Ahad, 12 Oktober 2014

MTD Bab 18

BAB 18
Arah haluanku bertukar lagi, tidak jadi ke rumah Kak Julie tetapi berpatah balik  menuju kembali ke rumah ibuku. Harap-harap ibu sudah tidur. Aku boleh curi-curi masuk melalui pintu belakang. Aku merangka-rangka sendiri perancanganku. Memang aku tak punya tempat lain untuk berlindung kecuali di rumah ibu.
Malam masih muda tapi aku rasa takut yang amat. Peluh memercik keluar dari seluruh liang di tubuhku. Tapak kaki terasa melecet dan sakit. Urat keting dan urat betisku terasa mencengkam. Namun aku teruskan juga langkah kaki.
Kalau diikutkan rasa letih dan sakit-sakit kakiku, ingin saja aku berhenti di tepi jalan ini. Duduk melunjur di atas tembok batu dan mengurut kakiku yang terasa bisa-bisa. Tapi, aku perlu gagahkan juga kakiku melangkah.
Hatiku sedikit berbunga riang saat kakiku telah melangkah di atas aspal menuju ke rumah kecil kami. Cepat-cepat kugesa kakiku agar bergerak laju. Nafasku pendek-pendek dan termengah-mengah. Hampir sepetang ini aku belum duduk dan berehat. Aku berjanji tidak akan merajuk lagi dengan ibu.
Kali ini aku mahu berterus-terang sahaja dengan ibu dan aku akan memujuk ibu perlahan-lahan agar sudi menerima  Abang Mahadi sebagai menantunya. Menantu? Aduh, betulkah Abang Mahadi bersungguh-sungguh mahu memperisterikanku? Mudah-mudahanlah, ya ALLAH. Hatiku yang panas kembali terasa dingin.
Langkah kakiku terhenti tiba-tiba. Di hadapan rumah ibu ada sekelompok manusia. Masing-masing memegang kayu dan lampu picit. Aku tidak nampak ibu dalam gerombolan itu. Ibu! Apa yang telah terjadi ke atas ibu? Aku jadi cuak. Adakah ibu sakit? Ibu, ibu, maafkan Roha. Aku berlari-lari menuju ke laman rumah. Air mataku berhamburan lagi.
Semua yang ada di situ turut terpegun. Mereka berpusing serentak memandangiku yang sedang berlari dengan esak tangis menuju ke tangga rumah.
“Ibu, ibu,” laungku dalam tangisan yang menggila. Apabila kelompok itu terbuka sedikit untuk memberi laluan kepadaku, barulah aku nampak ibu yang sedang terduduk di atas anak tangga rumah yang paling bawah sambil kepalanya disandarkan di bahu Mak Enun.
Ibu juga terpegun memandangku. Dia bangun sambil mengesat-ngesat air matanya.
“Ibu, ampunkan Roha, bu. Maafkan Roha.” Kami saling berpelukan dan bertangis-tangisan tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang.
Setelah tangisan kami agak mereda, ibu berkata padaku, “Roha naik dulu, bersihkan badan dan tukar pakaian.” Aku mengangguk-anggukkan kepala dan menapak naik ke atas rumahku.
“Terima kasih semua dan maafkan saya kerana menyusahkan encik-encik.” Aku dengar ibu menuturkan begitu kepada sekelompok manusia di bawah sana.
“Tak apalah Puan Sarah. Memang tanggungjawab kita hidup bermasyarakat. Susah senang kita kongsikan bersama.” Aku juga terdengar seorang lelaki berkata sedemikian.
“Kami balik dulu, Puan Sarah. Syukurlah Roha dah balik dengan selamat. Jangan dimarah sangat budak itu nanti takut dia lari lebih jauh lagi. Banyak sangat kes-kes jenayah sosial yang berlaku sejak akhir-akhir ini,” seseorang pula menyampuk seperti wartawan berita tempatan pula.
Aku tidak ambil kisah lagi apa bicara mereka yang di bawah itu. Berbincanglah apa sahaja, aku tidak peduli lagi. Aku mahu bersihkan diriku yang sudah berbau hanyir. Aku ingin mandi, solat dan mengkhadakan solat-solat yang aku tinggalkan sepanjang hari ini.
Selesai mengurusi diriku, aku ingin sahaja melelapkan mataku yang sudah terasa amat berat ini namun perutku berkeroncong minta diisi. Sebaik sahaja selesai melipat kain telekung, ibu menjenguk ke dalam bilik, “Mari makan dengan ibu, Roha.” Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, aku tergesa-gesa menyangkut kain telekungku dan mengekori ibu ke dapur.
Perkara pertama yang aku lakukan ialah mencapai gelas dan memenuhkannya dengan air suam. Tekak yang kehausan perlu kubasahi. Agak rakus juga aku meneguk air itu. Rasanya seperti sudah berbulan-bulan aku kedahagaan. Gelas yang sudah kosong itu kupenuhkan lagi. Dua gelas air masih belum mencukupi.
“Roha, makan nasi dulu baru minum air,” tegur ibu sambil mencedukkan nasi ke dalam pingganku. Perasaan aku sedikit terharu kerana dilayan semesra ini oleh ibu. Aku akur nasihat ibu. Gelas air yang ketiga kutinggalkan separuh. Aku menyambut huluran mangkuk air basuh tangan daripada ibu.
Kami makan dalam diam dan ibu menyiramkan beberapa sudu kuah gulai lemak ikan keli ke dalam pinggan nasiku. Aku diam sahaja. Timbul sedikit kekesalan di hatiku kerana menyangka ibu sudah tidak mengasihiku, juga kerana bencinya aku terhadap ibu petang tadi. Baru sekali dimarah ibu, aku sudah bertindak sedemikian rupa. Rasa kesal yang menggunung menjalar  ke seluruh urat sarafku. Air mata yang mahu mengalir lagi, kukesat perlahan.
Aku juga terperasan yang ibu asyik mengelap matanya dengan lengan bajunya. Mungkin ibu juga sedang bersedih sepertiku. Aku ingin mengucapkan terima kasih dan kata maaf kepada ibu tapi aku tidak mampu untuk meluahkannya. Aku tahu, setiap butir bicaraku pasti akan berhamburan keluar bersama seiring dengan air mata kesalku.

Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk diam sahaja dan menyuap nasiku dengan penuh hati-hati. Perut yang lapar ini bagaikan bersyukur kerana telah diisi dengan makanan yang enak-enak ini. Kasihan ibu, terpaksa mengerahkan jiran tetangga untuk mencariku. Nasib baik aku cepat balik, kalau aku bermalam di rumah Kak Julie, tentu ibu tambah susah hati.

MTD Bab 17

BAB 17
Aku menuruni tebing berumput yang bercerun landai. Beberapa ekor belalang kunyit berterbangan dilibas kain baju kurungku. Nafasku juga termengah-mengah. Letih kerana berjalan laju-laju dan juga rasa marah yang meluap-luap  dalam dada.  Beberapa batang ranting kayu kering daripada pokok kapal terbang kupatah-patahkan dan kubaling ke udara.
Aku terus berjalan dan berjalan sampai satu saat aku tidak tahu mahu berjalan ke mana lagi. Perlahan-lahan kutelusuri lorong kecil menuju ke sebuah tasik lama. Tasik yang terbentuk daripada bekas tapak lombong yang jarang dikunjungi orang ramai.
Mungkin di situ aku boleh temui ketenangan. Lagipun kawasan tasik ini sunyi dan agak jauh daripada pandangan orang ramai. Aku ingin mencari ketenangan diri buat seketika. Seorang lelaki kurus sedang menebarkan jala di tengah tasik lombong sambil berdiri di atas sampannya. Matahari petang yang memancarkan seri cahayanya terbias di tengah air yang tenang itu.
Aku merenung air tasik berwarna kelabu dengan kehijauan dasarnya yang tenang dan damai itu. Damai permukaannya namun tidak sedamai hatiku. Aku kecewa dengan cara ibu melayaniku. Ibu yang terus sahaja menembakku tanpa sempat aku menepis. Aku tidak diberikan peluang untuk menerangkan rasa hatiku.
Kerikil-kerikil kecil itu kusepak perlahan-lahan, sedikit terlontar ke udara dan sedikit lagi pecah berderai di kaki. Aku membongkok, mencapai sebutir kerikil yang sudah terdampar di hujung jari kakiku lalu kulontarkan ke dada tasik hijau.
Kocak air tasik itu bergegaran menghasilkan gelombang kecil yang semakin menguak. Kutunduk lagi untuk mengutip kerikil langsung membalingnya ke dada tasik. Puaskan hatiku untuk melepaskan perasaan marah dan kesal. Bagaimana ibu boleh berpura-pura tidak tahu apa-apa sedangkan ibu tahu segala-galanya tentang aktivitiku melalui Mak Cik Radio dan Encik Rosman Perisik. Ibu terlalu berahsia denganku. Aku jadi malu sendiri.
Tapi, mungkin juga ibu tidak mempercayai kata-kata mereka berdua itu kerana ibu tidak  pernah memarahi aku sebelum ini. Ibu hanya cuak apabila terjumpa baju kurung sutera Terengganu di dalam kotak pakaian lama sahaja. Sikapku yang mengunci mulut dengan wajah bersalah sahaja yang menjadi penyebab ibu mencurigaiku. Aku yang sengaja membongkar rahsiaku sendiri.
Ibu. Aku jadi mahu menangis. Aku menyayangi ibu tetapi aku juga menyayangi Abang Mahadi walaupun aku baru mengenali Abang Mahadi hampir-hampir tiga bulan. Bagaimana ibu tidak boleh menerima pilihan hatiku. Apa salahnya Abang Mahadi? Apa kurangnya Abang Mahadi?
Janganlah hanya kerana rumahtangga ibu berantakan, ibu jadi benci lelaki dan ibu tidak mengizinkan aku bahagia. Aku mengeluh dan menangis lagi. Kuseka air mata di pipi yang sekejap kering dan sekejap basah. Kukesat hidungku yang basah dengan pergelangan baju kurungku. Ibu tidak adil. Kalau ibu tidak bahagia, apa perlunya ibu mengheretku untuk turut sama tidak bahagia sepertinya.
Petang kian menginjak ke penghujungnya. Remang-remang senja kian muncul di kaki langit. Aku tidak ingin pulang. Aku masih terasa hati dengan ibu. Ibu tidak memberi aku pilihan. Adakah gadis yang seusiaku ini masih mahu dikongkong-kongkongnya?
Aku ini sudah cukup dewasa. Sudah tahu membezakan mana yang buruk dan mana yang baik. Sambil melangkah, mulutku masih sahaja terkumat-kamit mencela sikap ibu terhadapku. Aku benar-benar tidak puas hati. Sudahlah aku tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran, kini tidak dibenarkan pula untuk memiliki kasih sayang seorang lelaki.
Ibu nak suruh aku buat apa sebenarnya? Ibu nak suruh aku jadi apa sebenarnya? Ibu nak simpan aku sampai bila?
Senja mulai berlabuh tiba, agas dan nyamuk semakin banyak menghurungiku. Aku menepis kiri dan kanan. Cukup tidak selesa dengan situasi ini. Perutku pula sudah berbunyi-bunyi minta diisi. Aku hendak merajuk sampai bila?
Apa khabar ibu di rumah? Tentu ibu sedang ternanti-nanti kepulanganku. Tentu juga ibu sedang resah gelisah. Ah, biarlah ibu nak resah gelisah pun! Bukan aku peduli. Biar ibu risau dan bimbang. Biar ibu tak punya aku lagi. Ibu yang sudah tidak menyayangiku. Lagipun ibu itu lebih sayangkan gelegar rumahnya berbanding dengan diriku.
Pelbagai kejadian buruk berlaku sejak akhir-akhir ini. Anak-anak gadis ditangkap, diperkosa, dibakar dan dibunuh sesuka hati. Tiba-tiba sahaja aku jadi ngeri.
Mataku meligas ke sekeliling. Bimbang pula jika ada mata-mata jahat yang sedang merenungiku. Langkah kaki kuayun laju. Terkadang, aku berlari-lari anak seolah-olah sedang dihambat sesuatu. Rasa gerun dan takut menguasai hatiku.
Aku tidak ingin pulang tapi aku harus pergi ke mana? Rumah siapa yang boleh aku jadikan tempat menumpang bermalam? Dalam letih dan lelah itu, aku terus menghayunkan langkah. Aku teringatkan Kak Julie.
Dalam kelam malam itu, aku mengukirkan senyuman. Aku sudah ada arah tuju. Aku hendak ke rumah Kak Julie. Tentu Kak Julie tidak keberatan untuk membenarkan aku bermalam di rumahnya barang semalam dua.
Aku masuk ke satu lorong kecil bertar dan langsung bergegas menuju ke rumah Kak Julie. Peluh merintik-rintik di dahi dan badanku. Baju kurungku sudah masam dengan bau peluh. Aku rasa tidak selesa. Aku melangkah cepat-cepat agar segera  sampai di rumah Kak Julie.
Dari jauh, aku nampak kelip-kelip lampu rumah Kak Julie. Semakin aku menghampiri rumah kecil itu, semakin aku berdebar-debar. Di hadapan rumah Kak Julie tertonggok sebuah motosikal. Kak Julie tidak memiliki motosikal, jadi motosikal kepunyaan siapakah itu?
Aku teragak-agak namun langkah kaki tetap kuteruskan. Rumah Kak Julie semakin kudekati. Ada suara-suara berbual saling bertingkah di dalam sana. Aku tidak berani untuk melaung namanya.
Aku menjenguk sedikit melalui lubang tingkap cermin yang agak jarang. Aku nampak Kak Julie tapi aku tidak nampak lelaki yang duduk membelakangiku. Aku tidak tahu siapakah lelaki itu, mungkin saudara Kak Julie. Sepertinya aku pernah melihat lelaki itu tetapi aku tidak dapat menekanya sekarang. Kepalaku sedang berserabut.

Aku tidak jadi mengetuk pintu rumah Kak Julie. Aku segan untuk mengganggunya lebih-lebih lagi dia sedang melayani tetamunya.  Aku berpatah balik. Aku perlu pulang kerana aku tidak punya arah tujuan lagi. Biar apapun yang berlaku, aku akan berdepan dengan ibu. Aku akan mempertahankan hubunganku dengan Abang Mahadi.

MTD Bab 16

BAB 16
Perhubunganku dengan Abang Mahadi berterusan di luar pengetahuan ibu. Aku masih  keluar dengannya dan semakin mengizinkan dia memperlakukanku semahunya. Aku bahagia diperlakukan sebegitu. Aku rasa disayangi dan dicintainya dengan setulus hatinya.
Dalam hidupku hanya ada Abang Mahadi. Aku tidak memikirkan lagi tentang perasaan dan keresahan hati ibu. Aku juga semakin melupai intipan Encik Rosman Perisik juga pandangan tajam mata Mak Enun Mak Cik Radio.
Mak Enun yang semakin kerap kutemui saat aku pulang dari gerai dan makin kerap mengunjungi rumahku sehingga aku tidak  lagi membenarkan Abang Mahadi menungguku di sebalik rumpun pisang. Aku tidak mahu Mak Enun menjaja cerita buruk tentang perhubunganku dengan Abang Mahadi pula.
Biarlah dia terus berprasangka terhadap Encik Rosman tetapi bukan terhadap Abang Mahadiku sayang. Encik Rosman yang terkadang memandangku dengan pandangan yang tajam dan apabila aku membalas renungannya, dia akan mengangguk-anggukkan kepala seperti ada sesuatu yang didendaminya sebelum beredar.
“Roha,” ibu memanggilku. Saat itu, aku sedang duduk berjuntai kaki di atas pangkin bawah pokok manggis yang rendang dengan daunnya yang merimbun sambil membaca novel kegemaranku. Hari ini hari Ahad, kami baru selesai membeli-belah di pekan pagi tadi. Petang ini kami hanya berehat-rehat di rumah.
“Ya, bu,” aku menyahut sambil mendongak ke arah ibu yang sedang memandangiku dari muka tingkap di atas rumah.
“Sini sebentar, ibu ada hal nak tanya Roha,” ujar ibu dalam nada yang rendah tapi sedikit keras. Aku jadi ragu-ragu dengan permintaan ibu. Selalunya, selepas menunaikan solat Zohor, ibu akan menyertaiku di atas pangkin kecil ini. Kadang-kadang, kami menjahit pakaian yang terkoyak dan kadang-kadang, kami sama-sama melipat kain yang baru diangkat dari ampaian.
Tapi kali ini berlainan pula. Ibu tidak mahu turut serta bersamaku tetapi ibu mengajak pula aku naik ke rumah. Bukankah agak hangat pijar di dalam rumah waktu-waktu begini? Namun untuk tidak menghampakan harapan ibu, aku penuhi juga permintaannya. Novel yang sedang kubaca, kutandakan muka suratnya dan kuletakkan di atas pangkin.
Dalam pada itu, mindaku masih sahaja mereka-reka, apa hajatnya ibu memanggilku. Perlahan-lahan anak tangga kecil itu kujejaki dan sebaik sahaja telah tegak di serambi, fikiranku jadi tidak keruan. Di tangan ibu tergenggam erat baru kurung moden kain sutera Terengganu yang dihadiahi Abang Mahadi.
“Ibu kenapa?” Entah bagaimana, spontan sahaja soalan itu meluncur laju dari celah kedua bibirku. Sebenarnya, aku ingin tahu bagaimana ibu bisa temui baju itu yang kusorokkan di dalam kotak bersama-sama baju lamaku nun jauh di dasar sana. Ibu ini memang tiada kerja lain, asyik mahu menyelongkar pakaian lama sahaja.
“Roha tanya ibu, kenapa? Ini baju siapa ni? Dari mana Roha dapat baju ni? Siapa yang bagi?” Bertubi-tubi soalan ibu membuatkan aku bertambah bungkam.
“Roha, apa semua ni?” Ibu sudah mulai mengongoi-ngongoi seperti selalunya. Aku tidak suka lihat ibu menangis.
“Roha bagitahu ibu, ini bukan kain yang Mahadi bagi,kan?” Ibu minta kepastian tapi ibu sendiri yang telah menetapkan jawapannya. Aku tidak tahu apa salah Abang Mahadi sehingga ibu tidak menyukainya.
“Roha, cakaplah. Kenapa buat ibu begini? Jadi, betullah kata Cik Enun yang kau selalu bertemu Mahadi di bawah rumpun pisang? Jadi betullah kata Rosman yang kau selalu menyelinap keluar malam untuk bertemu Mahadi? Betulkah Roha? Betulkah?”
Aku kaku. Pucat lesi. Toreh tak berdarah. Memang Mak Enun dan Encik Rosman mulut tempayan. Mulut tempayan? Mulut tempayan boleh ditutup. Ini mulut manusia tak ada insuran. Suka mencampuri urusan orang lain sedangkan diri sendiri pun tidak terjaga.
“Roha, kenapa diam? Betulkah semua itu?” Aku terperangkap dan aku tidak perlu kata apa-apa untuk mempertahankan pembohonganku. Aku ingin lari dari sini. Lari jauh daripada ibu. Ibu yang tidak menyukai lelaki kesayanganku. Aku benci ibu. Aku malu, ibu tahu tembelangku terbongkar.
Aku berpusing dan lari menuruni tangga. Air mataku merembes keluar. Aku ingin lari jauh-jauh tapi aku tidak tahu mahu lari ke mana. Aku hampir sahaja terlanggar Mak Enun yang berdiri di laluanku sambil terkebil-kebil memandangku. Mak Enun yang semakin kerap mengunjungi rumah kami pada setiap hari minggu.
Langkahku terhenti. Aku renungi Mak Enun dengan perasaan marah. Sepanas-panas matahari hari ini, panas lagi rasa marah di hatiku.
“Mak Enun jahat. Mulut macam longkang. Suka campur hal orang. Datang sini nak bawa berita apa pula?” aku melepaskan perasaan. Mak Enun kurempuh kasar. Tergolek Mak Enun a.k.a Mak Cik Radio itu di celah pasu bunga ibu. Puas hati aku.
Sempat aku menjeling ke rumah dan bayangan ibu berada di tingkap sana, merenungku dengan perasaan sebal. Ibu mungkin tidak menyayangiku lagi selepas ini. Aku yang telah melanggar ajaran ibu agar menghormati jiran tetangga dan orang yang lebih tua.
Aku jalan laju-laju. Aku tak pandang kiri dan kanan lagi. Biar semua orang tak suka aku. Biar semua orang benci aku. Aku pun benci semua orang. Semua orang nak halang kebebasan aku. Semua orang tidak suka dengan orang yang aku suka. Aku benci ibu. Aku benci Mak Enun. Aku benci Encik Rosman.
“Roha nak ke mana jalan laju-laju ni?” Encik Rosman? Apalah sialnya nasib aku hari ini. Asyik bertemu dengan orang-orang yang menyakiti hatiku sahaja.
“Encik Rosman jangan nak ambil tahu urusan hidup saya. Encik Rosman memang jahat tak boleh tengok orang senang,” kuhamburkan pula rasa amarahku terhadap Encik Rosman. Terkebil-kebil mata Encik Rosman. Mungkin dia terkejut kerana aku memarahinya tiba-tiba.
“Roha kenapa?” Encik Rosman jadi hairan.
“Saya benci encik. Encik tahu tak? Saya tak suka encik jaga tepi kain saya. Tepi dari sini, saya nak lalu.” Aku tidak berani hendak merempuh Encik Rosman seperti aku merempuh Mak Enun tadi.
Encik Rosman badannya besar dan tegap. Kalau aku rempuh dia, sah-sahlah aku yang akan jatuh tunggang-langgang.
“Roha tak boleh pergi selagi belum bagitahu saya apa masalahnya,” sahut Encik Rosman berkeras.
“Encik nak tahu?” Aku bercekak pinggang di hadapannya. Encik Rosman memandang cuak ke arahku. Mungkin kerana inilah kali pertama aku sebegini berani bertentangan dengannya.
“Encik jahat. Encik suka menyibuk urusan saya. Encik suka mengintip gerak-geri saya dan mulut encik macam longkang suka mengadu-ngadu hal saya kepada ibu,” lancar sahaja suaraku melontarkan kata-kata amarah itu tanpa perlu disediakan skrip terlebih dahulu.
Mulut Encik Rosman terlopong.
“Haaa…dah puas hati? Kalau dah puas hati, tolong ke tepi sikit, saya nak lalu.”
“Roha nak ke mana ni?” Masih sempat Encik Rosman menyelidiki arah tujuanku.
“Ikut suka sayalah. Apa perlunya encik tahu?” Encik Rosman bergerak sedikit, memberikan aku ruang untuk melolosinya.

“Dasar pengintip,” hamburku sebelum melangkah laju meninggalkannya.

MENGUAK TIRAI DERITA - Bab 15

BAB 15
Malam masih muda. Rumah-rumah tetangga masih meriah. Suara anak-anak kecil mengalunkan bacaan al-Quran dan saling bertingkah dengan suara garau sang ayah yang mengajar. Juga ngauman peti televisyen dari arah beberapa buah rumah yang lain.
Malam yang terang-benderang disimbahi cahaya lampu elektrik  di pinggir jalan yang berpadu dengan cahaya sang rembulan menambah meriahnya suasana. Hatiku juga sedang meriah.
Sewaktu melintasi rumah Encik Rosman, aku merenung ke arah rumahnya yang tersergam hitam laksana gergasi angkuh dan sedang merenung tajam padaku. Dadaku bergetaran. Rumah Encik Rosman gelap-gelita. Pintu dan tingkapnya tertutup rapat.
Orang bujang dan sedikit berumur, mungkin dia keluar makan di luar atau mungkin juga sedang berpeleseran dengan gadis-gadis cantik di luar sana. Atau mungkin juga dia sedang melakukan risikan di luar. Aku jadi tersenyum juga pabila teringatkan Encik Rosman Perisik ini.
Aku sedikit lega. Encik Rosman tiada di rumahnya. Sekurang-kurangnya aku tidak terperangkap dalam ‘teguran’nya ataupun dengan perbuatan liarnya. Perlahan-lahan kuhayunkan langkah kaki. Selepas meninggalkan halaman rumah Encik Rosman, aku percepatkan langkah kakiku. Aku tidak mahu Abang Mahadi jemu menanti kedatanganku.
Dalam aku berkira-kira tentang Encik Rosman, aku sudah semakin mendekati jalan besar. Beberapa orang jemaah masih ada di atas beranda surau di simpang jalan. Mereka sedang berbual-bual. Kalau mereka bertanya, aku hendak ke mana? Apa aku nak jawab? Dadaku berdebar-debar juga.
Aku nekad, kalau ada yang bertanya, aku akan katakan, aku hendak ke kedai runcit berdekatan gerai makan ibu. Memang aku akan ke kedai itu dan bagitahu Abang Mahadi supaya batalkan pertemuan kami malam ini.
“Roha, nak ke mana?” Kan sudah ada yang menegurku.
“Errr…ke kedai, pak cik,” ujarku kepada Pak Cik Ayob yang sedang menyarungkan seliparnya. Entah masa bila pula dia sudah berada di hujung tangga surau itu.
“Ibu mana? Selalu jalan berdua,” kata Pak Cik Ayob lagi.
“Roha keluar sekejap je. Nak beli minyak angin,” sahutku tanpa dirancang. Macam mana pula boleh keluar minyak angin ni? Mungkin kerana benjol di kepalaku masih terasa sengal-sengalnya dan betisku juga terasa keras.
“Dah beli, cepat balik,” perintah Pak Cik Ayob seperti bapa-bapa pula. Aku angguk-angguk kepala dan berlalu pergi. Beberapa kepala terjenggul dari atas dinding surau. Aku pura-pura tidak nampak.
Abang Mahadi telah menungguku di tepi jalan menuju ke kedai runcit. Kawasan itu agak gelap.
“Kenapa lambat?” soalnya sebaik sahaja terlihat kelibatku.
Tanpa menunggu jawapanku, dia terus sahaja menarikku ke dalam dakapannya. Tanpa sebarang isyarat, sekali lagi dia melumati bibirku. Aku sedikit meronta, cuba melepaskan pelukannya. Aku belum bersedia untuk menerima cumbuannya yang tiba-tiba.
Abang Mahadi melepaskanku kemudiannya. Aku termengah-mengah. Sekali lagi aku dilambung perasaan kelainan itu. Entah perasaan apakah  itu? Mungkin saat ini, iblis sedang bergelak ketawa menyaksikan ketewasanku. Aku  terlupa segala pesanan dan nasihat ibu. Aku damai di dalam pelukan  Abang Mahadi. Aku mengingininya lagi. Ah, terdesak sangatkah aku ini?
“Abang, malam ni, kita tak boleh keluar,” ujarku perlahan.
“Kenapa?” tanyanya sambil merenung mataku. Muka kami terlalu dekat. Aku hampir tewas.
“Roha terserempak dengan orang kampung tadi. Roha cakap nak ke kedai saja,” aku menjelaskan.
Abang Mahadi tunggu di luar manakala aku masuk ke dalam kedai untuk membeli minyak angin dan panadol. Ada juga alasannya kalau ibu bertanya nanti. Manalah tahu kalau-kalau Pak Cik Ayob ada menyampaikannya kepada ibu. Nanti boleh aku bagitahu ibu, aku ke kedai sendirian kerana tidak mahu mengganggu ibu tidur. Lagipun, malam masih muda.
Malam ini Abang Mahadi hanya membawa aku pusing-pusing keliling bandar yang berhampiran, bukan bandar besar tempat kami pergi semalam. Kami singgah makan yong tau fu di gerai sebelum Abang Mahadi menghantar aku pulang. Abang Mahadi meninggalkan motosikalnya di pinggir jalan sebelum turun dan berhasrat untuk mengiringiku sehingga ke halaman rumah.
“Tak apa, bang. Biar Roha balik sendiri,” ujarku, menolak budinya.
“Abang tak senang hati kalau tak lihat sendiri Roha naik ke rumah,” balas pula Abang Mahadi. Aku terharu dengan keprihatinannya.
“Tak mengapa. Roha dah biasa dengan jalan ni. Lagipun, rumah Roha tak jauh lagi dari sini.” Aku masih berkeras namun tetap menolaknya dengan baik. Aku tidak mahu menggurisi perasaan Abang Mahadi.
Aku tidak boleh membenarkan Abang Mahadi menghantar aku pulang. Aku tidak mahu tertangkap oleh jiran-jiran yang mungkin masih belum tidur atau yang sedang mengambil angin malam di beranda rumah. Abang Mahadi terpaksa menuruti kemahuanku.
Dan sebelum kami berpisah, Abang Mahadi mengulangi  perbuatannya yang sama, mencumbuiku sepuas hatinya dan aku tidak membantah. Aku sudah semakin menghayati setiap perlakuannya. Aku biarkan dia berbuat apa sahaja kerana aku juga mengingininya.
“Jalan baik-baik, ya,” pesan Abang Mahadi.

Aku mengangguk-anggukkan kepala sambil melepaskan tangan kami yang masih bertaut, perlahan-lahan. Sesekali, aku menoleh ke belakang, melihat Abang Mahadi yang masih lagi berdiri di sisi motosikalnya sambil memandangiku. Aku melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Diri terasa amat disayangi dan dilindungi oleh Abang Mahadi yang kucintai.

MENGUAK TIRAI DERITA - Bab 14

BAB 14
Selesai memasak makan malam, aku menghidangkannya di atas meja makan seperti tiada apa yang berlaku. Aku menjeling ibu yang telah mulai bersiap-siap untuk menunaikan solatnya. Dia bertelekung dan duduk di birai katilnya. Selalunya, ibu akan begitu selepas solat Maghrib sementara menantikan masuk waktu solat Isyak.
Biasanya ibu akan mengaji al-Quran tetapi malam ini aku tidak melihat ibu memegang mushaf al-Quran. Dadaku jadi berdebar-debar lagi, sepertinya ada sesuatu yang ingin ibu khabarkan. Adakah Encik Rosman telah mengadu kepada ibu tentang perbuatanku di dalam rumpun pisang petang tadi?
Aku tidak takut kalau Mak Enun mengadu tentang perbuatan Encik Rosman terhadapku tetapi aku lebih takut kalau Encik Rosman sendiri yang mengadu perihalku dengan Abang Mahadi.
“Roha,” panggil ibu.
“Ya, bu.” Aku menghampiri ibu yang duduk berjuntai kaki di birai katil, cuba berlagak setenang yang mungkin.
“Mari sini dekat ibu.”  Aku tidak membantah meskipun ada sedikit perasaan cuak yang melingkari hatiku.
“Ada apa, bu?” Aku melabuhkan punggung di sebelahnya, masih juga mengawal nada suaraku.
“Roha, kita ini orang perempuan. Kita kena pandai jaga diri, jaga maruah diri dan keluarga.” Aku menekur mendengar nasihat ibu, alunan di dalam dadaku membuak-buak. Tentu Encik Rosman sudah melaporkan perbuatanku dengan Abang Mahadi petang tadi..
“Ibu bukan menyekat kebebasan Roha tapi ibu tidak mahu Roha tersalah langkah. Kita orang perempuan ini ibarat tebu. Banyak manisnya. Semua orang lelaki suka padanya tetapi jangan sampai setelah habis manis kita disedutnya, hampas kita dibuang begitu sahaja,” ibu menuturkan kata-kata nasihat itu sambil mengelus-elus rambutku.
“Ibu tidak mahu Roha menyesal di kemudian hari. Ibu bukan menghalang Roha berbaik dengan Mahadi tetapi kebaikan itu perlu ada batasannya. Jangan letakkan harga diri kita terlalu murah di mata lelaki. Nanti kita akan diludahnya.” Aku mendongak memandang wajah ibu. Ibu sudah mulai memberi komen tentang Abang Mahadi. Aku tertanya-tanya.
“Ibu nampak apa yang Mahadi buat di gerai tadi.” Akhirnya, ibu meluahkan juga kegusaran hatinya. Aku mengetap bibirku, terkenangkan kucupan Abang Mahadi di pangkal pokok pisang. Kalaulah ibu tahu tentang itu, pasti akan lebih panjang tazkirahnya malam ini.
“Maafkan Roha, bu.” Hanya  itu yang mampu kuucapkan. Memang aku benar-benar ikhlas saat kututurkan kata maaf itu. Maafkan Roha, ibu. Maafkan Roha kerana Roha juga sedang membohongi ibu saat Roha menuturkan kata-kata maaf ini. Juga dalam diam-diam aku menitipkan maaf buat Encik Rosman kerana berprasangka yang bukan-bukan terhadapnya sebentar tadi.
“Ibu faham, Roha. Ibu faham perasaan Roha. Perasaan seorang gadis yang sedang meningkat remaja. Ibu juga pernah remaja dahulu. Ibu juga pernah mengikut kata hati muda sehingga ibu terlontar ke mari. Ibu tidak mahu Roha mengulangi kesilapan ibu.” Aku lihat mata ibu sudah mula berkaca. Itulah senjata ibu. Senjata yang kadang kala menjengkelkan hatiku. Aku kalah dengan air mata ibu. Aku cepat sahaja memaafkannya apabila ibu mulai menangis.  
Selesai menunaikan solat Maghrib, kami makan bersama-sama dalam diam. Ibu memang tidak membenarkan aku bercakap pada waktu sedang menikmati makanan. Selepas makan, aku mengemas meja dan menghantar pinggan mangkuk yang kami gunakan ke singki. Sekali-sekala, aku mencuri pandang ke arah ibu.
Seperti yang dijangkakan, ibu tidur selepas menunaikan solat Isyak dan makan malam. Aku bersiap-siap juga untuk keluar dengan Abang Mahadi. Aku akan pastikan ibu tidak akan terjaga dan aku akan pulang seperti semalam. Hatiku sedikit cemas kerana melanggar pantang larang ibu. Aku cuba melupai apa yang dipesankan ibu sebentar tadi.
Kali ini, aku menunaikan solat Isyak terlebih dahulu. Aku tidak mahu terbabas seperti malam kelmarin sehingga  tidak menunaikan solat Isyak. Selepas itu, aku mengunci pintu bilik dan turun perlahan-lahan melalui pintu belakang. Tidak berani untuk turun melalui pintu hadapan yang engselnya sudah berkarat itu.
Rumah-rumah jiran tetangga kulewati dengan penuh hati-hati, tidak mahu bunyi derap tapak kasutku mengejutkan mereka lantas menegurku. Lebih-lebih lagi Encik Rosman Perisik. Sekiranya hal ini terjadi, pasti aku terpaksa melupakan hajatku untuk keluar bersama Abang Mahadi.

Aku masih tidak tahu kenapa Encik Rosman seakan berdendam denganku. Aku tidak pernah melayan tingkahnya dan aku langsung tidak pernah bercakap kasar dengannya. Tapi, apabila dia berhadapan denganku, bagaikan ada sesuatu yang dia tidak puas hati denganku. Kenapalah ada makhluk seperti Encik Rosman ini? Selalu sahaja dia merosakkan mood bahagiaku.

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 13

BAB 13
Aku ingin meneruskan langkahku saat kuterdengar bunyi berdehem di hadapanku. Ya ALLAH! Nyaris sahaja aku terlanggar Mak Enun yang berdiri tegak di laluan perjalananku.
“Mak Enun, assalammualaikum,” aku tergagap-gagap menyapanya.
Mak Enun memandangku, atas bawah atas bawah. Aku jadi tak selesa.
“Awal balik hari ni?” tegur Mak Enun.
“Ya. Awal sedikit daripada biasa,” ujarku, masih lagi tergagap-gagap.
“Saya minta diri dulu Mak Enun.” Aku berusaha untuk melepaskan diri daripadanya. Aku tidak suka Mak Enun terus-terusan merenungku.
“Haaa…dah. Pergi balik. Anak dara tak elok jalan sorang-sorang. Dah petang ni,” nasihat Mak Enun dan aku mengambil peluang ini untuk berlalu pergi.
Patutlah Abang Mahadi berdesup pergi tadi. Rupa-rupanya ada Mak Enun yang sedang memandang kami. Bagus juga Mak Enun a.k.a Makcik Radio ini. Kalau tiada dia tadi, entah apa lagi yang mahu dilakukan oleh Encik Rosman.
Aku melangkah lambat-lambat meninggalkan Mak Enun yang sudah memusingkan badannya memandang ke arahku. Dah macam pegawai polis pencen la pula Mak Cik Radio ni. Hatiku menggerutu. Sabar Roha, sabar. Aku tidak suka Mak Enun yang suka ambil tahu semua hal orang sekeliling. Bermodalkan katalog pinggan mangkuknya, Mak Enun masuk ke semua rumah orang dan tahu banyak perkara tentang apa yang berlaku di kejiranan kami ini.
“Kak Roha,” panggilan daripada suara halus itu menikam cuping telingaku dan memaksa aku mematikan langkah kaki.
“Mazlin,” kusapa anak kecil sebelas tahun yang sedang tersenyum lebar itu.
“Lin nak ke mana ni. Cantiknya. Nak pergi kahwin, ya?” tanyaku mengusik Mazlin kerana dia memakai baju kurung bunga-bunga kecil warna merah dengan tanah latar putih dan kepala berlitup kerudung merah hati.
“Alah, kakak ni. Lin nak pergi ngaji la, kak,” sahut Mazlin tersipu-sipu sambil menyandang beg Qurannya. Aku tertawa kecil. Geli hati pula melihat Mazlin yang tersipu-sipu.
“Kak, pak cik hero Tamil tu kirim salam kat akak,” ujar Mazlin.
“Lin, tak baik mengata orang, tau,” aku menasihati Mazlin.
“Apa pula mengata, kak. Kan betul kata Lin, Pak Cik Rosman tu macam hero Tamil. Kak tak suka ke?”
“Waalaikummussalam,” sahutku perlahan kerana tidak mahu menimbulkan curiga di hati Mazlin. Walaupun aku tidak menyukai Encik Rosman tetapi aku tidak mahu menunjukkan kebencian yang melampau-lampau. Biarlah rasa kebencian itu terpaku diam di lubuk hatiku.
“Akak tak nak kirim salam balik kat pak cik hero Tamil tu ke?” tanya Mazlin.
“Tak apalah, Lin. Nanti kalau jumpa dia, akak bagi salam sendirilah,” ujarku kemudiannya sambil memandang wajah Mazlin yang kehairanan.
Macam perangai budak-budak sahaja Encik Rosman ni. Dengan budak sebesar Mazlin pun mahu digunakannya buat menyampai maksudnya.
Aku jalan beriring-iringan dengan Mazlin. Mazlin sebenarnya sudah khatam al-Qurannya. Sekarang, dia mengulang mengaji di rumah Mak Haji Sibah untuk membaiki mutu bacaannya. Aku dulu pun khatam Quran dengan Mak Haji Sibah juga. Sekali khatam, aku ulangi yang kedua kalinya dan kadang-kadang kami bertaranum beramai-ramai. Sungguh indah kenangan itu.
“Awal Lin pergi ngaji?” tanyaku.
“Lepas sekolah agama sebelah petang, Lin terus pergi. Nanti malam, Lin ada kelas tambahan di sekolah. Lepas tu nak siapkan homework pula. Sebab itulah Lin datang awal, kak,” Mazlin menerangkan panjang lebar dan aku mengangguk-angguk macam belatuk patuk batang kayu buruk.
Sampai di simpang masuk ke rumah Mak Haji Sibah, kami berhenti seketika sebelum berpamitan. Mazlin membelokkan langkahnya ke kiri.
“Lin pergi dulu, kak,” ujar Mazlin.
“Sampaikan salam akak, assalammualaikum kat Mak Haji, ya,” pesanku berkirim salam.

“Insya-Allah, kak.” Mazlin tersenyum dan kami lambai-melambai sebelum berpisah. Setelah itu, aku menapak sendirian menuju ke rumah yang hanya kira-kira seratus meter lagi itu.

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 12

BAB 12
Selesai bersolat Asar, pelanggan sudah beransur kurang. Aku meminta kebenaran ibu untuk pulang lebih awal. Ibu membenarkan. Mungkin ibu tahu aku penat, seharian aku membantunya di gerai.
Sebelum aku melangkah meninggalkannya, ibu sempat menitipkan pesanan, “ Roha, nanti tolong jemurkan kayu-kayu api yang di bawah bangsal itu. Ibu tak sempat nak jemurkan pagi tadi. Dapat kering sedikit pun jadilah. Malam nanti tidaklah susah ibu nak menghidupkan api dapur.” Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala.
Meskipun di rumah kami sudah ada dapur gas dan periuk eletrik untuk memasak namun ibu masih juga menggunakan dapur kayunya sekali-sekala untuk mengukus nasi lemak. Ibu ini seorang yang suka benar berjimat-cermat.  Kalau hari cuti, ibu akan mencari kayu api di kebun getah berhampiran kawasan perumahan kami iaitu bersebelahan tempat longgokan sampah-sarap.
Kayu-kayu api itu akan dipotong pendek-pendek dengan menggunakan sebilah parang dan dilonggokkan di dalam bangsal kecil di belakang rumah. Kalau hari hujan, kayu-kayu itu akan jadi sedikit lembab dan memberi kesukaran kepada ibu untuk menyalakan api. Waktu ini, akan pedih-pedihlah mata ibu berperang dengan asap.
Aku melangkah cepat-cepat. Memang aku penat. Penat semalam masih belum hilang lagi. Tapak kaki masih terasa perit. Mana pernah aku keluar sehingga larut malam. Pengalaman semalam masih terlalu asing bagiku. Aku belum mampu membiasakan  diriku dengan pengalaman itu.
Sewaktu aku menuruni bukit selepas melewati surau di simpang jalan untuk pulang ke rumahku, tanganku ditarik seseorang sehingga mendorong aku tersandar pada sebatang pokok pisang yang tumbuh di cerun bukit itu. Tenaga perempuanku tidak terdaya untuk melawan kudrat lelaki yang menarikku.
“Abang Mahadi,” jeritku.
“Syy…,” Abang Mahadi meletakkan jari telunjuknya di bibirku.
“Abang buat apa di sini?”
“Abang tunggu Roha.”
“Kenapa?”
“Tadi Roha pergi ke mana?”
Lidahku kelu. Agak lama kemudian, Abang Mahadi tertawa.
“Abang tahu, Roha takut terperangkap dengan ibu lagi, kan?” serkap Abang Mahadi dan aku mengangguk-anggukkan kepalaku.
“Abang nak ajak Roha keluar malam ni.”
“Nak ajak tengok wayang lagi?” soalku kebodoh-bodohan.
“Bukan. Nak ajak Roha jalan-jalan.”
Aku jadi terdiam mendengar saranan Abang Mahadi.
“Boleh ya, Roha,” rayunya lagi. Aku jatuh kasihan mendengar rayuannya. Sebenarnya, aku telah tenggelam dalam rayuannya itu.
“Roha tak berani janji tetapi ibu selalu tidur selepas solat Isyak,” kataku teragak-agak.
“Kalau begitu, abang datang jemput Roha selepas ibu tidur,” putus Abang Mahadi, memahat janji. Aku mengangguk-anggukkan kepala. Sepantas kilat, Abang Mahadi mengucup bibirku. Aku terkejut tetapi aku tidak menghalangnya.
Apabila Abang Mahadi melepaskanku, aku masih terpinga-pinga.
“Buah tangan buat kenangan Roha,” ujarnya sambil tersenyum.
Aku masih termangu-mangu saat kakiku telah menapak di atas lorong kecil menuju ke  rumahku yang di kiri kanannya berceracak rumah-rumah jiran tetanggaku.Tidak tahu apa yang baru berlaku sebentar tadi tetapi aku rasa berlainan sekali. Aku ingin Abang Mahadi mengulanginya lagi. Aku menjilat bibirku yang basah.
“Roha!” Aku terkejut, lantas terloncat ke pinggir lorong kecil. Encik Rosman mendekatiku. Enjin motosikalnya bergegar-gegar. Aku tidak berkenan.
“Roha dengan siapa tadi?” Pertanyaan Encik Rosman membuatkan dadaku berdebar. Mukaku merah padam menahan marah.
“Apa peduli Encik Rosman dengan urusan saya?” Aku rasa aku sudah tidak dapat menahan sabar lagi dengan kerenah Encik Rosman. Cukuplah selama ini dia menggangguku. Ini mahu mencampuri urusan hidupku pula. Sebenarnya aku juga takut kalau-kalau dia nampak perbuatan Abang Mahadi terhadapku sebentar tadi. Aku takut dia melaporkannya kepada ibu.
Encik Rosman tertawa kuat-kuat sampai terbatuk-batuk. Padan muka. Suka sangat mencampuri urusan orang. Aku melangkah cepat-cepat meninggalkan Encik Rosman. Aku tidak mahu lagi mendengar kata-katanya yang berbaur curiga itu.
“Aku kenal budak tu, Roha,” laung Encik Rosman mengatasi bingit enjin motosikalnya. Aku pura-pura tidak dengar.
“Roha, kau jangan sombong. Kalau pun tidak sukakan aku tapi janganlah kau sakitkan hati aku. Hina sangatkah aku ni?” Encik Rosman mengekoriku dari belakang. Langkahku tidak keruan. Aku tidak tahu apakah perbuatan yang telah aku lakukan sehingga mampu menyakiti hati Encik Rosman.
Aku memang tidak menyukai Encik Rosman tetapi aku tidak mungkin akan menghina atau menyakiti hatinya. Aku tidak akan membiarkan Encik Rosman berdendam denganku. Walaupun sakit hati dengan tingkahnya tetapi belum pernah sekali pun aku menuturkan kata-kata kesat terhadapnya. Pesanan ibu agar tidak menyakiti hati orang aku pegang kukuh.
“Encik Rosman kenapa? Tiba-tiba sahaja tak puas hati dengan saya. Saya minta maaf kalau saya ada buat salah tapi tolonglah jangan ganggu saya,” ujarku sambil langkah kuperlahankan. Aku ingin mendengar jawapan Encik Rosman. Sudah lama aku memendam persoalan ini dan sekarang aku berpeluang untuk bertanya sendiri kepada yang empunya diri.
Aku terdengar Encik Rosman berdehem. Deheman yang sengaja dibuat-buat, kukira. Mungkin juga sebagai mukadimah sebelum dia memulakan bicara. Aku sabar menanti sambil memasang telingaku. Enjin motornya terdengar perlahan kerana dia tidak memulas minyaknya kuat-kuat macam tadi.
“Kalau tak sudi terima pemberian saya pun, tak perlulah dipulangkan balik benda tu. Baling sajalah kat belakang rumah. Tak payahlah hantar sampai depan rumah.” Aku terkaku. Benda apa yang Encik Rosman berikan padaku? Dan benda apa pula yang aku pulangkan balik padanya? Aku tambah keliru. Mungkin ada salah faham di sini.
 Mataku meligas ke sekeliling. Aku bimbang jika ada jiran tetanggaku yang memandang. Aku tidak mahu mereka mengesyaki yang bukan-bukan kerana di antara aku dengan Encik Rosman tiada apa-apa.
Perasaanku jadi tidak tenteram. Aku tidak suka Encik Rosman terus mengekoriku dan aku tidak tahu ‘benda’ apa yang dimaksudkan oleh Encik Rosman. Jalan itu agak sempit. Aku menyisih ke tepi dengan harapan, Encik Rosman akan berlalu pergi meninggalkan aku menapak sendirian tapi nampaknya Encik Rosman masih berdegil.
Mataku sudah mulai terasa panas. Aku tidak suka dengan perlakuan Encik Rosman. Aku rasa maruah diriku terbang melayang ke serata tempat. Sambil itu aku tercari-cari, apakah ‘benda’ yang dimaksudkan oleh Encik Rosman.
“Saya tak tahu apa maksud Encik Rosman tetapi saya minta sangat. Tolonglah. Encik Rosman jangan kacau saya. Kalau saya ada buat salah, saya minta maaf,” kuluahkan jua apa yang terbuku di hatiku meskipun agak takut-takut. Aku tidak mahu memanjang-manjangkan cerita. Mungkin Encik Rosman sengaja mengada-adakan cerita tentang ‘pemberian’ itu untuk menarik perhatianku.
Makin dilayan, makin mengarut pula jadinya. Makin menjadi-jadi pula gila angau dan cerita bukan-bukannya. Ibu juga selalu berpesan agar tidak melayan lelaki walaupun ibu tidak pernah menyebut nama Encik Rosman tetapi mungkin inilah ‘lelaki’ yang dimaksudkan oleh ibu itu.

Entah apakah kuasa yang datang, Encik Rosman berlalu pergi apabila aku menyuarakan permintaan itu. Aku menarik nafas lega. Aku tidak berani memanggungkan kepala untuk melihat Encik Rosman. Dia sudah mahu berlalu pergi, itu sudah cukup menenangkan hatiku.