk Wan Jamilah. Rupa-rupanya, rezeki Wan Jamilah di sini.
Aku hanya duduk di anjung sambil membelek-belek akhbar lama sementara menantikan mak ngah selesai menjalankan upacaranya memandikan Wan Jamilah. Kata ibu, hanya wanita yang mengandungkan anak sulung sahaja yang melakukan upacara mandi berlimau dan berguring ini. Aku pun tidak tahu. Selagi ianya tidak melanggar akidah dan mensyirikkan Allah, aku tidak akan membantah.
Dalam diam-diam, aku bercadang untuk menemui Ustazah Sarifah bagi bertanyakan hukum melakukan amalan tersebut. Suatu ketika dulu, aku pernah bertanyakan kepada seorang teman guruku, seorang wanita berketurunan Jawa, Kak Paridah tentang adat-adat yang terdapat dalam kalangan masyarakat Jawa bagi perempuan mengandung sulung.
Kata Kak Paridah, sudah tidak ramai wanita Jawa yang masih melakukan adat melenggang perut ini. Kalau mengikut sejarah yang diceritakan oleh ibunya, upacara melenggang perut ini diadakan dalam satu upacara yang gilang-gemilang. Genap sahaja usia kandungan tujuh bulan, bakal ibu yang sedang hamil itu akan dimandikan dengan air pelbagai jenis bunga oleh bidan yang akan menyambut kelahiran bayi itu nanti.
Suami pula akan membelah buah kelapa muda. Sekiranya buah itu betul-betul terbelah di bahagian tengahnya, bermakna pasangan itu akan dikurniakan anak lelaki. Dan begitulah sebaliknya iaitu sekiranya belahan buah kelapa itu senget, pasangan itu akan memperoleh anak perempuan.
Suami juga dikehendaki memasukkan  sebutir telur ayam kampong di dalam kain isterinya. Telur itu dibiarkan jatuh dan pecah. Simboliknya, semoga kelahiran bayi mereka nanti akan lancar tanpa sebarang masalah. Suami? Wan Jamilah mana ada suami. Oh Tuhan, kasihani anak ini. Kolam mataku kembali bertakung.
Sebenarnya, apabila ibu meminta aku membawa pulang Wan Jamilah setelah kandungannya genap tujuh bulan, aku jadi panasaran. Ibu mahu Wan Jamilah dibawa berjumpa Mak Ngah Cik Wok. Sepertinya ibu mahu mengadakan adat melenggang perut. Kata ibu, bukan melenggang perut. Cuma ingin memohon kepada Allah agar dimudahkan segala urusan Wan Jamilah sewaktu melahirkan anak sulungnya nanti.
Kak Roha juga telah kuhubungi untuk meminta kebenarannya dan Kak Roha tidak menghalang. Kata Kak Roha, dia juga ada terfikirkan tentang itu tetapi setelah aku menyatakan permintaan ibuku untuk menguruskan perihal Wan Jamilah, Kak Roha mengikut sahaja.
Sebenarnya, aku sudah biasa melihat mak ngah memandikan wanita hamil yang datang ke rumahnya sewaktu aku kecil-kecil dahulu. Memang waktu itu, aku agak rapat dengan keluarga mak ngah. Kak Ani, anak mak ngah yang merupakan sepupuku, walaupun kami tidak sebaya tetapi kami serasi dalam berkawan.
Setiap kali tiba musim cuti sekolah, Kak Aini akan datang ke rumahku. Dua tiga hari di rumahku, kami akan beralih ke rumahnya pula. Lama aku duduk di rumahnya. Kadang-kadang sehingga cuti sekolah berakhir. Ikut mak ngah ambil upah cabut kacang tanah Cina, tolong mak ngah tanam jagung, sama-sama meredah kebun getah untuk pungut kulat sisir dan bermacam-macam lagi aktiviti mak ngah yang aku sertai.
Agak lama mereka berdua di dapur, aku bangun menjenguk. Terdengar suara-suara halus saling bertingkah di dalam sana. Aku berdiri di ambang pintu dapur, memandang ke arah pintu bilik air yang tertutup rapat.

Aku berlalu ke sinki, mengambil wuduk dan menunaikan solat Asar di dalam bilik mak ngah. Masih ada katil besi berwarna hitam di dalam bilik mak ngah itu. Di atas katil besi itulah dulu, aku dan Kak Aini tidur kalau aku menghabiskan cuti sekolahku di rumah mereka. bilik tidur mak ngah tetap bersih dan kemas seperti dulu.

MTD Bab 15


BAB 15
Sebentar kemudian, aku menghelakan kakiku menuju ke meja makan mak ngah. Agak berserabut juga di atas meja itu. Ada bungkusan-bungkusan makanan yang sudah digunakan dan ada juga bungkusan yang masih berisi lauk. Mungkin mak ngah belum sempat memasak kerana bungkusan-bungkusan ini menandakan mak ngah membeli makanan di luar.
“Tengah hari tadi, mak ngah tak masak pun. Pak Cik Hamdan kamu yang pergi beli makanan siap dimasak ni. Mak ngah belum sempat masak apa-apa lagi pun,” mak ngah menerangkan bagai mengerti apakah yang sedang berlegar di fikiranku.
“Mak Cik Pesah ke mana, mak ngah?” Kalau Mak Cik Pesah iaitu isteri Pak Cik Hamdan ada, tentu dia boleh masakkan untuk mak ngah ataupun mak ngah yang pergi makan tengah hari di rumahnya.
“Mak Cik Pesah ke Taiping. Menantunya nak ke Mekah menunaikan umrah. Biasalah cuti-cuti sekolah ni, ramai yang buat majlis dan ramai juga yang pergi umrah,” jelas mak ngah.
“Pak cik tak ikut sekali?” Banyak pula soalanku ini. Wan Jamilah sudah mulai mengemas meja. Plastik-plastik makanan yang kosong itu dimasukkan ke dalam sebuah beg plastik yang lebih besar.
“Milah, engkau jangan nak kemas-kemas meja tu. Duduk sahaja berehat di situ. Biar mak ngah yang kemaskan,” larang mak ngah sambil mengambil plastik di tangan Wan Jamilah. Wan Jamilah agak serba-salah pula tapi dia duduk juga apabila mak ngah menyorongkan kerusi kepadanya.
“Pak Cik Hamdan kamu nak berjalan? Hmmm…banyak perkara yang dia nak uruskan di sini. Dengan ayam itiknya, dengan kambing lembunya. Itupun tiga ekor arnabnya dah diberikan pada Arman. Kalau tidak, dengan arnabnya lagi,” panjang pula ulasan mak ngah perihal adiknya itu.
Mak ngah ini mereka empat beradik. Pak Long Sani yang sulung, mak ngah anak kedua dan Pak Cik Hamdan anak ketiga. Emakku pula anak keempat tetapi berlainan ibu. Emaklah satu-satunya anak arwah datuk dengan arwah nenekku.Selepas isterinya iaitu emak pak long, mak ngah dan pak cik meninggal dunia, arwah datuk berkahwin pula dengan arwah nenekku.
Menurut ibu, semasa arwah datuk dan nenekku berkahwin, Pak Cik Hamdan baru belajar berjalan jatuh. Neneklah yang menjaga pak cik dan adik-beradiknya yang lain seperti anak sendiri. Walaupun berlainan ibu tetapi hubungan mereka adik-beradik sangat akrab. Pak Cik Hamdan dan Mak Ngah Cik Wok tinggal di tanah tapak asal rumah arwah datuk manakala ibu pula mengikut ayah ke baruh setelah mereka berumahtangga.
Pak Long Sani pula mengusahakan penternakan ikan air tawar yang diwarisi daripada datuk. Masing-masing sudah berkeluarga dan punya kehidupan sendiri. Sekali-sekala kami akan berkumpul di dalam majlis keramaian keluarga dan tidak lupa untuk saling berkunjung saat hari raya menjelang tiba.
Aku menuju ke singki, mencapai cerek dan membasuh habuk-habuk yang melekat padanya, luar dan dalam. Kemudian, aku mengisi air ke dalamnya dan menenggekkannya di atas dapur. Puas kupusing tombol dapur namun tiada api yang keluar. Gas mak ngah habiskah?
Aku menarik pintu kabinet bawah, mengintai tong gas di bawah dapur. Kepalanya tidak bertemu pada tong gas. Oh, patutlah tidak keluar apinya. Aku membongkok, menarik kepala gas dan menyambungkannya pada kepala tong gas. Menekannya kuat sehingga kedengaran bunyi kelepak!
“Haaaa….kepala gasnya mak ngah cabut masa nak Kuala Lumpur hari tu.” Mak ngah ni, macam dapat pula membaca pemikiranku. Tahu-tahu sahaja yang aku sedang cuba menghidupkan api dapur itu. Kucuba menyalakan api dapur gas. Dua tiga kali mencuba, barulah terdapat nyalaan berwarna biru.
Sementara menantikan air masak, aku menyambung kerja Wan Jamilah mengemas meja mak ngah. Mak ngah pula turun ke tanah dan hilang entah ke mana tanpa memberitahuku. Aku mengambil kerusi dan duduk di sebelah Wan Jamilah. Ada riak keletihan di wajahnya.
“Milah dah telefon mak?” tanyaku, memulakan perbualan.
“Sudah, pagi tadi,” sahut Wan Jamilah perlahan.
“Milah letihkah?” sambungku apabila kulihat tanda-tanda kelelahan di wajah itu. Wan Jamilah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kalau Milah letih, pergi baring dulu di sofa sana. Nanti Kak Mas kejutkan.” Aku tidak tahu bagaimanakah penanggungan wanita yang sedang hamil tetapi aku benar-benar nampak keletihan di raut wajah Wan Jamilah. Aku merasai keletihan dan kepenatan itu.
“Boleh tidur, kak?” Wan Jamilah sepertinya meminta kebenaranku.
“Pergilah tidur dan berehat. Nanti, masuk waktu Asar, Kak Mas kejutkan Milah,” ujarku memberikan cadangan.
Wan Jamilah mempamerkan senyum tipis. Senyuman yang hanya dia yang mengerti maknanya kerana dalam senyuman itu bagaikan sarat tersimpan kesedihan yang membusung. Jernih mata Wan Jamilah memang selalu melirihkan hatiku. Sabarlah, Milah. Redhalah, dik. Allah mendugamu kerana Dia ingin memberikan nikmat buatmu.
Wan Jamilah bangun dengan agak perlahan seperti kebiasaannya. Dia menapak longlai ke ruang tamu. Air mataku jatuh lagi. Entah untuk kali yang keberapakah aku masih sahaja menangisi nasib Wan Jamilah. Wan Jamilah kuat, kenapa pula aku mesti jadi selemah ini. Aku menyeka air mata yang sudah mulai menjamah pipi.
Bunyi air panas berdesir di dalam cerek dan kemudian mengeluarkan bunyi sirennya yang langsing. Aku bergegas bangun memadamkan api. Mak ngah termengah-mengah naik memanjat tangga.
“Mak ngah ke mana?” tanyaku sebab mak ngah menghilang tadi tanpa memberi tahu apa-apa.
“Mak ngah pergi ambil jambu air ni. Tadi masa ke belakang, mak ngah ada nampak jambu air yang meranum ni tapi tak sempat nak petik.” Mak ngah letakkan bungkusan plastik di atas meja. Beberapa biji buah jambu air berwarna merah meranum itu tergolek di atas meja.
Tentu Wan Jamilah suka sebab beberapa hari yang lalu, dia bertanyakan buah jambu air di rumah ibu, bilakah masaknya? Buah jambu air ibu baru berputik. Lambat lagi mahu masaknya. Mungkin tak sempat Wan Jamilah merasa sebelum kami pulang seusai cuti. Rezeki Wan Jamilah, desis hatiku kesyukuran.
“Milah mana?” tanya mak ngah.
“Saya suruh dia baring kat sofa sana, mak ngah. Nampak macam letih saja.”
“Letihlah, memang macam itulah adatnya. Dah tujuh bulan, kan?” tanya mak ngah pula.
“Hmmm…,” aku berdehem sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Macam mana cerita orang yang memperkosanya? Sudah dapat ditangkapkah?” Mak ngah menurunkan nada suaranya sewaktu bertanyakan perkara tersebut padaku.
“Belum mak ngah. Dia lari bersembunyi entah di mana. Allah itu Maha Kaya. Moga-moga dia dapat balasan yang setimpalnya,” dadaku sudah mulai rasa berkelun-kelun semula. Mak ngah sudah tahu cerita tentang Wan Jamilah seperti yang diberitahu ibu agaknya.

“Mak kamu ada telefon mak ngah pagi tadi,” jelas mak ngah. Mungkin selepas mendengar cerita aku semalam, ibu mengambil keputusan untuk menghubungi mak ngah pagi ini. Memang aku berharap agar ibu dapat bagitahu mak ngah kerana aku rasa tidak sanggup untuk menyampaikannya sendiri lebih-lebih lagi Wan Jamilah sentiasa ada bersamaku.