Rabu, 10 Disember 2014

MTD Bab 27


BAB 27
Tiada alasan untuk menolak permintaan ibu. Aku masuk ke bilik untuk bersiap-siap. Sekurang-kurangnya, hatiku sedikit lega melihat sikap ibu yang tidak memaksa Razaman untuk menerima Rasyidah. Dan aku tahu, Razaman juga turut berasa lega.
Wan Jamilah masih lagi menyiapkan kerja Matematiknya sewaktu aku menghampirinya.
“Banyak lagi, Milah?” tanyaku menyapa Wan Jamilah.
“Ada lima soalan lagi untuk set lima ni, kak,” sahut Wan Jamilah sambil membelek buku latihannya. Aku mengangguk-anggukkan kepala.
“Kak Mas nak mandi dan solat Asar sekejap. Nanti nak keluar berjalan. Milah ikut, ya?” aku memberitahu Wan Jamilah. Tarian jemari Wan Jamilah di atas buku latihannya terhenti. Dia memandang aku sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Milah siapkan yang ni dulu ya, kak,” kata Wan Jamilah kemudiannya. Aku mengangguk-anggukan kepalaku.
“Buatlah. Kak Mas tunggu,” kataku sambil menarik tuala di ampaian. Aku berlalu ke bilik air untuk mandi dan mengambil wuduk.
Petang itu, kami keluar bertiga ; Wan Jamilah, aku dan Razaman. Razaman memandu keretaku manakala aku duduk selesa di sebelahnya. Ibu tidak mahu turut serta kerana dia hendak ke rumah tetangga kami dengan ayah untuk menghantar lemang. Ibu ini kalau dia buat makanan, kalau boleh, habis sekampung mahu disedekahkannya.
Tidak seperti aku, Razaman lebih selesa menutup tingkap kereta dan memasang pendingin hawa. Panas, katanya. Lagipun habuk dan debu masuk ke dalam kereta, kusyen kereta cepat kotor dan pudar. Apa-apa sajalah Razaman asalkan kita selamat tiba di destinasi.
Seperti yang direncanakan oleh ibu, Razaman memberhentikan kereta di tepi jalan sebelum lorong masuk ke rumah Rasyidah. Aku tahu, Razaman segan untuk masuk terus ke halaman rumah gadis yang mahu disunting ibu untuk dirinya.
“Kakak hantarlah, ya. Kami tunggu di dalam kereta,” kata Razaman. Kami? Oh, aku faham. Aku mencapai beg plastik berisi lemang dan rendang untuk mak Rasyidah. Aku menoleh ke arah Wan Jamilah di belakang. Sengaja untuk melihat reaksinya.
“Kak Mas, Milah nak ikut,” kata Wan Jamilah. Aku sudah tahu, Wan Jamilah pasti tak suka ditinggalkan berdua dengan Razaman di dalam kereta.
“Kak Mas singgah sekejap sahaja. Lagipun cuaca di luar tu agak panas.” Kubukakan pintu kereta dan kutinggalkan ‘kami’ di dalam kereta itu. Wan Jamilah kembali mendiamkan diri sambil di tangannya ada sebuah buku nota PMR. Dia memandang ke arahku dengan wajah meminta simpati. Aku hanya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepalaku.
Mungkin isyaratku menyatakan bahawa Wan Jamilah selamat bersama Razaman. Dia tidak perlu risau apa-apa. Razaman pun hanya membatukan dirinya. Mungkin dia baru teringat bahawa Wan Jamilah ini takut akan lelaki setelah apa yang berlaku ke atas dirinya sekarang.
Aku membimbit dua batang lemang yang telah ayah ikat dan jadikan talinya seperti tali penyangkut untuk memudahkan aku menjinjitnya. Aku memberi salam di tangga rumah Hajah Rosnah, ibu Ustazah Rasyidah. Yang menjenguk Haji Ahmad, ayah Ustazah Rasyidah. Aku melemparkan senyum kepada ayah Rasyidah.
“Haa…kamu Mas. Naiklah dulu. Mak Aji ada kat belakang tu,” Haji Ahmad mempelawa aku naik tetapi aku perlu bersegera kerana perjalanan ke rumah Nazran masih jauh.
“Tak apalah, Pak Aji. Saya nak ke pekan ni. Ini ada mak kirimkan lemang,” kataku sambil menghulurkan dua batang lemang itu dan sebekas kecil rendang daging masak hitam.
Pak Haji Ahmad tergesa-gesa menuruni tangga.
“Aik, apa mimpi mak kamu buat lemang ni? Raya pun lambat lagi,” kata Pak Haji Ahmad. Aku tersengih-sengih.
“Entahlah, Pak Aji. Mungkin ibu teringin nak makan lemang. Lagipun saya ada balik bercuti ni, mungkin ibu nak buat makanan istimewa sikit,” kataku, mencipta alasan.
“Kamu datang seorang sajakah?” tanya Pak Haji Ahmad sambil menjenguk ke kereta kami. Aku turut menoleh ke arah yang sama. Razaman dan Wan Jamilah sepertinya sedang berbual-bual.
“Razaman dan kawan saya,” kataku, tidak mahu bercerita tentang Wan Jamilah.
“Ooo…kawan kamu. Kenapa tak diajak Razaman dan kawan kamu tu datang sama?” tanya Pak Haji Ahmad tanpa curiga.
“Kami nak cepat, Pak Aji. Saya minta Razaman temankan saya sambil bawa kawan saya tu berjalan-jalan. Ini kali pertama dia datang ke kampong kita,” terangku agak panjang lebar. Kalau boleh, aku ingin berlama-lama berbual dengan Pak Haji Ahmad sebab aku nak bagi ruang Razaman berbual dengan Wan Jamilah. Mungkin ada nasihat Razaman untuk Wan Jamilah tetapi kerana tidak ada Mak Haji Rosnah, aku rasa segan pula untuk terus berbicara dengan Pak Haji Ahmad.
“Tak apalah, Pak Aji. Mas minta diri dulu. Sampaikan salam buat Mak Aji, ya,” ujarku meminta diri.
“Ha’ah, iyalah. Hati-hati bawa kereta tu. Sampaikan salam Pak Aji untuk mak ayah kamu dan Si Razaman tu. Terima kasih banyak-banyak sebab tak lupakan kami dengan bagi lemang ni. Bukan senang nak buat ni. Nak harapkan Mak Aji kamu, tunggu rayalah baru dapat merasa.”  Aku tertawa kecil mendengar hujahan Pak Haji Ahmad.
“Baiklah, Pak Aji. Mas minta diri dulu,” kataku sambil mulai berundur.

Melihat aku datang, Razaman segera menoleh ke depan, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Aku juga tidak mahu bertanya apa-apa. Masuk sahaja ke dalam kereta, Razaman terus sahaja memandu dan kami berdiam diri sahaja.

MTD Bab 26


BAB 26
“Kak Mas, petang ni nak ke mana?” tanya Razaman.
Kami baru selesai menunaikan solat Zohor dan sedang berehat-rehat di serambi. Wan Jamilah di dalam bilik menjawab soalan Matematik yang aku berikan. Soalan-soalan itu aku dapatkan dari sekolah tempat Wan Jamilah belajar dengan ihsan Cikgu Suhana iaitu guru kelas tingkatan tiga.
Pulang nanti, Wan Jamilah perlu menduduki peperiksaan percubaan. Aku tidak tahu bagaimana mahu membawa Wan Jamilah ke sana kerana dia memang tidak mahu menjejaki sekolahnya selagi perutnya masih berisi. Dia malu diperhatikan teman-temannya. Mungkin aku perlu mendapatkan bantuan Cikgu Suhana lagi. Aku boleh memantau Wan Jamilah menjawab soalan di rumah.
Sebenarnya, untuk menguruskan persekolahan Wan Jamilah, sudah banyak likuan yang terpaksa aku harungi. Mula-mula, pihak sekolah tidak mahu mendaftarkan Wan Jamilah untuk menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendahnya kerana menurut Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Muridnya, Wan Jamilah mungkin hanya akan merosakkan pencapaian prestasi Penilaian Menengah Rendah (PMR) sekolah mereka yang saban tahun mendapat keputusan cemerlang.
Sebelum itu, aku telah bertemu dengan Tuan Pengetua dan Tuan Pengetua sendiri tidak tahu mahu membuat keputusan lalu meminta aku berbincang dengan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Muridnya. Aku lihat ada suasana sorong tarik di sini. Membuku juga rasa di hatiku melihat sikap sambalewa mereka.
Aku sudah mulai rasa berputus asa tetapi demi Wan Jamilah, aku perlu kuat. Kututupi segala rasa kecewa dan putus asa itu. Aku masih tetap menyorongkan muka untuk mendapatkan belas ihsan mereka agar Wan Jamilah dibenarkan untuk menduduki peperiksaan PMRnya. Aku sanggup bertanggungjawab untuk mengajar Wan Jamilah di rumah.
Kemudiannya, Wan Jamilah sendiri yang mengesyorkan padaku agar bertemu dengan guru kelas tingkatan tiga yang pernah mengajarnya semasa dia di tingkatan dua. Selepas bertemu dengan Cikgu Suhana, barulah kata putus dicapai. Cikgu Suhana memberi jaminan bahawa Wan Jamilah boleh memberikan keputusan yang baik walaupun mungkin tidak secemerlang pelajar-pelajar lain.
Berbekalkan semangat yang ditunjukkan oleh Cikgu Suhana, aku jadi berani untuk menyahut cabaran ini. Aku mahu Wan Jamilah membuktikan keupayaannya. Wan Jamilah mesti mendapatkan sijil PMRnya dengan keputusan yang baik.
“Man ada nak ke mana-manakah?” tanyaku kembali. Sejak aku pulang bercuti, inilah kali pertama aku dapat duduk berbual-bual dengan adikku ini secara bersantai-santai.
“Tak adalah nak ke mana-mana. Saja tanya kakak. Kalau nak ke mana-mana, boleh Man bawakan,” ujar Razaman menawarkan khidmat.
“Kak Mas ingat nak bawa Wan Jamilah mandi di Lata Kekabu bersama-sama Qistina dan Danisha tapi tentu ibu tak benarkan,” kataku.
Razaman tertawa kecil.
“Banyak benar pantang-larang ibu, ya kak,” kata Razaman.
“Ya lah. Kalau tak diikut, mahu bersiaran langsung dua puluh empat jam radio dia tu,” aku membenarkan kata-kata Razaman.
Kami berjeda seketika. Matahari petang kian menunduk. Cahayanya membias masuk ke serambi. Aku berengsot sedikit bagi mengelakkan cahaya matahari yang membias masuk melalui jendela yang terbuka sehingga terkena mukaku. Mataku terasa meruyup. Kalau dilayan rasa kantuk ini, mahu pula aku melelapkan mata buat seketika.
“Haaa…sembang apa kamu berdua?” sapa ibu yang datang bersama bakul rotan terbimbit di tangan kanannya. Aku menjenguk ke dalam bakul yang diletakkan ibu di hadapan kami.
“Apa ni, bu?” tanyaku pula tanpa mahu menjawab soalan ibu.
“Rendang. Ibu nak suruh Razaman hantar ke rumah Rasyidah,” ujar ibu sambil menjuihkan mulutnya ke arah Razaman. “Lemangnya ada ibu sandarkan dekat pangkin bawah rumah nun,” ibu melanjutkan penerangannya.
“Isy, ibu. Tak naklah, Man,” pantas Razaman menjawab. Aku tertawa agak kuat. Teringat cerita ibu hendak menjodohkan Razaman dengan Rasyidah. Razaman mencerlangkan matanya memandangku. Aku segera menekup mulut.
“Haa…kamu Mas. Tak nak hantar lemang ni ke rumah Nazran?” giliran aku pula dipanah ibu.
“Isy, ibu ni. Rumah Nazran bukannya dekat. Tak naklah, Mas,” aku menyanggah pantas. Razaman tertawa.
“Apa salahnya, ambil hati bakal mentua,” Razaman mengusikku.
“Pandailah, kamu,” sahutku sambil menampar lembut bahu Razaman. Razaman mengelak sedikit.
“Kamu berdua ni, ibu cakap betul-betul buat main-main pulak,” ibu menunjukkan rasa kesalnya. Aku pandang Razaman, Razaman pandang aku. Tawa kami sudah lama terhenti. Serius pula ibu kali ini.
“Kita pergi hantar ke rumah Abang Nazranlah, kak. Nanti Man pandu kereta,” kata Razaman menyuarakan kesanggupannya.
“Haaa…elok sangatlah tu. Sambil lalu tu boleh terus singgah di rumah Rasyidah. Bagi sekali lemangnya ini,” ibu memetakan perjalanan kami. Masih tidak berputus asa untuk berbudi kepada keluarga Rasyidah.
“Ibu ni…kemaruk sangatkah nak bermenantukan Rasyidah tu?” Razaman bagaikan menyuarakan rasa tidak puas hati.
“Isy, kamu ni Man. Ke situ pula perginya. Kalau kamu dah tak suka, tak kanlah ibu nak paksa-paksa pula. Kamu yang nak berkahwin. Bukannya ibu. Tak kan ibu nak susahkan hidup kamu pula. Mak Rasyidah tu kan kawan baik ibu. Makan apapun mesti ada sampai juga kat ibu. Itulah sebabnya ibu teringatkan dia bila makan lemang ni,” panjang lebar penerangan ibu membuatkan kami terdiam.

“Kalau kamu tak nak turun, biar sahaja Kak Mas kamu yang turun bagi,” ibu menyelesaikan persoalan itu. Mahu tidak mahu, terpaksalah kami mengikut arahan ibu itu. Oh, projek ibu lagi!

MTD Bab 25


BAB 25
Sebelum tiba waktu makan tengah hari, lemang yang disediakan telah pun siap diletakkan di tepi bara api. Razaman ditugaskan untuk menjaga unggun api supaya tidak marak dan merentungkan buluh-buluh lemang. Tertonggok dia di atas tunggul kelapa sambil berlindung daripada panas matahari di balik pokok manga epal. Sesekali, dia bangun meninjau lemangnya.
Aku pula menyediakan makan tengah hari manakala ibu menyiapkan rendang ayam dan daging masak hitam. Wan Jamilah mengemas pangkin di bawah rumah. Sebidang tikar mengkuang berwarna-warni dihamparkan di atas pangkin itu. Ibu kata hendak berkelah di bawah rumah sahaja.
Agak lama kemudian, Razaman datang membawa sepuntung lemang yang batang buluhnya sudah layu dimakan api.
“Ibu,” panggilnya. Ayah sedang menuruni anak tangga sambil menyipai kain tuala dia ats bahunya. Mungkin ayah baru lepas mandi selepas mengambil buluh bersama-sama Razaman pagi tadi.
“Haa…ada apa? Dah masak lemang kamu, Man?” ayah bertanya sambil menyarung selipar di kaki tangga.
“Entahlah, ayah. Rasa-rasanya sudah. Man nak minta ibu tengokkan,” kata Man.
Ayah turun menyambut lemang di tangan Man beralaskan sehelai kain buruk. Ayah menjenguk ke dalam buluh dan mencium baunya. Jari telunjuknya mencolek ke dalam buluh sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Hmmm…dah masak ni. Kamu dah suraikan apinya?” tanya ayah sambil memanjangkan lehernya ke arah rumpun api tempat Razaman membakar lemang.
“Dah ayah. Man takut hangus,” sahut Razaman sambil menoleh ke arah Wan Jamilah yang seakan-akan sudah tidak sabar untuk menikmati lemang panas itu tetapi masih berselindung di sebalik sifat malu-malu alahnya.
“Haa…apa lagi, Man. Belahlah lemang tu. Dah tak sabar akak tengok Milah nak merasanya,” aku sekadar mengusik Wan Jamilah. Beberapa ekor burung kecil terbang hinggap di dahan kecil berhampiran tempat kami berbual-bual.
Mata Wan Jamilah bulat bercahaya. Timbul rasa simpati di hatiku. Razaman cepat-cepat mencapai golok di atas pangkin kecil. Sarung golok dicabut dan dia mulai membelah lemang dengan membelah bahagian bawahnya terlebih dahulu iaitu di bahagian yang berbuku. Terserlah isi lemang yang masih berbalut daun pisang.
Bau yang harum menyerbu masuk ke rongga hidungku. Razaman memotong lemang itu dan aku membantunya menyusun di dalam pinggan. Ibu keluar membawa sepiring rendang ayam dan sepiring daging masak hitam di dalam talam kecil. Pinggan berisi lemang itu ibu letak di dalam talam dan dihulurkan di hadapan Wan Jamilah.
“Dah boleh makan, ibu?” tanya Wan Jamilah tanpa menunggu ibu mempelawa. Ibu, ayah Razaman dan aku sendiri tersenyum melihat perlakuan Wan Jamilah.
“Makanlah Milah,” sahut ayah bagi pihak ibu. Kami sama-sama berkeliling menghadap talam lemang. Wan Jamilah menadah tangannya membaca doa makan dan membasuh tangannya sebelum menjamah isi lemang.
“Pekasam tak ada, mak?” tanya Razaman. Mungkin dia hendak mencicah lemang dengan ikan pekasam.
“Ada tapi ibu takut Milah tak tahan,”balas ibu.
“Milah tak tahan?” Razaman berkata perlahan sambil memandang Wan Jamilah yang sedang enak menikmati lemang panasnya tanpa menghiraukan kata-kata Razaman.
“Nanti lama-lama biasalah tu,” sahut ayah pula. Entah Razaman faham atau tidak maksud ayah itu, aku tidak tahu tetapi Razaman hanya menguncikan mulutnya seolah-olah dia sudah memahaminya.
Kemudiannya, kami sekeluarga bersama-sama Wan Jamilah menikmati lemang panas berlemak yang enak itu. Sudah macam hari raya pula. Konon-kononnya melayan keinginan Wan Jamilah tapi sebenarnya, kami juga tidak sabar untuk menikmati lemang itu.
Aku masuk sebentar ke dalam rumah dan mengambil semangkuk nasi putih. Mungkin ada antara kami yang mahu makan rendang ayam atau daging masak hitam bersama-sama nasi putih. Ibu orang yang pertama menyambut huluran nasi putih dan pinggan yang kubawa.
Suara burung-burung kecil berkicau di atas pokok jambu air semakin jelas dan meriah kedengaran sambil mengintai-ngintai kami makan. Pokok jambu air ibu sedang berbuah lebat tetapi belum masak sepenuhnya. Ada yang berputik, ada yang mulai bertukar ke warna merah muda da nada juga kudup-kudup bunga kecil. Baunya harum tersebar ke serata halaman.

Burung-burung kelicap kecil itu berkicauan sambil mematuk buah-buah jambu muda dan menghisap madu pada bunga yang masih ada terselit jarang-jarang. Nasib baik Wan Jamilah sempat mencicip jambu air di rumah Mak Ngah Cik Wok. Kalau mahu diharapkan buah jambu ibu, tentu lambat lagi masaknya.

Ahad, 7 Disember 2014

Resepi Sizzling

Sizzling
Tetiba jer jadi kemaruk nak makan sizzling tapi tak ada yee mee.
Bahan2 nak buat sizzling semua dah ada. Apa lagi, jomlah kita redah.

Bawang putih
Halia
Ayam potong kecil
Cendawan shitake
Sayur campur
Lada hitam
Sos tiram
Kicap
Tepung jagung

Memula tu, goreng ayam dan asingkan.
Pastu, tumis bawang putih dan halia.
Masukkan air.
(Sambil2 tu, bolehlah hiris sayur campur serba sedikit)
Masukkan ayam yang sudah digoreng dan cendawan shitake.
Masukkan sos tiram, kicap dan lada hitam.
En Suami saya tak makan sos tiram, jadi saya gantikan dengan sos lada hitam.
Nak pedas lagi, masukkan cili padi yang ditumbuk lebam. Wah, berasap telinga tu.
Masukkan sayur-mayur campur yang sudah siap dipotong.
Nak bagi kuahnya pekat, bancuh dua sudu tepung jagung dan masukkan ke dalam kuah.
Tadaaa...yummiyummi...dah siap.
Oppsss...mana datang  telur ayam tu.
Emmm...kalau suka, pecahkan telur ayam ke dalam kuah sizzling.
Pssttt...telur ayam ni saya dapat masa pergi kenduri tadi.
Telur setengah masak. Sedang eloklah untuk kuah sizzling.
Tadaaa...haaa...ini baru betul2 siap.
Boleh dimakan dengan nasi atau yee mee yang direbus sebentar dan dimasak bersama kuah sizzling.



Yummi...Selamat mencuba. 😍😍😍😘😘😘

Isnin, 1 Disember 2014

MTD Bab 24


BAB 24
Sewaktu sedang menjamah sarapan, terdengar deruan enjin motosikal. Razaman balik barangkali. Kami yang di meja makan terhenti menyuap.
“Razaman balik,” kata ibu yang sememangnya sudah arif dengan bunyi enjin motosikal anak teruna kesayangannya itu. Enjin motosikal dimatikan.
“Assalammualaikum,” terdengar laungan salam di luar sana, lembut sahaja bunyinya. Kami serentak menjawab. Razaman tersembul di muka pintu dapur, datang menghampiri kami dan menyalami ayah. Kemudiannya dia menyalami ibu dan menyalamiku. Sejenak dia terhenti dan memandangi Wan Jamilah yang pada ketika yang sama turut memandangnya. Aku merasai sedikit kelainan dengan situasi itu.
“Haaa…Man. Menung apa lagi tu? Duduklah,” kata ibu. Razaman teragak-agak. Dia berjalan perlahan dan duduk di kerusi paling hujung, bertentangan dengan ayah. Aku bangun mengambil cawan dan piring untuk Razaman.
“Pak long apa khabar, Man?” ayah memecahkan suasana bisu itu.
“Pak long sihat. Pak long kirim salam pada semua,” ujar Razaman sambil menoleh ke arahku yang sedang meletakkan piring berisikan nasi goreng di hadapannya. Ayah mengangguk-anggukkan kepalanya sambil menyambut salam Pak Long Sani.
“Hari ni ada projek apa?” tanya ayah lagi. Aku dan Razaman saling berpandangan. Tidak tahu ayah tujukan soalan itu kepada siapa?”
“Siapa ayah?” tanyaku inginkan kepastian.
“Siapa lagi, kamu berdualah. Bukankah kalau kamu berdua berjumpa, ada-ada sahaja projek kamu.” Aku dan Razaman sama-sama ketawa mendengar jawapan ayah. Ayah masih ingat rupa-rupanya akan tabiat kami berdua. Memanglah aku agak rapat dengan adik bongsuku ini. Asal sahaja bertemu, pasti ada projek yang kami akan lakukan.
“Projek apa, ya? Belum fikirkan lagi,” kataku seolah-olah sedang berfikirkan tentang sesuatu.
“Tak ada nak projek-projek, ya. Tolong ibu kat rumah ni. Pagi ni ibu nak buat lemang. Qistina dan Danisha ada kelas tuisyen,” pantas ibu memintas sebarang projek yang hendak kami laksanakan. Aku dan Razaman terlopong. Ayah juga terhenti menyuap nasi gorengnya. Nampaknya, ayah juga tidak tahu tentang projek ibu ini.
Dan nampaknya juga, percutianku kali ini hanya dipenuhi dengan projek-projek ibu. Ibu suruh aku bawa Wan Jamilah jumpa Mak Ngah Cik Wok. Ibu tak benarkan aku bawa Wan Jamilah ke Muzium Arkeologi. Dan semalam, ibu mengajak aku membuat projek ikan pekasamnya pula. Aku tersenyum mengenangkan projek-projek ibu. Selepas projek lemangnya ini, tidak tahu pula apa lagi projek yang ibu mahu aku terlibat sama.
“Buat lemang, ibu? Bila nak rayanya?” Razaman bertanya kehairanan.
“Bukan nak raya. Ni ha…ibu nak buatkan untuk anak baru ibu ni, Wan Jamilah.” Kami serentak memandangi Wan Jamilah. Wan Jamilah juga terhenti mengunyah. Dia tampak serba-salah dan tersipu-sipu. Kami jadi mengerti kemudiannya.
“Nak Man ambilkan buluhnya?” tanya Razaman lagi.
“Haa…habis tu? Nak suruh Wan Jamilah ambil?” Hisy, ibu ni. Ke situ pula dia.
“Lepas sarapan ni, Man pergi ambil,” Razaman menyatakan kesanggupan.
“Yalah. Lepas sarapan nantilah. Tak kan kamu nak pergi berlari sekarang. Dah tak menyempat-nyempat pula.” Ibu sepertinya sedang mengusik Razaman. Kami semua tertawa kecuali Wan Jamilah yang hanya tersenyum-senyum manakala tiba giliran Razaman pula untuk tersipu-sipu.
Selesai bersarapan, Wan Jamilah membantu aku mengemas meja dan menghantar pinggan mangkuk yang kotor ke singki walaupun aku menegahnya. Wan Jamilah ini nampaknya tidak kekok bekerja di dapur. Rajin dia membantu walaupun kadang-kala Nampak dia agak janggal dengan sesuatu tugasan. Yang pastinya, dia pandai mengambil hati ibu.
Ayah dan Razaman keluar berdua untuk pergi mengambil buluh lemang. Rumpun buluh itu ada di dalam kebun getah berhampiran Sungai Temelong. Rumpun buluh itulah yang dikerumuni orang-orang kampong kalau musim perasaan tiba untuk diambil buluhnya. Tidak perlu dibeli dan tidak perlu dibayar.
Kadang-kadang, hanya anak-anak muda yang pergi menebang buluh dan mereka akan mengagih-agihkannya kepada jiran sekampung yang memerlukan. Kerana bukan musim perayaan, maka banyaklah buluh lemangnya. Tinggal pilih sahaja mana yang berkenan.
Seketika kemudian, Razaman dan ayah pulang. Buluh lemang telah siap dipotong mengikut ruas-ruasnya dan dimasukkan ke dalam guni. Aku membantu ibu mengait daun pisang muda. Perlu kait dengan berhati-hati agar daun itu tidak terkoyak.
Razaman meletakkan guni berisi buluh lemang di tepi tangga. Dia berlalu ke belakang mengait kelapa. Bersungguh-sungguh benar dia melaksanakan kerjanya. Wan Jamilah pun sudah boleh duduk-duduk bersama kami di atas pangkin kayu bawah rumah. Walaupun tidak bercakap dengan Razaman tetapi aku tahu, mereka bercakap dengan mata.
Razaman datang ke bawah rumah dan Wan Jamilah menghulurkan besen biru. Macam tahu-tahu sahaja apa kehendaknya Razaman. Kalau tidak bercakap dengan mata, bercakap dengan apa lagikah namanya itu kerana aku tidak mendengar mereka berbalas cakap. Besen biru itu Razaman bawa ke dalam rumah. Dia hendak mesin kelapa.
Ibu pula, sambil memotong daun pisang sambil mulutnya bercerita itu ini, mengalahkan Chef Wan menunjukajar Wan Jamilah cara-cara membuat lemang. Macamlah Wan Jamilah itu hendak membuat lemang pula selepas ini. Aku hanya tersenyum. Sambil-sambil itu turut memasang telinga, mendengar petua masakan ibu.
Aku ini tidak punya banyak masa bersama ibu. Aku juga tidak sempat belajar memasak secara serius kerana selepas selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, aku melanjutkan pelajaran dan tinggal di asrama. Walaupun tidak belajar memasak tetapi aku tahu juga memasak serba sedikit masakan kampong.
Mungkin kerana minat dan kerana selalu menolong ibu di dapur, aku jadi tahu bahan-bahan yang digunakan dalam masakan dan aturcara membuatnya. Biasanya, bahagian menyediakan aksesori masakan itu memang diserahkan sepenuhnnya kepadaku. Aku yang akan ditugaskan berkitar sekeliling rumah mencari bahan yang diperlukan ibu.
Aku arif di mana tempat untuk mendapatkan halia, di mana letaknya rumpun serai dan kunyit juga daun limau purut. Kalau masak lemak, ibu hanya meminta aku mendapatkan daun kunyit, isi kunyit dan kadang-kadang daun kesum untuk menggantikan daun kunyit. Kadang-kadang pula ibu menyuruh aku mengambil daun kari pulai.

Dengan itu, aku jadi tahu bahawa untuk memasak gulai kari, kita tidak perlukan daun kunyit, isi kunyit ataupun daun kesum. Wan Jamilah ralit memerhatikan ibu menyediakan ramuan untuk membuat lemang. Razaman membantu ibu memerah santan kelapa. Memang tenaga yang kuat diperlukan untuk memerah kelapa supaya semua santan dapat dikeluarkan.

MTD Bab 23


BAB 23
Aku kembali tunduk merenungi nasib malang keluarga Kak Roha. Terima kasih juga kepada Kak Roha kerana sudi berkongsi kisah lampaunya denganku dan memberi kepercayaan kepadaku untuk mengolah kisah hidupnya menjadi sebuah novel kreatif. Kalau tidak kerana semangat yang datang daripadanya, tidak mungkin aku memberikan kesanggupan untuk menyiapkan novel ini.
Sudah berapa banyak air mataku tumpah selama ini dan entah berapa banyak masa pula yang akan kuperuntukkan buat menyudahkan cerita Kak Roha.
Terasa amat-amat berterima kasih kepada insan-insan yang berada di sampingku saat aku benar-benar sedang kebuntuan, meniupkan semangat dan merangsang aku untuk terus menulis. Terima kasih Nurin dan terima kasih juga Nazran. Terima kasih kerana sudi hadir di dalam hidupku di saat aku benar-benar memerlukan kalian. Semoga Wan Jamilah akan terus tabah menongkah arus kehidupan di dunia yang sementara ini.
Firman ALLAH, “ Dunia adalah ladang untuk menanam pahala bagi bekalan kesejahteraan kita dalam perjalanan menuju ke akhirat. Zaman yang kita permainkan telah berlalu dan kini datanglah zaman yang mempermainkan kita.”
Di tengah-tengah malam begini, tiba-tiba sahaja aku jadi teringatkan mereka. Aku teringatkan Nazran dan entah mengapa, aku tiba-tiba pula jadi merinduinya. Aneh. Memang aneh perasaan ini. Mungkin suasana yang sepi ini mendorong aku untuk berfikir tentang dirinnya. Moga diri Nazran baik-baik sahaja.
Wan Jamilah telah lama tenggelam di dalam buaian mimpi malamnya. Tidak terganggu dengan ngiauan kucing-kucing yang datang mengganggu. Mungkin dia benar-benar keletihan dengan aktiviti siang tadi. Sesekali, dia bergesar membetulkan letak tidurnya.
Malam ini agak dingin. Angin yang menerobos masuk melalui celahan dinding papan menyapa tubuhku. Mataku juga sudah mulai memberat. Aku baring di atas katil bersebelahan Wan Jamilah. Suara ngiauan kucing hanya sayup-sayup kedengaran. Aku cuba memejamkan mataku. Melupakan sejenak apa yang sedang berlaku.
Selimut nipis kutarik perlahan sehingga menutupi sekujur tubuhku. Malam menuju ke dinihari akan semakin dingin. Aku tidak tahan dengan kedinginan itu yang seakan mencengkam sehingga ke sekujur tubuhku. Sebelum melafazkan doa tidur, aku membacakan surah tiga Qul dan ayatul kursi. Setelah itu barulah aku membacakan doa tidur sambil merapatkan mataku.
Berdoa agar dikurniakan umur yang panjang dan tubuh badan yang sihat buat diri sendiri dan juga mereka yang berada di sekelilingku. Berdoa agar diberikan kekuatan untuk meneruskan kelangsungan hidup ini dan membela nasib Wan Jamilah.
Puas sudah kupejamkan mata tetapi masih tidak mahu lelap. Cerita Kak Roha kembali berlegar-legar di dalam mindaku. Aku ini bagaikan sebahagian daripada hidup Kak Roha. Aku ingin tahu apakah kesudahan kisah Kak Roha. Bagaimana perhubungannya dengan Doktor Mahadi dan bagaimana pula nasib bekas suaminya, Wan Syamril.
Cerita Kak Roha tergantung di sini. Setakat ini, Wan Syamril masih belum berjaya ditemui dan belum dapat disabitkan dengan kesalahannya walaupun waran tangkap telah dikeluarkan untuk menahannya. Aku percaya, lambat-laun Wan Syamril pasti akan tertangkap jua.
Kalau berjumpa dengan Wan Syamril, rasanya ingin aku bertanya dia, kenapa tegar merosakkan masa depan anak gadis ini? Wan Jamilah di sebelahku berdengus perlahan. Entah apakah mimpi yang menyapa lenanya. Aku sahaja yang masih belum mahu lena. Masih banyak kisah yang mengimbau di benakku.
Aku ingin mencari Fahmi tetapi di mana dan bagaimana? Aku ingin mencari Leftenan Zulkifli tetapi masih bernafaskah dia di atas muka bumi ini? Semakin kalut rencam hidupku. Banyak pula perkara yang berlegar dan menghantui hidupku. Aku sendiri yang memilih jalan ini, menempah cerita yang penuh konfliks.
Aku tidak mahu cerita di dalam novelku tergantung tanpa sebarang klimaks. Aku perlu menyelesaikan teka-teki ini. Tuhan tolonglah. Kalau ibu bapa Kak Roha telah meninggal dunia, dia masih punya seorang abang iaitu Fahmi. Dan lagi satu, dia masih punya datuk dan nenek yang menjaga Fahmi. Tapi, bagaimanakah aku mahu menjejaki mereka? Wah, aku ini mahu menulis cerita hidup Kak Roha ataupun mahu menulis kisah penyiasatan?
Walau apapun yang berlaku, aku mesti menjawab persoalan ini. Kalau persoalan ini terbiar begitu sahaja, bermakna manuskripku nanti juga akan tergantung. Aku perlu menanti berita tentang Wan Syamril. Sekurang-kurangnya, manuskripku nanti berakhir dengan berita penangkapan  Wan Syamril. Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat.
Mana boleh ceritaku tiada klimaks. Yang jahat pasti akan menerima balasannya. Fikiranku makin kusut. Bagaimana kalau Wan Syamril tidak ditemui? Perlukah aku mereka-reka penyudah cerita Kak Roha? Mungkin aku boleh matikan watak Wan Syamril. Mungkin juga aku boleh buat dia mati dalam keadaan tragis, dibunuh dan dibakar oleh musuhnya setelah kalah judi dan gagal membayar hutang.
Tapi, melalui cerita Kak Roha, Wan Syamril bukanlah seorang kaki judi. Wan Syamril cuma kaki botol itupun setelah dia berkahwin dengan Masyitah. Masyitah? Ya, Masyitah. Apa khabar Masyitah agaknya? Aku juga perlu mendapatkan cerita tentang Masyitah. Sedikit-sebanyak boleh aku masukkan di dalam manuskrip novelku nanti.
Besar juga peranan Masyitah ini kerana dia yang merampas Wan Syamril daripada Kak Roha. Bukan sekali tetapi dua kali. Melalui catatan Kak Roha, aku dapati Kak Roha tidak memusuhi Masyitah malahan dia juga tidak marah sewaktu mengetahui Wan Syamril mengahwini Masyitah.
Doktor Mahadi pula bagaimana? Adakah dia mahu mengahwini Kak Roha setelah mengetahui status diri Kak Roha? Tapi Doktor Mahadi itu sudah berkahwinkah atau belum? Perempuan muda yang dilihat Kak Roha di rumahnya itu siapa? Adakah dia berkahwin dengan perempuan itu? Banyak lagi perkara yang perlu kuselidiki untuk kulengkapi kajian ini sebelum memulakan kerja-kerja penulisanku.
Aduhai, semakin sulit mahu kuolah manuskripku nanti. Oh  Tuhan, berilah aku ilham. Permudahkanlah urusanku ini. Ya Allah jadikanlah aku di antara hamba-hambaMu yang bertawakkal kepadaMu dan jadikanlah aku di antara hamba-hambaMu yang menang di sisiMu. Jadikanlah aku di antara hamba-hambaMu yang dekat kepadaMu dengan IhsanMu. Amin ya rab’ba alamin.

Aku ingin menulis tetapi mataku ini seakan tidak mengizinkannya. Entah pukul berapa aku terlena kemudiannya. Sedar-sedar, ayam jantan sudah mulai berkokok. Rasa-rasanya baru sahaja aku melelapkan mata, sudah mahu bangun semula. Masih malas mahu membuka kelopak mata.

MTD Bab 22


BAB 22
“Mari ibu sambung. Mas pergi sembang dengan Milah tu.” Ibu menghampiriku. Aku pun sudah mulai rasa lenguh-lenguh dan kejang urat betis kerana berdiri agak lama di tepi singki itu. Tanganku kubasuh bersih-bersih dengan menggunakan pencuci pinggan mangkuk.
“Milah masuk tidur dulu, dah lewat malam ni. Minum susu dulu,” arahku. Milah tidak membantah. Dia bangun mencapai mug dan menarik tin susu Ammun berperisa coklat. Memang aku yang meminta dia minum susu itu dan tadi aku bimbang jika ibu terasa hati kalau kutegah Wan Jamilah minum air kopi. Aku tidak menggalakkan Wan Jamilah minum air kopi sebenarnya.
“Milah masuk tidur, ya,”  kataku sekali lagi selepas Wan Jamilah menghabiskan susunya. Dia mengangguk-anggukkan kepala dan datang menyalamiku sebelum menghampiri ibu.
“Tak payah, tak payah salam ibu. Tangan ibu bau hanyir ni,” tepis ibu sewaktu Wan Jamilah cuba menyalaminya. Aku hanya tertawa kecil melihat kelakuan mereka berdua.
“Milah masuk bilik dulu ya, ibu, Kak Mas,” kata Wan Jamilah sebelum berlalu.
Aku duduk di kerusi yang diduduki Wan Jamilah sebentar tadi. Cawan kopi yang baru kuambil dari atas rak kuisikan dengan air kopi yang agak suam.
“Ayah dah minum, ibu?” tanyaku sekadar ingin memulakan kembali perbualan kami.
“Sudah,” sahut ibu, pendek.
Selesai membersihkan ikan, ibu menarik tempayan kosong dari dalam kabinet. Selalunya tempayan kecil itulah kami gunakan untuk mengisi ikan pekasam yang ibu buat sendiri. Aku lantas bangun menghampiri ibu.
Bekas garam kasar kuambil dan kuletakkan dekat ibu. Ibu pula mengeluarkan bungkusan asam kepingnya. Memang ibu cuma gunakan asam keping dan garam kasar sahaja untuk memerapkan ikan pekasamnya. Ibu tidak menggunakan asid untuk membuatkann rasa ikan pekasam lebih masam dan enak seperti yang dilakukan oleh kebanyakan pengusaha ikan pekasam secara komersial.
Garam kasar itu kami gaul rata-rata di seluruh badan ikan dan dalam perutnya. Asam keping ibu sumbat beberapa keping ke dalam perut ikan dan ikan itu diatur di dalam tempayan. Aku menuruti perlakuan ibu. Sebenarnya memang aku sudah biasa membuat ikan pekasam dan membantu ibu bukanlah suatu tugasan yang sukar.
“Esok lusa, dah boleh dimakan ikan pekasam ni,” kata ibu sambil tangannya lincah menyumbat perut ikan pekasam dengan asam keping. Sehari dua lagi, ibu akan menggoreng beras pula. Selepas beras goreng itu dikisar halus, ibu akan sumbat ke dalam perut ikan dan selepas itu barulah digoreng bersama-sama bawang besar dan cili padi atau cili kering.
Selesai membantu ibu, aku melangkah menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk sebelum masuk ke bilik tidur. Mataku sudah mulai meruyup. Lampu bilik masih terpasang.
“Milah belum tidur?” aku menegur Wan Jamilah yang sedang berbaring terlentang di atas katilnya sambil tangannya memegang buku Sejarah. Perutnya yang membulat nampak comel di pandangan mataku.
“Milah nak ulangkaji sikit, kak,” sahut Wan Jamilah. Aku membentangkan sejadah dan mengenakan kain telekungku. Selesai solat dan membaca doa, kulihat buku Sejarah Wan Jamilah terlangkup di atas mukanya.
Kain telekung kutanggalkan dan buku Sejarah di atas muka Wan Jamilah kuambil dan kuletakkan di atas meja bacaan. Wan Jamilah memang rajin mengulangkaji pelajarannya. Dia juga membuat semua latihan yang kuberikan kepadanya. Cuti kali ini, dia perlu menyiapkan kerja kursus. Dapatlah juga aku membantunya kerana aku juga turut bercuti.
Selesai menguruskan Wan Jamilah, aku mengeluarkan buku catatan Kak Roha iaitu ibu Wan Jamilah dari dalam beg sandangku. Aku ingin menghayati catatannya malam ini. Lagipun hanya ada sedikit sahaja lagi catatannya yang perlu aku tekuni. Selepas ini bolehlah aku mulai menukilkan kisah Kak Roha di dalam manuskrip baruku.
Aku ulangi dengan kisah kepulangan suami Kak Roha, Wan Syamril ke rumah mertua Kak Roha iaitu Haji Nik Dasuki dan Hajah Wan Maimun. Wan Syamril bukan pulang berdua tetapi pulang bertiga iaitu bersama-sama isteri barunya, Masyitah dan anak sulung mereka. Walaupun telah membacanya dulu tetapi aku ingin mengulangi semula agar aku lebih menghayatinya.
Kak Roha yang terpaksa menanggung perasaan dan Kak Roha yang terpaksa menjadi buta dan pekak buat seketika sehinggalah terjadinya peristiwa perkosaan Wan Jamilah dan rahsia yang Kak Roha simpan kejap selama ini terbongkar iaitu dia telah menjadi janda sebaik sahaja Wan Jamnah dilahirkan.
Buku catatan Kak Roha kuletakkan di dalam laci almari solek dan kututup kembali dengan cermat. Air jernih melimpah keluar dari takungan air mataku. Aku tidak sampai hati melihat Wan Jamilah yang terbaring lesu. Sejak mengetahui kisah dan penderitaan Kak Roha sekeluarga, aku tidak tahu sudah banyak manakah air mata ini tumpah.
Kepada Allah aku bermohon, agar anak ini baik-baik sahaja dan Allah terus kurniakan kekuatan kepadaku untuk menjaga anak ini sebaik-baiknya. Ya Allah, permudahkanlah perjalanan hidup Wan Jamilah dan urusannya untuk melahirkan bayinya kelak.
Bunyi ngiauan kucing di luar rumah mengejutkan lamunanku. Entah apalah yang digaduhkan dek kucing-kucing di luar sana. Entah berebutkan betina, entah berebutkan tempat tidur. Suara kasar dan berdengus itu sesekali menimbulkan rasa seram di hatiku. Hatiku yang penakut.

Sakit pula hatiku diganggu suara ngiauan kucing-kucing itu. Takut nanti dipanjatnya atas bumbung keretaku, bercalarlah jawabnya. Nak kujerkah, takut pula Wan Jamilah yang sedang lena ini terkejut jaga. Duhai hati, sabarlah sambil terus berdoa agar kucing-kucing itu tidak memanjat bumbung keretaku.