Rabu, 10 Disember 2014

MTD Bab 30


BAB 30
Seminggu menghabiskan cuti di kampong, kami berangkat kembali ke rumah sewaanku. Agak sedih juga untuk berpisah dengan ibu. Entah bilakah kami dapat bersua lagi. Cuma janji ibu, apabila Wan Jamilah bersalin, dia akan datang membantuku menjaga Wan Jamilah. Aku terharu dengan kesediaan ibu itu. Sangat-sangat terharu.
Sejak akhir-akhir ini, aku selalu nampak sebuah kereta Wira putih yang diparkir agak terlindung dari rumahku tapi dari tingkap bilik, aku dapat melihat jelas Wira putih itu. Mula-mula, aku diamkan sahaja. Lama kelamaan, aku merasai sesuatu yang kurang enak. Apa yang dimahukan oleh lelaki itu? Adakah dia mengintip kami? Mengintip Wan Jamilah?
Keadaan itu memaksa aku meminta Wan Jamilah agar tidak membiarkan tingkap bilik terbuka dan orang di luar sana dapat melihat dengan jelas perkara yang berlaku di dalam bilik ini. Kepada Wan Jamilah tidak kukhabarkan tentang lelaki itu dan juga perasaan kurang enakku. Aku tidak mahu Wan Jamilah takut dan berasa tidak selamat.
Sewaktu keluar untuk ke tempat kerja, aku berpesan kepada Wan Jamilah agar tidak mengunci pintu pagar dan tidak membuka pintu kepada orang-orang yang tidak dikenalinya. Setiap hari bekerja, Nurin yang keluar lewat daripadaku dan kugesa dia agar terus mengunci pintu pagar. Aku takut Wan Jamilah keluar menguncinya dan ditangkap oleh lelaki Wira putih yang sering mengintai kami.
“Jangan fikir yang bukan-bukan, Mas. Tak ada apa-apanya. Mungkin jiran baru kita di depan sana. Mana tahu, saat Mas pandang dia, saat itulah juga dia sedang pandang Mas. Mana tahu, mungkin dia nak berkawan dengan Mas,” Nurin masih sempat berseloroh tapi mungkin dia juga risau tetapi sekadar mahu menyedapkan hatinya dan hatiku.
Wartawankah atau orang jahatkah? Kalau wartawan, mungkin masih boleh kuhindari tetapi kalau orang jahat? Apalah yang mampu kami bertiga ini buat untuk melawan kudrat orang lelaki itu kalau ditakdirkan dia menyerang kami dengan bersenjata. Aku semakin cuak.
Suatu pagi hari minggu, aku nampak lagi kereta Wira putih itu berlegar-legar di hadapan rumah kami. Aku tidak puas hati. kupanggil Nurin dan kuajak dia ke bilikku. Waktu itu, Wan Jamilah sedang mandi dan aku mengambil kesempatan itu untuk membuktikan firasatku kepada Nurin.
Muka Nurin juga sudah berubah. Entah takut atau entah apa, aku tidak dapat menekanya.
“Jom Mas, kita pergi bersemuka,” ajak Nurin. Wah, berani juga si kenit ini!
“Jangan Nurin, Mas takut. Buatnya dia ada senjata api, ditembaknya kita, mati tak sempat kahwinlah jawabnya.” Masih sempat pula aku memikirkan masalah itu. Nurin terbata-bata memandangku. Mungkin tidak menyangka bahawa aku akan mengeluarkan kenyataan yang sedemikian rupa.
“Okay, kalau begitu, kita telefon Abang Nazran. Kalau ada lelaki yang datang ke rumah ini, mungkin lelaki di luar itu tidak akan berani mengganggu kita. Mungkin dia menyangka bahawa selama ini kita hanya tinggal bertiga,” Nurin menyuarakan pendapat. Aku terdiam seketika. Kalau boleh, aku tidak mahu melibatkan Nazran dalam hal ini.
Adakah lelaki itu pembunuh upahan? Mengambil upah untuk membunuh daripada siapa? Adakah Wan Syamril yang mengupahnya? Wah, makin kalut pula aku memikirkannya. Siapa lelaki itu? Apa yang dia mahu sebenarnya? Kalau aku berani, sudah lama aku berhadapan dengannya. Nampaknya ilmu Silat Cekak yang pernah kupelajari sebelum ini masih tidak mampu untuk mengembalikan keyakinanku agar bersemuka dengan lelaki jahat itu.
Lelaki jahat? Aku tidak tahu siapakah lelaki itu, jahat atau baik. Yang aku tahu, aku memang tidak selesa dengan kehadirannya berlegar-legar di hadapan rumah kami.
“Masih tak nak bagitahu Abang Nazran?” tanya Nurin.
“Tak payahlah. Mas tak mahu menyusahkan dia. Nanti Mas telefon Tuan SI Jaafar, minta dia pantau keselamatan sekitar rumah kita.” Baru aku teringat untuk meminta bantuan Tuan Sub Inspektor Jaafar yang selalu berurusan di sekolahku.
Petang itu, Tuan SI Jaafar singgah di hadapan rumah kami. Aku keluar menemuinya dan menunjukkan kereta  Wira putih yang selalu mengintip kami tetapi kereta itu berundur perlahan dan berlalu pergi melalui lorong belakang deretan rumah jiran kami. Tuan SI Jaafar tidak berhajat untuk mengejar kereta itu tetapi sebaliknya, dia menelefon pegawainya yang sudah menunggu di jalan besar sana supaya menahan kereta putih itu.
“Nanti apa-apa hal, saya akan maklumkan kepada cikgu,” kata Tuan SI Jaafar. Beliau juga berjanji untuk mengarahkan anak buahnya meronda di kawasan kediaman kami setiap pagi semasa kami keluar bekerja.

Setelah Tuan SI Jaafar berlalu pergi, Wira putih itu tidak datang lagi. 

MTD Bab 29


BAB 29
Pulang dari rumah ibu Nazran, aku dapat melihat sedikit perubahan sikap Wan Jamilah. Dia sudah boleh duduk berbual dengan Razaman dan terkadang mereka tertawa berdua. Wajah Wan Jamilah juga nampak sedikit ceria walaupun kadang-kadang aku tertangkap dia sedang termenung di dalam bilik. Mungkin Wan Jamilah sedang merenung nasibnya yang malang dan masa depannya yang belum pasti.
“Kak Mas, boleh kita ke kolam ikan Abang Man lagi?” tanya Wan Jamilah di satu petang, tiga hari sebelum kami berangkat pulang.
“Kenapa Milah?” Aku jadi agak pelik dengan permintaan Wan Jamilah ini.
“Milah teringin nak naik sampan. Nanti Abang Man boleh bawa,” terang Wan Jamilah. Aku tersenyum sendiri. Ada perjanjian rupa-rupanya antara kedua anak muda ini.
“Kalau tak hujan, petang ni kita pergi,” ujarku berjanji.
“Harap-harap tak hujanlah ya, kak,” kata Wan Jamilah seolah-olah berdoa untuk cuaca yang baik hari ini.
Nasib Wan Jamilah baik. Petang yang terang tanpa setompok pun awan mendung dan aku menunaikan perjanjianku dengannya. Tidak berani pula hendak memberitahu ibu tentang keinginan Wan Jamilah. Takut ibu tidak mengizinkannya. Kasihan Wan Jamilah.
“Haaa…Milah. Naik sampan tu hati-hati. Jangan berdiri atas sampan. Duduk elok-elok. Pegang kuat-kuat. Baca doa naik kenderaan,” kata ibu sewaktu kami menuruni anak tangga. Aduhai, ibu! Aku jadi termalu sendiri. Rupa-rupanya Razaman sudah terlebih dahulu meminta kebenaran ibu untuk membawa Wan Jamilah keliling Tasik Raban dengan sampan kecilnya.
Kali ini, aku membawa bersama komputer riba kesayanganku. Aku tidak mahu melepaskan peluang untuk merakamkan detik-detik indah dengan idea-idea yang turun mencurah-curah semasa berada di tepi Tasik Raban yang permai itu.
Wan Jamilah juga seperti tidak sabar-sabar untuk ke sana. Razaman pula pagi-pagi lagi telah ke sangkar ikannya cuma kebelakangan ini, dia tidak lagi bermalam di sana. Dia akan pulang awal dan kami makan malam bersama-sama. Selepas itu, aku akan menemani Wan Jamilah belajar sambil mulai menelusuri kisah Kak Roha.
Aku dan Kak Roha bagaikan telah disatukan. Memandang  Wan Jamilah seperti aku sedang memandangi anakku sendiri. Perasaan kasihku terhadapnya hadir tanpa dipinta. Timbul keinginan yang kuat untuk menjaga dan melindungi Wan Jamilah.
Petang yang damai. Angin yang menghembus permukaan tasik menerbitkan riak-riak beralun lembut. Kubiarkan angin petang itu terus menjamah wajahku sambil jemari rancak menari di atas papan kekunci komputer ribaku.
Wan Jamilah di tengah tasik bersama Razaman. Tampak jauh namun masih jelas warna pakaian mereka. Razaman berdiri sambil mengawal pergerakan sampan dengan sebatang galah yang panjang manakala Wan Jamilah pula berada di hujung sebelah sana sampan sambil bermain air. Mungkin juga ada ikan-ikan jinak yang sedang berlegar di sisi sampan itu.
Aku telah berpesan kepada Razaman agar tidak memandu sampan yang telah dilengkapi enjin itu dengan laju kerana bimbang akan keselamatan Wan Jamilah dan Razaman mematuhi pesananku. Malahan, tiba di tengah tasik, dia mematikan enjin sampannya. Hanya mengawal sampannya menggunakan buluh.
Pokok keladi bunting di gigi air menari-nari tatkala ikan-ikan kecil muncul bermain di kelilingnya. Sesekali, aku memerhati panorama alam di sekelilingku dan sesekali aku tunduk menekuni kerjaku. Terdetik rasa sepi dan sayu di hatiku. Aku yang sepi dan sendirian sendirian sedangkan Wan Jamilah bersama-sama Razaman di tengah tasik. Entah apakah bicara mereka berdua itu.
Razaman tidak pergi jauh. Hanya berlegar-legar di sekitar situ juga. Tidak hilang daripada pandangan mataku. Biarlah Wan Jamilah bermain dengan air, bermain dengan alam. Aku ingin lihat kebahagiaan Wan Jamilah. Kalau Razaman mampu membahagiakan Wan Jamilah, aku merelakannya.
Ah, sehingga sejauh itu fikiranku melayang. Pandai pula mereka-reka masa depan orang lain. Entahkan mereka itu hanya ingin berkawan baik dan Razaman menganggap Wan Jamilah hanyalah seorang adik yang bernasib malang. Nasihat dan kata-katanya mungkin dapat merangsang kembali semangat Wan Jamilah.
Dan di saat ini, aku tiba-tiba jadi teringatkan Nazran. Kami sudah bertunang tetapi kata Nazran, kami tidak seperti pasangan bertunang yang lain. Mula-mula, aku tidak faham akan maksudnya. Kata Nazran, kami tidak pernah menghabiskan masa berdua sejak kehadiran Wan Jamilah dalam hidupku.
Aku tidak tahu sama ada Nazran merungut ataupun Nazran sekadar meluahkan rasa hatinya. Mungkin benar kata Nazran, aku juga tidak punya banyak masa untuk berjumpanya selalu walaupun kadang kala Nazran agak tersinggung dengan  sikapku. Aku harap Nazran faham. Aku berjanji untuk menjadi isterinya yang paling baik setelah kami diijabkabulkan. buat masa ini, masih ada batasan di antara kami untuk kupamerkan kasih sayang.

Mudah-mudahan Nazran sabar menantikan detik terindah itu. Razaman sudah menghidupkan enjin sampannya. Olak-olak air tasik kembali membesar dan menghempas ke gigi air. Mungkin Wan Jamilah sudah puas bermain air dan bergurau-senda dengan ikan-ikan di tengah tasik.

MTD Bab 28


BAB 28
“Kak Mas, Abang Nazran ada balikkah?” tanya Razaman tiba-tiba. Mungkin untuk memeriahkan kembali suasana suram yang terkunci itu.
“Entahlah. Rasa-rasanya dia tak ada cuti,” kataku agak kalut. Mana kumenyangka bahawa Razaman akan bertanya soalan cepumas itu. Sebenarnya, aku yang kurang mengambil berat perihal Nazran meskipun dia tunanganku. Perihal lemang ini pun, nasib baik ibu yang tolong peringatkan.
Mungkin kerana di dalam kepalaku sekarang berserabut dengan cerita Wan Jamilah dan Kak Roha sahaja sehingga aku tidak mengendahkan perkara-perkara lain.
“Jadinya, Abang Nazran tak ada di rumahlah, ya?” tanya Razaman lagi.
“Agaknyalah,” kataku beragak-agak.
“Hmmm… Kak Mas ni. Suka atau tidak dijodohkan dengan Abang Nazran ni?” tanya Razaman lagi tanpa berselindung.
“Isy, kenapa cakap macam tu pula? Dia belum jadi suami Kak Mas. Seganlah Kak Mas nak ambil berat lebih-lebih,” sahutku membela diri.
“Man buka apa, kak. Man takut Kak Mas tak suka dikahwinkan dengan Abang Nazran. Dia itukan pilihan keluarga. Manalah tahu kalau-kalau Kak Mas dah ada pilihan sendiri.” Aku jadi termenung panjang mendengar kata-kata Razaman.
“Betulkah, Kak Mas?” tunda Razaman lagi.
“Isy, tak adalah, Man. Kak Mas baik-baik sahaja. Walaupun pilihan keluarga tetapi Kak Mas kenal Abang Nazran tu dah lama cuma Kak Mas tak tahu yang dia ada hati dekat Kak Mas. Takkanlah Kak Mas nak main terima begitu sahaja kalau Kak Mas tak kenal,” jelasku agar Razaman lebih mengerti. Tiada istilah kahwin paksa di sini.
“Kalau begitu tak apalah. Man risau saja sebab Man tengok Kak Mas ni selamba saja. Tak macam pasangan lain yang bertunang. Asyik bergayut di telefon atau setidak-tidaknya berYM,” komen Razaman sambil tertawa kecil.
“Pandailah engkau, Man. Kalau sayang pun, takkanlah Kak Mas nak tunjuk lebih-lebih. Malulah. Nanti dah kahwin, lainlah cerita.” Boleh pula kami bercerita soal hati dan perasaan di dalam kereta ini lebih-lebih lagi di hadapan Wan Jamilah.
Wan Jamilah di kerusi belakang hanya mendiamkan diri sambil membelek buku notanya. Entah membaca entahkan sedang memasang telinga mendengar perbualan kami. Tapi Wan Jamilah juga bukan anak-anak kecil lagi.  
“Man pula, kenapa tak mahu Ustazah Rasyidah tu? Baik orangnya, kan?” Giliran aku pula mengorek perasaan Razaman.
“Eh, Kak Mas ni. Ke situ pula. Man mana ada. Man kan nak belajar lagi. Banyak ilmu yang Man kena tuntut sebelum nak pikul tanggungjawab jaga anak orang.” Aku tahu, memang itulah jawapan yang Razaman akan bagi.
“Atau Man dah ada orang lain yang Man suka?” tanyaku sambil menjeling sekilas Wan Jamilah di belakang yang sedang asyik membelek bukunya. Razaman terus memandu sambil memandang terus ke hadapan bagaikan tidak terkesan dengan kata-kataku.
“Dengan Man ni, siapalah yang nak, kak,” ujar Razaman merendah diri.
“Aik, adik kakak yang hensem ni, takkan tak ada orang minat?” kataku masih mahu mengusik Razaman. Razaman tersenyum-senyum sahaja.
“Itulah, ada Rasyidah dia pula yang tak nak. Nak cari puteri manalah agaknya, ya?”
“Hati ni, kak. Mana boleh dipaksa-paksa. Sabarlah. Sampai masanya nanti, adalah jodoh Man yang Allah dah tetapkan,” kata Razaman menutup perbualan kami. Perkarangan rumah Nazran semakin kami hampiri. Sudah lama juga aku tidak bertemu dengan bakal ayah dan ibu mentuaku ini. Nasib baik ada Razaman. Kalau nak diharapkan aku seorang, memang aku tak akan datanglah ke rumah tunangku ini.
Gembira sungguh ibu Nazran menyambut kedatangan kami.
“Naiklah, naiklah,” katanya. “Ajak isteri tu naik sekali,” sambungnya lagi sambil memandang Razaman. Razaman tak terkata. Lidahku juga kelu. Mungkin ibu Nazran tidak tahu cerita tentang Wan Jamilah. Balik nanti, aku mahu Nazran jelaskan kepada ibunya perkara yang sebenar. Jangan sampai timbul cerita di kemudian hari.
Kami tidak dapat berlama-lama di rumah Nazran. Razaman sudah beberapa kali mengerling ke arahku. Aku tahu, dia tidak mahu sampai di rumah pada waktu Maghrib. Tidak elok membawa perempuan mengandung keluar rumah di waktu senja.
“Mak cik, kami nak beransur dulu. Sudah petang ni,” kataku mohon undur diri. Ayah Nazran tiada di rumah. Keluar ke kedai kopi berjumpa kawan-kawannya, kata ibu Nazran.
Sewaktu kami melangkah keluar, angin petang menderu-deru. Daun-daun pokok ubi kayu di sisi kiri rumah menunduk-nunduk dirempuh angin yang lalu.
Razaman membukakan boot keretaku, memasukkan barang-barang pemberian ibu Nazran. Ibu Nazran ini pun seperti ibuku juga perangainya. Kalau memberi tidak cukup selebar  tapak tangan. Kalau boleh, habis semua mahu diberinya. Ada jantung pisang, ada pisang awak tiga sikat. Ubi kayu dan pucuk ubi pun ada.
Macamlah di rumah kami tiada semua ini. Teringat pula pesanan ibu, jangan meminta tetapi kalau orang memberi, jangan menolak. Suka tak suka, makan tak makan, terima sahaja. Takut nanti orang yang ingin berbudi, berkecil hati. Ini kalau makin lama aku di sini, mahu penuh satu boot kereta dengan barang-barang pemberiannya.

“Mas, Mas nak rebung madu tak? Nanti ibu potong.” Aduh, rebung madu pula. Razaman hanya tersenyum-senyum sambil menjelingku. Hai, masaklah aku disindir Razaman di dalam kereta nanti. Ibu Nazran ini walaupun aku memanggilnya mak cik tetapi dia tetap membahasakan dirinya ‘ibu’ denganku menjadikan aku agak serba-salah.

MTD Bab 27


BAB 27
Tiada alasan untuk menolak permintaan ibu. Aku masuk ke bilik untuk bersiap-siap. Sekurang-kurangnya, hatiku sedikit lega melihat sikap ibu yang tidak memaksa Razaman untuk menerima Rasyidah. Dan aku tahu, Razaman juga turut berasa lega.
Wan Jamilah masih lagi menyiapkan kerja Matematiknya sewaktu aku menghampirinya.
“Banyak lagi, Milah?” tanyaku menyapa Wan Jamilah.
“Ada lima soalan lagi untuk set lima ni, kak,” sahut Wan Jamilah sambil membelek buku latihannya. Aku mengangguk-anggukkan kepala.
“Kak Mas nak mandi dan solat Asar sekejap. Nanti nak keluar berjalan. Milah ikut, ya?” aku memberitahu Wan Jamilah. Tarian jemari Wan Jamilah di atas buku latihannya terhenti. Dia memandang aku sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Milah siapkan yang ni dulu ya, kak,” kata Wan Jamilah kemudiannya. Aku mengangguk-anggukan kepalaku.
“Buatlah. Kak Mas tunggu,” kataku sambil menarik tuala di ampaian. Aku berlalu ke bilik air untuk mandi dan mengambil wuduk.
Petang itu, kami keluar bertiga ; Wan Jamilah, aku dan Razaman. Razaman memandu keretaku manakala aku duduk selesa di sebelahnya. Ibu tidak mahu turut serta kerana dia hendak ke rumah tetangga kami dengan ayah untuk menghantar lemang. Ibu ini kalau dia buat makanan, kalau boleh, habis sekampung mahu disedekahkannya.
Tidak seperti aku, Razaman lebih selesa menutup tingkap kereta dan memasang pendingin hawa. Panas, katanya. Lagipun habuk dan debu masuk ke dalam kereta, kusyen kereta cepat kotor dan pudar. Apa-apa sajalah Razaman asalkan kita selamat tiba di destinasi.
Seperti yang direncanakan oleh ibu, Razaman memberhentikan kereta di tepi jalan sebelum lorong masuk ke rumah Rasyidah. Aku tahu, Razaman segan untuk masuk terus ke halaman rumah gadis yang mahu disunting ibu untuk dirinya.
“Kakak hantarlah, ya. Kami tunggu di dalam kereta,” kata Razaman. Kami? Oh, aku faham. Aku mencapai beg plastik berisi lemang dan rendang untuk mak Rasyidah. Aku menoleh ke arah Wan Jamilah di belakang. Sengaja untuk melihat reaksinya.
“Kak Mas, Milah nak ikut,” kata Wan Jamilah. Aku sudah tahu, Wan Jamilah pasti tak suka ditinggalkan berdua dengan Razaman di dalam kereta.
“Kak Mas singgah sekejap sahaja. Lagipun cuaca di luar tu agak panas.” Kubukakan pintu kereta dan kutinggalkan ‘kami’ di dalam kereta itu. Wan Jamilah kembali mendiamkan diri sambil di tangannya ada sebuah buku nota PMR. Dia memandang ke arahku dengan wajah meminta simpati. Aku hanya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepalaku.
Mungkin isyaratku menyatakan bahawa Wan Jamilah selamat bersama Razaman. Dia tidak perlu risau apa-apa. Razaman pun hanya membatukan dirinya. Mungkin dia baru teringat bahawa Wan Jamilah ini takut akan lelaki setelah apa yang berlaku ke atas dirinya sekarang.
Aku membimbit dua batang lemang yang telah ayah ikat dan jadikan talinya seperti tali penyangkut untuk memudahkan aku menjinjitnya. Aku memberi salam di tangga rumah Hajah Rosnah, ibu Ustazah Rasyidah. Yang menjenguk Haji Ahmad, ayah Ustazah Rasyidah. Aku melemparkan senyum kepada ayah Rasyidah.
“Haa…kamu Mas. Naiklah dulu. Mak Aji ada kat belakang tu,” Haji Ahmad mempelawa aku naik tetapi aku perlu bersegera kerana perjalanan ke rumah Nazran masih jauh.
“Tak apalah, Pak Aji. Saya nak ke pekan ni. Ini ada mak kirimkan lemang,” kataku sambil menghulurkan dua batang lemang itu dan sebekas kecil rendang daging masak hitam.
Pak Haji Ahmad tergesa-gesa menuruni tangga.
“Aik, apa mimpi mak kamu buat lemang ni? Raya pun lambat lagi,” kata Pak Haji Ahmad. Aku tersengih-sengih.
“Entahlah, Pak Aji. Mungkin ibu teringin nak makan lemang. Lagipun saya ada balik bercuti ni, mungkin ibu nak buat makanan istimewa sikit,” kataku, mencipta alasan.
“Kamu datang seorang sajakah?” tanya Pak Haji Ahmad sambil menjenguk ke kereta kami. Aku turut menoleh ke arah yang sama. Razaman dan Wan Jamilah sepertinya sedang berbual-bual.
“Razaman dan kawan saya,” kataku, tidak mahu bercerita tentang Wan Jamilah.
“Ooo…kawan kamu. Kenapa tak diajak Razaman dan kawan kamu tu datang sama?” tanya Pak Haji Ahmad tanpa curiga.
“Kami nak cepat, Pak Aji. Saya minta Razaman temankan saya sambil bawa kawan saya tu berjalan-jalan. Ini kali pertama dia datang ke kampong kita,” terangku agak panjang lebar. Kalau boleh, aku ingin berlama-lama berbual dengan Pak Haji Ahmad sebab aku nak bagi ruang Razaman berbual dengan Wan Jamilah. Mungkin ada nasihat Razaman untuk Wan Jamilah tetapi kerana tidak ada Mak Haji Rosnah, aku rasa segan pula untuk terus berbicara dengan Pak Haji Ahmad.
“Tak apalah, Pak Aji. Mas minta diri dulu. Sampaikan salam buat Mak Aji, ya,” ujarku meminta diri.
“Ha’ah, iyalah. Hati-hati bawa kereta tu. Sampaikan salam Pak Aji untuk mak ayah kamu dan Si Razaman tu. Terima kasih banyak-banyak sebab tak lupakan kami dengan bagi lemang ni. Bukan senang nak buat ni. Nak harapkan Mak Aji kamu, tunggu rayalah baru dapat merasa.”  Aku tertawa kecil mendengar hujahan Pak Haji Ahmad.
“Baiklah, Pak Aji. Mas minta diri dulu,” kataku sambil mulai berundur.

Melihat aku datang, Razaman segera menoleh ke depan, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Aku juga tidak mahu bertanya apa-apa. Masuk sahaja ke dalam kereta, Razaman terus sahaja memandu dan kami berdiam diri sahaja.

MTD Bab 26


BAB 26
“Kak Mas, petang ni nak ke mana?” tanya Razaman.
Kami baru selesai menunaikan solat Zohor dan sedang berehat-rehat di serambi. Wan Jamilah di dalam bilik menjawab soalan Matematik yang aku berikan. Soalan-soalan itu aku dapatkan dari sekolah tempat Wan Jamilah belajar dengan ihsan Cikgu Suhana iaitu guru kelas tingkatan tiga.
Pulang nanti, Wan Jamilah perlu menduduki peperiksaan percubaan. Aku tidak tahu bagaimana mahu membawa Wan Jamilah ke sana kerana dia memang tidak mahu menjejaki sekolahnya selagi perutnya masih berisi. Dia malu diperhatikan teman-temannya. Mungkin aku perlu mendapatkan bantuan Cikgu Suhana lagi. Aku boleh memantau Wan Jamilah menjawab soalan di rumah.
Sebenarnya, untuk menguruskan persekolahan Wan Jamilah, sudah banyak likuan yang terpaksa aku harungi. Mula-mula, pihak sekolah tidak mahu mendaftarkan Wan Jamilah untuk menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendahnya kerana menurut Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Muridnya, Wan Jamilah mungkin hanya akan merosakkan pencapaian prestasi Penilaian Menengah Rendah (PMR) sekolah mereka yang saban tahun mendapat keputusan cemerlang.
Sebelum itu, aku telah bertemu dengan Tuan Pengetua dan Tuan Pengetua sendiri tidak tahu mahu membuat keputusan lalu meminta aku berbincang dengan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Muridnya. Aku lihat ada suasana sorong tarik di sini. Membuku juga rasa di hatiku melihat sikap sambalewa mereka.
Aku sudah mulai rasa berputus asa tetapi demi Wan Jamilah, aku perlu kuat. Kututupi segala rasa kecewa dan putus asa itu. Aku masih tetap menyorongkan muka untuk mendapatkan belas ihsan mereka agar Wan Jamilah dibenarkan untuk menduduki peperiksaan PMRnya. Aku sanggup bertanggungjawab untuk mengajar Wan Jamilah di rumah.
Kemudiannya, Wan Jamilah sendiri yang mengesyorkan padaku agar bertemu dengan guru kelas tingkatan tiga yang pernah mengajarnya semasa dia di tingkatan dua. Selepas bertemu dengan Cikgu Suhana, barulah kata putus dicapai. Cikgu Suhana memberi jaminan bahawa Wan Jamilah boleh memberikan keputusan yang baik walaupun mungkin tidak secemerlang pelajar-pelajar lain.
Berbekalkan semangat yang ditunjukkan oleh Cikgu Suhana, aku jadi berani untuk menyahut cabaran ini. Aku mahu Wan Jamilah membuktikan keupayaannya. Wan Jamilah mesti mendapatkan sijil PMRnya dengan keputusan yang baik.
“Man ada nak ke mana-manakah?” tanyaku kembali. Sejak aku pulang bercuti, inilah kali pertama aku dapat duduk berbual-bual dengan adikku ini secara bersantai-santai.
“Tak adalah nak ke mana-mana. Saja tanya kakak. Kalau nak ke mana-mana, boleh Man bawakan,” ujar Razaman menawarkan khidmat.
“Kak Mas ingat nak bawa Wan Jamilah mandi di Lata Kekabu bersama-sama Qistina dan Danisha tapi tentu ibu tak benarkan,” kataku.
Razaman tertawa kecil.
“Banyak benar pantang-larang ibu, ya kak,” kata Razaman.
“Ya lah. Kalau tak diikut, mahu bersiaran langsung dua puluh empat jam radio dia tu,” aku membenarkan kata-kata Razaman.
Kami berjeda seketika. Matahari petang kian menunduk. Cahayanya membias masuk ke serambi. Aku berengsot sedikit bagi mengelakkan cahaya matahari yang membias masuk melalui jendela yang terbuka sehingga terkena mukaku. Mataku terasa meruyup. Kalau dilayan rasa kantuk ini, mahu pula aku melelapkan mata buat seketika.
“Haaa…sembang apa kamu berdua?” sapa ibu yang datang bersama bakul rotan terbimbit di tangan kanannya. Aku menjenguk ke dalam bakul yang diletakkan ibu di hadapan kami.
“Apa ni, bu?” tanyaku pula tanpa mahu menjawab soalan ibu.
“Rendang. Ibu nak suruh Razaman hantar ke rumah Rasyidah,” ujar ibu sambil menjuihkan mulutnya ke arah Razaman. “Lemangnya ada ibu sandarkan dekat pangkin bawah rumah nun,” ibu melanjutkan penerangannya.
“Isy, ibu. Tak naklah, Man,” pantas Razaman menjawab. Aku tertawa agak kuat. Teringat cerita ibu hendak menjodohkan Razaman dengan Rasyidah. Razaman mencerlangkan matanya memandangku. Aku segera menekup mulut.
“Haa…kamu Mas. Tak nak hantar lemang ni ke rumah Nazran?” giliran aku pula dipanah ibu.
“Isy, ibu ni. Rumah Nazran bukannya dekat. Tak naklah, Mas,” aku menyanggah pantas. Razaman tertawa.
“Apa salahnya, ambil hati bakal mentua,” Razaman mengusikku.
“Pandailah, kamu,” sahutku sambil menampar lembut bahu Razaman. Razaman mengelak sedikit.
“Kamu berdua ni, ibu cakap betul-betul buat main-main pulak,” ibu menunjukkan rasa kesalnya. Aku pandang Razaman, Razaman pandang aku. Tawa kami sudah lama terhenti. Serius pula ibu kali ini.
“Kita pergi hantar ke rumah Abang Nazranlah, kak. Nanti Man pandu kereta,” kata Razaman menyuarakan kesanggupannya.
“Haaa…elok sangatlah tu. Sambil lalu tu boleh terus singgah di rumah Rasyidah. Bagi sekali lemangnya ini,” ibu memetakan perjalanan kami. Masih tidak berputus asa untuk berbudi kepada keluarga Rasyidah.
“Ibu ni…kemaruk sangatkah nak bermenantukan Rasyidah tu?” Razaman bagaikan menyuarakan rasa tidak puas hati.
“Isy, kamu ni Man. Ke situ pula perginya. Kalau kamu dah tak suka, tak kanlah ibu nak paksa-paksa pula. Kamu yang nak berkahwin. Bukannya ibu. Tak kan ibu nak susahkan hidup kamu pula. Mak Rasyidah tu kan kawan baik ibu. Makan apapun mesti ada sampai juga kat ibu. Itulah sebabnya ibu teringatkan dia bila makan lemang ni,” panjang lebar penerangan ibu membuatkan kami terdiam.

“Kalau kamu tak nak turun, biar sahaja Kak Mas kamu yang turun bagi,” ibu menyelesaikan persoalan itu. Mahu tidak mahu, terpaksalah kami mengikut arahan ibu itu. Oh, projek ibu lagi!

MTD Bab 25


BAB 25
Sebelum tiba waktu makan tengah hari, lemang yang disediakan telah pun siap diletakkan di tepi bara api. Razaman ditugaskan untuk menjaga unggun api supaya tidak marak dan merentungkan buluh-buluh lemang. Tertonggok dia di atas tunggul kelapa sambil berlindung daripada panas matahari di balik pokok manga epal. Sesekali, dia bangun meninjau lemangnya.
Aku pula menyediakan makan tengah hari manakala ibu menyiapkan rendang ayam dan daging masak hitam. Wan Jamilah mengemas pangkin di bawah rumah. Sebidang tikar mengkuang berwarna-warni dihamparkan di atas pangkin itu. Ibu kata hendak berkelah di bawah rumah sahaja.
Agak lama kemudian, Razaman datang membawa sepuntung lemang yang batang buluhnya sudah layu dimakan api.
“Ibu,” panggilnya. Ayah sedang menuruni anak tangga sambil menyipai kain tuala dia ats bahunya. Mungkin ayah baru lepas mandi selepas mengambil buluh bersama-sama Razaman pagi tadi.
“Haa…ada apa? Dah masak lemang kamu, Man?” ayah bertanya sambil menyarung selipar di kaki tangga.
“Entahlah, ayah. Rasa-rasanya sudah. Man nak minta ibu tengokkan,” kata Man.
Ayah turun menyambut lemang di tangan Man beralaskan sehelai kain buruk. Ayah menjenguk ke dalam buluh dan mencium baunya. Jari telunjuknya mencolek ke dalam buluh sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Hmmm…dah masak ni. Kamu dah suraikan apinya?” tanya ayah sambil memanjangkan lehernya ke arah rumpun api tempat Razaman membakar lemang.
“Dah ayah. Man takut hangus,” sahut Razaman sambil menoleh ke arah Wan Jamilah yang seakan-akan sudah tidak sabar untuk menikmati lemang panas itu tetapi masih berselindung di sebalik sifat malu-malu alahnya.
“Haa…apa lagi, Man. Belahlah lemang tu. Dah tak sabar akak tengok Milah nak merasanya,” aku sekadar mengusik Wan Jamilah. Beberapa ekor burung kecil terbang hinggap di dahan kecil berhampiran tempat kami berbual-bual.
Mata Wan Jamilah bulat bercahaya. Timbul rasa simpati di hatiku. Razaman cepat-cepat mencapai golok di atas pangkin kecil. Sarung golok dicabut dan dia mulai membelah lemang dengan membelah bahagian bawahnya terlebih dahulu iaitu di bahagian yang berbuku. Terserlah isi lemang yang masih berbalut daun pisang.
Bau yang harum menyerbu masuk ke rongga hidungku. Razaman memotong lemang itu dan aku membantunya menyusun di dalam pinggan. Ibu keluar membawa sepiring rendang ayam dan sepiring daging masak hitam di dalam talam kecil. Pinggan berisi lemang itu ibu letak di dalam talam dan dihulurkan di hadapan Wan Jamilah.
“Dah boleh makan, ibu?” tanya Wan Jamilah tanpa menunggu ibu mempelawa. Ibu, ayah Razaman dan aku sendiri tersenyum melihat perlakuan Wan Jamilah.
“Makanlah Milah,” sahut ayah bagi pihak ibu. Kami sama-sama berkeliling menghadap talam lemang. Wan Jamilah menadah tangannya membaca doa makan dan membasuh tangannya sebelum menjamah isi lemang.
“Pekasam tak ada, mak?” tanya Razaman. Mungkin dia hendak mencicah lemang dengan ikan pekasam.
“Ada tapi ibu takut Milah tak tahan,”balas ibu.
“Milah tak tahan?” Razaman berkata perlahan sambil memandang Wan Jamilah yang sedang enak menikmati lemang panasnya tanpa menghiraukan kata-kata Razaman.
“Nanti lama-lama biasalah tu,” sahut ayah pula. Entah Razaman faham atau tidak maksud ayah itu, aku tidak tahu tetapi Razaman hanya menguncikan mulutnya seolah-olah dia sudah memahaminya.
Kemudiannya, kami sekeluarga bersama-sama Wan Jamilah menikmati lemang panas berlemak yang enak itu. Sudah macam hari raya pula. Konon-kononnya melayan keinginan Wan Jamilah tapi sebenarnya, kami juga tidak sabar untuk menikmati lemang itu.
Aku masuk sebentar ke dalam rumah dan mengambil semangkuk nasi putih. Mungkin ada antara kami yang mahu makan rendang ayam atau daging masak hitam bersama-sama nasi putih. Ibu orang yang pertama menyambut huluran nasi putih dan pinggan yang kubawa.
Suara burung-burung kecil berkicau di atas pokok jambu air semakin jelas dan meriah kedengaran sambil mengintai-ngintai kami makan. Pokok jambu air ibu sedang berbuah lebat tetapi belum masak sepenuhnya. Ada yang berputik, ada yang mulai bertukar ke warna merah muda da nada juga kudup-kudup bunga kecil. Baunya harum tersebar ke serata halaman.

Burung-burung kelicap kecil itu berkicauan sambil mematuk buah-buah jambu muda dan menghisap madu pada bunga yang masih ada terselit jarang-jarang. Nasib baik Wan Jamilah sempat mencicip jambu air di rumah Mak Ngah Cik Wok. Kalau mahu diharapkan buah jambu ibu, tentu lambat lagi masaknya.

Ahad, 7 Disember 2014

Resepi Sizzling

Sizzling
Tetiba jer jadi kemaruk nak makan sizzling tapi tak ada yee mee.
Bahan2 nak buat sizzling semua dah ada. Apa lagi, jomlah kita redah.

Bawang putih
Halia
Ayam potong kecil
Cendawan shitake
Sayur campur
Lada hitam
Sos tiram
Kicap
Tepung jagung

Memula tu, goreng ayam dan asingkan.
Pastu, tumis bawang putih dan halia.
Masukkan air.
(Sambil2 tu, bolehlah hiris sayur campur serba sedikit)
Masukkan ayam yang sudah digoreng dan cendawan shitake.
Masukkan sos tiram, kicap dan lada hitam.
En Suami saya tak makan sos tiram, jadi saya gantikan dengan sos lada hitam.
Nak pedas lagi, masukkan cili padi yang ditumbuk lebam. Wah, berasap telinga tu.
Masukkan sayur-mayur campur yang sudah siap dipotong.
Nak bagi kuahnya pekat, bancuh dua sudu tepung jagung dan masukkan ke dalam kuah.
Tadaaa...yummiyummi...dah siap.
Oppsss...mana datang  telur ayam tu.
Emmm...kalau suka, pecahkan telur ayam ke dalam kuah sizzling.
Pssttt...telur ayam ni saya dapat masa pergi kenduri tadi.
Telur setengah masak. Sedang eloklah untuk kuah sizzling.
Tadaaa...haaa...ini baru betul2 siap.
Boleh dimakan dengan nasi atau yee mee yang direbus sebentar dan dimasak bersama kuah sizzling.



Yummi...Selamat mencuba. 😍😍😍😘😘😘