Ahad, 12 Oktober 2014

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 11

BAB 11
Abang Mahadi memanggungkan kepalanya memandangku dan mengenyitkan matanya padaku dari jauh. Kenyitan yang pasti mencairkan hati gadisku. Aku tersenyum. Hilang lenyap segala kepenatanku dan bayangan Encik Rosman. Melihat senyumannya yang menggoda, aku jadi tertawan.
Rasa bahagia dengan pertemuan semalam masih menyelubungi hatiku bagaikan dunia ini hanya milik kami berdua walaupun Abang Mahadi sekadar membawa aku makan-makan dan menonton wayang gambar. Aku bagaikan terapung-apung di awangan. Entah perasaan apakah itu?
“Bila kita boleh keluar lagi, Roha?” tanya Abang Mahadi sewaktu aku meletakkan nasi lemak dan kopi panas di hadapannya. Aku tersipu-sipu. Hatiku berbunga riang, memercuk kuntumannya tersebar ke seluruh alam. Wah, jadinya, Abang Mahadi masih ingin keluar denganku? Tidak serik-serik? Asap kopi yang naik berkelun-kelun bagaikan meraikan keriangan hatiku.
“Emm..entahlah,” sahutku sekadar menjual mahal sedangkan hati mengembang sedulang. Perlukah kupersiakan peluang yang baik ini? Aku melontarkan pandanganku ke arah jalan raya yang semakin sesak di hadapan gerai ibu, cuba untuk mengawal keterujaanku.
“Motosikal abang dah ok ke?” tanyaku, cuba mengalihkan tumpuan. Hampir lupa aku akan keadaan motosikal Abang Mahadi malahan sewaktu melewati surau di tepi simpang tadi, aku terlupa untuk menoleh ke bawah surau itu.
“Abang nak keluar dengan Roha lagi. Boleh, kan?” Lain yang ditanya, lain pula yang dijawabnya. Agak teruja saat aku mendengar pelawaannya namun aku cuba berlagak setenang yang mungkin. Tenang-tenang air di muara, jangan disangka tiada buaya. Heh! Aku masih sahaja tersenyum. Abang Mustafa hanya seperti orang pekak yang terus menghirup kopi panasnya. Tidak mendengar apa-apa langsung daripada perbualan kami. Kalau dengar pun, mungkin dia buat-buat tak faham.
Aku tidak teguh untuk berlama-lama di hadapan Abang Mahadi. Aku takut, aku tidak dapat menahan rasa keterujaanku kerana senyumanku semakin melebar.
“Roha ke dapur dulu, bang,” pohonku.
“Nanti dulu, abang belum habis cakap,” Abang Mahadi menegah.
“Lain kalilah, bang. Roha takut ibu marah,” pintaku sambil mengerling ke arah ibu di meja kaunter. Ibu sudah masuk ke ruang dapur. Abang Mahadi mengerti.
Aku melangkah ke dapur untuk membantu ibu membancuh minuman yang dipesan pelanggan sambil sesekali menjeling ke arah Abang Mahadi. Sehingga saat ini, aku masih sahaja dilanda perasaan. Entah perasaan apakah itu. Perasaan yang berbunga-bunga dan senang sekali.
Apa yang pasti, aku bangga kerana lelaki yang menjadi pujaan ramai ini, kini menjadi tawananku. Aku yang tidak cantik ini menjadi pilihan Abang Mahadi. Aku ingin terus mengekalkan Abang Mahadi di dalam tahananku. Aku  ingin memiliki dirinya sepenuhnya. Amir Khan, Amir Khan… Aku sudah mulai mengelamun saat ibu menyeru namaku. Nyaris aku tidak terbabas.
Saat Abang Mahadi datang untuk makan tengah hari, pelanggan di gerai sudah agak berkurangan. Abang Mahadi datang sendirian. Ibu ke bilik belakang untuk menunaikan solat Zohor. Kak Julie pulang sekejap untuk menghantar makanan kepada anaknya yang dijaga oleh ibunya semasa dia bekerja. Mungkin Abang Mahadi mengambil kesempatan ini untuk bertemu denganku kerana hanya aku yang berada di ruang hadapan.
Selepas pelanggan terakhirku beredar, aku mendekati meja Abang Mahadi. Abang Mahadi sedang enak menikmati nasi campurnya. Dia makan lambat-lambat. Mungkin saja helahnya untuk membuatkan aku menemaninya makan. Aku duduk di hadapannya sambil memandang dia makan. Abang Mahadi berhenti menyuap. Dia memandang ke arahku. Kalau aku sudah berani duduk di hadapannya, maknanya sudah tentu ibu berada jauh dari kami.
“Roha dah makan?” tanyanya, lembut. Aku rasakan suatu kelainan menyelinap di dalam lubuk hatiku. Rasa keriangan yang tidak tergambarkan. Rasa dikasihi dan disayangi sepenuh jiwa. Bunga-bunga kasih yang menguntum kian mekar. Aku menggeleng-gelengkan kepala.
Tanpa diduga, Abang Mahadi menghulurkan tangannya dan cuba menyuap nasi ke mulutku. Aku panik dengan tindakannya.
“Jangan. Nanti orang nampak. Tak elok,” ujarku menegah.
“Cepatlah, sebelum orang nampak,” Abang Mahadi mendesak. Aku tidak punya alasan lagi. Aku mengangakan mulutku dan Abang Mahadi menyuapku. Cepat-cepat aku mengunyah nasi itu.
“Dah, jangan buat lagi,” tegahku. Abang Mahadi hanya tersenyum.
“Bila kita boleh keluar lagi?” Abang Mahadi mengulangi pertanyaannya pagi tadi. Tetapi sebelum sempat aku menjawab, kudengar suara ibu berdehem di kaunter. Aku cepat-cepat bangun dan berpura-pura mengelap meja Abang Mahadi dan berlalu ke dapur.
Sehingga Abang Mahadi pergi, aku tidak berani menoleh ke arahnya lagi juga ke arah ibu. Ibu pula hanya berdiam diri seolah-olah tiada apa yang berlaku. Diam ibu yang penuh misteri. Sehingga ke petang, ibu tidak menegurku apatah lagi untuk berbual-bual denganku. Aku jadi panasaran.
 Abang Mahadi datang semula untuk minum petang. Kali ini, aku tidak berani melayannya lagi. Aku takut ibu mengesyaki yang bukan-bukan. Sengaja aku melarikan diri ke belakang agar Abang Mahadi tidak nampak aku.
Dia memesan juga minuman melalui Kak Julie. Mungkin Kak Julie telah memberitahu Abang Mahadi bahawa aku ada urusan di belakang atau mungkin juga dia tidak mahu ibu mengesyaki perancangan kami berdua kalau terus-terusan menunggu aku mengambil pesanannya.

Selepas minum, Abang Mahadi berlalu pergi. Menyesal juga aku kerana tidak keluar melayaninya. Tetapi ini perlu demi menjaga hati ibu dan aku tidak mahu ibu memendam rasa atas perbuatan kurang manisku itu.

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 10

BAB 10
Aku rasa kepalaku berat amat dan sakitnya masih berdenyut-denyut. Mungkin terlalu mengantuk atau bahana terhantuk gelegar awal malam tadi. Kaki aku juga berdenyut-denyut tapi aku tidak berdaya untuk membeleknya sekarang. Aku menanggalkan sarung kaki dan meletakkannya di birai katil. Sempat juga aku urut-urut tapak kaki yang sakit itu.
Belum pernah aku berjaga sehingga lewat malam begini. Bukan malam tapi sudah menjelang dinihari. Kalau diikutkan kata hati tidak rajinku, aku ingin terus melemparkan tubuhku di atas katil tanpa menanggalkan baju kurung moden kain suteraku tetapi aku tidak boleh berbuat demikian.
Aku tidak boleh biarkan ibu tahu yang aku pulang lewat dan terlalu kepenatan. Esok pagi ibu pasti terkejut melihatku kalau aku masih berbungkus dengan pakaian sebegini, baju kurung moden sutera asli Terengganu yang belum pernah kupamerkan padanya.
Mahu tidak mahu, aku terpaksa menukar pakaianku kepada sehelai kain batik dan t-shirt putih  lengan pendek, uniform harianku semasa di rumah. Baju sutera pemberian Abang Mahadi kusumbatkan dalam kotak pakaian lamaku di bahagian dasarnya yang paling bawah, ditindih kain baju lama yang lain.
Aku mencapai botol air mineral di atas meja solek. Tutupnya kubuka dan sedikit airnya kutuangkan di atas tapak tangan. Kuraup muka dengan air mineral itu dan mengelapnya dengan tuala. Terasa sedikit segar berbanding tadi. Selepas itu, aku terus membantingkan tubuhku di atas katil. Mataku terlalu berat. Aku ingin tidur dan  berehat sepuas-puasnya.
Dan buat pertama kalinya juga, aku tidak sempat menunaikan solat Isyak kerana terlalu penat tanpa sebarang keuzuran syarii. Aku tidak peduli tentang dosa dan pahala lagi. Apa yang lebih penting, panggilan tilam dan bantal begitu melambai-lambai.
Sebaik sahaja kuletakkan kepala di atas bantal, mataku terkatup rapat. Iblis meniup bayu lembut ke wajahku, melenakan tidurku sehingga lupa akan segala-galanya. Lupa terhadap seraut wajah ibu yang sering mendambakan kebahagiaanku.
Aku mimpi bertemu dengan Wan Syamril di langit biru. Kami berlari-lari mengejar kepulan awan putih dan terbaring riang di atas keempukan gumpalan awan. Ah, sialan. Kenapa Wan Syamril yang hadir dalam mimpiku? Di manakah Abang Mahadi? Aku ingin bersama Abang Mahadi, Amir Khanku tetapi kenapa aku rasa bahagia bersama Wan Syamril? Mungkin kenangan masa lalu yang membawa aku bertemu Wan Syamril di alam khayal.
Saat aku menoleh, kulihat Wan Syamril tersenyum sambil memandang ke arahku. Senyumannya penuh bermakna dan hanya aku yang memahami maknanya itu. Aku lupa akan Masyitah. Aku lupa akan Abang Mahadi. Aku lupa akan ibu kerana di sini, di angkasa ini, hanya ada aku dan Wan Syamril sahaja. Malahan aku bahagia sekali berdua-dua dengan Wan Syamril.
Kami ketawa dan bergembira bersama. Berlari-lari di dalam angin, berpusing-pusing riang sambil tertawa gembira. Sesekali Wan Syamril datang hampir dan memelukku. Bahagianya aku hanya aku sahaja yang tahu. Tidak mampu kulafazkan dan kunukilkan kebahagiaan ini dengan kata-kata.
Aku hanya tersedar saat ibu mengejutkan aku sebelum dia berangkat ke gerai. Ah, ibu. Mataku masih sahaja meruyup. Mimpi bersama Wan Syamril bagaikan baru sahaja bermula. Aku rasa ingin menyambung tidurku semula. Aku masih ingin meneruskan mimpiku  yang diputuskan ibu. Ibu mengganggu tidurku.
“Semalam balik pukul berapa?” tanya ibu mendatar. Aku terpisat-pisat, masih mencari diri di alam nyata.
“Entahlah, Roha tak tengok jam.” aku sekadar beralasan dan ibu juga tidak bertanya lagi  tentang itu. Memang semalam aku tak sempat tengok jam.
Ibu datang menghampiriku. Tiba-tiba sahaja dia meletakkan tangannya di atas kepalaku dan menggosok-gosoknya.
“Aduh!” pekikku sambil cuba mengelak tangan ibu.
“Sakit?” tanyanya.
“Memanglah sakit…tapi semalam ibu lebih sayang rumah ibu daripada Roha. Ibu takut rumah ibu runtuh, kan?” Aku pura-pura merajuk. Ibu tertawa kecil.
“Ibu gurau sajalah,” ujar ibu sambil menarikku ke dalam pelukannya.
“Dah sapu minyak?” Aku menggeleng-gelengkan kepala.
“Sapu minyak. Ibu nak pergi dulu. Roha bangun solat. Nanti cepat sikit ke gerai. Jangan biarkan pelanggan ternanti-nanti.”
“Baik ibu.”
Ibu berlalu pergi tetapi sebentar kemudian, dia berpatah balik sambil membawa botol minyak angin di tangannya. Aku yang sudah mulai mahu menutupkan kelopak mata, terpaksa membukanya kembali. Berpura-pura segar walaupun aku mengantuk yang amat.
Ibu menyapu minyak angin di tempat luka atas kepalaku.
“Besar juga lukanya ni,” ujar ibu sambil menuangkan minyak angin.
“Besar, bu?” Cuak juga aku dengan penjelasan ibu.
“Hmmm…besar. Besar lagi luka ditendang dek nyamuk.” Hmmm…ibu masih mahu bergurau denganku.
“Perlahan-lahanlah, bu. Sakit kepala Roha ni.” Ibu memberhentikan gosokannya.
“Entah apalah yang dicarinya di bawah rumah malam-malam begitu,” rungut ibu. Aku hanya membungkam. Tidak mahu menjawab atau yang tepatnya, tidak mahu menambah dosaku dengan membohongi ibu lagi.
“Ibu pergi dulu. Roha bangun, ya,” pesan ibu sambil bangun. Aku mengangguk-anggukkan kepala, malas.
Aku mengiringi pemergian ibuku dengan pandangan mata yang meredup. Kasihan ibu. Dia bekerja keras untuk membesarkanku, menelan segala umpat keji dan fitnah orang-orang sekeliling kerana bersendirian tanpa kehadiran suami di sisi. Isteri-isteri takut untuk rapat dengan ibu kerana bimbang suami mereka akan terpaut dengan ibu.
Aku tahu, ibu cantik. Sehingga ke hari ini, kecantikan ibu masih tetap terpelihara. Aku juga tahu akan kegilaan sesetengah lelaki terhadap ibu. Aku pernah lihat ibu digoda lelaki termasuk suami-suami orang tetapi ibu tidak pernah ambil pusing. Mungkin kematangannya sejajar dengan pertambahan usianya.
Dia sudah mangli dengan tohmahan orang kampong. Dia sudah imun dengan umpat keji dan caci nista orang terhadapnya. Ibu kebal daripada sebarang godaan. Aku tahu, ibu tidak termakan dengan pujuk rayu lelaki. Ibu masih menyayangi ayah, mungkin.
Aku bergegas bangun mengikut arahan ibu. Tapak kakiku terasa nyilu. Aku terjengket-jengket menuju ke bilik air, mandi dan membersihkan tubuhku. Mindaku kembali bekerja, cuba menelusuri mimpi semalam. Aku keluar untuk  berjanji temu dengan Abang Mahadi tetapi kenapa Wan Syamril yang hadir dalam mimpiku.
 Aku tidak pernah mengharapkan kepulangan Wan Syamril dan seandainya ditakdirkan Wan Syamril ingin kembali kepadaku sekali pun, aku tidak mungkin dapat menerimanya semula.
Aku tidak mungkin akan mengutip sisa-sisaku kembali. Aku ingin membina  hidup baru dengan melupakan kenangan silam bersama Wan Syamril. Mungkin cinta yang pernah wujud antara kami hanyalah cinta budak-budak. Cinta monyet yang melingkungi hidup anak-anak remaja bukan cinta sebenar  yang tulus dan lahir dari hati yang suci.
Selesai membungkuskan nasi lemak dan menyusunnya di dalam bakul, aku mengorakkan langkahku ke gerai ibu. Aku pasti, pelanggan-pelanggan ibu sudah ternanti-nantikan  aku di sana. Aku percepatkan langkah agar tidak terlalu lewat. Begitulah rutin harianku yang tidak kuketahui sampai bilakah akan tiba di titik penghujungnya. Saban hari mengulangi rutin yang sama.
Nasib baik juga Encik Rosman tidak memanggil aku pagi ini. Mungkin dia sudah bertolak ke pejabatnya. Aku tidak tahu apakah pekerjaan sebenar Encik Rosman. Ada orang kata, Encik Rosman perisik kerana dia bekerja tak kira masa. Pejabatnya pun entah di mana. Ahh, aku tiada masa untuk mengambil tahu perihal pekerjaan Encik Rosman yang sudah beberapa tahun menyewa di kawasan kediaman kami ini.
Encik Rosman tidak melaung-laungkan namaku pagi ini pun sudah cukup bagus. Mungkin dia belum balik dari tugasan merisiknya.  Encik Rosman yang bahasanya kadang-kadang menyakiti hatiku sehingga merosakkan moodku sepanjang hari. Tergerak juga di hati mahu mengadu pada ibu perihal Encik Rosman tapi aku tidak mahu ibu susah hati dan memikirkan yang bukan-bukan pula. Akhirnya, kupendamkan saja segala rasa sakit hatiku itu.

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 9

BAB 9
Aku menyelinap masuk ke dalam rumah dengan penuh hati-hati.  Nafas masih termengah-mengah. Terlupa untuk mengambil baju panasku di bawah rumah. Kalau teringat pun, pasti aku berfikir seratus kali sebelum membongkok di bawah kolong itu yang telah membuatkan kepalaku perit sepanjang malam. Juga merosakkan mood janji temu pertamaku.
Harap-harap ibu sudah nyenyak tidur dan  tidak menyedari kepulanganku. Kalau sampai ibu terjaga, penatlah aku hendak menjawab pertanyaannya. Pasti celotehnya akan jadi bertambah panjang seandainya dia tahu, aku menghabiskan hampir tiga perempat malam ini bersama-sama Abang Mahadi, lelaki yang selalu dimintanya agar kujauhi.
Berkeriut bunyi daun pintu utama saat kukuakkannya, mungkin betullah kerana engselnya sudah mulai berkarat. Aku mengetapkan bibirku dan menahan nafas yang bergelora saat kukatup kembali pintu itu. Mungkin dengan cara itu, pintu tidak berkeriut. Bimbang bunyi keriutannya bakal membangunkan ibu.
Aku terjengket-jengket menuju ke kamar tidurku, masih sahaja dengan penuh hati-hati agar lantai papan tidak berbunyi. Sewaktu melintasi kamar ibu, aku sempat menjenguknya sebentar. Ibu memang sedang tidur lena tak berketik. Aku mengurut dada yang berdebar. Jantungku masih berdegup kencang hasil daripada larian kencangku di jalanan tadi.
Ya, ibu sudah tidur lena. Kalau ibu masih berjaga dan menyedari ketiadaanku sedangkan waktu sudah menjejaki pagi ini, pasti ibu sudah menghubungi telefon bimbitku. Ibu mana pernah betah membiarkan aku keluar lama-lama lebih-lebih lagi pada waktu malam begini.
Perlahan-lahan, aku melangkah masuk ke dalam bilik. Lampu tidur kunyalakan. Tidak berani memasang lampu siang. Takut ibu di bilik sebelah terjaga. Desahan nafas cuba kuimbangi sebaik mungkin. Tarik ikut hidung dan hembus ikut mulut. Penat sungguh-sungguh.
Aku tahu, ibu juga penat. Seharian dia di gerainya melayani pelanggan dan menyediakan makanan walaupun dia dibantu oleh Kak Julie. Malahan esok, seawal jam tiga pagi dia perlu bangun menyediakan kelengkapannya untuk jualan. Lazimnya, selepas solat Subuh ibu akan bergegas ke gerai makanannya. Manakala  aku pula, ibu akan mengejutkanku sebelum dia pergi.
Aku bangun dan membersihkan badanku. Selesai menunaikan solat Subuh, aku akan membungkus nasi lemak yang telah dimasak oleh ibu. Setelah itulah aku akan menyusul ibu ke gerai jualan sambil menjinjit bakul nasi lemakku. Ibu  hanya berehat sebentar untuk menunaikan solat Zohor dan Asar dan gerai ibu ditutup selepas semua pekerja kilang syif siang pulang iaitu selepas mereka minum petang di gerai ibu.
Selepas waktu Maghriblah baru ibu benar-benar dapat berehat. Dia akan menanti sehingga masuk waktu Isyak dan  terus masuk tidur selepas bersolat. Aku telah tahu  jadual dan rutin harian ibu. Ibu gigih bekerja untuk menyara hidup kami dua beranak selepas ayah menghilangkan diri.
Aku sendiri  tidak pernah mengenali siapa ayahku. Seingatku, sebaik sahaja aku terlahir ke dunia ini, aku sudah tidak punya ayah. Waktu aku masih di bangku sekolah rendah, aku selalu bertanyakan ibu tentang ayah. Aku lihat kawan-kawanku punya ayah  sedangkan  aku hanya punya ibu.
Setiap kali kuajukan soalan tentang ayah, setiap kali itulah ibu akan mengalirkan air mata. Ibu akan menangis setiap kali persoalan tentang ayah kubangkitkan. Lama-kelamaan aku jadi jemu untuk bertanyakan tentang ayah. Aku sudah dapat menerima hakikat bahawa aku memang tidak punya ayah. Tanpa ayah pun hidupku tetap ceria di samping ibu.
Ibu mengasihiku dengan sepenuh kasih dan sayang. Menatangku bagai minyak yang penuh. Cuma satu sahaja sikap ibu yang menjengkelkanku. Ibu tidak benarkan aku melanjutkan pelajaranku. Ibu tidak mahu berjauhan dariku. Aku betul-betul kecewa dengan sikap ibu sedangkan ibu tahu, cita-citaku menggunung tinggi.
Aku tidak ingin hanya duduk terperap di desa ini tanpa sebarang ilmu yang bercambah di dada. Aku tidak mahu terus jauh ketinggalan daripada bekas teman-teman sekolahku yang lain. Bagiku, sia-sia sahaja  ibu bersusah-payah menyekolahkanku selama ini sedangkan dia tidak berminat untuk membenarkan aku meneruskan pengajianku sehingga ke peringkat tertinggi.
Dalam diam-diam, aku menanam keazaman untuk melanjutkan pelajaranku. Aku ingin jadi seperti Masyitah dan Wan Syamril. Aku tidak mahu dipandang rendah oleh kawan-kawanku terutamanya oleh mereka yang berdua ini.
Kalau dahulu, sewaktu di bangku sekolah, akulah juara antara mereka tetapi kini aku jauh ketinggalan sedangkan aku tahu, ibu mampu menanggung beban perbelanjaanku untuk menyambung pengajian.
Aku tahu, kalau terus berada di bawah ketiak ibu, sudah pasti aku tidak akan dapat menggapai impianku. Aku perlu pergi dari sini. Aku perlu mencari helah untuk keluar dari desa ini. Mataku seakan tertutup walaupun tidak buta kalau aku terus terperuk di desa kecintaan kami ini. Aku ingin keluar untuk mencari kehidupan.
Aku ingin bebas daripada kongkongan ibu. Aku ingin keluar daripada kepompom kehidupan ini. Aku ingin menjadi Sang Rama-rama yang cantik dan berterbangan menyerikan bunga-bungaan di Taman Inderaloka.
 Tapi, sanggupkah aku untuk meninggalkan  ibu? Sanggupkah aku berjauhan daripada ibu? Sakit pening ibu  siapakah yang akan merawat? Makan minumku, siapakah yang akan menguruskannya? Semuanya menjadi pertimbangan bagiku, bersimpang-siur di benakku sehingga aku kembali ke bilikku sendiri.
Aku tahu, ibu memang inginkan yang terbaik buatku tetapi memeramkan aku di sini bukanlah sesuatu yang baik. Ini bukannya kemahuanku. Berada beberapa jam di luar malam ini seakan membuka mataku akan  keindahan dunia ini. Aku tidak mahu menghabiskan usia mudaku di rumah usang ini. Aku bahagia berada di luar sana. Aku temui keseronokan yang tidak mampu ibu sediakan untukku.
Aku tahu, aku pasti akan bahagia berada di dunia luar sana. Dunia anak muda yang penuh warna-warni dan bukan sekadar warna-warni pelangi yang hadirnya seketika cuma. Aku ingin keluar dari kelongsong ini. Aku tidak mahu ibu  terus mengurungku di dalam kepompong kehidupan yang membosankan ini. Aku ingin segera menjadi rama-rama yang cantik, terbang ke sana ke mari menjadi penyeri taman dan bunga-bungaan sambil menatap rembang senja yang menawan.
Aku tidak mampu lagi untuk menahan gelora hampa yang sering hadir dan mengisi di jiwaku meskipun aku tidak pernah merungut ataupun mempamerkan sikap protesku di hadapan ibu. Aku masih teramat menyayangi ibu. Aku tiada siapa-siapa di dunia ini melainkan ibu. Ibu sahaja temanku yang paling akrab. Dan kini, Abang Mahadi pula hadir untuk mengisi kekosongan hatiku.
            Abang Mahadi. Aku sudah mulai terkenangkan Abang Mahadi walaupun baru sebentar tadi kami berjumpa. Mungkin dia pun sudah sampai di rumah sewanya. Mungkin juga sekarang, dia sedang mengenangiku atau mungkin dia sudah pun lena berdengkur.

Aku mencapai tuala pada penyangkut tanduk rusa. Mukaku yang basah berpeluh kulapkan perlahan. Tudung kutanggalkan dan kusangkut di tanduk rusa. Benjol di kepalaku sudah surut walaupun masih sengal-sengal. 

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 8

BAB 8
“Roha, menungkan apa lagi? Cepat habiskan bihun sup tu. Wayang dah nak mula,” suara Abang Mahadi menghantarku ke  alam nyata. Oh, pesanan makanan kami sudah pun berada di hadapanku. Aku merenung bihun sup panas yang terhidang. Baunya yang enak terbang naik mengisi deria bauku.
“Haa…menung lagi? Nak abang suapkan?” usik Abang Mahadi sambil berpura-pura hendak menyuapkan bihun supnya ke mulutku. Aku hanya tertawa dan menepisnya lembut.
“Panas,” ujarku. Sebenarnya, aku malu dan rasa serba-salah diperhatikan Wan Syamril yang betul-betul berada bertentangan denganku. Abang Mahadi tidak mahu mengalah. Dia meniup bihun sup di dalam sudunya dan kembali menyua ke mulutku. Aku jadi tambah serba-salah.
Pertama kali berhadapan dengan situasi begini, aku kaget. Perlakuan Abang Mahadi di luar jangkauanku. Aku jadi segan yang teramat. Rasa menyesal pula terima pelawaan Abang Mahadi. Berdengung-dengung rasa di dalam telingaku. Mungkin berdengung kerana kepalaku masih sakit. Lama juga sudu sup Abang Mahadi kubiarkan mati di hadapanku.
Kerana tidak mahu membiarkan Abang Mahadi terus ternanti-nanti, aku bukakan juga mulutku sedikit dan menerima suapannya. Sedikit kuah bihun sup tertumpah di atas tangan Abang Mahadi dan kami sama-sama tertawa sambil mengelap tumpahan itu. Sebenarnya, aku lebih kepada berpura-pura ketawa untuk menutup kegugupanku.
Gugup dan sedikit bahagia. Kalaulah Wan Syamril tiada bersama saat ini, pasti aku akan lebih bahagia dilayani Abang Mahadi semesra ini. Kami makan  dan tidak lagi berbual-bual. Aku sebenarnya masih panik dengan tindakan spontan Abang Mahadi menyuapku sebentar tadi. Merah padam juga mukaku diperlakukan sedemikian rupa.
Masyitah pula langsung tidak mahu mendongak. Dia tunduk menghirup kuah supnya sedangkan aku tahu, dia melihat tingkah kami berdua.
“Roha nak abang suapkan lagi?” Abang Mahadi menegur lagi. Aku memandang ke arah mangkuknya yang kosong. Abang Mahadi sedang menyedut teh ais lemonnya. Aku tersenyum lalu menyudahkan hirupan kuah supku yang terakhir tanpa menghiraukan tawaran Abang Mahadi. Malam ini, Wan Syamril meminta kebenaran untuk membelanja kami semua. Aku bersetuju sahaja. Apa salahnya, Wan Syamrilkan banyak duit. Bapanya orang kaya.
Selesai makan, kami bergegas bangun. Aku dan Abang Mahadi mendahului mereka menuju ke panggung wayang. Orang ramai berpusu-pusu, bergegas ke arah yang sama. Aku hampir sahaja tertinggal di belakang dan tersepit di celah ributan manusia itu seandainya Abang Mahadi tidak menarik tubuhku agar rapat dengannya.
“Roha tunggu di sini, abang pergi beli tiket.” Abang Mahadi menuju ke kaunter tiket. Sewaktu aku menoleh ke belakang, kulihat Masyi sedang berbual-bual dengan Wan Syamril. Bukan berbual sebenarnya tetapi lebih nampak kepada sesi pertengkaran sahaja. Mulut Masyi memuncung-muncung seperti memperkatakan sesuatu. Tidak kurangnya Wan Syamril dengan tangan yang digawang-gawangkan.
Boleh tak, kalau awak tak cemburu dengan saya?” Aku terdengar suara Wan Syamril meninggi. Aku tersenyum-senyum sendiri. Sakit di kepalaku terasa bertaburan jatuh melihat insiden ini. Hati jahatku bersorak-sorak.
Saya tak cemburu tapi sememangnya awak masih lagi ada hati dengan dia, kan?” Nada suara Masyi pun tidak kurang hebatnya. Aku puas melihat pasangan itu berantakan.
Aku berpusing menghadap ke arah Abang Mahadi, berpura-pura tidak nampak situasi tegang yang berlaku antara keduanya. Wayang belum bermula, aku sudah disajikan dengan wayang realiti ini. Segaris senyum terukir di bibirku. Padan muka kau Masyi. Bisikan iblis itu menyelinap ke dalam hatiku. Entah kenapa, aku sangat-sangat suka lihat mereka terus  berantakan. Tidak lenyap lagi rupanya dendamku terhadap mereka berdua sedangkan aku sudah punya Abang Mahadi saat ini.
Kalau tadinya makan dibelanja Wan Syamril, kini tiket wayang pula dibayar oleh Abang Mahadi. Mungkin sama-sama nak tunjuk hero. Aku biarkan sahaja mereka berperang dalam diam. Aku melihat ketegangan itu pada wajah Wan Syamril dan Abang Mahadi juga Masyitah.
 Dalam perjalanan pulang, Abang Mahadi sempat bertanyakan tentang hubunganku dengan Wan Syamril. Aku hanya tertawa. Tidak terniat untukku menceritakan perihal cintaku yang kecundang kepadanya. Aku tidak mahu dia mengejekku. Biarlah cerita cinta antara aku dan Wan Syamril dahulu tinggal menjadi sejarah.
Aku tidak  ingin mengulanginya lagi. Aku hanya sekadar ingin menduga hati Masyi. Biar dia tahu bagaimana sakitnya apabila cinta dikhianati. Aku boleh terima kalau orang lain yang mengkhianati cintaku tetapi aku tidak boleh terima kerana ianya  dilakukan oleh sahabat baikku sendiri. Sahabat yang dahulunya kupercayai dunia dan akhirat.
Bukan mudah untuk Abang Mahadi mempercayai kata-kataku bahawa kami hanya teman biasa. Dia mengungkit tentang pandangan mata Wan Syamril yang dipanahkan untukku. Panahan cinta, katanya. Aku rasa sedikit jengkel kerana Abang Mahadi seolah-olah cuba mencampuri urusan peribadiku.
“Abang janganlah risau. Roha tak ada hati dengan dia. Memanglah dia ada hati dengan Roha  tapi Roha nak buat macam mana? Bukannya Roha  boleh tutup mata dia supaya tidak memandang Roha. Abang ni, kenapa nak cemburu tak tentu pasal ni?”
“Memanglah abang cemburu sebab abang dah semakin menyayangi Roha.” Aku gembira memdengar kata-kata Abang Mahadi. Jiwa remajaku disentuh panahan asmara. Wah, semakin bajía aku jadinya. Betul kata Kak Julie, kalau sudad dilamun cinta, dunia ini kita yang empunya.
“Abang janganlah risau, Roha dah ceraikan dia dengan talak tiga.” Aku masih ingin bergurau tetapi pandangan mata Abang Mahadi yang mencerlang menandakan bahawa dia tidak berniat untuk bergurau denganku tentang isu ini.
Abang Mahadi menunggang dengan perlahan. Mungkin kerana dia mahu berbual-bual denganku sebelum tiba di jalan yang menghala ke rumahku. Aku pula sangat-sangat mengantuk. Belum pernah aku keluar hinggá jauh malam begini. Sesekali, aku terlelap dan tersengguk pada belakangnya.
Masyitah dan Wan Syamril pula entah di mana. Kami berpecah arah selepas menonton wayang gambar tadi. Mungkin mereka sudah tiba di rumah atau masih berpeleseran seperti kami ini walaupun pintu pagi sudah terbuka lebar. Tiba-tiba sahaja aku rasa perasaan cemburuku datang tiba-tiba. Sukar untuk aku luputkan perasaan itu.
“Roha mengantuk?” tanya Abang Mahadi.
“Hmmm…” aku hanya bergumam.
Tiba-tiba sahaja enjin motosikal Abang Mahadi terhenti. Mataku yang meruyup tiba-tiba sahaja terbuka lebar.
“Kenapa, Bang?” tanyaku kurang sedap hati.
“Entahlah, minyak habis agaknya.” Abang Mahadi berhenti di pinggir jalan.
Aku melangkah turun. Abang Mahadi juga turun. Dia menyorong motosikalnya sehingga ke bawah lampu jalan. Abang menongkat motosikal dan membuka tangki minyak.
“Banyak,” katanya.
“Habis tu, apa masalahnya?” Aku semakin tidak sedap hati. Tiba-tiba sahaja aku teringatkan ibu di rumah. Buatnya ibu bangun untuk ke bilik air. Buatnya ibu tahu aku belum balik. Buatnya ibu tahu aku tiada di dalam bilik. Buatnya ibu tahu aku keluar dengan Abang Mahadi. Air mataku sudah mulai bergenangan.
Abang Mahadi cuba menghidupkan enjin motosikalnya. Berkali-kali dicuba namun masih gagal. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk menyorong sahaja motosikal itu. Mungkin ini balasan Tuhan kerana aku membohongi ibu. Nasib baik juga diuji dengan enjin motosikal yang rosak, kalau diuji dengan kemalangan di jalan raya, lagi parah aku.
Enjin rosak pun, kemalangan juga. Kemalangan yang tidak dijangkakan. Berpeluh juga untuk sampai di simpang jalan ke rumahku.
“Maafkan abang. Pertama kali keluar sudah diuji begini,” kata Abang Mahadi sewaktu kami tiba di simpang yang menghala ke rumahku. Aku juga kepenatan. Mungkin ini ujian daripada ALLAH dan mungkin ini juga balasan buatku kerana membohongi ibu. Takut tetapi puas. Puas kerana dapat memenuhi impian Abang Mahadi dan impianku jua.
“Maafkan abang. Pertemuan kita malam ini tidak seperti yang diharapkan,” ulangan maaf daripada Abang Mahadi lagi, perlahan. Nafasnya termengah-mengah.
“Tidak mengapalah. Bukan kita minta…,” aku tidak mampu untuk meneruskan kata-kata itu. Aku hanya ingat dosaku dengan ibu. Dosa kerana membohongi ibu. Maafkan Roha, ibu. Menyesal tapi seronok. Seronok kerana dapat bersama-sama Abang Mahadi.
“Abang harap Roha tak serik keluar dengan abang,” Abang Mahadi meneruskan kata-katanya.
Kami tiba di tangga surau berhampiran simpang.
“Pagi-pagi esoklah abang datang ambil motosikal ni,” kata Abang Mahadi sambil menongkat dan menguncikan motosikalnya di bawah surau berlantai papan itu. Suasana di situ tidak gelap sangat. Cahaya bulan menyimbah ke serata alam dibantu oleh lampu jalan yang berderetan.
Selepas itu, kami berpisah jalan. Abang Mahadi hendak menghantar aku pulang tetapi aku tak benarkan. Walaupun Abang Mahadi tinggal di sini tetapi aku tidak tahu rumahnya yang mana satu kerana di kawasan rumahnya itu memang terdapat banyak rumah sewa yang dihuni oleh pekerja kilang sarung tangan dan pekerja ladang kelapa sawit.
Rasa takut juga melewati jalan ini sendirian. Jadinya, aku lebih banyak berlari daripada berjalan. Kerana tidak mahu bunyi tapak kasutku mengganggu orang sekeliling, aku buka kasut. Nasib baik aku berstoking. Jadinya, tidaklah sakit tapak kakiku berlari di atas aspal ini.

Sudahlah letih menapak sambil menyorong basikal dengan Abang Mahadi tadi. Ini pula terpaksa berlari untuk sampai di tangga rumah. Malang betullah nasibku hari ini. Sudahlah kepalaku luka, kaki pula rasa-rasanya sudah melecet. Mungkin inilah balasan awal buatku kerana meremehkan nasihat ibu. Ibu, ibu…sambil berlari, mulutku tidak berhenti menyebut ibu.

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 7

BAB 7
Masyitah merenung Abang Mahadi seperti sedang membuat satu penilaian rapi dengan penuh saksama. Dan dalam waktu yang sama, Wan Syamril juga sedang merenungiku. Mungkin dia ingin melihat wajah bekas kekasihnya yang pernah diusapnya dulu. Aku tidak ingin dia terus merenungku, lantas aku menoleh ke arahnya. Pandangan kami bertaut dan dia mengukirkan senyuman.
Aku meluat melihat senyuman itu walaupun aku juga merinduinya. Aku berpusing ke arah Abang Mahadi dan Masyitah. Mereka masih berpegangan tangan. Aku menarik  tangan Abang Mahadi, cuba mempamerkan rasa kurang setujuku dengan perlakuan mereka.
“Tadi abang cakap nak pergi makan dulu,” luahku bermanja-manja sekadar untuk mengingatkan dia tentang kehadiranku di sisinya. Kepalaku tetap sahaja berdenyut-denyut. Harap-harap tiada siapa yang perasan, di kain tudungku ada titisan darah.
Warna tudung hijau muda dan hijau tua berselang-seli ini, mungkin dapat melindungi kesan darah. Tampaknya mungkin seperti corak di atas kepala dan malam yang suram mungkin juga akan menjadi penyelamat buatku daripada menjawab soalan-soalan mereka ini.
“Oh, ya. Mari kita pergi makan sama-sama.” Abang Mahadi mempelawa sambil memandang Masyitah dan Wan Syamril bergilir-gilir. Hampir serentak mereka mengangguk-anggukkan kepala.
Kami beriringan menuju ke gerai yang berdekatan. Masyi berpaut di lengan Wan Syamril. Aku juga tidak mahu mengalah. Sengaja aku merapatkan diri dengan badan Abang Mahadi. Abang Mahadi yang menarik tanganku untuk berpaut di lengannya. Aku tidak membantah. Dia menggosok kepalaku, perlahan. “Och!” Walaupun perlahan tetapi sakit. Aku menarik tangannya turun ke sisi.
Sekumpulan anak muda lelaki dan perempuan turut berkumpul di situ. Mungkin mereka juga seperti kami, menunggu tayangan pukul sepuluh nanti. Cuma bezanya, mereka berpakaian ranggi-ranggi, sedangkan aku berbaju kurung moden kain sutera dari Terengganu lagi. Betul kata Abang Mahadi, macam nak pergi makan kenduri.
“Roha nak makan apa?” tanya Abang Mahadi dan kembali menumpukan perhatian padaku. Suaranya yang lunak mampu menggegarkan iman sesiapa sahaja terutamanya aku. Aku yang telah lama menyimpan hasrat untuk keluar bersamanya. Mana mungkin aku akan mempersia-siakan peluang yang datang tanpa diduga ini. Bibirnya basah mengukirkan senyuman.
“Apa yang abang makan, itu yang Roha akan makan,” sahutku seromantis yang mungkin. Sebenarnya, aku sendiri jelek dengan ayatku itu, mengada-ngada. Tetapi, aku punya sebab untuk berbuat begitu kerana sejak dari tadi Wan Syamril asyik mengerling ke arahku dengan ekor matanya. Aku tahu itu.
“Syam, kita nak makan apa pula?” tanya Masyitah pula, mungkin cuba untuk berkongsi citarasa yang sama dengan Wan Syamril.
“Apa yang Roha dan Mahadi makan,” sahut Wan Syamril, jelas. Aku rasa, bulu romaku tegak sembilan puluh darjah mendengar Wan Syamril menyeru namaku. Seruan yang sudah lama tidak singgah di cuping telingaku. Dadaku kembali bergetaran. Mungkinkah masih ada semarak cintaku terhadapnya?
Mungkin satu kesilapan besar Masyitah membawa Wan Syamril bertemu denganku malam ini kerana aku masih sahaja dapat melihat sinar matanya yang memancar ke arahku meskipun Masyi tidak pernah renggang dari sampingnya.
Aduh, kenapa mesti aku mengenangi lelaki yang berada di hadapanku ini sedangkan aku berada di samping Abang Mahadi yang sedang merenungku dengan penuh kasih sayang dan kemesraan? Kukira, kedua-dua lelaki ini sedang berlumba-lumba dan saling berebutan untuk mendapat tempat di hatiku. Namun bagiku, Abang Mahadi ada di tempatnya yang tersendiri manakala Wan  Syamril pula berada di sebelah tempat yang satu lagi. Hatiku kini bagaikan terbahagi dua.
Minuman yang dipesan tiba dahulu, dihantar oleh pelayan perempuan yang agak mahal senyumannya. Wan Syamril mengacau-ngacau buah laici di dalam gelasnya. Aku rasa aku sudah nampak isyarat dan kiasan yang cuba disalurkannya. Sambil mengacau, sambil dia menjelingku. Adakah cintanya masih berkelana buatku? Ah, kenangan itu datang lagi.
Kira-kira dua tahun yang lalu…
“Syam, Roha nak buah laici tu,” seruku sewaktu melihat Wan Syamril mengangakan mulutnya untuk mencicip buah laici di dalam sudunya. Sudu plastik berwarna hijau muda yang sudah tiba di bibirnya seakan terkaku di situ. Dia menyuakan isi sudu itu kepadaku, lalu menyuapkannya ke  mulutku. Aku memamahnya sambil tertawa. Masyitah yang melihatnya hanya tersenyum. Dia sudah biasa melihat kemesraan kami itu malahan aku boleh berkongsi apa sahaja dengan Wan Syamril.
Oh, alangkah manisnya kenangan itu. Namun tiba-tiba sahaja kini, Masyitah mengambil alih perananku. Masyitah yang berpaling tadah dan Wan Syamril yang buta perut. Aku tahu kekurangan diriku kerana aku bukan pelajar universiti seperti mereka. Aku memang tidak layak untuk bergandingan dengan Wan Syamril. Aku kini gadis kampong yang menghabiskan sisa-sisa remajaku bersama-sama ibu.
Aku tidak punya masa depan secerah Wan Syamril dan Masyitah. Masa depan mereka telah ditentukan. Sedangkan aku? Aku masih terumbang-ambing tanpa arah tujuan. Aku juga ingin jadi seperti mereka. Aku juga ingin punya ramai kawan dan berkawan dengan orang-orang yang bijaksana.

Oh, malangnya nasibku. Ibu mesti tidak akan membenarkan aku ke mana-mana tanpa pengawasannya. Ibu pasti akan mengekoriku ke mana sahaja walaupun aku sudah besar panjang untuk mengurusi diriku sendiri.

Sabtu, 11 Oktober 2014

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 6

BAB 6
“Kenapa pakai baju macam nak pergi kenduri kahwin ni?” tegur Abang Mahadi apabila melihat aku memakai baju kurung moden daripada kain sutera Terengganu yang dihadiahkannya dulu. Aku terkulat-kulat menahan perasaan malu. Lagi bertambah-tambah rasa sakit di kepalaku.
Selepas putus cinta dengan Wan Syamril dulu, inilah kali pertama aku akan keluar lagi dengan lelaki. Kalau dengan Wan Syamril, kami hanya berjumpa pada waktu siang dan terkadang masih di dalam pakaian seragam sekolah. Manalah aku tahu pakaian mana yang sesuai untuk kupakai malam ini.
Rasa-rasanya, pakaian ini sudah cukup cantik malahan sudah puas aku berpusing-pusing di hadapan cermin sebelum menapak keluar dari rumah tadi. Ditegur tiba-tiba dek Abang Mahadi membuatkan rasa harga diriku merudum ke paras yang paling bawah. Aku  rasa betul-betul malu.
“Nak Roha balik tukar baju, kah?” tanyaku kebodoh-bodohan.
“Tak payahlah. Dah lewat ni. Nanti tak sempat nak masuk menonton tayangan awal.” Abang Mahadi menyerahkan topi keledar kepadaku. Dia menyarungkannya di kepalaku dan mengetatkan tali ikatannya. Kemudiannya, aku terkial-kial memanjat untuk naik ke tempat duduk motosikalnya.
Patutlah Abang Mahadi menegur pakaianku tadi. Rupa-rupa, sukar untukku membonceng di belakang dengan kain ketat kurung modenku. Dalam hatiku berdoa, janganlah sampai kain suteraku yang istimewa ini terkoyak rabak.
“Lain kali pakai seluar panjang saja kalau keluar dengan abang,” katanya. Lain kali? Adakah Abang Mahadi berhajat untuk membawaku keluar lagi selepas ini? Kalau memang itulah maksudnya, memang hatiku sedang mengembang setaman. Lupa sejenak sakit di kepalaku.
Lupa? Mana boleh aku lupa. Sakit di kepalaku ini sakit sangat-sangat. Dihentak topi keledar ini membuat aku rasa lebih perit. Segera kutanggalkan kembali topi keledar itu.
Aku meraba-raba atas kepalaku, masih ada bonjolan besar. Serasakan ada cecair melekit di jemariku. Kuturunkan tanganku dan dalam gelap itu, tiada apa yang bisa kulihat. Pabila kudekatkan jari itu ke hidung, ada bau hanyir seperti darah.
“Roha kenapa?” Abang Mahadi berpaling ke arahku. Tidak jadi hendak menekan gear motornya. Terdengar teguran Abang Mahadi, aku cepat-cepat menyarungkan semula topi keledar itu di atas kepalaku dengan penuh hati-hati. Kutahankan perit yang terasa.
Abang Mahadi mulai menunggang motosikalnya dengan hati-hati. Menciluk ke kiri dan kanan untuk melepasi barisan kenderaan yang panjang berhampiran lampu isyarat berwarna merah.
Aku tidak tahu mahu berpegang di mana. Akhirnya aku hanya  memegang bajunya di kiri dan kanan. Apabila tiba di lampu isyarat, Abang Mahadi memberhentikan motosikalnya dan sempat memberi ingatan padaku.
“Jangan tarik baju  abang. Nanti terkoyak. Peluk saja  pinggang abang,” katanya, mengajarku. Aku serba-salah. Namun sebaik sahaja motosikal Abang Mahadi memecut, aku tidak punya  pilihan lain. Aku memeluk pinggangnya erat-erat, rapat-rapat. Dadaku bergetaran dan merenek. Aku merasai kehangatan tubuhnya di dalam dingin malam itu.
Apabila Abang Mahadi tidak memecut, aku akan melonggarkan pelukanku tetapi Abang Mahadi selalu sahaja menekan brek secara mengejut di belakang kereta atau lori sehinggakan aku tersengguk ke depan. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk tidak melepaskan pelukan lagi. Aku takut jatuh tergolek di tengah jalan yang sibuk ini dan digelek tayar lori.
Sudahlah kepala aku sakit dan berdarah, nanti aku pula yang hancur berkecai. Aku tidak mahu terpenyek di tengah-tengah jalan ini. Dan yang lebih penting lagi, aku tidak mahu rahsiaku membohongi ibu, pecah kerana kemalangan yang menimpaku. Oh Tuhan. Jahat sangatkah aku ini?
Motosikal Abang Mahadi terus gagah membelah kepekatan gelap malam. Di kiri kanan kami telah dipenuhi dengan iringan lampu jalan yang bergemerlapan menandakan bahawa kami telah hampir tiba dalam kawasan bandar. Aku rasa begitu teruja. Lupa sejenak akan kekesalan yang melanda sebentar tadi.
Suasana kemeriahan malam yang belum pernah kualami sebelum ini. Pastinya sangat meriah. Semeriah hatiku kerana dapat bersama Abang Mahadi yang aku gilai.
Abang Mahadi berhenti di tapak letak motosikal dan mematikan enjinnya. Aku melangkah turun. Abang Mahadi juga turun dan membuka topi keledarnya. Aku menyerahkan topi keledar yang kupakai untuk dia kuncikan di sisi motosikalnya bersama-sama topi keledarnya. Mula-mula, kami melangkah beriringan. Kemudiannya, aku membiarkan Abang Mahadi berjalan di hadapanku kerana aku tidak tahu ke mana tujuannya.
“Kenapa berjalan di belakang abang ni? Kita bukannya di atas motor lagi. Mari berjalan di sebelah abang.” Abang Mahadi menarik tanganku hingga rapat ke sisinya. Aku biarkan sahaja kerana aku bahagia  dengan perlakuan Abang Mahadi. Aku rasa dimanjakan. Aku rasa disayangi.
“Kita makan dulu, ya?” saran Abang Mahadi.
“Tadi abang kata dah lewat.”
“Tayangan bermula pukul sepuluh. Abang takut kita lewat tiba tadi. Lagi pun jalan raya agak sesak.” Aku mengangguk-anggukkan kepalaku, mengiyakan kata-kata Abang Mahadi. Sewaktu melewati bangunan panggung wayang, aku nampak Masyi dan Wan Syamril sedang berdiri di depan pintu besar sambil berpegangan tangan.
Darah cemburuku menyerbu naik ke muka. Aku hampir terlupakan Abang Mahadi yang berdiri di sebelahku. Masyi melambaikan tangannya apabila ternampak kami berdua. Aku menyeret tangan Abang Mahadi. Abang Mahadi hanya mengikut gerakku.

“Bang, itu kawan Roha. Mari Roha perkenalkan.” Abang Mahadi tidak membantah. Dia mengekori langkahku. Aku bersalaman dengan Masyi manakala Abang Mahadi bersalaman dengan Wan Syamril dan tanpa kuduga, Masyitah turut bersalaman dengan Abang Mahadi sedangkan aku sendiri  tidak bersalaman dengan Wan Syamril.

MENGUAK TIRAI DERITA - Fragmen 1 Bab 5

BAB 5
Aku menyusun pinggan mangkuk yang akan kami gunakan untuk mengisi juadah makan malam. Kami makan tidak terlalu lewat. Kadang-kadang, selepas solat Maghrib, kami terus makan. Kadang-kadang ibu ajak makan sebelum bersolat kerana selepas solat Maghrib, ibu akan berwirid sehingga masuk waktu Isyak.
Aku sudah biasa dengan rutin ibu. Ibu tidak suka makan lewat malam kerana ibu mahu tidur awal setelah berpenat-lelah sehari suntuk di gerainya atau mungkin juga untuk menjaga kestabilan kesihatannya. Ibu yang bekerja keras seharian dan staminanya agak berkurangan ditambah dengan umur yang semakin meningkat.
Aku menjeling sekilas ke arah ibu  yang sedang berkemas-kemas di atas tikar sejadahnya. Kasihan ibu, sentiasa bekerja keras demi untuk menyara hidup kami berdua. Kalau ada ayah, tentu ibu tidak akan sesusah ini. Aku teringatkan ayah yang tidak pernah kulihat rupa parasnya.
Ibu bangun dan melipat sejadahnya selepas menunaikan solat. Mungkin ibu mahu mengajak aku makan lebih awal malam ini kerana dia tahu, aku mahu ke rumah Masyitah pula selepas itu.
Hatiku berbelah bagi juga. Pertama kali berbohong dengan ibu, aku jadi takut. Kalau sesuatu perkara buruk berlaku ke atasku, apa yang akan jadi pada ibu? Kalau tiba-tiba sahaja aku kemalangan dan dilenyek kereta semasa membonceng motosikal Abang Mahadi, apa pula tanggapan orang? Sambil berkemas sambil fikiranku mencari kewarasan. Kewarasan apakah yang akan aku temui?
Ibu, maafkan Roha. Bukan Roha hendak membelakangkan ibu dan bukan juga Roha mahu mengikut kata hati  tetapi Roha sangat-sangat ingin keluar dengan Abang Mahadi. Roha percaya Abang Mahadi baik. Roha percaya Abang Mahadi akan jaga Roha. Abang Mahadi akan melindungi Roha. Roha selamat bersama-sama Abang Mahadi.
Selesai makan malam, aku segera mengemas pinggan mangkuk dan membawanya ke singki. Semua pinggan mangkuk ini perlu kubersihkan supaya tidak terbiar hingga ke petang esok kerana awal pagi esok, aku sudah perlu bergegas ke gerai ibu tanpa sempat membasuhnya.
Aku merenung pinggan mangkuk di dalam singki. Buih-buih sabunnya menggelembung dan pecah berderai-derai terkena sentuhan jemariku. Hidupku juga mungkin seperti buih itu, muncul seketika dan kemudiannya pecah bersatu dengan udara.
“Roha, cepat sikit berkemas. Nanti lewat pula ke rumah Masyi.” Peringatan ibu mengejutkan lamunanku. Aku cepat-cepat menyudahkan kerjaku mencuci pinggan mangkuk itu. Tangan yang masih basah segera kukeringkan dengan kain batik di bahagian pahaku. Telapak dan belakang tangan itu kukeringkan silih berganti dengan cepat sekali.
Kemudian, aku cepat-cepat berlalu ke bilik. Menyarung baju kurung modenku dan kemudiannya menyarung pula baju panas yang besar gedoboh. Tujuannya untuk melindungi baju kurungku agar tidak terlihat oleh ibu. Aku tidak mahu ibu berprasangka yang bukan-bukan melihat aku melaram lebih-lebih malam ini.
“Roha jangan balik lewat sangat,” terdengar pesan ibu dari luar.
“Ya, ibu. Roha dengar,” sahutku sambil meratakan bedak di mukaku. Aku mahu kelihatan cantik malam ini. Aku tidak mahu mengecewakan Abang Mahadi. Aku mahu Abang Mahadi bangga membawa aku keluar bersamanya.Aku mahu Abang Mahadi puas hati dengan penampilanku malam ini.
Aku menarik laci almari solek. Tanganku menggagau di dalam laci itu. Mencari sesuatu yang telah sekian lama kusimpankan di situ. Ya, dapat pun.
Gincu itu aku keluarkan. Belum pernah kukenakannya untuk keluar berjalan-jalan. Selalunya, aku hanya memakai gincu itu di dalam rumah sahaja. Menari-nari di hadapan cermin dan berangan-angan yang bukan-bukan. Jadi puteri raja, jadi Snow White dan jadi entah apa-apa lagi.
Penutup gincu itu kutanggalkan tetapi aku masih teragak-agak untuk mengoleskannya di bibirku.
Aku terjengket-jengket ke muka pintu bilik sambil di tangan kiriku menggenggam penutup bekas gincu manakala di tangan kananku tergenggam gincu berwarna merah samar jenama Avon yang kupesan dalam katalog melalui Kak Julie yang menjadi pengedarnya.
Aku memanjangkan leherku keluar. Fuh…selamat. Ibu sedang menunaikan solat. Belum masuk waktu Isyak. Mungkin ibu menunaikan solat sunat. Aku bergegas mengenakan gincu bibir merah samar itu. Baju panas segera kutanggalkan lalu kubaling di atas katil. Aku perlu bergerak keluar sebelum ibu menyelesaikan solatnya.
Sewaktu kakiku telah menginjak anak tangga pertama dari atas, langkahku terhenti. Aku masih teragak-agak. Akhirnya, aku kembali semula ke bilik. Mengambil baju panasku dan kembali semula menuruni anak tangga. Pintu kayu itu kututup perlahan-lahan dan bunyi keriukannya tetap sahaja kedengaran dihasilkan oleh engsel yang sudah berkarat.
Sebaik tiba di tanah, aku melangkah ke bawah rumah dengan membongkokkan sedikit badanku. Baju panasku kugantungkan di tali dawai penyidai baju yang terdapat di situ. Sebagai persediaan sekiranya aku pulang di saat ibu masih belum tidur.
Sewaktu aku mahu melangkah keluar dari bawah rumah yang rendah itu kepalaku terhantuk pada gelegar kayu. Kuat bunyinya, rasanya macam bergegar sedikit rumahku atau mungkin otakku yang bergegar.
“Aduuhh…,” aku terjerit kuat. Kugosok-gosok kepalaku yang tiba-tiba sahaja membonggol.
“Roha…kenapa?” kedengaran suara ibu bertanya dari atas rumah.
“Tak ada apa-apa ibu. Tak ada apa-apa,” sahutku walaupun tanganku masih sahaja laju menggosok benjolan di atas kepala. Memang berpinar-pinar juga mataku.
“Roha,” panggil ibu. Ibu sudah membuka tingkap di atas rumah. Aku tidak berani keluar dari bawah kolong itu. Aku takut ibu nampak bajuku yang meriah ini. Aku duduk tercangkung sambil menggosok-gosok kepalaku.
“Tak ada apa-apa ibu, kepala Roha terhantuk gelegar. Sakit sikit je,” sahutku jujur. Jujur bab ‘terhantuk gelegar’ tapi kurang jujur bab ‘Sakit sikit je’ kerana aku memang benar-benar sakit. Sakit macam nak mati.
“Haaa…kalau macam tu tak apalah. Ibu bukan apa, takut runtuh pula rumah kita ni dihantuk dek kamu,” ujar ibu sambil kedengaran bunyi dia menutup daun tingkap.
Aduh, ibu! Masih sempat lagi dia mengenakan aku. Kalau diikutkan hati, rasa-rasanya aku ingin sahaja membatalkan pertemuanku dengan Abang Mahadi malam ini. Mungkin ini balasan pertama Allah terhadapku kerana membohongi ibu.

Ibu, maafkan Roha. Walaupun kepala Roha sakit tapi Roha tetap kena pergi sebab Roha sudah berjanji dengan Abang Mahadi. Kita tidak boleh mungkiri kalau kita sudah berjanji. Betulkan, ibu?