Isnin, 3 November 2014

MTD Bab 3




BAB 3
“Assalammualaikum,” gemersik kedengaran satu suara dari bawah sana.
“Waalaikummussalam,” aku, Nurin dan Wan Jamilah menyahut salam itu hampir serentak dan kami bangun juga hampir  serentak kecuali Wan Jamilah. Wan Jamilah hanya duduk di sofanya.
 Saat aku menoleh ke pintu, muka Kak Roha telah terjengul di situ. Dia tersenyum sambil menolak daun pintu itu agar terbuka lebih luas. Angin petang menyerbu masuk. Kelihatan peluh renik memercik di dahi Kak Roha.
“Dah lama sampai?” tegurnya.
“Agak lama juga,” ujarku membalas.
“Kereta tinggal di mana?” tanya Kak Roha.
“Tinggal di jalan besar,” jawabku.
“Ooo…boleh bawa masuk ke sini tapi kena hati-hatilah, jalan sempit,” kata Kak Roha lagi. Aku menjeling Nurin di sisi. Memang Nurin mencadangkan aku memandu terus masuk ke mari tetapi aku yang kurang yakin. Rasa-rasanya jalan bertar hitam itu terlalu sempit dan kalau berselisih dengan kenderaan lain, pasti aku gelabah.
Kami bersalam-salaman. Aku memeluk erat tubuh Kak Roha. Aku kagum dengan ketabahan wanita ini. Aku pula yang terlebih-lebih menunjukkan perasaan sedih sedangkan Kak Roha begitu tenang sekali.
Ketenangan yang terukir pada wajahnya namun tidak tahu pula bagaimana perasaan hatinya yang bergelora di dalam sana. Mungkin dia sudah puas menangis. Mungkin juga air matanya sudah lama kering kerana terlalu banyak menangisi musibah ini.
Kak Roha cantik orangnya. Tubuh kecil sederhana tetapi agak tinggi lampai. Matanya bundar dan bercahaya. Manis sekali dengan tudung hijau muda dipadankan dengan blouse warna senada dan kain potongan payung berwarna hitam. Manis wanita yang sudah punya tiga orang cahaya mata.
Dalam seraut wajah yang tenang itu, tersembunyi seribu satu perasaan yang sukar difahami dan tidak pula mampu aku tafsirkan maknanya. Aku cuba untuk mengempati masalah dan kesengsaraan Kak Roha.
Kak Roha seorang ibu yang kukira usianya dalam pertengahan tiga puluhan. Masih tetap jelas keanggunan di wajah wanita ini meskipun hidupnya dilingkungi pelbagai kesulitan dan penderitaan.
“Nik Jamali mana?” tanyaku cuba menghidupkan suasana tatkala terlihat hanya Kak Roha seorang yang naik bertemu kami.
“Dia di bawah, berjumpa dengan kawan-kawannya,” balas Kak Roha dalam senyuman juga.
Mungkin Nik Jamali menyertai teman-temannya yang sedang rancak bermain di bawah pohon manggis yang tidak berbuah itu.
“Duduklah,” pelawa Kak Roha sekali lagi seraya melabuhkan punggungnya di atas kusyen kusam itu. Wan Jamilah sudah lama hilang ke dapur. Sebentar kemudian, dia muncul semula dengan cawan di tangan.
Selepas meletakkan cawan di hadapan ibunya, Wan Jamilah berlalu semula ke dapur atau mungkin ke dalam bilik yang terletak di bahagian dapur itu. Mungkin dia tidak mahu mendengar perbualan orang-orang tua yang berada di hadapan ini. Lebih-lebih lagi, perihal dirinya yang akan kami perkatakan.
“Minumlah, Mas, Nurin,” pelawa Kak Roha pula. Nafasnya masih termengah-mengah, naik turun dengan tidak teratur. Sisa-sisa kepenatan sama seperti keadaan kami sewaktu mula-mula tiba di rumah ini tadi.
Aku dan Nurin mengangguk-anggukkan kepala kami. Suasana tenang petang ini sesekali dikejutkan dengan riuh suara anak-anak yang bermain di bawah pokok  manggis.
Kami berbual tentang hal-hal yang biasa sahaja kerana sebelum ini kami pernah bertemu dan berbual perihal Wan Jamilah secara serius. Setelah kata sepakat dicapai, barulah aku mengambil keputusan untuk menziarahi Wan Jamilah di rumah ini.
“Boleh saya jumpa Wan Jamilah sendirian?” pintaku meminta kebenaran. Aku ingin berbual-bual dengan Wan Jamilah dari hati ke hati. Aku tidak mahu dia merasa dipaksa untuk tinggal bersama-samaku. Aku perlu mendekatinya untuk memujuk hatinya. Aku perlu tahu apa penerimaannya dengan keputusan ini.
“Pergilah, dia ada di belakang tu,” Kak Roha memberikan keizinan.
Aku bangun meninggalkan Nurin dan Kak Roha di ruang tamu itu. Kaki kulangkahkan perlahan-lahan bagi mengurangi bunyi derap lantai akibat terkena pijakan tapak kakiku.
Wan Jamilah sedang berteleku di birai tingkap sambil matanya meligas memandang anak-anak kecil yang berlari-lari di bawah pokok manggis dan beberapa orang gadis sebaya Wan Jamilah sedang berjuntai kaki di atas pangkin kecil sambil di tangan masing-masing memegang note book. Mungkin note book  Satu Malaysia pemberian kerajaan. Sesekali, anak-anak gadis itu tertawa kecil dan berbual-bual sesama mereka.
 Hatiku tersentuh pilu dan terharu. Kasihan Wan Jamilah. Tentu hatinya melonjak-lonjak untuk turut sama berada dalam kumpulan itu tapi apakan daya, keadaan dirinya saat ini tidak memungkinkan dia untuk turut sama bercanda di halaman kecil itu.
Sesekali, aku nampak senyuman tipis menyungging di bibir kecil Wan Jamilah. Naluri seorang gadis sunti tetap saja terserlah daripada tingkah lakunya. Nasib Wan Jamilah yang malang akibat perbuatan durjana insan yang sepatutnya menjadi pelindung bagi dirinya.
Aku berdiri hampir dengannya tetapi Wan Jamilah seolah-olah tidak menyedari kehadiranku. Pandangan mata dan perasaannya bagai dilekakan oleh suasana meriah anak-anak kecil dan teman sepermainannya yang terpampang di hadapan mata.

Sabtu, 1 November 2014

MTD Fragmen 2 - Bab 2




BAB 2
Peluh di dahi masih merenik. Beberapa kali kukesat namun aku memang biasa berpeluh. Entah kerana sihat atau entah kerana perjalanan yang agak jauh tadi. Atau mungkin juga kerana ruang rumah yang agak sempit dan berkuap ini.
Panas petang agak kurang membahang berbanding dengan waktu kami dalam perjalanan ke mari tadi. Petang yang kering. Nurin memang telah berjanji denganku untuk menemaniku mencari rumah Kak Roha.
Selesai  menunaikan solat Zohor, kami terus datang ke kawasan perumahan tidak  tersusun ini. Tidak tersusun kerana rumah-rumahnya tegak di merata-rata tempat. Ada sahaja tanah lapang, terus sahaja dipacakkan tiang dan didirikan rumah. Mungkin ini juga tanah rezab kerajaan sehinggakan tiada sesiapa pun yang membuat tuntutan ke atas tanah ini.
Aku yang mengajak Nurin menemaniku ke mari. Aku tidak mahu menangguhkan masa. Aku takut tidak dapat mencari rumah Kak Roha sedangkan hari akan semakin menjejak ke petang. Urusan dengan Kak Roha perlu kuselesaikan secepat mungkin.
Walaupun Kak Roha telah memberikan alamat dan peta lakaran ke rumahnya padaku, tetapi  aku masih sahaja  bimbang jika aku gagal mencari rumahnya. Memang itulah sikapku, lebih suka memikirkan kemungkinan yang buruk-buruk dahulu berbanding dengan kemungkinan yang baik-baik. Nurin bagaikan telah arif dengan tingkahku, mengikut sahaja tanpa perlu dipaksa.
Memang agak sukar juga untuk mencari rumah Kak Roha ini walaupun ada jalan tar kecil kurang daripada enam kaki yang menghubungkannya dengan dunia luar namun banyak sangat simpang dan cabang jalannya. Setelah bertanya kepada beberapa orang penduduk di jalanan tadi, barulah kami tiba dengan selamat di pintu rumah ini. Aku mengerling Nurin di sisi. Dia tetap sahaja tenggelam dalam renungannya. Entah apalah pula yang ada di dalam mindanya saat ini.
“Rin,” panggilku perlahan, cuba mengalihkan tumpuannya.
“Emmm…,” sahut Nurin tanpa berpaling ke arahku.
“Rin,” panggilku lagi, agak geram dengan responnya yang bersahaja itu.
Nurin mengangguk-anggukkan kepalanya. Tidak tahu apa sebenarnya yang dianggukkannya itu.
Aku turut sama menoleh  ke arah yang menjadi tumpuan Nurin. Rak  buku. Ya, itulah tempat yang sedang ditenungnya. Itulah rupa-rupanya perkara yang menjadi tumpuan pandangannya sehingga tidak menghiraukan panggilanku sebentar tadi.
Selain daripada set sofa rotan, meja jepun dan meja kopinya ini, itulah satu-satunya lagi perabot yang ada di ruang tamu yang agak sempit ini. Dua buah rak buku daripada besi berwarna putih yang sudah kelabu.
Sebuah rak empat tingkat dipenuhi dengan kitab-kitab lama dan novel-novel yang tersusun rapi. Manakala sebuah rak lagi, di atasnya, tersusun himpunan suratkhabar yang telah dilipat menjadi dua untuk menjimatkan ruang. Diikuti oleh dua tingkat di bawahnya dengan majalah-majalah. Dan di bahagian paling bawah, terisi dengan buku tulis dan buku teks sekolah  anak-anaknya.
Di sisi rak-rak itu pula, terlonggok dua buah beg sekolah dan di depan rak itulah ada meja jepun. Mungkin di meja itulah tempat anak-anak ini membuat kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran mereka kerana kulihat di atas meja rendah itu juga ada beberapa tompok buku teks dan buku tulis.
Malas hendak memikirkan tentang Nurin, aku bangun menguakkan daun tingkap yang hampir tertutup di belakang kami membiarkan angin petang menyerbu masuk. Aku harap Kak Roha tidak mengambil masa yang lama kerana kami perlu berangkat pulang setelah bertemunya nanti.
Aku bimbang jika tidak dapat menemui jalan pulang kerana aku sendiri sudah agak lupa dengan jalan masuk ke rumahnya tadi, berpusing-pusing, berliku-liku, bercabang-cabang. Harap-harap, Nurin masih mengingatinya. Perkara itulah yang hendak kutanyakan pada Nurin tapi Nurin tidak mahu melayanku.
Aku menjengah ke luar tingkap. Beberapa orang kanak-kanak, lelaki dan perempuan sedang bermain di bawah pohon manggis tidak berbuah, di belakang dapur jiran sebelah kanan rumah Kak Roha. Melihatkan keriangan mereka bermain, bagaikan tidak percaya akan kesedihan yang sedang melanda di dalam rumah ini.
Aku baru bercadang untuk berbual lagi dengan Nurin sewaktu aku berpaling ke arahnya tetapi hajatku itu terbantut kerana kulihat Nurin sedang leka membelek sebuah majalah Mingguan Wanita di sofanya. Mungkin untuk menghilangkan rasa bosan menunggu, dia mengambil kesempatan untuk membaca.
Aku tahu, Nurin memang minat membaca. Dia membaca tanpa mengambil kira masa dan tempat. Sedang aku memandu kereta dan mencari arah ke rumah Kak Roha tadi pun, dia masih sempat lagi membaca novel yang dibawanya.
Kalau ada anugerah Tokoh NILAM untuk golongan dewasa, sudah tentu aku akan mencalonkan namanya. Aku tersenyum melihat gelagat temanku ini yang telah mulai tenggelam dalam pembacaannya.
Mungkin itulah agaknya, kami serasi sebagai teman serumah. Aku dengan hobiku, menulis manakala Nurin dengan hobinya, membaca. Kami berbual hanya semasa makan atau menonton televisyen. Masa-masa terluang yang lain, kami isikan dengan hobi masing-masing. Nurin di biliknya, manakala aku di bilikku.
Kalau kami perlukan apa-apa, kami akan bermesej sahaja. Kadang-kadang, aku menghantar miss call. Nurin juga sudah masak dengan tindakanku. Dia akan menjengah ke bilikku untuk mengetahui apa perluku. Memang aku suka berkawan dengan Nurin. Dia tidak pandai bercerita perihal orang lain. Selalunya, kami berbincang tentang apa yang dia baca dan juga tentang apa yang aku tulis.
Idea untukku menulis selalunya datang daripada Nurin. Katanya, dia banyak idea tetapi tidak dapat diluah dan dikembang dalam bentuk penulisan. Akhirnya, idea-idea itu dikongsinya denganku.
Aku menterjemahkannya dalam bentuk tulisan dengan penambahan idea-ideaku pula. Selepas itu, kami akan berbincang lagi sehingga kami betul-betul berpuas hati dengan hasil tulisanku.
Wan Jamilah datang kemudiannya sambil menatang sedulang minuman manakala  Wan Jamnah membawa sepiring kuih dan mangkuk kecil berisi air basuh tangan, mungkin.
“Jemput makan Kak Mas dan Kak…errr,”
“Kak Nurin,” sahut Nurin, baru teringat hendak memperkenalkan diri.
“Ya, Kak Nurin.” Wan Jamilah tersengih. Wajah gadis itu memerah sedikit. Kelihatan lebih manis dibandingkan dengan sewaktu menyambut ketibaan kami tadi.
“Berapa umur Jamilah yang sebenarnya?” Hmm…tanpa disedari, aku sudah mulai bertanya lagi. Sebetulnya, aku sekadar inginkan kepastian.Tapi kali ini, nampaknya Wan Jamilah tidak keberatan untuk melayaniku kerana kulihat wajahnya jernih sahaja tidak seperti masa aku mula-mula tiba tadi.
“Bulan lima nanti, lima belas tahun,” sahutnya.
“Milah PMR tahun ni,kan?”
“Ya, tapi….,” suara Wan Jamilah semakin menurun.
“Insya ALLAH. Milah akan sempat menduduki PMR nanti,” ujarku, memberikannya semangat.
Mungkin Wan Jamilah bimbang seandainya dia tidak sempat menduduki peperiksaan PMRnya. Aku difahamkan, kandungan Wan Jamilah sekarang sudah masuk keenam bulan. Bermakna, lebih kurang tiga bulan lagi, dia akan melahirkan anaknya. Tiga bulan. Aku mencongak-congak. Sekarang baru bulan dua, tiga bulan lagi bulan lima.
Bulan lima. Mungkinkah Wan Jamilah akan bersalin pada hari lahirnya sendiri? Pandai-pandailah pula aku mereka fakta. Jika bulan lima dia bersalin, bermakna dia sempat menghabiskan pantangnya dan mengulangkaji pelajaran kerana peperiksaan  PMR akan diadakan pertengahan bulan Oktober.
“Bolehkah Milah ambil PMR?” Wan Jamilah sepertinya bersuara kepada dirinya sendiri.
“Insya Allah, Milah boleh,” ujarku cuba menjernihkan hatinya. Wajah mendung bagaikan menakung air itu seolah-olah diberi nafas baru setelah mendengar kata-kataku.
“Emak kata, Milah boleh ambil PMR tapi Milah…” Kata-kata Wan Jamilah tergantung di situ. Aku cuba mencari makna di sebalik ungkapannya yang tergantung itu.
“Apa yang Milah gusarkan ? Kak Mas kan ada. Akak akan bantĂș Milah.” Aku memberikan harapan. Bukan harapan sebenarnya tetapi janji. Janjiku untuk melihat Wan Jamilah bangkit semula dari kisah kelam hidupnya.
“Milah segan, kak,” Ada sendu dalam nada suara Wan Jamilah.
“Milah jangan risau, Kak Mas akan berjumpa dengan pengetua sekolah. Mungkin Milah tidak perlu ke sekolah buat sementara waktu ini. Milah akan belajar di rumah sahaja. Kak Mas akan cuba sedaya-upaya untuk membimbing dan membantu Milah.” Aku berjanji lagi.
Selesai urusanku dengan Kak Roha, aku akan menemui pengetua sekolah tempat Wan Jamilah belajar. Aku terus berkira-kira apabila terdengar laungan salam di serambi. Mungkin Kak Roha sudah pulang.

MTD Fragmen 2 - Bab 1




CERITA MAS KHAIRANI
BAB 1
“Emak mana?” tanyaku sebaik sahaja terlihat kelibat kepala seorang kanak-kanak perempuan  tersembul di muka pintu selepas dia menjawab salam yang kulaungkan sebentar tadi.
“Emak belum balik lagi. Ini Kak Mas, ya?”  sahut kanak-kanak perempuan itu, menyapaku dengan suara yang lunak. Rambut hitamnya jatuh terjuntai di dahi saat matanya yang bundar itu merenung ke arahku.
“Ya.” Aku mengangguk-anggukkan kepala.
“Mak  pesan, kalau kakak datang, mak suruh naik dulu. Tunggu mak di rumah. Mak pergi tak lama,” terang anak itu lagi. Sejurus kemudian, daun pintu rumah itu telah lebar dikuaknya.
“Emak ke mana?” soalku inginkan kepastian kerana emaknya telah berjanji untuk menanti ketibaan kami.
“Emak keluar sebentar,” sahutnya lagi. “Tapi…, emak pesan suruh Kak Mas tunggu sehingga emak pulang.” Dia bagaikan teragak-agak untuk menuturkan kalimat itu, agak serba-salah juga.
Aku memandang Nurin di sisi. Nurin mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda bersetuju untuk menantikan kepulangan emak kanak-kanak perempuan ini. Sudah jauh kami berjalan dan sudah beberapa kali juga kami tersesat, mana mungkin kami akan pulang dengan tangan kosong dan mengalah begitu sahaja.
“Baiklah,” putusku akhirnya setelah mencongak-congak seketika. Pun kerana tidak mahu Nurin gelisah. Kami menanggalkan kasut dan kemudiannya aku mendahului Nurin, melangkah mendaki tujuh anak tangga itu dengan hati-hati.
“Adik ni Wan Jamilah, ya?” tanyaku sebaik sahaja telah tegak berada di serambi, sekadar meneka-neka namun kupasti, tekaanku benar.
“Ya,” sahutnya terbata-bata sambil menghulurkan tangan padaku. Aku menyambut hulurannya, sejuk tapak tangan itu. Dia menciumi tanganku dan selepas itu aku memeluknya, melagakan pipi kami , kiri, kanan dan kiri semula sambil mengusap-usap kepalanya.
Seorang lagi kanak-kanak perempuan muncul dari belakang, mungkin adiknya kerana wajah mereka hampir sama.
“Ini Wan Jamnah,” ujarnya memperkenalkan tanpa dipinta. Anak kecil itu turut bersalaman dengan kami. Manis dan sopan sekali tingkah-lakunya walaupun masih terlalu kecil. Dalam lingkungan lima atau enam tahun usianya mungkin. Agaknya memang telah dididik sedemikian rupa oleh ibunya.
“Mana Nik Jamali?” Aku sekadar bertanya kerana aku tidak melihat kanak-kanak lelaki di mana-mana. Sebelum ini aku difahamkan bahawa Kak Roha memiliki tiga orang anak, dua perempuan dan seorang lelaki. Kalau yang perempuan-perempuannya sudah berada di hadapanku, pastilah yang seorang lagi itu lelaki iaitu Nik Jamali.
“Jamali temani emak.”
“Emak ke mana sebenarnya?” Wajarkah aku bertanyakan soalan itu? Tapi apakan daya, aku sudah terlanjur bertanyakannya. Bukan dibuat-buat tetapi serius, aku memang ingin tahu.
“Err…emak ke farmasi, beli ubat gastrik.”
“Gastrik? Siapa yang kena gastrik?” Ah, aku ini. Masih sahaja terus bertanya. Nurin menyikuku. Aku menoleh ke arahnya dan tersenyum sumbing. Bukan berniat untuk menjaga tepi kain orang tetapi sekadar inginkan kepastian. Dengan isyarat tangannya, Wan Jamilah mempelawa kami duduk.
“Emak,” sahut Wan Jamilah kemudiannya. Kami melabuhkan punggung di atas setti rotan beralas kusyen kusam warna hijau pudar di ruang tamu yang agak sempit itu.
“Dah lamakah mak sakit? Kenapa beli ubat di farmasi? Kenapa emak tak pergi ke klinik kerajaan sahaja?” Nurin sudah mulai buat-buat tidak faham dengan pertanyaanku yang bertalu-talu itu. Mungkin juga kerana dia  telah memahami tabiatku, selagi tidak berpuas hati tentang sesuatu perkara pasti aku akan terus menyelidikinya dan tidak akan berhenti bertanya. Polis Pencen, kata Nurin menggelarku.
“Entahlah, kak. Milah pun tak tahu. Akak berdua duduklah dulu, ya. Milah ke dapur bancuh air,” sahut Wan Jamilah sambil bangun untuk meninggalkan kami. Mungkin juga dia ingin menutup peluang untukku terus mencungkil rahsia. Anak gadis itu yang telah dewasa sebelum masanya.
Aku lihat Wan Jamilah bangun dengan agak perlahan, cuba mengimbangi badannya dengan perut yang semakin membuncit. Kasihan gadis sunti ini. Sepatutnya, dalam usia yang sebegini, dia sedang bermain dengan rakan-rakan sebayanya, melompat-lompat di tengah padang atau berbasikal keliling kampung.
Tetapi, entah apakah malang nasibnya, gadis sunti  ini terpaksa menanggung bebanan kehidupan yang tidak sepatutnya menimpa dirinya yang masih terlalu muda. Beban hidup yang mungkin juga tidak tertanggung oleh orang yang lebih dewasa. Rasa simpatiku semakin merimbun.
Aku meneliti pergerakan Wan Jamilah yang agak lambat. Dia berdiri di depanku. Gadis kecil dengan kulit agak cerah. Cerah kulit anak gadis Melayu, bukannya betul-betul putih melepak. Cukup sesuai dengan raut wajahnya yang sederhana, manis dan ayu gadis Melayu. Kecantikan yang alami dengan hidung sedikit pesek, bibir kecil yang pucat dan mata bundarnya redup memandangku. Dia beralih menuju ke dapur.
Aku mengeluh perlahan. Perasaan kasihanku jatuh padanya. Kutoleh Nurin di sisi. Dia tidak memandangku tetapi sebaliknya, matanya menerawang ke segenap ruang tamu yang agak sempit itu. Entah apa yang ditenungnya seolah-olah sedang mentafsir sesuatu. Nurin yang teliti dan perasa orangnya.
“Polis Pencen,” bisiknya. Aku hanya tersengih. Aku tahu, Nurin tujukan ungkapan itu kepadaku tapi aku tidak terasa hati kerana sudah terbiasa mendengar gelaran itu disebut-sebutnya. Dia sengaja mengusikku.