Selasa, 4 November 2014

MTD Bab 11




BAB 11
Pagi dengan panas yang semakin membahang. Awan yang bergayutan di dada langit juga semakin menipis, menampakkan puncak gunung yang tertegak angkuh menghimpunkan pelbagai flora dan fauna yang kian memupus.
Sudah lama aku tidak bersiar-siar di dalam kampong ini. Sejak aku mulai mengajar, aku sudah jarang-jarang pulang ke kampong kerana walaupun pada musim cuti sekolah, aku masih punya tugasan yang perlu diberesi. Biasanya pada minggu pertama cuti persekolahan, aku akan memastikan semua kerja berkaitan markah dan maklumat murid-muridku selesai dikemaskini.
Minggu kedua pula aku akan mengadakan kelas tambahan kepada murid-muridku yang akan menduduki peperiksaan UPSR dan kadang-kadang aku juga perlu menghadiri kursus jangka pendek yang diadakan di dalam musim cuti persekolahan. Minggu terakhir cutilah yang akan aku gunakan untuk kembali ke kampong menjenguk kedua orang tuaku.
Cuti yang sudah tiba di penghujung itulah yang aku gunakan sepenuhnya untuk bersama ibu dan ayah juga Danisha dan Qistina serta adik lelakiku, Razaman yang sekarang sedang mengajar di Kelas Asas Fardhu Ain di kampong kami.
 Sementara menantikan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dulu, Razaman ditawarkan untuk mengajar di kelas itu dan dia meneruskan kelasnya setelah mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan STAMnya. Adikku ini cita-citanya mahu menjadi seorang ustaz. Dia berhasrat untuk melanjutkan pengajian agamanya sama ada di Acheh ataupun Jordan.
Kami lima beradik sebenarnya. Aku anak yang kedua. Seorang abangku sudah berumahtangga dan tinggal di Seremban kerana bekerja di sana. Sehingga kini, tinggal aku dan adik lelaki ini sahaja yang masih solo manakala Danisha dan Qistina masih bersekolah. Aku pun kalau mengikut perancangannya, cuti hujung tahun ini bakal diijabkabulkan dengan Nazran, tunanganku sejak enam bulan yang lalu.
Semalam, aku telah berbual panjang dengan ibu dan ayah tentang keadaan Wan Jamilah. Mengucap panjang ayah mendengar ceritaku. Seorang manusia itu mampu menjadi syaitan dalam sekelip mata kalau tidak dipimpin dengan iman dan takwa. Allah menguji mereka dengan ujian yang seberat itu. Lega rasa hatiku dapat melepaskan beban sarat yang tertanggung di jiwa.
Embun masih memutih dan basah di hujung rumput. Bunga-bunga lalang berserakan di atas padang rumput dalam petak bendang yang kosong. Mungkin dibawa angin kencang yang bertiup petang semalam. Langkah kaki kuaturkan satu-persatu dengan penuh tertib, meniti di atas batas bendang yang agak licin.
Danisha dan Qistina yang kuajak menemaniku sedang berlari-lari ke hujung padang sana. Anak gadis sunti yang riang dan sangat bertuah nasib mereka kalau hendak dibandingkan dengan nasib malang yang menimpa Wan Jamilah.
Dari hujung padang buatan itu, aku nampak bumbung bangunan lama sekolah tempat aku mula-mula mengenali A,B,C dan 1,2,3 yang menempatkan bilik Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Bilik itu lebih dikenali dengan nama bilik BOSS (Bilik Operasi SPBT Sekolah). Kelihatan bangunan tua yang pernah berdiri megah itu kaku dan usang diapit oleh bangunan-bangunan baru yang lebih cantik dan mengancam. Sememangnya bangunan itu sudah sangat tua. Lebih tua daripada umurku sendiri.
Di situlah aku pernah menuntut ilmu selama enam tahun di bangku sekolah rendah. Di situlah aku mengenal A, B, C dan 1, 2, 3. Di situ jugalah aku mengenal alif, ba, ta. Tiba-tiba sahaja kisah lampau itu bagai menggamit kembali kenanganku yang lalu. Berlari-lari di atas batas bendang menuju ke sekolah bersama teman-teman sepermainan.
Selesai sesi persekolahan pagi, kami akan datang semula untuk menghadiri kelas agama rakyat. Usai kelas agama rakyat, kami tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya, kami merayau-rayau dahulu di pinggir-pinggir sungai mengutip pucuk paku atau mencari buah kasai yang hanyut dibawa air.
Kadang-kadang, kami mengambil batu atau kayu untuk membaling buah pauh yang lebat meranum berwarna ungu di belakang rumah Haji Zainuddin. Ambillah dan makanlah apa sahaja hasil kampong tanpa ada sekatan atau batasan daripada tuan yang empunya. Malahan kadang-kadang Hajah Naimah iaitu isteri Haji Zainuddin akan memanggil kami ke rumahnya.
Dia memberikan kami sebaldi pauh masak yang telah siap dipungutnya untuk kami agih-agihkan sesama sendiri. Pauh berkulit ungu dengan isi kuning keemasan itu memang enak dimakan begitu sahaja tapi untuk mengupasnya perlulah berhati-hati kerana getah pauh amat kuat kesan melekatnya.
Pernah sekali aku menggigit sahaja kulit buah pauh untuk memakan isinya. Tidak lama kemudian, seluruh bibir dan bucu bibirku melepuh. Sakitnya berhari-hari sehingga ibu terpaksa membawaku ke Klinik Desa kampong kami untuk mendapatkan krim sapu.
Sejak itu, aku amat berhati-hati untuk makan buah pauh walaupun ianya buah kegemaranku. Aku akan bawa balik ke rumah dan meminta ibu mengupas kulitnya untukku. Ibu akan mengupas kulit buah pauh dan membasuhnya di bawah air paip yang mengalir deras untuk membuang getah buah. Selepas itu, ibu akan menghiris isinya nipis-nipis dan menabur garam kecil beriodin sebelum menghidangkannya kepada kami.
Danisha dan Qistina mungkin tidak pernah mengalami pengalaman yang indah itu. Mereka tidak pernah mandi di sungai atau memanjat pokok jambu batu di tebing sungai itu kerana sejak mereka lahir, sungai itu pun sudah semakin cetek. Kerja-kerja pembalakan di hulu sungai membawa lumpur dan memusnahkan kejernihan air sungai yang kini mengalir lesu.
Tiada lagi suara riuh-rendah anak-anak mandi dan berenang di dalam sungai. Tiada lagi anak-anak yang melompat terjun ke dalam sungai dari julai pokok jambu batu yang melampai ke dalam lubuk sungai. Suatu keindahan yang sudah lama lenyap. Tebing sungai dipenuhi lalang dan duri kemang. Tiada siapa pun yang berani menjengah ke gigi air. Kelodak dan lumpur menghakis segala keindahan dan kedamaian itu.

MTD Bab 10




BAB 10
 “Hujung minggu ni ikut Kak Mas balik Perak ya, Milah,” ujarku saat kami sedang menikmati makan malam. Nurin hanya tunduk memandang nasi di dalam pinggannya sambil mengunyah perlahan-lahan. Dia sudah tahu tentang perancanganku ini tetapi dia tidak dapat bersama-sama kami untuk pulang ke kampungku. Kami cuti sekolah selama  seminggu manakala Nurin tidak mengambil cuti.
Kerja pejabat sepertinya mana mungkin dia akan selalu dapat mengambil cuti. Malahan katanya, dia hendak menyimpan cutinya untuk meraikan majlis perkahwinanku dengan Nazran hujung tahun nanti.
Wan Jamilah terhenti suapannya. Dia merenung ke arahku. Aku hanya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepalaku. Dia juga, kemudiannya, tertunduk kembali dan menyudahkan suapannya.
Sebenarnya, aku sudah berjanji dengan ibu untuk membawanya pulang. Ibu hendak membawa Wan Jamilah untuk ‘merasa perut’ dengan Bidan Mak Ngah Che Wok, bidan kampung yang juga merupakan ibu saudaraku, kakak kedua ibuku. Kata ibu, tujuannya untuk memudahkan proses Wan Jamilah melahirkan anaknya kelak.
Aku hanya menurut kata ibu. Kadangkala, petua orang tua-tua ini perlu juga digunapakai. Banyak juga yang aku kena pelajari dalam urusan mengendalikan ‘wanita kecil’ berbadan dua ini. Aku bimbang seandainya Wan Jamilah mengalami kesukaran semasa melahirkan anaknya kelak.
Doktor Maimin Suhaya, doktor pakar wanita di hospital swasta tempat aku mendapatkan pemeriksaan kesihatan sepanjang Wan Jamilah mengandung, memang meminta aku supaya sentiasa memperhatikan keadaan Wan Jamilah. Kemungkinan besar, Wan Jamilah tidak dapat bersalin secara normal.
Aku tahu itu, namun aku sekadar ingin berusaha. Tiada salahnya mencuba. Mungkin Mak Ngah Che Wok dapat menggunakan segala kepakarannya sebagai bidan kampung sejak sekian lama dan sehingga kini telah mendapat pengiktirafan sebagai bidan bertauliah yang banyak membantu Jururawat Masyarakat di kampungku untuk membantu Wan Jamilah.
Pagi Sabtu itu, kami bersiap-siap dengan barang-barang untuk pulang bercuti di kampungku. Aku pun memang sudah lama tidak menjengah ibu dan ayah di kampong itu sejak aku semakin sibuk menguruskan kes Wan Jamilah juga melaksanakan program-program yang diadakan di sekolah.
Nurin membantu Wan Jamilah mengheret beg pakaiannya. Wan Jamilah yang sudah semakin ceria meskipun perutnya kian memboyot. Aku membuka boot kereta dan membawa masuk barang-barang kami.
Hari ini aku membawa Wan Jamilah pulang ke kampungku. Telah kumaklumkan kepada ibu dan keluarga tentang Wan Jamilah tetapi belum kumaklumkan bahawa keadaan Wan Jamilah sedemikian rupa akibat perbuatan seorang insan yang sepatutnya menjadi pelindung buatnya. Susah  mahu aku terangkan melalui telefon. Lebih baik aku pulang dan berterus-terang dengan ibu dan ayah secara bersemuka.
Sengaja aku memulakan perjalanan awal pada pagi itu agar kami tidak bersesak-sesak di jalan raya dengan pengguna jalan raya yang lain. Perjalanan yang agak jauh dan memenatkan.  Kami tiba di simpang masuk ke rumahku sewaktu matahari telah condong ke barat.
Ibu yang sedang menarik pelepah kelapa di sebelah rusuk kanan rumah segera berlari-lari menyambut ketibaan kami. Mulutnya berceridauan memanggil-manggil ayah.
Aku tersenyum sendiri. Begitulah ibu yang sentiasa aktif dan ceria menyambut ketibaanku dan ibu memang sentiasa ceria sepanjang masa. Alhamdulillah kerana Allah masih mengurniakan ibu dengan kesihatan yang baik. Ayah turun ke muka serambi dengan senyuman memanjang. Ibu dan ayah yang sentiasa bahagia dan ceria.
Aku membelokkan keretaku ke bawah pokok kelapa berbuah muda yang pelepahnya baru ditarik ibu sebentar tadi. Ibu di luar sudah mula menggamit-gamitkan tangannya semula. Aku tersenyum, sengaja ingin mengusik ibu. Dua orang adik perempuanku, Danisha dan Qistina  yang hampir sebaya Wan Jamilah turut berlari turun, menyambut kepulangan kami.
Memang aku tahu, ibu tidak membenarkan aku memarkirkan kereta di bawah pokok kelapa walaupun tiada buah masak atau pelepah kering kerana mumbang kelapa muda juga selalu luruh.
Akhirnya, kuundur semula kereta dan bergerak ke depan tangga. Meletakkan keretaku di sebelah kereta ayah. Mulut ibu terkumat-kamit macam bertih jagung sambil memandang-mandang ayah di serambi yang tersenyum sejak tadi. Entah apalah yang sedang diperkatakan ibu itu. Tapi nampaknya dia berpuas hati kerana aku tidak jadi meletakkan keretaku di bawah pokok kelapa sana.

MTD Bab 9




BAB 9
Dalam kesibukanku melaksanakan tugasan di sekolah dan menguruskan persekolahan Wan Jamilah, aku tetapi mencuri masa untuk menyelami cerita derita Kak Roha. Aku ingin masuk ke dalam dunianya sebelum aku mulai menulis kisah hidupnya.
Buat pertama kalinya, cerita Kak Roha kutamatkan di sini sebentar. Mungkin aku akan mengulanginya lagi agar aku benar-benar menghayatinya dengan seluruh hati dan perasaanku. Aku ingin menulis sebuah bingkisan yang benar-benar hidup dan bermakna. Bukan sekadar mengisi ruang dunia penulisan yang kosong.
Aku menarik nafas panjang dan menutup buku catatan Kak Roha. Lama aku termenung sambil tangan terus memegang erat buku catatan itu. Jadi, memang betullah cerita yang kudengar selama ini.
Wan Jamilah menjadi mangsa keadaan. Dia diperkosa oleh ayahnya, Wan Syamril yang berada di luar pertimbangan akal waras. Wan Syamril yang mulai pandai mabuk-mabuk. Wan Syamril yang juga pernah cuba memperkosa bekas isterinya sendiri.
Cuma aku tidak tahu, sudah berapa lamakah perkara itu berlangsung dan apakah yang berlaku ke atas Wan Syamril sekarang.
“Mas, Nazran telefon.” Aku tidak mendengar panggilan Nurin. Aku sedang tenggelam dan melarut di dalam kesedihan Kak Roha. Aku rasakan yang aku kini sedang mengambil tempat Kak Roha. Akulah wanita yang malang itu. Akulah Kak Roha itu.
“Mas!” Nurin terus sahaja memanggil namaku. Entah untuk kali yang keberapa sehingga dia telah berdiri di ambang pintu bilikku.
“Mas…….,” Nurin memanggil namaku sambil menepuk bahuku. Aku tersentak. Pantas kuseka air mata yang berhajat untuk merembes keluar.
“Ada apa, Nurin? Kau buat aku terkejut,” kataku hampir melatah.
“Hmm…sudah berapa ratus kali aku panggil tapi engkau tidak menyahut. Pak Cik Hashim sebelah rumah pun dah boleh dengar suara aku menjeritkan nama engkau,” Nurin merungut-rungut. Aku tersenyum tapi rasa amat bersalah kerana tidak mendengar laungannya.
“Ada apa, Rin ?” tanyaku selunak mungkin cuba untuk memenangi kembali hatinya.
“Tunang kau telefon.”
“Tunang aku?”
“Yalah..tunang engkau. Takkan engkau dah lupa yang engkau tu dah jadi tunangan orang. Nazran, tunang engkau…telefon!” Nurin ini pun kadang-kadang kelakar juga. Masakan aku lupa akan tunanganku itu. Aku cuma pelik, kenapa dia tak hubungi telefon bimbitku. Saat kukerling skrin telefon bimbitku, gelap. Hmm…..baru aku teringat yang aku lupa hendak mengecas baterinya.
“Cepatlah, dah lama dia tunggu tu,” gesa Nurin. Aku pantas berlari keluar bilik untuk mendapatkan telefon di ruang tamu.
“Mas, malam ni teman abang makan di luar, ya. Sudah lama kita tidak keluar makan bersama.”  Aku kasihan mendengar suara permintaan Nazran tapi kalau diikutkan hatiku, aku tidak ingin ke mana-mana selagi aku tidak menghabisi cerita Kak Roha dan mengetahui kesudahannya.
Nazran lelaki yang baik. Tidak merungut walaupun aku lambat menyambut panggilan telefonnya sebentar tadi. Aku rasa bersalah dan aku terima juga pelawaannya itu lebih kepada rasa ingin meredakan rasa bersalahku ini. Kasihan Nazran. Sejak terbabit dengan riwayat hidup Kak Roha, aku seolah-olah sudah meminggirkannya. Bukan aku cuba menyisihkannya tetapi aku rasa aku tidak mahu membebankan dia dengan cerita-ceritaku.
“Nurin, Nazran ajak Mas makan di luar malam ni,” aku memberitahu  Nurin sekadar untuk pengetahuannya. “Nurin dan Wan Jamilah nak ikut?” pelawaku pula.
“Alahai, Mas! Engkau yang nak keluar dating, jangan dibabitkan kami pula,” ujar Nurin. “Lagipun, kami tak mahu kacau daun,” sambungnya lagi.
“Hehehe…aku pun hanya sekadar berbasa-basi saja. Bukan nak ajak sungguh-sungguh,” kataku membetulkan kenyataan.
“Engkau ni memang kejamlah, Mas,” kata Nurin sambil membalingkan kusyen sofa ke arahku. Aku menyambutnya pantas sambil ketawa menggelekek. Wan Jamilah hanya tersenyum melihat gelagat kami berdua. Begitulah aku dan Nurin. Terkadang, kami begitu serius membincangkan persoalan kehidupan yang rumit dan terkadang kami boleh bergurau-senda secara kasar pula.
“Milah nak ikut Kak Mas?” tanyaku seraya menoleh ke arah Wan Jamilah. Wan Jamilah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Haa…sudah. Pergi bersiap cepat. Nanti Cik Abang tu datang, awak belum bersiap lagi,” peringatan daripada Nurin.
“Iyalah Cik Puan. Mas nak mandi dan bersolat Maghrib dulu,” kataku sambil berlalu ke bilik air. Kalau ada jodoh aku dengan Nazran, enam bulan lagi kami bakal diijabkabulkan. Dan selepas itu, Nurin sudah tentu akan menjadi saudaraku juga.
Selesai solat, aku berkemas diri. Untuk keluar dengan Nazran, aku tidak perlu bersolek sakan. Sekadar sapuan nipis bedak kompak Safi dan secalit gincu merah pudar di bibir. Nazran tiba sewaktu aku sedang membetulkan lilitan tudung bawal di atas kepalaku.
“Mas, Abang Nazran kau dah sampai,” beritahu Nurin sambil menguakkan daun pintu bilikku. Beg tangan kucapai dan pantas melangkah ke luar. Tiba di ruang tamu, aku berhenti duduk sebentar di atas sofá pvc merah hati. Pantas kusarungkan stoking berwarna hitam.
“Milah, akak keluar dulu. Kunci pintu, ya,” aku mengingatkan Wan Jamilah yang sedang berehat-rehat sambil menonton televisyen. Wan Jamilah memandang aku. Kemudiannya, dia bangkit menyalamiku.
“Okay, akak pergi dulu,” ujarku selepas melagakan pipi dengannya. Wan Jamilah mengiringiku hingga ke muka pintu, melihat aku menyarungkan kasut dan menutup pintu utama. Nazran telah berdiri di sisi keretanya menunggu aku tiba.
Walaupun telah bertunang, kami jarang keluar bersama. Itu memang perjanjianku sejak awal dulu. Aku tidak mahu kami menghabiskan masa bersama selagi belum ada apa-apa ikatan yang sah. Cuma sesekali aku menemaninya keluar makan. Jangan langsung tidak.

MTD Bab 8




BAB 8
Catatan Kak Roha kututup seketika sambil kepalaku ligat mencari kesimpulan. Kak Roha semakin disayangi ibu mentuanya dan diterima di dalam keluarga mereka. Bagaimana pula sekarang hidup Kak Roha sengsara dengan menyara tiga orang anaknya? Apakah yang telah berlaku? Bagaimana dia boleh terusir dari rumah mewah Haji Nik Dasuki dan Hajah Wan Maimun itu? Aku semakin ghairah untuk mencari jawapannya.
Kalau boleh, aku tidak mahu berhenti membaca catatannya tetapi aku juga perlukan masa untuk menyelesaikan tugasanku yang lain. Aku bangun meninggalkan meja kerjaku. Pinggang yang terasa lenguh kulentik-lentikkan ke depan dan ke belakang sehingga mengeluarkan bunyi krukk krakk. Coretan Kak Roha semakin menarik minatku untuk terus membacanya. Satu catatan lengkap berdasarkan pengalaman hidup yang dilaluinya. Aku semakin tidak sabar untuk mengetahui kesudahan cerita Kak Roha.
Aku mencapai mug berisi air horlicksku, kosong. Kugapai pula  tabung air mineralku, juga kosong. Aku mengambil mug dan tabung air yang kosong untuk kubawa ke dapur dan kupenuhkan dengan air yang baharu.
Sewaktu melintasi bilik Wan Jamilah, aku menjenguk sebentar ke dalam. Wan Jamilah sedang berteleku di mejanya. Tidak tahu  apakah lagi yang merunsingkan fikirannya. Sejak membawa balik Wan Jamilah ke rumah sewaan ini, dia kutempatkan di bilik tetamu yang selalu digunakan oleh keluargaku dan juga keluarga Nurin  jika sekali sekala mereka bertandang ke rumah  sewaan kami.
Kebetulan bilik tidur di rumah ini ada tiga buah. Sebuah bilik untukku, sebuah bilik untuk Nurin dan sebuah lagi kami peruntukan buat Wan Jamilah. Jika keluargaku atau keluarga Nurin datang, Wan Jamilah akan kubawa tidur di bilikku.
Wan Jamilah ini baik budaknya. Tidak banyak kerenah dan tidak suka merungut. Mungkin kejadian hitam yang meragut keperawanannya membuatkan dia matang sebelum masanya. Air mataku mengalir tanpa sedar. Siapa yang harus dipersalahkan atas nasib yang menimpanya? Atas dosa apakah dia perlu menanggung bebanan ini?
Air mata yang berlinangan segera kuseka. Aku tidak mahu terus dihanyutkan oleh arus emosi yang bertimpa-timpa. Kejadian yang menimpa Wan Jamilah wajar dijadikan  pengajaran sebagaimana  Kak Roha mengizinkan aku menulis kisah hidupnya untuk dijadikan bahan pengajaran.
“Milah,” seruku. Wan Jamilah tidak menyahut. Dia masih sahaja dibuai anganannya yang entah sudah sampai di dunia mana.
“Milah,” seruku lagi. Kali ini, Wan Jamilah menoleh tetapi wajahnya tetap tenang tanpa emosi. Aku tidak tahu apakah yang sedang bermain di mindanya.
“Ya, Kak Mas,” Wan Jamilah akhirnya menyahut. Memang dia anak yang bersopan. Mungkin telah diasuh ibunya agar bersikap sedemikian.
“Milah dah makan?” tanyaku. Wan Jamilah hanya menggelengkan kepala.
“Mari, kita makan sama-sama.” Wan Jamilah menggelengkan kepalanya lagi.
“Marilah Milah. Temankan Kak Mas. Kak Mas lapar tapi tak ada selera nak makan. Kalau Milah ada temankan, tentu Kak Mas lebih berselera,” pelawaku, memujuknya. Aku tahu, Wan Jamilah memang agak kurang makan. Entah tidak berselera kerana kandungan yang dibawanya atau memang dia ini jenis orang yang tidak makan banyak.
“Marilah, Milah,” aku tidak berputus asa untuk  terus memujuknya. Wan Jamilah bangun perlahan-lahan. Aku tersenyum. Pujukanku berjaya melunakkan hatinya.
Aku memaut bahunya. Kami sama-sama beriringan menuju ke dapur. Nurin masih belum pulang. Dia bekerja mengikut waktu pejabat. Hampir ke pukul  enam nanti barulah dia akan tercegat di hadapan pintu rumah.
Aku mengenali Nurin melalui Nazran. Nurin ini saudara jauh Nazran. Meskipun begitu, mereka tidak tinggal sekampung. Aku yang tinggal sekampung dengan Nazran. Nazran atas sedikit umurnya daripadaku. Nazran berkawan dengan abangku yang kedua, Abang Hisyam. Mereka sebaya.
Sewaktu rombongan Nazran datang meminangku, Nurin ada bersama. Saat itu, kami berkenalan tetapi kami masih sahaja belum begitu mengenali sehinggalah Nazran memperkenalkan aku kepadanya, kemudiannya.
Kebetulan Nurin sedang mencari rumah sewa kerana dia baru berpindah tempat kerja. Aku yang menyewa sendirian  tidak keberatan untuk membenarkan Nurin tinggal bersamaku. Sejak itulah kami menjadi teman baik. Teman yang saling memahami antara satu sama lain. Aku menyukai sikap Nurin itu dan aku senang bersahabat dengannya.
Dia seorang yang amat mudah untuk dibawa kira bicara. Tidak banyak kerenah dan lebih banyak mengiya daripada menidakkan. Dua bulan lagi, Nurin juga bakal mengikat tali pertunangan dengan rakan sepejabatnya.
Aku dan Wan Jamilah sedang berehat-rehat di bangku taman sewaktu kereta Myvi putih Nurin membelok masuk ke perkarangan rumah sewaan kami. Enjin kereta dimatikan dan dia melangkah keluar seraya menutup kembali pintu keretanya. Nurin tersenyum dan menghampiri kami sambil membimbit beg kerjanya.
“Assalammualaikum,” sapanya.
“Waalaikummussalam,” aku dan Wan Jamilah menyahut hampir serentak.
“Duduklah,” pelawaku.
“Ada meeting apa?” tanyanya, bergurau.
“Marilah, cukupkan korum,” ujarku membalas gurauannya. Aku tahu, Nurin penat. Meskipun begitu, dia tetap mempamerkan senyumannya kepada kami berdua.
Nurin minta diri untuk masuk membersihkan dirinya. Kepenatannya yang baru pulang dari kerja memang aku sedia maklum. Aku terus duduk-duduk di bangku taman itu sambil berbual-bual dengan Wan Jamilah.
Wan Jamilah yang kurang bercakap. Aku kasihan melihat anak ini yang bagaikan keliru dengan persoalan yang menimpa dirinya. Sedikit-sebanyak, aku telah diberitahu tentang angkara yang menimpanya. Wan Jamilah yang menjadi mangsa keadaan, tersepit dalam gelora hidup yang tidak pernah dirancangnya.
Tiada lagi tawa riang yang sepatutnya keluar dari bibir anak gadis semanis ini. Gadis sunti yang menjadi mangsa kerakusan manusia yang sepatutnya menjadi pelindung baginya. Kalau boleh, aku tidak mahu berada jauh darinya walaupun sesaat. Aku ingin terus bersamanya, meniupkan kata-kata semangat padanya dan membawa dia bangkit semula.
Wan Jamilah. Setiap kali memandang wajahnya, hatiku jadi sayu dan pilu. Aku tidak mahu nasib anak ini diperjudikan. Biarlah aku menjadi sebahagian daripada dirinya. Biarlah hadirku memberi makna kepada kehidupannya.