Khamis, 30 Oktober 2014

MTD Bab 52




BAB 52
Aku tidak pernah bertanyakan ibu mentuaku tentang identiti isteri Wan Syamril. Mungkin ibu mentuaku beranggapan bahawa aku tidak sanggup untuk mengetahui identiti ‘madu’ku. Aku tahu, aku tidak bermadu dan Masyitah juga bukan isteri kedua Wan Syamril.
            Hanya itu yang disampaikan oleh ibu mentuaku. Dia tidak memberitahuku tentang kata cerai yang dilafazkan oleh Wan Syamril. Maknanya, Wan Syamril belum memberitahu kedua ibu bapanya tentang perhubungan kami.
Buat sementara waktu ini, aku selamat di sini. Selamat daripada dihalau keluar dari rumah ini. Kalau Wan Syamril pulang dan membongkarkan rahsia besarku, pasti aku tidak akan dibenarkan untuk tinggal di dalam rumah ini. Dalam diam-diam, aku berdoa agar Wan Syamril tidak kembali dalam masa yang terdekat ini.
Hari demi hari berlalu, memang Wan Syamril tidak pulang lagi tetapi ibu mentuaku tetap akan memaklumkan kepadaku kalau mereka ingin ke rumah Wan Syamril. Itu pun sekali sekala apabila Wan Syamril pulang bercuti di Semenanjung. Aku? Aku tetap sahaja menyimpan rinduku kepada ‘suami’ku tetapi aku masih sahaja tahu diri.
Seandainya Wan Syamril belum menjatuhkan talaknya ke atasku, pasti aku akan mencarinya tetapi dalam keadaan begini, aku tidak mampu untuk melakukan semua itu. Kami kini orang asing tanpa sebarang ikatan.
Apa yang kujangkakan akan terjadi, terjadi jua akhirnya. Wan Syamril pulang bersama Masyitah dan seorang anak kecil mereka ke rumah ibu bapa mentuaku. Aku tidak tahu akan kepulangan mereka sekiranya tidak diberitahu oleh Kak Etun, pembantu baru ibu mentuaku selepas Kak Tipah berhenti kerana mendirikan rumahtangga.
Waktu itu aku di warung makan arwah ibu. Sejak ibu tiada, aku menyewakan warung itu kepada Kak Julie yang masih berminat untuk terus berniaga makanan dan minuman di situ dan sedang mengumpul wang untuk membeli terus warung itu daripadaku. Kak Julie yang menguruskan warung dengan bantuan suaminya, Abang Mustafa. Abang Mustafa yang masih bekerja di kilang sarung tangan. Abang Mustafa yang pernah menjadi sahabat Abang Mahadi.
            Sesekali, aku akan mengunjungi Kak Julie di warung itu untuk mengutip sewa dan pulang ke rumah arwah ibu untuk membersihkan sampah-sarap dan sawang-sawang. Mungkin suatu masa nanti aku akan kembali juga ke rumah ini apabila ibu dan bapa mentuaku sudah tidak memerlukan aku di rumah besar mereka itu.
Kawasan di sekitar rumahku juga sudah banyak berubah. Sudah semakin banyak rumah yang didirikan di sebelah menyebelah rumahku. Rumah baru yang tumbuh berceracak dengan bertambahnya pekerja kilang sarung tangan yang berkahwin dan membuat petempatan baru di sini. Orang-orang tempatan yang menjual tanah mereka dan berhijrah ke bandar untuk mencari peluang kehidupan yang lebih baik, mungkin.
Kawasan perumahan tidak teratur yang semakin padat penghuninya. Kawasan tanah ibu hanyalah muat untuk sebuah rumah kami ini sahaja dan sepohon pokok manggis di bahagian belakang rumah. Bangsal tempat ibu meletakkan puntung-puntung kayu api juga sudah dirobohkan dan atas tapak itu digantikan dengan garaj kereta rumah jiran sebelah.
Kemeriahan kawasan kejiranan yang masih agak baru bagiku. Lorong kecil tempat aku berulang-alik ke warung makan ibu juga masih ada dan rumpun pisang tempat Abang Mahadi menungguku dahulu juga masih ada di situ walaupun sudah tidak sepadat rumpun pisang yang dulu.
Encik Rosman juga sudah berkahwin dan masih tinggal di rumah lamanya. Ada khabar menyatakan bahawa dia sudah membeli rumah itu daripada pemilik asalnya. Sesekali, saat berpampasan di jalanan, dia tersenyum dan menegurku dengan ramah. Isterinya, Puan Rosnah juga begitu.
Masa sudah banyak berubah. Kami sudah cukup dewasa dengan usia dan kematangan. Aku sendiri hampir tertawa terkenangkan kisah dia mengusik-usikku dahulu. Juga tragedi buah pisang pemberiannya yang kukembalikan di kaki tangga rumahnya tanpa rasa bersalah.
Benci dan meluat betul aku dengannya saat itu. Kemudiannya, aku jadi salah sangka pabila dia menghantar utusannya ke rumahku. Sangkaku dia hendak melamarku untuk dijadikan isterinya tetapi rupa-rupanya yang ingin dilamarnya itu ialah ibuku.
 Teringat juga akan pohon mempelam telur berbuah lebat yang menjadi idamanku dahulu. Pohon itu masih ada tetapi tidak sesubur dulu. Banyak dahannya yang sudah dipangkas-pangkas dan ada beberapa pasu pokok orkid comel bergantungan di dahan yang masih tinggal. Juga sesekali terselit kuntuman bunga mempelam yang harum.
Ya, sudah hampir empat belas tahun kutinggalkan tanah ini iaitu hampir seusia umur Wan Jamilah. Hanya sesekali sahaja selama berkahwin dengan Wan Syamril, aku kembali ke rumah ini untuk menziarahi arwah ibu. Kini, aku akan lebih kerap kembali ke sini ataupun mungkin aku juga akan menetap terus di sini juga nanti.
Wan Syamril  pulang sebentar dan selepas enam tahun iaitu seusia umur Wan Jamnah, barulah rahsia perceraian kami terbongkar. Memang Puan Hajah Wan Maimun dan Haji Nik Dasuki terkejut besar. Mereka tidak pernah menghalang perkahwinan antara Wan Syamril dengan Masyitah tetapi mereka tidak menyangka bahawa Wan Syamril telah menceraikanku enam tahun yang lalu.
Aku hanya terpaku saat ibu mentuaku bertanyakan perihal itu. Lebih memeritkan lagi apabila dia meminta aku membawa keluar Wan Jamilah dari rumah mereka. Wan Jamilah, cucu sulung kesayangan yang ditatang bagai minyak yang penuh kerana sangkanya anak itu adalah hasil daripada zuriat Wan Syamril. Mereka hanya mahukan Nik Jamali bersama mereka kerana mereka turut meragui keberadaan Wan Jamnah.
Oh, Tuhan. Dugaan apakah ini? Selama berada di bawah satu bumbung dengan ibu dan bapa mentuaku, aku tidak pernah keluar ke mana-mana tanpa mereka bersama. Mana mungkin mereka boleh mempertikaikan status Wan Jamnah.
Dalam kepayahan dan keperitan itu kugagahi juga mendepani semua dugaan yang mendatang. Aku tidak boleh mempamerkan kelemahanku di hadapan anak-anak. Alhamdulillah, Tuhan Maha Kaya. Ustazah Sarifah yang sering dipanggil untuk mengadakan usrah di rumah mentuaku, mempelawaku untuk tinggal bersama-samanya.
Dia menawarkan pekerjaan sebagai pengasuh anaknya di rumah itu. Aku, yang masih belum punya arah tujuan tentu sahaja akan berbesar hati menerima pelawaan itu. Menurut  Ustazah Sarifah, dia memang memerlukan seorang pengasuh di rumahnya kerana pengasuh yang ada sekarang akan menamatkan perkhidmatannya tidak lama lagi dan akan kembali ke tanah seberang.
Seandainya aku sudi menerima pelawaannya, sudah tentu dia tidak perlu bersusah-payah lagi ke agensi untuk mendapatkan pembantu rumah yang baharu. Buat sementara waktu ini, Puan Hajah Wan Maimun masih membenarkan aku dan anak-anakku tinggal bersama mereka. Rasanya, aku bagaikan kembali menjadi aku empat belas tahun yang lalu. Aku yang menyisih dan disisihkan di dalam keluarga mewah ini.
Dan tanpa kuduga, Wan Syamril pulang lagi membawa Masyitah untuk terus tinggal di rumah ini. Mungkin inilah juga sebabnya mengapa Hajah Wan Maimun meminta aku meninggalkan  rumah ini. Mana mungkin kami akan tinggal serumah kerana antara kami berdua sudah tiada apa-apa ikatan lagi.
Masyitah, teman baikku suatu ketika dahulu kini adalah ‘mem besar’ di dalam rumah ini. Jangan kata hendak menyapaku, memandang mukaku pun dia tidak sudi, begitu juga dengan Wan Syamril. Sesekali, aku mencuri juga untuk memandangi suamiku. Rasa kerinduan terhadap kemesraannya sesekali menghantui naluriku. Namun mana mungkin aku mendapat kembali Wan Syamril yang pernah menyayangiku suatu masa dahulu.

MTD Bab 51





BAB 51
Aku selamat melahirkan Wan Jamnah di sebuah hospital pakar wanita. Dengan terlahirnya zuriat ketigaku ini, bermakna terputuslah ikatan suami isteriku dengan Wan Syamril. Jatuhlah talak yang pernah dilafazkannya dahulu. Aku menatap wajah comel si kecil yang telah kehilangan ayahnya sewaktu dia masih di dalam kandunganku.
            Wan Jamilah dan Nik Jamali juga amat gembira menerima kedatangan orang baharu ini. Walaupun Wan Syamril sudah tidak pulang lagi tetapi Hajah Wan Maimun tidak pernah bersungut tentangnya. Aku tidak tahu apa cerita Wan Syamril kepada ibunya tentangku kerana tingkah Hajah Wan Maimun biasa-biasa sahaja. Tidak menunjukkan sebarang riak tidak menyukaiku.
Ibu mentuaku ini lebih banyak menumpukan perhatian padaku setelah aku kehilangan ibu kandungku. Dia menjagaku sepanjang aku berpantang dengan bantuan Kak Tipah. Aku bahagia kerana ibu mentuaku sudah dapat menerima aku dengan baik namun kalau Wan Syamril pulang, tentu berita perceraian kami akan terbongkar.
Ke mana harus kubawa langkah kaki ini setelah aku tidak punya apa-apa hak lagi di rumah ini? Aku cuma ingin menganggap semua ini hanyalah mimpi ngeri semata-mata. Tiba di siang hari, segalanya akan menyirna pergi.
Wan Syamril sekarang tentu sedang berbahagia bersama Masyitah. Entah berapa orang pula anak mereka. Abang Mahadi memang langsung tidak pernah kuhubungi malahan aku tidak pernah juga menyahut panggilannya di telefon bimbitku. Aku tidak mahu menghujaninya dengan masalah-masalahku.
Apa yang lebih penting, aku tidak mahu merosakkan kebahagiaan hidupnya. Mungkin sekarang dia sedang berbahagia dengan isterinya yang cantik jelita iaitu perempuan yang kulihat berpaut di lengannya sewaktu aku mencarinya dahulu. Aku takut akan timbul fitnah yang boleh memporak-porandakan hidup mereka sekeluarga sepertimana yang berlaku ke atas rumahtanggaku bersama Wan Syamril.
Suatu hari selepas tempoh berpantangku selesai, Hajah Wan Maimun datang menghampiriku. Waktu itu aku sedang duduk-duduk di taman memerhati Wan Jamilah dan Nik Jamali bermain air sambil menyiram pokok bunga.
“Roha,” lembut suara ibu mentuaku menyapa. Dia mengambil tempat duduk di hadapanku.
Aku berpaling mengadap ke arahnya. “Ya, mak,” sahutku sedikit terkejut. Angin petang yang berhembus menampar lembut pipi kami.
“Emmm…mak ada berita yang nak disampaikan pada Roha.” Alunan suara ibu mentuaku menimbulkan getaran di hatiku. Berita apakah yang ingin disampaikannya? Adakah Wan Syamril telah menceritakan segala-galanya?
Oh, Tuhan. Saat ini aku hanya pasrah sahaja. Apa pun yang akan ibu mentuaku sampaikan, akan kuterima dengan hati yang terbuka. Duhai hati, tabahlah. Kutatap lembut wajah ibu mentuaku. Wajah yang kini sangat indah di pandangan mataku. Wajah seorang ibu yang sangat mengasihiku.
Hajah Wan Maimun juga sedang merenungku. Agak lama kami berjeda. Aku sudah bersedia untuk menerima apa jua keputusan Hajah Wan Maimun walaupun masih tetap meletakkan segunung harapan agar aku tidak dipisahkan daripada anak-anakku. Aku tiada sesiapapun di dunia ini. Aku hanya punya anak-anakku. Oh Tuhan, dengarlah bisikan hati hamba Mu ini.
Hajah Wan Maimun mengalihkan pandangan ke arah anak-anakku yang sedang bermain air tanpa menghiraukan ibu dan Tok Mummynya yang sedang memerhati. Aku juga memalingkan muka ke arah yang sama. Lama Hajah Wan Maimun termenung. Mungkin sedang cuba menyusun kata-kata untuk meneruskan perbualannya denganku.
Sejak kami sudah berbaik-baik ini, kami selalu menghabiskan masa di sini dengan berbual-bual sambil melayani Wan Jamilah, Nik Jamali dan Wan Jamnah. Kebahagiaan yang sangat kudambakan kini menjadi milikku. Namun aku akan lebih bahagia seandainya Wan Syamril ada bersama-sama ketika ini.
“Mak cuma nak bagitahu dan mak harap Roha tabah menerimanya.” Dadaku semakin berdegup kencang. Tidak dapat mengagak berita apa yang ingin disampaikan oleh Hajah Wan Maimun.
“Roha boleh terima?” Aku tidak tahu mahu menjawab yang bagaimana. Apa yang aku boleh terima? Wan Syamril kahwin lagi? Aku sudah lama terima ketetapan itu. Wan Syamril menjatuhkan talaknya ke atasku? Walaupun amat payah namun aku terpaksa menerimanya. Jadi, terima yang mana satu yang dimaksudkan oleh Hajah Wan Maimun?
“Insya ALLAH, mak. Roha terima apa sahaja yang mak nak sampaikan,” sudahnya itulah jawapanku kepada ibu mentuaku. Dalam hati tetap sahaja mengharapkan perkara yang baik-baik sahaja.
“Emmm…Roha, mak minta maaf. Walaupun berat mulut mak ni tetapi mak terpaksa juga. Mak tak mahu Roha tak tahu sampai bila-bila,” ibu mentuaku berhenti sebentar sebelum menyambung kembali, “Wan Syamril sudah kawin satu lagi,” jelas dan aku faham. Aku menarik nafas panjang. Mata kupejamkan rapat-rapat. Berita itu aku telah tahu sejak lama dulu.
“Roha,” Hajah Wan Maimun memanggil aku lagi.
“Roha dengar, mak,” kataku. Aku tidak tahu mahu berlakon atau berterus-terang sahaja. Berlakon seolah-olah aku tidak tahu apa-apa atau berterus-terang sahaja yang aku sudah lihat gambar pernikahan Wan Syamril.
Tiba-tiba sahaja ibu mentuaku menggenggam tanganku. “Wan Syamril sudah lama tak balik tetapi mak dan ayah selalu pergi menziarahinya. Kadang-kadang kami bawa Nik Jamali.” Penjelasan Hajah Wan Maimun untuk kenyataan yang satu ini memang amat-amat menghiris hatiku. Aku bukan cemburu, aku cuma sedih.
“Tak apa, mak. Saya faham,” sahutku sambil menepuk-nepuk tangan ibu mentuaku, menenangkan hatinya juga mententeramkan jiwaku. Patutlah ibu mentuaku tidak ambil peduli walaupun anak tunggalnya sudah lama tidak pulang. Rupa-rupanya  mereka sentiasa berhubungan antara satu sama lain. Aku sahaja yang tak tahu.
Aku tidak perlu bertanya, siapa wanita yang menjadi isteri Wan Syamril kerana aku sudah tahu. Walau siapa pun dia, dia ialah isteri Wan Syamril yang sah. Satu-satunya isteri Wan Syamril sedangkan aku sudah tidak punya apa-apa hak ke atasnya. Kelahiran Wan Jamnah telah menjadi pemutus ikatan perkahwinan kami walaupun Wan Syamril tidak mengisytiharkannya.

Selasa, 28 Oktober 2014

MTD Bab 50



BAB 50
Anak kecil di dalam rahimku semakin aktif  bergerak. Mungkin dia sudah tidak sabar-sabar untuk menjenguk isi dunia ini. Aku hanya terbaring di atas katil, menggosok-gosok perutku sampai mengenangi apakah kesudahannya nasibku ini. Mulutku tidak putus-putus berzikir menyebut kalamullah. Itu pesan Ustazah Sarifah yang semakin akrab denganku.
Wan Jamilah berlari-lari menghampiriku. Tapak tangannya mendekap di tanganku. Aku capai tangan Wan Jamilah dan kuusap-usapkannya di atas perutku.
“Mak, baby ni bergerak-gerak,” jerit Wan Jamilah, girang. Aku tertawa tetapi mataku bergenang. Walau sekuat mana cuba kutelan air mata ini agar jatuh ke hati namun ia tetap jua ingin mengalir keluar.
“Kakak sayang baby ?” tanyaku sekadar ingin menjernihkan kekeruhan di jiwaku. Wan Jamilah pantas mengangguk-anggukkan kepala. Aku mengelus-elus rambut Wan Jamilah. Dia kembali menggosok-gosok perutku dan kemudiannya berbaring di sebelahku sambil telinganya didekapkan ke perutku.
“Sayang,” sahut Wan Jamilah yang sudah pandai bercerita. Wan Jamilah yang sudah dihantar untuk bersekolah TADIKA. Wan Jamilah yang disayangi oleh Tok Mummy dan Tok Daddynya. Aku tidak tahu apakah nanti jadinya dengan nasib Wan Jamilah seandainya Haji Nik Dasuki dan Hajah Wan Maimun tahu akan kedudukan sebenar dirinya.
“Milah…,” terdengar laungan dari luar sana.
“Ya, Tok Mummy,” sahut Wan Jamilah sambil mengangkat mukanya dari perutku.
“Jangan ganggu mak nak berehat,” Tok Mummy yang prihatin akan masa rehatku dan tambah prihatinnya saat dia mengetahui akan berita kehilangan ibu. Hanya Wan Syamril sahaja yang masih tidak tahu akan kejadian yang menimpa ibu kerana dia pergi tanpa khabar berita.
“Milah teman ibu berbual,” sahut Wan Jamilah sambil terus memeluk perutku. Aku tersenyum sambil mengusap-usap rambutnya.
“Mandi dulu, nanti baru berbual dengan ibu,” Tok Mummy telah berada di ambang pintu. Wan Jamilah bingkas menghampiri Tok Mummynya. Rambut ekor kudanya beralun kiri dan kanan. Anak kecil yang petah dan comel.
“Roha kenapa? Sakit?” tanya ibu mentuaku. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala. Sayu hatiku dilayan sebegini rupa. Ibu mentuaku yang benar-benar telah berubah menjadi seorang ibu mentua yang cukup bermakna buatku.
Syukurku kepada Mu ya ALLAH kerana telah menganugerahi aku kebahagiaan ini. Bahagia kerana sudah dapat diterima oleh kedua mentuaku. Cuma saat ini aku tidak mampu untuk membahagiakan Wan Syamril. Wan Syamril yang pergi membawa diri tanpa mengetahui kebenaran daripadaku. Dalam diam-diam, aku berdoa agar Masyitah dapat menjaga dan membahagiakan Wan Syamril.
“Tidak, ibu. Cuma kaki ni rasa tegang sikit,” ujarku kerana tidak mahu ibu mentuaku berprasangka yang buruk-buruk.
“Rehatlah,” kata ibu mentuaku sebelum menyambung, “Nanti ibu suruh Tipah bawa makanan ke mari.”
“Eh, tak apa, ibu. Nanti Roha keluar makan di luar sahaja.” Aku tidak mahu ibu mentuaku terlalu memanjakan aku berlebih-lebihan. Sejak Wan Syamril jarang balik dan sejak kami punya Wan Jamilah, memang Hajah Wan Maimun semakin rapat denganku cuma aku sahaja yang masih rasa segan-silu. Namun, enam tahun berada di bawah satu bumbung dengannya, memang kuakui, aku mengasihi ibu mentuaku ini.
“Syam ada telefon kamu?” tanya Hajah Wan Maimun.
“Belum lagi, mak,” sahutku sambil masih tetap cuba untuk menyembunyikan kegalauan yang mencengkam di hatiku. Entah sudah berapa kali aku membohongi ibu mentuaku ini. Aku tidak mahu Hajah Wan Maimun bersangka yang bukan-bukan. Kusimpan sebaik mungkin segala rahsia kami. Tidak mahu ibu mentuaku tahu apa sebenarnya yang telah berlaku.
“Entah apalah cerita budak ni. Sudah tiga hari tak telefon mak,” jelas ibu mentuaku. Mendengar penjelasannya, hatiku dicuit riang. Alhamdulillah, nampaknya Wan Syamril masih tetap menghubungi ibunya walaupun dia sudah tidak menghubungiku.
“Nanti cuba kamu telefon dia. Tak ada cuti langsungkah sampai tak balik-balik nak tengok isteri dan anak-anak,” ibu mentuaku bagaikan menyambung rungutannya. Aku mengangguk-anggukkan kepala. Mana mungkin Wan Syamril mahu mengangkat telefon kalau dia tahu aku yang menghubunginya.
“Telefon, jangan tidak-tidak,” pesan lagi ibu mentuaku sebelum dia berpaling meninggalkanku.
“Iya, mak,” sahutku. Aku sudah bangun duduk di birai katil. Rambut yang terungkai dan jatuh atas bahu, kusimpulkan semula. Petang-petang begini, aku lebih suka berehat di luar rumah sambil melihat Wan Jamilah dan Nik Jamali bermain. Sambil-sambil itu, aku akan membantu ibu mentuaku menyiram pokok-pokok bunga yang tumbuh subur di perkarangan rumah mereka.
Aku melangkah keluar selepas menyarungkan tudung di atas kepalaku. Angin petang yang berhembus sungguh menyegarkan. Aku menjenguk ke arah rumah Mak Tam. Rumahnya masih kosong. Selepas menumpangkan aku ke hospital tempoh hari, Mak Tam tinggal menjaga anaknya dalam pantang.
Baru-baru ini, Umairah dibawa pulang sebentar. Anak kecilnya iaitu adik kepada Eliza dan Elina telah pun berusia 3 bulan. Aku sempat menziarahi mereka bersama-sama ibu. Kini, Mak Tam ke sana lagi. Mungkin dia sunyi di sini. Adatlah orang tua, tentu dia bahagia melayani kerenah cucu-cucunya itu.

Aku meraba-raba perutku. Tendangan-tendangan kecil menunjukkan bahawa bayiku di dalam sana sedang sihat dan menunggu masa untuk menjenguk isi dunia ini. Ya ALLAH, permudahkanlah urusanku sekali ini. Biarpun tanpa Wan Syamril, aku tetap perlu meneruskan kelangsungan hidup ini.

MTD Bab 49



BAB 49
 “Kamu ke mana, Roha?” sergah Wan Syamril, suamiku.
“Kalau ikutkan hati, aku sudah tidak ingin memandang muka engkau lagi. Engkau perempuan yang tidak mengenang budi. Tidak tahu dek untung. Madu yang kuberi, racun yang kau balas.” Dia semakin meninggikan suaranya. Suamiku yang baik ini tiba-tiba sahaja bersalin kulit.
Aku terkesima. Belum hilang penatku menguruskan majlis pengebumian ibu. Masih belum reda kesedihanku menangisi pemergian ibu. Sekarang dihamburkan pula dengan kata-kata kesat, bahang amarah daripada Wan Syamril sebagai menyambut kepulanganku. Bukan hendak bertanyakan tentang apa yang sedang aku lalui malahan dijerit-jeritkan pula.
Sudahlah berkali-kali aku menghubunginya, namun masih sahaja tidak dapat bercakap dengannya.
“Bang, maafkan Roha. Roha dah cuba hubungi abang tapi tak dapat.”
“Memanglah tak dapat kalau engkau asyik berkepit dengan jantan tu.” Air mataku tumpah lagi. Mungkin Wan Syamril nampak kereta Abang Mahadi yang menghantar aku sehingga ke simpang jalan tadi.
“Patutlah engkau tak kisah sama ada aku balik atau tidak. Rupa-rupanya sudah ada jantan  lain yang boleh engkau peluk, engkau cium siang dan malam.” Wan Syamril semakin menyinga. Aku tidak tahu  jin jenis apakah yang sedang merasuknya kini.
Mulutku seakan terkunci. Kepalaku kembali pening berpusing-pusing. Aku tidak dapat melayani amarah Wan Syamril. Aku berlari ke bilik air untuk memuntahkan isi perutku. Wan Syamril masih tidak berpuas hati. Dia mengekoriku dari belakang.
“Entah anak jantan mana pula yang ada di dalam perut kau sekarang.” Mulut Wan Syamril semakin cabul. Tidakkah dia kasihan melihat aku yang sedang terbongkok-bongkok menekan perut sambil memuntahkan isinya? Aku tidak mampu membalas cakapnya.
“Engkau ingat aku bodoh? Aku tahu, Wan Jamilah bukan darah dagingku. Aku dapat engkau yang sudah ditebuk tupai. Engkau patut bersyukur yang aku dah terima engkau selama ini. Jaga makan minum dan pakaian engkau. Lahir saja anak ini, aku ceraikan engkau dengan talak satu.” Lancar sahaja Wan Syamril menuturkan kata-kata itu sebelum dia meninggalkan aku yang sudah terjelepuk di dalam bilik air.
Kepala paip kupusingkan sehabisnya. Kubiarkan air deras memancut di atas kepalaku. Aku rasa begitu berat beban batu yang menghempap di atas kepalaku sekarang. Air mataku mengalir deras sederas air pancur yang menimpa ubun-ubunku. Ya Allah, aku tiada siapa-siapa lagi di dunia ini. Sampai hati Wan Syamril meninggalkanku. Sampai hati Wan Syamril menjatuhkan talak ke atasku.
Aku tak minta apa-apa malahan aku tidak akan menuntut hakku. Cukuplah sekadar dia menerimaku sebagai isterinya. Anugerah gelaran ‘isteri’ itu lebih bermakna buatku daripada segala-galanya yang ada di atas muka bumi ini. Ke mana aku dan anak-anakku akan membawa diri selepas ini?
Oh, anak-anakku. Masihkah ibu diberi kesempatan untuk bersama-sama kalian? Wan Jamilah! Bagaimana Wan Syamril tahu bahawa Wan Jamilah itu bukan daripada zuriatnya?Aku tidak pernah bercerita kepada sesiapa hatta kepada Abang Mahadi sekali pun, meskipun Abang Mahadi ayah kandungnya sendiri. Mungkin aku terlupa bahawa Wan Syamril telah mengahwini Masyitah. Tentu dia sudah dapat membezakan antara aku dan Masyitah, masih dara ataupun tidak.
Selepas itu, Wan Syamril pergi dan tidak pulang-pulang lagi. Aku juga tidak sempat untuk memberitahunya berita kehilangan ibu. Wan Syamril masih tidak mengetahui perihal kesedihan yang aku tanggung.
Rasanya lama betul Wan Syamril pergi sehinggakan aku sudah tidak merinduinya lagi. Oh Tuhan. Aku masih sahaja cuba untuk menyembunyikan kelukaan hatiku. Berbohong tentang perasaan hati yang bergelora. Walaupun Wan Syamril bukan lagi suamiku, namun aku tetap merinduinya dan mengharapkan kepulangannya untuk menjernihkan keadaan.
Aku juga tidak pernah bercerita kepada Puan Hajah Wan Maimun tentang status kami apabila aku selamat melahirkan bayiku kelak. Aku masih tetap biasa-biasa sahaja. Mungkin kerana aku telah biasa ditinggalkan berjauhan daripada Wan Syamril selama ini. Ada dia ataupun tidak, sama sahaja bagiku.
Sesekali, aku masih juga merinduinya. Merindui suamiku yang telah menyelamatkan maruahku dan mengangkat darjatku semulia ini. Tidak pernah terlintas di hatiku untuk memusuhinya apatah lagi untuk menyimpan rasa dendam. Terlalu banyak budi dan jasanya terhadapku selama ini. Namanya tetap kusebut dalam setiap doaku. Jasa baiknya tetap kusanjung sampai mati.
Aku tidak marah Wan Syamril mengahwini Masyitah. Memang selayaknya dia mendapat gadis yang baik-baik untuk dijadikan isteri. Lagipun, aku sudah tiada apa-apa ikatan dengan Wan Syamril. Lahirnya anak kecil ini nanti, talak yang dilafazkannya akan jatuh juga. Dia melafazkannya dalam keadaan dirinya yang masih waras. Aku mendengarnya dengan jelas.
Aku bakal menyandang gelaran janda. Itu bukan masalah berat bagiku tapi aku takut Wan Syamril kembali dan menceraikan aku secara rasmi. Aku boleh kembali ke rumah peninggalan arwah ibu tapi bagaimana dengan anak-anakku? Mustahil Hajah Wan Maimun dan Haji Nik Dasuki akan membenarkan aku membawa cucu-cucunya keluar dari rumah ini.
Saban hari, aku memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar kesihatanku baik-baik sahaja dan aku dapat terus bersama anak-anakku sampai bila-bila. Apa yang ALLAH berikan, aku terima dengan berlapang dada. Aku tidak mengharapkan Wan Syamril untuk menerimaku semula kerana aku tahu kepedihan hati Wan Syamril. Wan Syamril yang tertipu dengan perkahwinan kami.
Kalau dia kembali, aku hanya ingin memohon ampunannya. Hanya kemaafan daripada Wan Syamril sahaja yang mampu menenangkan jiwaku. Meskipun Wan Jamilah dan Nik Jamali ada bersamaku tetapi hatiku tetap terluka dan melirih. Sampai bilakah aku akan dibenarkan untuk mendampingi anak-anak ini?

Mereka darah dagingku. Mereka anak-anak yang kukandung selama  sembilan bulan sepuluh hari dan kulahirkan dengan mempertaruhkan nyawaku. Namun, mereka bukan hakku. Melihat cara layanan Tok Mummy dan Tok Daddynya, aku percaya, anak-anakku akan dijaga dengan sempurna meskipun tanpa aku bersama.

MTD Bab 48



BAB 48
Abang Mahadi. Banyak perkara yang ingin kutanyakan padanya. Aku ingin bertanya kenapa dia tinggalkan aku di hotel penginapan kami dulu. Aku ingin bertanya kenapa dia pergi tanpa pesan dan tidak kembali-kembali lagi.
Namun keinginan itu menyurut kembali apabila aku teringatkan akan keadaan diriku saat ini. Di antara kami berdua terdapat batasan yang memisahkan dan aku tidak mungkin akan melepasi batasan itu.
Cukuplah sekali aku terleka dengan mainan dan nafsu dunia. Aku tidak ingin terjebak lagi buat kali yang kedua. Lagipun, aku tidak akan merendahkan harga diriku untuk bertanya tentang kejadian masa silam kerana aku sendiri sudah punya jawapannya.
Tidak mungkin Abang Mahadi begitu bodoh untuk mengambil aku menjadi suri hidupnya sedangkan dia punya pilihan lain yang sangat sempurna. Aku tidak menyalahkan Abang Mahadi kerana yang bersalah ialah aku. Aku yang mudah terpesona dengan kilauan cahaya kepalsuan.
“Roha,” panggil Abang Mahadi. Sejak semalam, Abang Mahadi menemaniku dan menguruskan jenazah ibu. Encik Rosman, jiran yang paling kubenci ini juga yang bertungkus-lumus membantuku. Mak Enun, Kak Julie dan Abang Mustafa juga datang membantu kami. Aku yang terkapar-kapar, tidak tahu mahu berbuat apa.
Semuanya telah selesai tetapi aku masih sahaja tidak dapat menghubungi Wan Syamril. Entah di manakah dia berada kini. Panggilan ke rumah juga masih tiada sambutan. Mataku sudah memerah dan darahku juga sesekali menyirap naik walaupun sedaya upaya cuba kutahankan perasaan ini. Apa perlunya aku memarahi Wan Syamril dan menanggung sakit hati yang amat sangat.
“Roha,” panggil Abang Mahadi lagi.
“Ya,” sahutku sambil tersedu.
“Jangan menangis lagi. Yang pergi tetap akan pergi. Roha jangan terlalu bersedih. Fikirkan sama anak yang di dalam kandungan itu.”
Tetamu kami semakin beransur pulang dan aku juga tidak mahu Abang Mahadi terus berada di sini.
“Terima kasih abang kerana banyak membantu Roha. Budi dan jasa baik abang amat Roha hargai,” ujarku kemudiannya.
“Abang minta maaf  kerana meninggalkan Roha dahulu. Abang masih mengingati segala kenangan manis kita berdua.” Ungkapan Abang Mahadi membuatkan darah merahku kembali menyerbu naik ke muka. Aku kehilangan kata-kata.
Suasana hening agak lama.
“Selesai membaiki motosikal, abang kembali ke hotel tempat kita menginap tetapi abang dimaklumkan bahawa Roha telah pulang.” Terbayang di ruang ingatanku segala kenangan yang pernah kami lalui suatu ketika dahulu. Bayangan yang cuba kupadamkan terus daripada ingatanku. Sejarah dosaku yang tidak terampunkan. Air mataku mengalir deras.
“Cukuplah, bang. Perkara yang berlalu janganlah disebut-sebut lagi. Ianya amat menyakitkan hati saya. Kesilapan lalu tak usahlah diulangi. Saya sudah melupainya,” aku bersuara juga akhirnya.
“Beberapa kali abang datang ke sini untuk mencari Roha tapi Roha tak ada. Abang ke kedai ibu tetapi Roha juga tiada di sana. Abang segan untuk bertanya kepada ibu tetapi bila Kak Julie bagitahu Roha sudah berkahwin, abang terus bawa diri.” Abang Mahadi terus menjelaskan tanpa menghiraukan tegahanku.
Hampir tujuh tahun Abang Mahadi meninggalkanku. Dan hampir enam tahun juga usia Wan Jamilah, baru sekarang ini Abang Mahadi mahu menyatakan bahawa dia ada mencariku. Memang agak sukar untukku mempercayainya. Sebenarnya, banyak persoalan yang ingin kutanyakan padanya. Salah satu daripadanya ialah siapakah perempuan genit yang menggendeng di lengannya saat aku berjaya menjejaki rumahnya dulu?
Apa yang pasti, aku tidak mahu mengulangi kisah lama. Segala yang berlaku dahulu telah menjadi sejarah. Sejarah hitam yang mengajar aku untuk lebih menghargai apa yang aku miliki sekarang, mentua, suami dan anak-anakku. Abang Mahadi bayangan masa silamku dan bukannya jodoh masa depanku.
Abang Mahadi juga mungkin sudah berkahwin dengan perempuan yang aku lihat bersamanya dahulu. Mungkin sekarang mereka juga sedang berbahagia dan aku juga tidak ingin Abang Mahadi tahu bahawa aku pernah mencarinya dan terserempak dia sedang bergembira dengan perempuan itu.
Sebelum pulang, Abang Mahadi menawarkan khidmatnya untuk menghantar aku pulang walaupun aku menolak keras. Namun kerana merasakan tiada salahnya aku menumpang dia, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menumpang keretanya.

Doaku agar segalanya dilindungi Allah. Jangan sampai Abang Mahadi bersandiwara lagi dan membawa aku menginap entah di mana-mana. Oh, Tuhan. Aku masih mengingati peristiwa itu. Ah, mana mungkin Abang Mahadi akan bertindak sejahat itu. Lagipun perutku sedang memboyot. Mana mungkin akan dapat memikat hatinya.