
BAB 38
Dalam diam tak diam,
sudah tiga bulan aku mendirikan rumahtangga. Wan Syamril melayaniku dengan
selayaknya sebagai seorang isteri. Namun begitu, aku akan jadi amat sepi saat
dia terpaksa pulang untuk meneruskan pengajiannya. Aku tiada kawan. Hanya Kak
Tipah yang dapat kujadikan teman berbicara.
Sesekali,
Mak Tam datang ke rumah kami. Dia sering membawakan aku makanan kegemaranku,
gulai asam keladi. Mak Tam ini punya dua orang anak perempuan tetapi kedua-dua
anaknya sudah berkahwin dan tinggal jauh dari sini. Mungkin dia baik denganku
kerana dapat mengubati kerinduannya terhadap anak-anaknya.
Berbaik
dengan Mak Tam pun ada syaratnya. Ibu mentuaku tidak membenarkan aku bercerita
perihal layanannya terhadapku kepada sesiapa pun terutamanya Mak Tam yang juga
merupakan birasnya itu. Walaupun tanpa pesanan ibu mentuaku, sudah pasti aku
juga tidak akan tergamak untuk membuka aib keluarga mentuaku.
“Aku
terima engkau jadi menantu aku pun sudah cukup baik. Jangan nak merungut-rungut
yang bukan-bukan,” langsing suara ibu mentuaku menyampaikan amarannya. Untuk mengubati kesepian itu, aku lakukan
semua kerja rumah tanpa dipaksa oleh Hajah Wan Maimun kerana bagiku biarlah
kuselesaikan semua itu sebelum Hajah Wan Maimun mulai membuka mulutnya.
Nampaknya,
Hajah Wan Maimun sudah tidak punya apa-apa alasan lagi untuk memarahiku
walaupun layanannya masih tetap hambar. Haji Nik Dasuki jarang berada di rumah.
Aku paling suka saat bapa mentuaku ini ada di rumah kerana waktu ini Hajah Wan
Maimun bagaikan terlupa akan kewujudanku di rumah ini.
Aku sendiri sudah tidak lagi muntah-muntah malahan
makanku tambah berselera. Mungkin kerana aku sudah tidak
memikirkan tentang Abang Mahadi lagi. Mungkin juga sakitku sudah sembuh kerana
kehadiran Wan Syamril mengubati lukaku. Berat badanku semakin naik. Aku
terpaksa memakai baju yang lebih besar.
Sesekali
melayani ibu mentuaku di meja makan, dia akan menjeling perutku tapi tidak
pernah bertanya apa-apa. Mungkin kerana dia hairan melihat perutku yang semakin
kembung. Kalau dia bertanya, pasti aku menjawab bahawa aku kini berselera
makan. Selalunya aku akan bertambah sekurang-kurangnya dua pinggan nasi.
Walaupun Hajah Wan Maimun kurang melayaniku tetapi aku dapat rasai kini bahawa
dia semakin prihatin akan kesihatanku.
Dia tidak lagi meminta aku menyediakan makanan
untuk majlis bacaan Yassin di rumahnya. Sebaliknya, dia mengupah beberapa orang
penduduk kampung untuk menyediakan makanan dan membasuh pinggan mangkuk seusai
majlis berkenaan. Aku hanya membantu untuk melakukan kerja yang ringan-ringan sahaja.
Mungkin Hajah Wan Maimun sudah dapat menerima kehadiranku di rumah ini.
Cuma,
aku agak berkecil hati apabila dia menghalang Wan Syamril daripada membawaku
keluar untuk menonton wayang gambar saat suamiku ini pulang bercuti minggu
lalu.
“Jangan
bawa Roha keluar malam-malam, tak elok,” kata Hajah Wan Maimun. Aku tidak tahu
kenapa sejak akhir-akhir ini, Hajah Wan Maimun begitu prihatin akan
kesihatanku. Walaupun tidak pernah menunjukkan kasih sayangnya tapi aku tahu
Hajah Wan Maimun semakin menyayangiku. Mungkin dia tidak mahu menunjukkannya di
hadapanku atau mungkin dia berasa egonya tercabar kerana sebelum ini dia pernah
membenciku dan menolakku dari hadir dalam keluarga mereka.
Tidak
lama rupanya masa yang kuambil untuk memikat hatinya. Aku tersenyum sendiri
kerana aku tidak lagi berasa hangat pijar di rumah ini. Setiap kali keluar ke
pasar atau makan angin di bandar, pasti ada buah tangan yang dibawanya untukku
walaupun aku tidak pernah meminta.
Ibu
mentuaku juga banyak membeli barang-barang keperluan bayi. Aku tidak tahu
kepada siapakah mahu diberikan perkakasan itu. Semua barang bayi sudah
diborongnya sehinggakan aku sendiri jatuh hairan melihat perubahan tingkah
lakunya.
Kak
Tipah yang dulunya pernah ibu mentuaku gajikan seminggu sekali untuk datang
membersihkan rumahnya sewaktu aku mula-mula menjadi menantu rumah ini telah
diminta untuk datang semula pada tiap-tiap hari. Kami kini sudah ada semula
pembantu di rumah ini.
Walaupun
begitu, aku tetap memasak hidangan buat keluarga mentuaku kerana aku tahu
mereka menyukai masakanku. Pernah sekali, aku terdengar bapa mentuaku
memuji-muji masakanku dan ibu mentuaku pula mengiyakannya. Aku amat berbesar
hati dan dalam diam-diam, aku berjanji untuk menjadi menantunya yang paling
baik.
Wan
Syamril pula semakin kerap pulang bercuti. Perhatiannya kini lebih banyak
tertumpu padaku. Setelah lebih lima bulan mendirikan rumahtangga, barulah kini
kurasai nikmat berumahtangga yang sebenarnya. Dan aku ada lagi satu perkara
yang hendak kuadukan kepada suamiku, tikus kecil di dalam perutku semakin
membesar dan menguit-nguit.
“Tolonglah,
bang. Roha takut,” aduku sambil menangis walaupun aku tidak memberitahunya
bahawa tikus itu telah wujud di dalam perutku sejak sebelum kami mendirikan
rumahtangga lagi. Wan Syamril mengeratkan pelukannya.
“Itu
anak kita, sayang. Ibu sudah bagitahu abang.” Aku kegelian.
“Betulkah?”
tanyaku menonong sambil mengusap-usap perutku. Anakku? Anak Abang Mahadi atau
anak Wan Syamril? Aku tidak mahu untuk memikirkan kemungkinan itu. Biarlah
kudiamkan sahaja tentang peristiwaku bersama Abang Mahadi. Tiba pada suatu
saat, apabila Wan Syamril sudah boleh menerimanya, akan kukhabarkan cerita yang
sebenarnya. Untuk kuluahkan saat ini adalah tidak rasional sama sekali. Atau
mungkin hanya akan membuatkan bahtera perkahwinan kami bergoncang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan