Selasa, 4 November 2014

MTD Bab 7




BAB 7
Aku yakin, kami tidak akan tersesat lagi kali ini. Bersama Nurin, aku yakin sepenuhnya, kami dapat menemui rumah Kak Roha dengan mudah. Nurin yang mempunyai deria rasa dan ingatan yang kuat seperti kali pertama kami ke sini dahulu.
Sewaktu pulang, aku sangkakan bahawa kami akan tersesat lagi tetapi dengan mudah sahaja Nurin membawaku keluar dari kawasan perumahan yang berselerakan ini. Dalam diam-diam, aku mengagumi kebolehan dan kepekaan Nurin.
“Kak Mas,” sewaktu sedang menutup pintu kereta, aku disapa dari belakang. Secepat kilat, aku berpaling ke arahnya.
“Nik Jamali,” seruku.
Nik Jamali  hanya tersengih. Dia menghampiri kami dan bersalaman denganku. Dia membongkok, mencium tanganku. Aku menggosok-gosok kepalanya.
“Jamali nak ke mana?” tanyaku sewaktu Nik Jamali membongkok, menyalami Nurin.
“Mak suruh Jamali tunggu kakak di sini. Mak kata, kakak nak datang hari ini,” Nik Jamali menerangkan. Mungkin dia bimbang kami akan tersesat lagi seperti kali pertama ke mari. Aku merenungi Nurin tetapi Nurin tidak menunjukkan sebarang reaksi. Aku mengunci pintu kereta dan masih tidak berani untuk memandu masuk ke rumah Kak Roha. Kurang yakin dengan kelebaran jalan tar itu sedangkan jalan itu telah pun disukat semuat-muat sebuah kenderaan.
Biar takut sedikit, jangan terlebih berani pula. Kalau tidak begitu yakin, aku tidak mahu teruskan. Takut mengundang padah. Nurin juga tidak banyak bersungut. Dia menurut sahaja pandanganku. Kalau memang aku yang memandu, sudah tentu dia tidak berani kata apa-apa.
Kami mengekori  langkah Nik Jamali, meniti jalan tar kurang daripada enam kaki, melalui halaman dan dapur rumah tetangganya. Sesekali, bau busuk air di  pelimbahan, menusuk ke hidung kami. Aku menahan nafas untuk mengelakkan bau yang kurang enak itu. Setelah beberapa lama  berjalan, kami tiba di hadapan rumah Kak Roha.
Kak Roha tersenyum di ambang pintu rumahnya menyambut ketibaan kami. Sewaktu kami naik ke serambinya, kulihat beberapa buah beg terlonggok di tepi pintu. Mungkin beg Wan Jamilah. Dia telah bersiap lebih awal untuk mengikut kami. Aku bersalaman dengan Kak Roha sebelum Wan Jamilah muncul di belakangnya.
Gadis itu juga tersenyum memandang kami.
“Milah sihat?” tanyaku semasa bersalaman dengannya.
Wan Jamilah mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Kak Mas?” tanyanya pula.
“Alhamdulillah, Kak Mas sihat,” balasku sambil mencium pipinya, kiri dan kanan.
Wan Jamilah siap berpakaian baju kurung Johor besar gedoboh. Mungkin kepunyaan emaknya yang bertujuan untuk menutup perutnya yang kian memboyot. Aku memeluk gadis itu lagi. Air mataku bergenangan. Sangat sukar bagiku untuk menutup kehibaan ini. Terlalu sedih melihat ketabahan gadis ini.
Kami tidak boleh berlama-lama di rumah Kak Roha. Selepas menikmati kopi ‘o’ panasnya bersama pisang goreng, kami bergegas pulang.
Aku membimbit beg pakaian Wan Jamilah manakala Nurin menyandang beg sekolahnya. Kami bergerak perlahan-lahan kerana menuruti langkah Wan Jamilah yang agak perlahan dan terbatas.
“Milah nak ke mana?” Satu suara garau menegur Wan Jamilah. Serentak kami menoleh ke arahnya. Seorang lelaki sedang mengelap motosikal di sisi tangga rumahnya.
“Milah nak ikut kakak ni balik, Pak Cik Rosman,” sahut Wan Jamilah, jujur.
“Jaga diri Milah baik-baik, ya,” sambung lelaki itu lagi dan kemudiannya dia memandang ke arahku sambil tersenyum.
“Cik Mas Khairani, ya?” tegurnya.
“Ya,” sahutku sambil mengangguk-anggukkan kepala. Aku jadi tahu kalau inilah Encik Rosman yang disebutkan Kak Roha dalam catatannya. Tapi aku lihat Encik Rosman yang ini berbeza daripada Encik Rosman yang diperkatakan oleh Kak Roha. Aku berazam untuk mengorek rahsianya daripada Wan Jamilah pula.
“Kami pergi dulu, ya pak cik,” Wan Jamilah meminta diri. Encik Rosman mengangguk-anggukkan kepalanya.
Kami meneruskan perjalanan. Perasaanku membuak-buak ingin tahu perkembangan Encik Rosman.
“Pak cik Rosman tu baik, kak. Dia banyak membantu kami sekeluarga. Dia yang tolong panggil orang untuk baiki rumah kami dan membuat pemasangan eletrik,” beritahu Wan Jamilah tanpa aku pinta.
Ya, memang aku nampak. Encik Rosman baik orangnya. Orangnya pun sudah agak berumur. Memang sepatutnya dia sudah berubah. Takkanlah selama-lamanya dia mahu bermusuhan dengan keluarga Kak Roha. Sedangkan anak sungai lagikan berubah, inikan pula hati manusia.
Syukurlah kalau sudah begitu kesudahannya. Manusia ini dipegang pada hati. Kalau hatinya mahu bersih, pasti niatnya juga jadi bersih. Beruntunglah Kak Roha berjirankan Encik Rosman  yang mahu mengambil berat tentang keluarga mereka.

Isnin, 3 November 2014

MTD Bab 6




BAB 6
Aku cuma memberitahu Nazran bahawa aku hendak menjaga Wan Jamilah sehingga  dia  selamat melahirkan bayinya dan sehingga dia selesai menduduki peperiksaan PMRnya. Aku tidak pernah memberitahu Nazran bahawa aku berniat untuk menjaga bayi Wan Jamilah, mengambilnya menjadi anak angkatku.
Aku juga bercadang untuk menjaga Wan Jamilah jika Wan Jamilah bersetuju kerana aku tidak mahu memisahkan Wan Jamilah daripada bayinya. Biarlah anak itu membesar bersama-sama ibu yang mengandung dan melahirkannya dengan penuh getir. Aku mengeluh perlahan. Entah apalah  penerimaan Nazran seandainya dia tahu perancanganku sedemikian rupa.
“Kenapa mengeluh, Mas?” Aku tidak sedar bilakah masanya aku melepaskan keluhan.
“Apa, Rin?” tanyaku inginkan kepastian.
“Kenapa Mas mengeluh?” tanya Nurin lagi.
“Err… Mas memikirkan masa depan Wan Jamilah. Kasihan dia. Anak yang sekecil itu telah dibebankan dengan penderitaan yang sedemikian hebat. ALLAH memilihnya untuk menanggung dugaan yang maha besar ini,” kataku tanpa mahu menyebut perihal Nazran. Aku tidak mahu memikirkan kemungkinan yang akan datang. Aku  ingin menyelesaikan masalah Wan Jamilah sekarang. Untuk masa-masa yang akan datang, aku akan memikirkannya kemudian.
“Ya, dia anak yang hebat. Nurin juga berdoa agar dia akan terus tabah mendepani hidupnya.”
Kami sama-sama terdiam kemudiannya kerana melayani lamunan masing-masing. Nurin telah mula membuka lembaran novel yang dibawanya. Aku menjeling sekilas, dia membaca novel terjemahan Inggeris. Begitulah Nurin. Dia membaca novel apa sahaja tanpa banyak soal asal sahaja dia punya buku untuk dipegang dan dibaca. Aku cukup mengagumi ketaasubannya ini kerana aku ini agak jarang membaca novel. Selalunya aku membaca majalah dan akhbar sahaja.
Kalau membaca novel pun, aku lebih suka memberikan komen yang bukan-bukan. Jalan cerita ini tak logiklah. Plot cerita itu longgarlah. Tekniknya membosankanlah. Dan entah apa-apa lagi. Ada sahaja yang tidak memuaskan hatiku sehinggakan Nurin pernah melabelkan aku sebagai seorang yang tidak pandai menghayati cerita.
Aku hanya tertawa mendengar komennya. Nurin mencabar aku untuk menulis. Katanya, kalau betul-betul aku pandai menulis, tulislah sesuatu yang berbeza daripada novel-novel yang pernah kubaca. Buktikan yang hasil karyaku lebih baik. Aku masih juga tertawa kerana aku sekadar menyuarakan pendapatku bukan untuk bertanding dengan sesiapa pun dan bukan untuk membuktikan apa-apa.
Sebenarnya, aku memang minat menulis. Kisah muridku yang meniru di dalam kelas pun, aku boleh jadikan cerpen. Ada sahaja ideaku untuk melakarkan cerita. Pernah seorang teman guruku memberi komen, dia suka masuk mengajar di kelasku kerana selepas memberikan kerja kepada murid-murid, dia akan menyelongkar laci meja guru, mencari coretanku untuk dibaca.
Aku tertawa besar mendengar ceritanya yang selama ini belum pernah kuketahui. Dan selepas dia membocorkan rahsianya, barulah beberapa orang guru lain turut mengaku perihal yang sama. Kepada mereka kukatakan, kenapa perlu sembunyi-sembunyi membaca karyaku. Kalau nak baca, ada tiga buah manuskrip novel yang telah kusiapkan dan terperam di dalam laci kabinetku di rumah.
Mereka mencadangkan agar aku menghantar manuskrip-manuskrip itu ke meja editor novel untuk diterbitkan tetapi aku sebenarnya telah patah hati. Apabila manuskrip novel pertama yang kuhantar tidak mendapat sebarang respons  sama ada mahu diterbitkan atau tidak, aku jadi patah hati. Setelah sekian lama menantikan  jawapan yang tidak kunjung tiba, aku akhirnya membuat satu rumusan, mungkin karyaku tidak punya nilai untuk diterbitkan.
Lagipun aku hanya penulis kecil yang belum punya nama. Mungkin mereka bimbang, buku hasil tulisanku tidak dapat memberikan pulangan yang lumayan. Aku tidak punya peminat.  Aku sekadar patah hati untuk menghantar manuskrip tetapi aku tidak pernah berpatah hati dalam berkarya. Buktinya kini, aku sedang menyiapkan manuskrip novelku yang keempat berlatarkan kisah hidup Kak Roha.
Aku akan terus menulis dan menulis selagi aku terdaya meskipun karyaku tidak pernah diterbitkan. Biarlah karyaku tidak dihargai waktu ini. Mungkin suatu hari nanti, setelah aku tiada, manuskrip-manuskripku ini akan jadi lebih berharga. Mungkin anak-anakku nanti boleh mengirimkannya ke Perpustakaan Negara kalau tidak  pun ke Arkib Negara sebagai sumbanganku dalam bidang penulisan.
Kak Roha hanya bersetuju menyerahkan dairi catatan hidupnya kepadaku untuk kujadikan sebuah novel kreatif setelah kupujuknya berhari-hari. Akhirnya, Kak Roha menyerah kalah. Bukan aku berniat mahu membuka aibnya tetapi aku ingin kisahnya dijadikan teladan kepada anak-anak gadis dewasa ini yang kian terleka dilambung ombak kehidupan duniawi sehingga terlupa bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sebagai landasan untuk menuju ke akhirat sana.
Aku tidak mahu mengganggu  Nurin yang semakin tenggelam dalam bacaannya. Aku terus memandu dengan berhati-hati. Kami semakin menghampiri kawasan perumahan berselerak yang dihuni oleh Kak Roha dan anak-anaknya. Aku menghidupkan lampu isyarat ke kiri dan kemudiannya membelokkan keretaku.
Kami menuruni bukit kecil dan di kirinya tertegak sebuah surau bercat biru muda yang sudah agak pudar. Seperti biasa, kami akan meninggalkan kereta di sini dan berjalan kaki di atas jalan tar sempit untuk ke rumah Kak Roha.

MTD Bab 5




BAB 5
Nurin menjengah ke bilik tidurku.
“Mas dah siap?” tanyanya. Aku segera menoleh ke arahnya sambil mengangguk-anggukkan kepala. Naskhah catatan Kak Roha kumasukkan ke dalam laci meja kerjaku dan kukuncinya baik-baik. Kunci itu kumasukkan ke dalam beg tanganku. Walaupun tiada sesiapa di dalam rumah ini melainkan hanya kami berdua, namun aku tetap ingin menjaga amanah Kak Roha ini dengan sebaik mungkin seperti janjiku padanya.
Setelah bertemu Kak Roha dan keluarganya tempoh hari, ini adalah kali kedua kami akan berkunjung lagi ke rumah mereka. Kali ini dengan satu tujuan. Kami akan membawa  Wan Jamilah pulang ke rumah sewaan kami ini. Aku telah berjanji dengan Kak  Roha untuk menjaga Wan Jamilah sehingga dia selamat melahirkan anaknya.
Selesai mengemaskan buku-buku catatan harianku dan kertas-kertas yang berselerak di atas meja kerjaku, aku menuju  ke almari solek. Aku merenung balikan wajahku di dalam sana. Kusapu bedak kompak Safi secara menipis dan kubetul-betulkan tudung kepalaku. Kemudiannya, aku  ke ruang tamu mencari Nurin.
Apabila aku menjengah keluar, Nurin sedang menyiram pokok bunga. Mungkin dia berbuat demikian sebagai mengisi masa sementara menantikan aku bersiap. Aku tidak mahu mengganggunya. Sebaliknya, aku terus menyarungkan kasutku dan menuju ke kereta. Kuhidupkan enjin kereta itu dan Nurin menoleh  ke arahku. Dia menuju ke kepala paip dan menutupnya.
Kemudian dia bergegas mengambil beg tangannya di atas meja batu marmar putih  di sisi garaj dan melangkah laju ke arahku. Pintu kereta di  sisi dikuakkannya. Dia melabuhkan punggung di sebelahku. Aku memasukkan gear undur, melepaskan brek tangan dan bergerak keluar meninggalkan halaman.
Kami telah bersepakat untuk membenarkan Wan Jamilah  tinggal bersama kami. Aku boleh membimbingnya untuk mengulang kaji mata pelajarannya yang tertinggal. Aku akan  memastikan dia akan tetap menduduki peperiksaan PMRnya tahun ini selepas dia bersalin nanti. Kak Roha telah menyatakan persetujuannya dengan cadanganku.
Sekurang-kurangnya, aku boleh membantu Wan Jamilah memulihkan semangatnya. Menghindarinya daripada umpat keji orang kampong yang tidak memahami keadaannya. Bukan semua manusia ini bersifat durjana. Masih ramai yang berhati mulia. Masih  ramai yang menaruh belas kasihan terhadapnya.
“Apa  kata Abang Nazran?” tanya Nurin tiba-tiba. Nazran tunanganku. Memang tidak pernah menyuarakan apa-apa halangan saat aku menyatakan hasratku untuk membawa  Wan Jamilah tinggal bersamaku. Mungkin dia memahami kehendakku untuk membantu insan-insan yang memerlukan bantuan.
Aku bertemu dengan Kak Roha pun secara tidak sengaja. Bukan dia ada pertalian darah denganku. Aku hanya mengenalinya melalui Danish. Danish anak Ustazah Sarifah dan juga merupakan pelajarku yang paling pendiam, yang paling baik dan yang paling pandai. Danish telah memikat hatiku sejak kali pertama aku menatap wajahnya.
Aku tidak tahu kenapa aku menyukai Danish tapi sikap hormat dan tanggungjawab yang ditunjukkannya membuatkan aku menyukainya. Bukan Danish sahaja yang kusukai. Aku juga menyukai pelajar-pelajarku yang lain. Aku terhibur dengan kerenah dan keletah mereka yang pelbagai. Melayani mereka dapat mengubati kerinduan terhadap dua  orang adik kecilku di kampong.
Danish bercerita tentang Mak Cik Roha, pengasuh yang ditugaskan ibunya untuk membersihkan rumah dan menjaga adiknya semasa mereka keluar bekerja. Saat heboh berita tentang budak sekolah menengah empat belas tahun hamil, Danish mendekatiku. Entah kenapa, ringan sahaja mulutnya membuka rahsia, gadis sunti itu merupakan anak Mak Cik Roha.
Hatiku melambai-lambai untuk menemui Kak Roha. Aku ingin merisik khabar tentang Wan Jamilah yang bersekolah di sebuah sekolah menengah berhampiran dengan sekolahku. Barulah aku tahu cerita sebenar mereka.  Kalau sebelum ini aku hanya mendengar khabar angin yang belum tentu ada kesahihannya, kini telah kutemui cerita yang sebenarnya. Kak Roha yang agak sukar untuk didekati pada awalnya, akhirnya mengalah juga pada pujuk rayuku.
Nurin hanya tersenyum saat aku telah berjaya menawan hati Kak Roha. Dia  memang meyakini keupayaanku. Aku sendiri telah menggunakan segala kepakaranku dalam bidang pujuk memujuk ini, mustahil Kak Roha akan terlepas dari jeratku dengan sebegitu mudah. Lagipun, aku ikhlas untuk membantunya, membantu Wan Jamilah anak gadis malang itu.
“Abang Nazran tak kata apa-apakah?” Nurin mengulangi  pertanyaannya. Walaupun berlainan ayatnya tetapi tetap menjurus kepada pokok persoalan yang sama. Aku tersenyum. Nurin yang jarang bercakap ini tiba-tiba sahaja mengambil alih tugasku. Bertanyakan soalan yang pelbagai.
“Kenapa senyum?” Nampaknya Nurin masih belum berpuas hati selagi belum mendengar jawapanku.
“Abang Nazran ok. Mas inikan pakar pujuk-memujuk. Abang Nazran pasti cair dengan pujukanku,” kataku, membangga diri.
“Huh…,” Nurin melahirkan  rasa jengkelnya. Aku hanya tertawa. Sukar untuk melihat Nurin mempamerkan perasaannya.
“Mas bergurau sajalah,” ujarku sambil melanjutkan  tawa. Nurin juga turut tertawa kecil kemudiannya.
“Kita hanya  hendak membantu Wan Jamilah. Perbuatan yang baik pasti akan direstui ALLAH. Mas ingin menyelamatkan Wan Jamilah dan anak yang dikandungnya. Wan Jamilah tidak berdosa. Mas kasihan melihatnya.”
Nurin mengangguk-anggukkan kepalanya. Aku beruntung mempunyai teman serumah seperti Nurin. Dia tidak membantah saat kusuarakan hasratku untuk membantu Wan Jamilah. Malahan, dia yang beria-ia menyuruh aku segera membawa Wan Jamilah ke rumah kami. Buktinya, dia juga mengikutku ke mana sahaja aku pergi untuk menguruskan hal Wan Jamilah.

MTD Bab 4




BAB 4
“Assalammualaikum,” sapaku.
Wan Jamilah menoleh ke arahku. Mungkin terkejut dengan sapaan yang tiba-tiba itu. Sejurus kemudian, dia tersenyum tipis. Tetap tersenyum walaupun di dalam dadanya sarat dengan pelbagai cerita duka.
“Waalaikummussalam. Duduklah, kak,” pelawa Wan Jamilah sambil mengengsot sedikit, memberi ruang kepadaku untuk duduk di sebelahnya. Kemudian bebola matanya kembali berlari ke arah teman-teman di bawah pokok. Pokok manggis itu tampak lebih jelas dari sisi sini. Aku duduk bersimpuh di sebelah Wan Jamilah.
Lama kami terdiam. Aku kehilangan kata-kata. Akhirnya, kubiarkan Wan Jamilah terus melayani keasyikannya memandang dari celah tingkap papan itu ke arah kemeriahan di bawah sana.
“Kak Milah, marilah main sama-sama kami,” laung seorang anak kecil di bawah sana, anak yang masih belum mampu mengerti penanggungan yang ditanggung oleh seorang Wan Jamilah.
Wan Jamilah tersengih. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Matanya tetap tidak beralih.
“Marilah Milah,” laung pula seorang kawannya lagi. Mereka semakin berkerumun di bawah tingkap kami.
“Tak apalah, saya tak sihat. Nanti kalau saya dah sihat, saya akan bermain dengan kamu,” ujar Wan Jamilah. Aku terharu lagi mendengar harapan Wan Jamilah.
Kugosok bahu Wan Jamilah perlahan-lahan. Kawan-kawan kecil Wan Jamilah telah berlari kembali ke bawah pokok manggis. Mereka bermain kejar-kejar aci duduk. Yang pastinya keinginan Wan Jamilah bukanlah untuk bermain kejar-kejaran dengan anak-anak kecil itu tetapi kelompok anak gadis di atas pangkin kecil itulah yang lebih mencuri perhatiannya.
“Milah nanti duduk dengan kakak, ya?” Wan Jamilah tidak menjawab. Suasana jadi hening seketika. Aku jadi bimbang jika tiba-tiba Wan Jamilah berubah fikirannya.
“Milah nak duduk dengan kakak?” tanyaku lagi.
Wan Jamilah mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Milah nak belajar. Mak kata, kalau tinggal dengan kakak, kakak boleh ajar Milah, betul ke?” Aku gembira kerana Wan Jamilah sudah mahu membalas bicaraku.
“Ya. Nanti kakak akan bimbing Milah untuk menjawab soalan dalam peperiksaan.” Wan Jamilah tersenyum mendengar janjiku untuk membantunya.
Wan Jamilah anak yang cerdik. Aku sudah memeriksa rekod kemajuannya. Dia tidak pernah jatuh dalam setiap peperiksaan yang didudukinya. Keputusan UPSRnya tiga tahun yang lalu juga tidak mengecewakan, 4A 1B. Cuma sejak akhir-akhir ini iaitu sejak kejadian yang menimpa dirinya, pelajarannya sedikit terjejas. Kalau digilap semula, tidak mustahil Wan Jamilah akan mendapat keputusan yang cemerlang di peringkat sekolah menengah rendahnya.
Aku ingin membimbing Wan Jamilah bukan setakat di dalam bidang pelajaran tetapi aku juga ingin memulihkan kembali semangatnya. Semangat seorang gadis kecil yang hilang setelah maruahnya diragut dengan kejam. Diragut oleh seseorang yang diharapkan untuk melindunginya.
 Aku difahamkan bahawa Wan Jamilah tidak mahu ke sekolah. Dia malu dengan teman-temannya kerana ada dalam kalangan mereka yang mengejek-ejeknya. Wan Jamilah yang bijak, tiba-tiba sahaja hilang keyakinan diri saat musibah itu datang melanda. Kasihan Wan Jamilah! Aku akan berusaha membantunya untuk bangkit semula.
Aku sendiri tidak punya apa-apa kemahiran tetapi aku sangat-sangat berharap agar aku dapat memberikan sedikit sumbangan kepada Wan Jamilah dan keluarganya. Ikhlas rasa hatiku untuk membantu seorang Wan Jamilah.
“Kak…,” panggil Wan Jamilah setelah sekian lama dia menyepi.
“Hmmm…ada apa?” tanyaku sambil menoleh ke arahnya. Angin petang menerpa dari luar, menari-narikan rambut Wan Jamilah yang terjuntai di dahi. Mata bundarnya yang bagaikan menakung sekolam air jernih menunggu masa untuk melimpah keluar, merenungku penuh simpati.
“Tak apakah saya tinggal dengan kakak?” tanya Wan Jamilah seakan-akan meminta kepastianku pula.
“Akak senang kalau Milah mahu tinggal dengan akak,” ujarku membalas keraguannya. Wan Jamilah menarik nafas panjang.
“Milah takut menyusahkan akak,” suaranya kedengaran perlahan namun masih jelas pada pendengaranku.
Aku kembali menggosok-gosok bahu Wan Jamilah, mengusapnya lembut sekali bagai cuba menenangkan jiwanya yang lara.
“Milah jangan risau. Akak akan jaga Milah. Apa yang penting, Milah jangan banyak berfikir. Yang berlaku sudah pun berlaku. Tidak dapat diundur walaupun selangkah. Sekarang ini, mari kita depani pula ujian ini.”
Suasana hening seketika antara kami berdua walaupun di bawah sana masih gamat dengan jerit-pekik anak-anak kecil itu berlari-larian.
“Kenapa Milah, kak?” sayu suara Wan Jamilah seakan menyesali takdir yang menimpanya.
“Kerana Milah anak yang kuat. Kerana Tuhan nak uji Milah. Kerana Allah nak beri Milah pahala yang banyak. Tidak semua orang diuji seperti Milah. Milah insan yang dipilih Allah. Allah menguji kita dengan bermacam cara,” ujarku lagi.
Mulut Wan Jamilah seakan terkunci. Tidak semena-mena, dia berpaling ke arahku dan memeluk leherku, erat. Wan Jamilah menangis dan aku juga menangis tapi air mataku jatuh ke dalam hati. Aku tidak mahu meruntun perasaan Wan Jamilah dengan air mataku.